Wednesday, October 31, 2012

PILIHAN RAKYAT ?

Maka gendang dan semboyan pilihan raya semakin hampir. Ramai kepimpinan yang "bersembunyi" kini keluar dari kepompong mereka. Wartawan dan mereka yang mampu menyiarkan mungkin dapat merasa "Angpow" yang akan di bekalkan setelah penat menyiarkan dan menemu duga kepimpinan yang selama ini bersembunyi dan sepi dari kawasan. Hari ini mereka datang semula, ibarat hujan yang akan membasahi kemarau sekian lama wujud di kawasan itu. Hari ini mereka akan datang tersenyum riang membawa janji, membawa mimpi baru dan berceloteh mengenai apa yang mereka lakukan sepanjang mereka memimpin. Ada yang mendabik dada mengatakan bahawa usaha mereka kini sudah membuahkan hasil kerana jalan akan diturap, elektrik akan sampai, benih-benih subsidi akan tersebar luas. Waktu inilah subsidi penting. Waktu ini juga pembangunan menjadi keutamaan, rakyat menjadi tetamu istimewa kepada ahli-ahli yang menjadi pilihan rakyat untuk memimpin. Namun apakah benar hujan sehari terhapus kemarau setahun?

Setakat ini, itulah azimat pegangan mereka. Anggota pilihan rakyat ini percaya hujan yang akan datang sewaktu pilihan raya ini adalah rahmat untuk mereka dan akan menjadi penebus dosa antara mereka dengan rakyat. Hari ini mereka hadir semula, rakyat melihat mereka semula sambil mereka berjanji akan meneruskan mimpi penduduk setempat untuk sekuang-kurang 5 tahun lagi. Begitu seterusnya senario yang akan dilakukan. Rakyat terus menjadi tetamu istimewa sekurang-kurang 5 tahun sekali.

Sungguhpun bukan semua mereka yang yang bersembunyi setelah memegang gelaran pilihan rakyat tetapi kehadiran mereka yang muncul hanya pada zaman pilihan raya adalah kepimpinan hipokrit yang sepatutnya tidak diberi tempat. Mereka harus ditolak jauh atas dosa melanggar amanat yang sepatutnya mereka tanggung. Ini perlu dilakukan dan sekiranya kepimpinan negeri, hatta YAB Perdana Menteri Malaysia memberi watikah untuk memilih semula pemimpin hipokrit ini untuk dicalonkan semula sebagai wakil pilihan rakyat maka RAKYAT perlu menjadi hakim.

Rakyat Malaysia perlu menjadi hakim yang bijak dalam masa kita menjadi tetamu istimewa kepimpinan yang mahu terus menjadi wakil pilihan rakyat. Kita harus meneliti sejauh mana wakil pilihan rakyat ini mampu menjadi pelindung kepada kita. Kita mahu tahu sejauh mana mereka mahu menegakkan agenda rakyat kawasannya dan sejauh mana mereka berusaha membantu. Andai kita tidak tahu mengukur maka wakil pilihan rakyat yang akan hadir selepas ini adalah kepimpinan yang akan hilang sehingga pilihan raya yang akan datang untuk menebus kemarau 5 tahun tersebut. Adakah itu yang kita mahu?

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras merasakan bahawa rakyat pada waktu itu akan menjadi tetamu istimewa pada rumah mereka sendiri sekiranya mereka tetap dengan konsep hilang kemarau 5 tahun akibat hujan sehari. Tepuk dada tanya selera.

Thursday, October 25, 2012

SALAM AIDIL ADHA 1433 HIJRAH

Pada hari Jumaat, 10hb. Zulhijah 1433 bersamaan dengan tanggal 26hb.Oktober 2012,kita semua umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan Hari Raya Aidil Adha dan akan melakukan Ibadah Korban pada tahun ini.

Dikesempatan ini, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras dengan rendah hati melafazkan ucapan "Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha' dan selamat menlakukan 'Ibadah Korban' kepada seluruh umat Islam Malaysia khasnya dan sekaligus kepada seluruh umat Islam,baik di mana sahaja anda berada di seluruh pelusuk dunia ini.

