Monday, March 19, 2012

PELANCARAN JENTERA PILIHANRAYA UMNO WILAYAH PERSEKUTUAN

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) memberi sokongan padu kepada siapa sahaja yang dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya ini kerana kemenangan calon yang dipilih pucuk pimpinan amat bergantung kepada sokongan jentera parti dan apa yang penting ialah kemenangan parti, bukannya calon yang bertanding.

“Bila sampai masanya pucuk pimpinan membuat keputusan siapa calon yang akan diletakkan di kawasan kita, tentulah keputusan itu tidak dibuat dengan terburu-buru dan pastinya ia pilihan yang terbaik.

“Walaupun kawasan itu kawasan yang bukan UMNO, kemenangan rakan-rakan kita dalam BN menentukan kemenangan parti kita walaupun yang bertanding itu MCA atau Gerakan (misalnya), kita harus menyokong parti yang bertanding kerana mereka bertanding atas tiket BN dan kemenangan itu kelak adalah kemenangan BN,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan (WP), berkata demikian ketika melancarkan jentera pilihan raya Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan BN Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Berucap di hadapan lebih 3,000 anggota UMNO WP, Muhyiddin berkata memandangkan pilihan raya umum dijangka diadakan dalam waktu terdekat, jentera parti WP juga perlu menggiatkan usaha untuk menemui seberapa ramai pengundi bagi mendapatkan sokongan mereka. “Yang penting dalam pilihan raya adalah pengundi, pengundi itu adalah raja, pengundi yang menentukan nasib kita. Kekalahan kita yang lalu adalah mungkin kerana pengundi melihat kita tidak berusaha dan tidak mengambil langkah proaktif untuk membela mereka,” katanya.

Beliau juga percaya senario politik pada masa ini lebih menyebelahi BN hasil program transformasi yang diperkenalkan kerajaan yang banyak membantu mengurangkan beban rakyat.

“Saya yakin di Wilayah Persekutuan, bukan saja beberapa kerusi yang kita berikan tumpuan boleh menang, tidak mustahil untuk kita memenangi kawasan-kawasan yang dikatakan hitam…tapi dengan syarat kita bekerja lebih bersungguh-sungguh,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata anggota UMNO WP perlu memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama untuk memastikan kemenangan BN.

“Kalau ada masalah, kita harus akui ada masalah dan mesti ambil langkah segera untuk membetulkan kelemahan dan mengenepikan segala perselisihan faham yang wujud antara kita,” katanya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin berkata beliau sudah selesai membuat lawatan ke setiap negeri bagi mengetahui kedudukan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menghadapi pilihan raya.

“Kami telah diberikan laporan lengkap mengenai perkara itu dan pada umumnya persiapan di peringkat negeri dan bahagian sudah pun ada.

“Cuma yang saya nak tegaskan dalam tempoh beberapa bulan ini kita nak perkemaskan lagi terutama di kawasan tumpuan yang kita fikir kita akan mendapat kemenangan tapi memerlukan tumpuan yang agak khusus,” katanya.

Ditanya mengenai prestasi pihak pembangkang yang hampir empat tahun mentadbir negeri Selangor, Muhyiddin berkata daripada tinjauan dan laporan yang beliau terima, rakyat di negeri itu berdepan dengan banyak masalah.

Beliau berkata pembangkang lebih mementingkan politik daripada pentadbiran selain membuat perubahan dasar yang menyulitkan rakyat negeri itu.

“Segala usaha yang dibuat BN menerusi kerajaan pusat juga mereka anggap tidak memberi faedah kepada rakyat Selangor, contohnya saya telah dimaklumkan oleh pengarah bahagian pembangunan Kementerian Pelajaran bahawa pembangkang tak mahu melepaskan tanah-tanah untuk kita majukan bagi tujuan sekolah, mereka kata tanah itu adalah rizab kerajaan negeri,” katanya.

Monday, March 12, 2012

DATUK SERI SHAHRIZAT JALIL LETAK JAWATAN ?

