Monday, January 31, 2011

KEPUTUSAN RASMI PILIHANRAYA KECIL DUN TENANG

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang selepas calonnya, Mohd Azahar Ibrahim menang dengan majoriti undi 3,707, mengatasi calon PAS, Normala Sudirman.
Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan tepat jam 10.03 malam oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini. Mohd Azahar memperoleh 6,699 undi manakala Normala 2,992 undi. Dalam pilihan raya kecil itu, Mohd Azahar, 39, yang juga bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat, dicabar oleh Normala, 38, yang juga seorang bekas guru.

Sebanyak 71.8 peratus atau 10,579 pengundi daripada 14,753 pemilih berdaftar bagi pilihan raya kecil DUN Tenang keluar mengundi sehingga proses pengundian ditutup 5 petang tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah peratusan itu lebih rendah berbanding pilihan raya umum 2008 iaitu 73.52 peratus.


Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras mengambil kesempatan menyampaikan ucapan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azhar Ibrahim yang telah berjaya mempertahankan kerusi N05 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang. Semoga Yang Berhormat Mohd Azhar Ibrahim akan dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat penduduk di DUN Tenang.


Sunday, January 30, 2011

HARI PENAMAAN CALON DUN MERLIMAU

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Februari 2011 bersamaan hari Sabtu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil ke-15 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 itu ditetapkan pada 26 Februari dengan tempoh berkempen selama lapan hari.
Pilihan raya kecil DUN N27 Merlimau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 54, yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putra, kira-kira jam 8.10 malam pada 20 Januari lalu.


Pada PRU 2008, Mohamad Hidhir yang memperoleh 4,981 undi, mempertahankan kedudukan Barisan Nasional (BN) di Merlimau, mengalahkan calon PAS, Jasme Tompang, yang memperoleh 2,827 undi dengan majoriti 2,154 undi.

“SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 bagi bahagian pilihan raya yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama hingga Suku Ketiga 2010 (bagi bahagian pilihan raya berkenaan) yang dikemaskini sehingga 20 Januari 2011.

“Daftar pemilih itu mengandungi 10,679 pemilih berdaftar merangkumi 10,643 pemilih biasa dan 36 pemilih pos. SPR juga bersetuju menubuhkan tiga pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang diketuai seorang pegawai penguat kuasa bagi setiap pasukan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Abdul Aziz berkata, proses penamaan calon dan pusat penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau, Melaka.

Katanya, tujuh sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi mengandungi 21 saluran tempat mengundi yang akan dikendalikan 248 petugas pilihan raya diketuai Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Eusoff yang juga Pegawai Daerah Jasin.

Wednesday, January 26, 2011

PILIHANRAYA KECIL DUN MERLIMAU



Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 28Januari 2011, hari jumaat ini untuk membincangkan semua perkara berkaitan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Merlimau, Melaka. Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria hari ini berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka pada 21 Jan lepas berhubung kekosongan kerusi itu.

Ini berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pada 20 Januari lepas.

Pemergian Mohamad Hidhir, 54, yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin itu, kini membuka laluan bagi satu lagi pilihan raya kecil di negara ini.

Allahyarham Mohamad Hidhir, yang juga Exco kerajaan negeri bagi portfolio Pembangunan Desa dan Pertanian, mewakili kerusi DUN Merlimau sejak 2004. Pada pilihan raya umum ke-11 itu, beliau menumbangkan calon Keadilan, S Jayathas dengan majoriti 5,087 undi selepas memperoleh 6,332 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau berjaya mempertahankan semula kerusi itu dengan majoriti 2,154 undi, selepas mendapat 4,981, mengetepikan cabaran calon PAS, Jasme Tompang.

Kerusi DUN Merlimau diwujudkan pada 1994, menerusi persempadanan semula sebelum dipertandingkan buat pertama kalinya setahun kemudian pada pilihan raya umum kelapan. Sebelum itu ia adalah sebahagian daripada kerusi DUN Sungai Rambai.


“Satu kenyataan media oleh Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi SPR yang (akan) memaklumkan mengenai tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian akan diedarkan kepada pihak media,” kata Kamaruddin dalam satu kenyataan.