Dikesempatan ini juga Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras ingin mengucapkan "Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha" kepada semua bakal-bakal haji dan bakal-bakal Hajah yang kini berada di Tanah Suci Mekah yang sedang melakukan ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima yang diwajibkan sekali seumur hidup.

Mengerjakan ibadah haji merupakan kesempatan terbaik untuk bertaubat dan meminta keampunan Allah.Malah ibadah haji itu sendiri jika dilaksanakan dengan sempurna,tidak dicampuri dengan perbuatan keji,maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya sehingga ia suci bersih seolah-olah baru lahir kedunia ini.

Rasulullah s.a.w., bersabda: Siapa yang melakukan ibadah haji ke Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan keji,tidak berbuat fasik,dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci ibarat bayi baru lahir daripada perut ibunya.( Bukhari Muslim).

Justeru itu, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras mengucapkan "Selamat Menjalani Ibadah Haji" yang merupakan rukun Islam yang kelima yang diwajibkan sekali seumur hidup.Semoga anda akan mendapat "Haji Yang Mabrur".Tiada balasan baginya kecuali syurga.

Semoga anda akan selamat pulang ke tanah air menemui semula sanak saudara yang telah lama anda tinggalkan.

Sunday, October 21, 2012

SABOTAJ UMNO - KEGAGALAN MENANGANI PERSEPSI

Kebelakangan ini Kepimpinan Tertinggi UMNO telah memandang serius usaha untuk melakukan transformasi politik dalaman dan telah membuat perubahan dalam menangani isu kemungkinan hadir protes dan sabotaj dalam UMNO ketika melalui PRU 13 nanti. Sabotaj adalah faktor yang dikatakan berlaku sehingga PRU 12 – UMNO mengalami apa yang dikatakan Tsunami politik. Tidak dapat dinafikan ini benar tetapi banyak perkara lain juga telah menyebabkan UMNO hilang beberapa negeri dalam PRU 13 tersebut. 

UMNO perlu mengambil langkah yang lebih drastik lagi dalam usaha mengembalikan sokongan dan tidak hanya mengatakan bahawa kekalahan atau kemenangan tipis PRU 12 adalah hanya kerana sabotaj sahaja. Antara yang perlu dilakukan adalah menangani persepsi rakyat terhadap UMNO dan sehingga hari ini – sungguhpun ada langkah positif tetapi usaha menyeluruh perlu dibuat.

UMNO kena mula mengambil langkah dan tidak hanya mengharapkan bekas-bekas kepimpinan PKR sahaja untuk berceramah dan berleluasa dalam mengeluarkan kenyataan yang tidak selaras dengan usaha UMNO untuk memenangi hati rakyat. Bekas kepimpinan PKR yang rata-rata keluar dari PKR adalah kerana tidak puas hati, marah dan tewas dalam mendapatkan ruangan khas di mata Anwar Ibrahim. Mereka hari ini ada satu motif utama – membalas dendam terhadap Anwar Ibrahim dan apa yang tidak diperoleh mereka.

UMNO – tidak perlu mengharapkan mereka semata-mata. Banyak isu lain yang melibatkan kesejahteraan rakyat yang dijuarai oleh UMNO adalah sandaran untuk pemilihan. UMNO perlu menangani persepsi dan sehingga hari ini – media UMNO hanya berlegar sekitar orang UMNO dan masih mudah dipatahkan oleh media alternatif lain kerana sikap penulisan dan editorial yang lemah. Persefahaman antara media-media dalam UMNO juga lemah dan tidak ada pengawalan khusus dalam menyempurnakan strategi bagi menangani persepsi rakyat.

Biarpun dikatakan bahawa terdapat peningkatan dalam melahirkan cybertrooper UMNO namun kualiti dan “reach” tidak menyeluruh. Ini perlu kerana kita berhadapan dengan mereka yang telah matang dalam gerakan perang saraf media sedangkan kita – hanya menumpukan kepada keseronokan kepimpinan kita membaca dan keseronokan kalangan sirkulasi kita sahaja. 