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 8 April 2012 ini selepas tamat penggal sebagai Ahli Dewan Negara.

Bagaimanapun, Datuk Seri Shahrizat Jalil akan terus menerajui Pergerakan Wanita UMNO bagi menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh akar umbi.

“Surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini. Peletakan jawatan itu akan berkuat-kuasa pada 8 April 2012.

Beliau membuat pengumuman itu dalam satu sidang media selepas merasmikan “Majlis Karisma Keluarga: Jalinan Kasih” di Taman Tema Desa Waterpark, Kuala Lumpur.

Pengunduran beliau dalam barisan Kabinet itu dipercayai ada kaitan dengan isu Pusat Fidlot Nasional. (NFC) yang menjalankan ternakan lembu di Gemas, Negeri Sembilan yang didakwa wujud penyelewengan serta membabitkan ahli keluarganya.

Isu itu tercetus berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober tahun lalu yang menyentuh mengenai pengurusan NFC kerana berdepan masalah apabila sasaran pengeluarannya dikurangkan daripada 60,000 ekor lembu kepada 8,000 lembu.

Pada 13 Januari, Datuk Seri Shahrizat mula bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama tiga minggu.

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras merasakan , pengumuman perletakan jawatan Datuk Seri Shahrizat Jalil bukanlah akan menjadikan Pergerakan Wanita UMNO lemah,tetapi ini membawa kepada semangat yang lebih utuh hanya untuk parti UMNO khususnya dan Barisan Nasional amnya.

Datuk Seri Shahrizat Jalil mangsa politik kotor Pakatan Rakyat malah musuh dalam selimut. Beliau masih akan terus berjuang untuk Wanita !!!

Tuesday, March 6, 2012

DEBAT : DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK VS DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Satu kajian kendalian Merdeka Center menunjukkan pengundi-pengundi mahu siri debat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sekitar 54 peratus responden, yang ditemui oleh firma kajian pendapat awam itu di Semenanjung Malaysia, bersetuju agar kedua-dua pemimpin ini mengambil bahagian dalam debat. Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, sokongan bagi debat sangat tinggi di kalangan pengundi muda.

"Di mana 67 peratus bersetuju bahawa perlu ada debat di antara kedua-dua pemimpin itu bagi mengetengahkan idea-idea dan dasar-dasar mereka kepada negara," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Hasil kajian itu selari dengan pandangan yang pernah diberikan oleh Ibrahim, di mana golongan profesional Melayu mahukan kedua-dua tokoh politik itu , Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar berdebat. Pandangan itu diberikan hasil perbincangan Merdeka Center dengan golongan profesional muda Melayu di kawasan bandar.

Idea berdebat itu menjadi harapan orang ramai susulan debat antara Presiden MCA dan Setiausaha Agung DAP awal bulan lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, beberapa jam selepas entri blog Datuk Seri Najib yang turut menyentuh tentang soal debat, Ibrahim berkata, sokongan agar Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar berdebat sangat tinggi di kalangan orang Melayu muda dengan 76 peratus memperlihatkan pendirian menyokong.

Bagaimanapun pendirian itu sangat rendah di kalangan orang berusia 60 tahun dan ke atas. Hanya 39 peratus responden dalam golongan itu bersetuju kepada soalan sama ada perlu diadakan siri debat antara Najib dan Anwar.

"Sementara sesetengah berhujah bahawa debat-debat sedemikian tidak perlu dan bukan budaya kita, penemuan kajian menunjukkan bahawa ia akan membantu pengundi menentukan pendirian mereka memandangkan 62 peratus pengundi belum membuat keputusan parti yang mereka akan sokong," katanya lagi.

Antara topik yang pengundi-pengundi mahukan jika debat diadakan ialah isu berkaitan ekonomi, nasional semasa, kebajikan rakyat dan pembangunan negara.

Kajian ini dikendalikan oleh Merdeka Center antara 10 dan 23 Februari lalu, di kalangan 1,022 pengundi yang terdiri daripada 59 % kaum Melayu, 32 % kaum Cina dan 9 % kaum India.