Sumber Berita — Bernama

Saturday, January 22, 2011

PENAMAAN CALON DUN N05 TENANG

Penamaan calon yang berakhir pada jam 11 pagi tadi, secara rasminya BN dan Pas bertanding secara satu lawan satu. Kempen Pilihanraya akan mula digerakkan secara agresif terutamanya oleh peraih undi yang kebanyakannya datang dari luar negeri Johor.
Dun Tenang merupakan gambaran paling ideal untuk menggambarkan komposisi pengundi di Semenanjung jika berlakunya Pilihanraya Umum. Kerana itu ramai beranggapan keputusan di DUN ini akan memberi reaksi segera terhadap penetapan tarikh PRU 13.

Thursday, January 20, 2011

ADUN MERLIMAU KEMBALI KE RAHMATULLAH

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 54, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putra kira-kira pukul 8.10 malam.

Perkara tersebut disahkan oleh doktor yang merawat Mohamad Hidhir, Datuk Dr. Suhaimi Mohd. Uda Tenang.

Ketika ini Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berada di Hospital Putra sebelum membuat pengumuman mengenai perkara tersebut.

Jenazah akan dibawa ke rumahnya di Kampung Tersusun, Lipat Kajang, Merlimau malam ini.

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras ingin menyampaikan salam takziah dan berdoa
semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh.

Alfatihah...

CALON BARISAN NASIONAL DUN TENANG

Penolong Pegawai Daerah Rengit, Mohd Azahar Ibrahim, 37, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari ini.

Pengumuman tersebut telah dibuat olehTimbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Azhar adalah anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Ibrahim Daud. Ahad lalu, PAS mengumumkan Ketua Dewan Muslimat Labis, Normala Sudirman, dipilih sebagai calon pakatan pembangkang.
Mohd Azahar Ibrahim diumumkan Calon mewakili BN dalam pilihan raya kecil DUN Tenang hujung bulan ini. Beliau merupakan bendahari Pemuda Umno Labis.

Mohd Azahar Ibrahim merupakan anak kelahiran Labis Segamat berusia 39 tahun. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Tuty Roshizana binti Tumin berusia 31 tahun . Beliau telah dikurnikan tiga (3) cahayamata berusia 6 tahun, 2 tahun dan 7 bulan.

Beliau mendapat Diploma Pentadbiran Awam Melaka pada tahun 1993 dan melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sains Politik di Portsmouth, United Kingdom dengan kepujian.

Pada tahun 2000 beliau telah memualkan kerjayanya sebagai Penolong Pentadbir Tanah Segamat hingga 2006. Selepas itu beliau telah bertugas sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit Batu Pahat Johor.

Azahar merupakan anak kepada bekas Adun Tenang dan keluarganya amat disenangi oleh penduduk disini.Bekas Penolong Pentadbir Tanah Azahar Ibrahin bakal ditentang oleh Ketua Muslimah Pas dan juga bekas guru berkelulusan dari Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang,Normala Sudirman.

SPR menetapkan 22 Januari ini tarikh penamaan calon dan 30 Januari 2011 tarikh pengundian.


Monday, January 10, 2011

PUTERI UMNO JEJAKI PENGUNDI MUDA


Menjejaki pengundi muda antara usaha yang sedang dilakukan oleh Puteri UMNO Labis sebagai persedian menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang yang bakal diadakan pada 30 Januari nanti.

Ketua Puteri UMNO Labis, Norrulhuda Marsidin berkata, berdasarkan daftar pengundi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat kira-kira 1,200 pengundi muda berumur antara 21 hingga 40 tahun layak mengundi pada PRK kali ini.

“Ramai di kalangan pengundi muda bagi DUN Tenang tinggal di luar Labis, di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru, Batu Pahat, Kuala Lumpur malah ada juga yang merantau hingga ke Sabah dan Sarawak.

“Sebab itu, gerak kerja yang dilakukan oleh Puteri UMNO Labis adalah untuk menjejaki pengundi terbabit dan meminta mereka pulang untuk membuang undi pada hari pengundian nanti,” katanya kepada UMNO-online.

PRK DUN Tenang berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Dis lalu, pada pilihan raya umum ke-12 beliau Berjaya mempertahan kerusi itu apabila menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Hari pengundian akan diadakan pada 30 Januari 2011 jika ada pertandingan dan penamaan calon akan diadakan pada 22 Januari 2011.

Seramai 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pemilih pos. Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171 berdasarkan

Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Norrulhuda berkata, sehingga kini pihaknya sudah pun mengesan pengundi muda itu dan menghubungi sebahagian daripada mereka supaya pulang ketika hari pengundian nanti dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional.