Ini adalah hakikat yang perlu kita sedari. Kita masih tewas dalam usaha menumpukan arah kita untuk memenangi mereka yang di atas pagar. Adakalanya kita nampak terlampau obsesi dalam memuaskan orang kita sahaja, bercerita kehebatan kita antara sesama tetapi nilai yang rendah di peringkat penerimaan nasional dan rakyat.

PETIKAN  CATATAN ANUAR MOHD NOR - UMNO REFORM

Friday, October 19, 2012

BANGSA MELAYU DI KHIANATI?

Kenapa hanya Bangsa Melayu sahaja yang perlu mengingati Sejarah Negara..... ?

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras  merasakan  semakin hari semakin ditoreh-toreh oleh tuntutan pelbagai pihak bukan dari Bangsa Melayu yang bersikap terlalu rasis dalam menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. 

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras ingin berkongsi pandangan mengenai beberapa petikan kenyataan seorang pemimpin MCA, Tun Tan Siew Sin pada 30 April 1969 (dipetik daripada buku Khalid Awang Osman) dan pernah diulas oleh Ridhuan Tee Abdullah untuk renungan kita semua.

''Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain''.
Sebelum itu, seorang pemimpin MIC Tun V.T Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata:
''Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman?

Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan? ''Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut? "Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, ''Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara''.
Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara. 
 
Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras ingin menyatakan, Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain daripada Bangsa Melayu. 
 
Di Negara manakah boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? 
 
Di manakah dalam sejarah dunia atau di Negara lain selain MALAYSIA? Ini adalah fakta. 

Persoalannya, apakah kini pengorbanan Bangsa Melayu dikhianati oleh kaum lain?

Wednesday, October 17, 2012

KUASA POLITIK : MILIK MELAYU SELAMANYA ?

KUASA POLITIK : MILIK MELAYU SELAMANYA ?

Terdapat 2 kenyataan dalam membincangkan isu tersebut di atas

Dua kenyataan tersebut adalah dari petikan berikut ;

Kenyataan Pertama:

"Political power without Economic power is a shadow. The industrial and commercial mechanism is the means by which a country satisfied the necessaries of life according to its standards of living. Those who control a vital factor in it can, if they wish, obstruct or cut off the supply of the necessity and so being decisive pressure to bear upon the political authority".

Dato Onn Jaafar CO 537/4785, Memorandum National Services for Malays ( Muka 220 Dato Onn Pengasas Kemerdekaan - Prof Ramlah Adam)

Kenyataan Kedua

"Ekonomi dan perniagaan telah muncul sebagai kekuatan yang menentukan politik dan sosial dalam negara
Buku Wawasan 2020 - Terbitan Institut Kajian Dasar tahun 1993

Kedua - dua kenyataan tersebut di tambah dengan puluhan kenyataan lain yang pernah di buat oleh kepimpinan dan para akademik negara ini telah menegaskan bahawa kekuatan ekonomi wajib ada dan kekuatan ekonomi ini lah yang akan menentukan bukan sahaja pemilikan kuasa politik oleh orang - orang Melayu malah "survival" kaum itu sendiri.

Menyedari keperluan penguasaan Ekonomi sebagai pra - syarat penting dalam menentukan genggaman kuasa politik maka persoalan " Kuasa Politik" - Milik Melayu selamanya harus di ukur dengan mengambil kira kekuatan pegangan ekonomi orang - orang Melayu.

Bagi yang menyanggah perkara ini dengan mengatakan bahawa kuasa politik dengan gubahan dasar akan dapat mencengkam kuasa politik maka kita harus merujuk kepada kenyataan Tuanku Abdul Rahman pada tahun 1956 yang berbunyi;

"Perbezaan kaum berlaku tahun 1956 lagi. Orang - orang Melayu sedia memberikan hak - hak yang munasabah dan patut kepada orang - orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang banyak daripada hak - hak sebagai bumiputera Tanah Melayu kepada bangsa - bangsa yang bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang telah berbudi sebegitu banyak seperti yang telah di perbuat oleh orang - orang Melayu. Sungguh pun ada jaminan hak - hak keistimewaan Melayu dan Perjanjian Persekutuan tetapi tidak sekali mencegah atau menyekat bangsa lain yang bukan Melayu daripada mencari kekayaan dan kesenangan dan lagi sehingga sekarang hak - hak keistimewaan itu masih belum lagi menghasilkan keadaan setaraf Melayu dengan bangsa - bangsa lain".

Tuanku Abdul Rahman ( Malaya Merdeka 26/04/1956)

Kenyataan Tuanku Abdul Rahman dapat di lihat sebagai penegasan bahawa kekuatan politik atau kuasa politik dalam penentuan dasar - bagi menjamin hak keistimewaan Melayu tidak akan dapat meletakkan Melayu setaraf dengan bangsa - bangsa lain apabila pegangan ekonomi Melayu tertinggal jauh ke belakang.

Justeru itu meletakkan kekuatan Melayu pada kuasa politik dan menetapkan kuasa politik tersebut sebagai "ultimate weapon" untuk terus menjadikan Melayu relevan di tanah air sendiri amat meleset. Harus di peringatkan bahawa pembelian wang dengan wang adalah sesuatu di tidak realistik tetapi pembelian kuasa dengan wang adalah sesuatu yang lebih realistik dan mampu berlaku.

Beberapa pengertian kepada fakta ini sudah cukup untuk kita melihat betapa pentingnya kuasa ekonomi dalam dunia hari ini dan dalam konteks Malaysia dan Melayu, begitu besar risiko yang di ambil oleh orang - orang Melayu jika kita hanya beranggapan bahawa kuasa politik dapat melalui kuasa ekonomi dan Melayu akan terus relevan andai hanya berpegang dengan kuasa politik.

Sungguhpun begitu penyanggahan pengertian terhadap kenyataan di atas baik oleh Dato Onn Jaafar, Tuanku Abdul Rahman dan buku - buku koleksi penulisan oleh Institut Kajian Dasar masih boleh di buat dengan alasan pegangan kuasa politik itu di imbang dengan tanggungjawab dan moral kepimpinan.

Kuasa politik dengan pengimbangan nilai moral dan tanggungjawab

Pakar Pemikir pengurusan di petik mengatakan bahawa "Power must always be balanced by responsibility otherwise it is tyranny".

Ini juga bersesuaian dengan satu kertas kerja yang di bentangkan dan di bukukan dalam Wawasan 2020 - Menangani Wawasan 2020 - 1993 Institut Kajian Dasar yang memetik sebagai berkata;

- meninggalkan nilai - nilai moral dalam kehidupan sosial , politik dan ekonomi - memencilkan nya akan menyebabkan kehidupan bermasyarakat hanya di pandu oleh kepentingan sempit kumpulan ;
dan sekiranya di baca dalam kontes Melayu dalam Bahaya maka ini akan menjerumuskan kita kepada keruntuhan bangsa kita serta mengarahkan bangsa kita kepada keruntuhan - baik pegangan kuasa politik mahupun ekonomi sekiranya kuasa yang ada tidak di laksanakan dengan penuh kesedaran, penuh dedikasi dan untuk melunaskan amanah yang telah di berikan menerusi perlaksanaan demokrasi yang ada di negara kita ini.

Pegangan kuasa politik akan dapat menentukan peningkatan dan kemajuan bangsa baik dalam apa segi sekali pun sekiranya kuasa yang di mandatkan oleh rakyat kepada pemegang amanah tidak di gadai untuk kepentingan individu atau beberapa kumpulan dalam bangsa itu sendiri.

Justeru itu kepimpinan yang di amanahkan oleh rakyat - mengimbangi kuasa yang ada dengan kesedaran serta tanggungjawab akan dapat menaturalisasikan idea yang mengatakan bahawa kuasa politik dapat di lemahkan lantas di gadai dengan kekuatan bangsa lain terhadap pegangan ekonomi.