“Hasil kajian dan bancian sikap yang dijalankan, rata-rata yang dihubungi menyatkan sokongan kepada kita, dan di DUN Tenang ini tiada isu besar,” katanya.

Menurutnya, Puteri Labis akan bekerjasama dengan Puteri UMNO Johor dan dibantu oleh Puteri UMNO Malaysia untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon BN pada PRK nanti.

Sumber Berita -MediaUMNO.


Tuesday, January 4, 2011

APA KATA PENDITA ZAABA MENGENAI MELAYU

PENDITA Zaaba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad tidak pernah mengenal erti berputus asa dan pernah berjuang untuk meninggikan martabat Bahasa Melayu suatu masa dahulu.

Orang yang membiasakan dirinya meminta tolong dengan tiada berusaha sendirinya itu ialah melatih dirinya menjadi peminta sedekah. Maka, tidak ia akan sampai ke mana dalam pekerjaan mencapai kejayaan. Jika dapat pun olehnya ketinggian dan kejayaan itu dengan jalan demikian, tidaklah ada apa - apa yang ia boleh berbesar hati kerananya, kerana ia bukan dengan kudrat kebolehannya sendiri, hanya dapat dengan pertolongan orang.

"Perangai suka meminta tolong saja itu walaupun meminta tolong kepada Allah swt, kita sendiri tidak menjalankan usaha ikhtiardengan secukupnya, sangat tidak betul kepada Islam". Kiasan yang di lemparkan oleh Pendita Zaaba terhadap orang Melayu di majalah Qalam (Bil. 19:1952) adalah amat wajar di renung.

Sikap bergantung kepada pertolongan orang atau pihak Kerajaan semata - mata harus di kaji dengan serius. Jiwa kebergantungan dalam banyak hal menyebabkan daya saing dan jiwa mandiri semakin tiris. Dalam dunia hari ini, di mana persaingan terbuka menentukan faktor kejayaan sama ada dalam bidang penguasaan ilmu pengetahuan, penyertaan dalam kegiatan ekonomi dan perniagaan, penerokaan bidang sains dan teknologi, keteguhan dalam sistem keluarga dan masyarakat banyak bergantung kepada kesungguhan serta kekuatan peribadi yang terbabit dengannya.


Kecenderungan menyalahkan orang lain dan bergantung kepada penyelesaian orang lain terhadap masalah yang berbangkit adalah jalan mudah mencari kambing hitam dalam jalan keluar daripada masalah. Malah terdapat kecenderungan yang amat aktif di kalangan orang Melayu yang menaja aktiviti budaya popular baik dalam media cetak dan eletronik mahupun dalam bentuk pesta dan festival yang tambah melalaikan serta merosakkan kualiti jiwa dan emosi generasi muda Melayu sehingga akhirnya berbangkit pelbagai masalah serius dan menyentuh mengenai jati diri serta kekuatan bangsa Melayu itu sendiri.
Pendita Zaaba berkot hitam pada Ogos 1929 - Foto Star

Pendita Zaaba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad adalah seorang cendekiawan Melayu yang disegani dan turut melakukan kritikan terhadap bangsanya. Pandangan dan kritikan beliau boleh di dapati dalam bukunya yang berjudul "Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri" terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP/1982). Beliau mengkritik sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri, lemah cita-cita dan terlalu bergantung kepada orang lain serta berkiblatkan taklid buta tanpa memahami tuntutan Islam yang sebenarnya.

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras, merasakan apa yang di utarakan oleh Pendita Zaaba ada kebenarannya. Meminjam kata pepatah Inggeris "Say the truth even it's bitter" atau dalam bahasa Ibunda "Bercakap benar walaupun pahit" . Maka itu, jadikan tulisan di atas sebagai renungan dan pedoman kerana bercakap benar bukti kualiti jati diri.

Saturday, January 1, 2011

SELAMAT DATANG 2011.......... SELAMAT TINGGAL 2010


Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 buat semua ahli - ahli Puteri UMNO Bahagian Cheras, ahli - ahli Puteri UMNO Bahagian - Bahagian di Wilayah Persekutuan, rakan-rakan pembaca dan juga sahabat-sahabat bloggers diluar sana.

Semoga kehadiran tahun baru 2011 nanti, menjanjikan kebahagian dan kemakmuran buat seluruh rakyat Malaysia. Diharap, Allah akan terus memberkati serta merahmati bumi Malaysia ini. Amin.