Tertarik dengan kebangkitan kuasa politik Melayu dalam zaman - zaman awal kemunculan atau pembentukan kuasa politik Melayu di tanah air ini maka satu kenyataan yang seharusnya tidak di pandang lekeh oleh kita hanya kerana ianya di keluarkan oleh bekas kepimpinan UMNO yang juga pengasas UMNO. Kenyataan ini harus di teliti;

"Dalam meneliti kepimpinan masyarakat Melayu, Onn ( Dato Onn Jaafar ) dapati raja - raja Melayu gagal menjadi pemimpin Melayu seperti yang sepatutnya. Dalam banyak hal mereka tidak lagi melindungi rakyat tetapi menekan rakyatnya. Raja - raja Melayu sepatut nya melahirkan rasa hormat dan sayang kepada rakyat dan bukan sebaliknya".

Warta Malaya 4/2/30

Apa yang jelas kelihatan dalam serangan Datuk Onn terhadap kepimpinan negara (pada ada waktu itu Raja dan Sultan) menunjukkan bahawa tidak terdapat pengimbangan kuasa yang ada dengan nilai - nilai moral dan tanggungjawab yang sepatutnya ambil dalam membentuk dan menentukan arah bangsa semasa kuasa itu di genggam.

Menjadi satu pencabulan sekiranya mandat yang di beri di jual dan di perdagangkan lantas ianya hanya menunjukkan bahawa kuasa politik yang ada sudah di jual memenuhi hasrat diri.

Ini juga adalah antara punca kegagalan sehingga tidak bangkit lagi Melayu sehingga ke hari ini.
 
Kuasa kepimpinan - menjual hak

Pokok pembincangan adalah Bangsa Melayu dalam bahaya. Persoalan utama apakah yang membahayakan Bangsa Melayu dan siapakah yang sedang menyerang Bangsa Melayu ? Ini adalah persoalan utama yang perlu kita kaji setelah kita meneliti secara ringkas ; kekuatan ekonomi yang mampu membeli kuasa politik, kekuatan politik yang sebenarnya mampu menjana perkembangan ekonomi orang - orang Melayu serta keperluan moral dan tanggungjawab dalam memastikan kuasa politik terpelihara di tangan orang - orang Melayu .

Dalam satu kertas kerja yang pernah di tulis oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 1993 - Wawasan 2020 dan masa depan orang -orang Melayu, Datuk Seri Najib di petik berkata ;

"menyarankan bahawa kita harus melupakan sebenar hak - hak keistimewaan orang - orang Melayu - kerana selama ini kita harus mengakui dengan jujur - masalah yang sering membawa kegagalan kepada peniaga - peniaga Melayu - pengusaha - pengusaha Melayu : di sebab kan khayalan mereka sendiri".


Kenyataan ini di sokong oleh beberapa kepimpinan khususnya Tun Dr Mahathir Mohamed sewaktu ghairah memperkatakan mengenai tongkat orang - orang Melayu.

Pembuangan tongkat orang - orang Melayu di katakan perlu supaya Melayu itu tidak di manja sehingga mereka lena untuk bangkit menyedari proses dunia tanpa sempadan yang berkehendakkan orang - orang Melayu bersaing.

Tidak dapat di sangkal bahawa terdapat kebenaran dalam apa yang mahu di sampaikan oleh Tun Dr Mahathir tetapi apakah dengan pembuangan tongkat tersebut maka Melayu akan terus dapat hidup di bumi Malaysia ini lantas bersaing dengan bangsa - bangsa lain di luar negara ini.

Kenapa buang yang ada? Kenapa perlu di gadai segala yang di beri dalam kontrak sosial semata - mata kononnya mahu bangsa Melayu itu maju?

Kita jangan lupa sejarah kerana sejarah berulang kembali khusus pada mereka yang lupa. 

MELAYU MUDAH LUPA

i) Tahukan kita bahawa apa yang di katakan tongkat kepada Melayu yang di beri oleh kerajaan adalah tongkat yang serupa yang di beri oleh kerajaan pada waktu awal tamaddun Malaysia oleh Inggeris?
ii) Tahukan kita bahawa kehadiran bangsa lain yang di beri tongkat serta merta oleh penjajah adalah untuk menaturalisasikan kuasa yang ada kepada kepimpinan Melayu pada waktu itu?

iii)Tahukan kita seawal tahun 1931 lagi kaum Cina pernah mendesak bukan sahaja hak malah berani mengatakan bahawa Tanah Melayu dan Negara - Negara Selat adalah milik orang Cina kerana mereka yang telah membangunkan Tanah Melayu

Warta Malaysa 11/3/1931

Tahukan anda pada tahun 1953 - Federal Legislative Councill ( 6th Session) March 1953 Melayu di bawah RIDA di potong peruntukkan sehingga 3 juta bagi memberi laluan kepada pembentukan kampung - kampung baru Cina dengan peruntukan sebanyak 11 juta ringgit. Bayangkan kalau pada tahun 1953 gula hanya pada kadar 5 sen dan kini dengan kadar hampir RM 1.50 berapakah nilai 11 juta pada tahun 1953 dan sekarang pada tahun 2004?

Apakah semua subsidi ini dari se awal tahun 1931 ( mengambil anggaran ) ke tahun 1957 ( mengambil anggaran ) ia itu selama 26 tahun subsdi, tongkat dan memapah bangsa lain dalam perekonomian bangsa itu tidak menjana kejayaan bangsa itu sendiri? Cina dan India sekiranya di perhatikan sudah sedia mendapat subsidi dan tongkat oleh pemerintah pada ketika itu - Bayangkan 12,133 orang India menjawat jawatan dalam kerajaan sebagai pegawai rendah jika di bandingkan dengan orang - orang Melayu seramai 1,472 pada tahun 1938 - K.A Neela Kandha Aiyer - Indian problems in Malaya.

Apakah hari ini kita pula sebagai kepimpinan Melayu merasa berdosa untuk mengekalkan hak - hak keistimewaan yang ada, yang semakin terhapus dan di tambah dengan penjualan kuasa oleh kepimpinan Melayu itu sendiri?

Mungkin tahun 2004 ini kita boleh bertanyakan dengan Datuk Najib kerana sekarang beliau adalah Timbalan Perdana Menteri soalan sama ada perlu lagi kita melupakan sementara hak - hak keistimewaan Melayu ? Ingat terlepas sekali mungkin memerlukan masa yang panjang untuk kita mendapatkannya semula.

MELAYU - Layu dan Malas?

Kepimpinan Melayu kita turut mengkritik soal dan sikap orang - orang Melayu. Namun menyalahkan sikap dan adat semata - mata adalah tidak adil. Sebagai kepimpinan mereka harus menentukan perkembangan minda orang - orang Melayu. Pembangunan minda harus di beri tumpuan utama agar Melayu lebih kritis dan kritikal dalam membuat keputusan. Ini adalah antara pembangunan yang tidak di beri perhatian menyeluruh. Kita bukan boleh mendidik masyarakat Melayu dengan terburu - buru. Tamaddun Melayu bukan beribu - ribu tahun.

Kita harus mengkaji juga kegusaran pemimpin Melayu mengenai masyarakat Melayu, tetapi kegusaran itu harus menjurus kepada usaha untuk mencorakkan bentuk dan resepsi Melayu terhadap pembangunan fizikal dan material.

Gambaran Datuk Onn 3/8/50 mengenai orang - orang Melayu dapat di lihat dalam tulisan beliau di Warta Negara 1950;

"Saya nampak gambaran yang berlainan coraknya daripada gambaran yang sedia ada di hadapan mata kebanyakan orang - orang Melayu. Gambar yang ada di hadapan saya ialah apa yang akan di sertakan oleh orang - orang Melayu sendiri , ia itu gambar menunjukkan pendirian orang - orang Melayu dan gambar perbuatan orang - orang Melayu. Satu gambar lagi ialah gambar gelap yang tidak menunjukkan pendirian orang - orang Melayu. Perbezaan itu amat mustahak ia itu perbezaan yang boleh menentukan nasib orang - orang Melayu".

Apakah gambaran yang sedang kita lihat sekarang menunjukkan pendirian orang - orang Melayu atau ianya membayangkan ketiadaan pendirian orang - orang Melayu?

Apakah dengan mengecilkan hak - hak keistimewaan orang - orang Melayu, hak yang sudah di kontrakkan ke atas kita dalam penyerahan hak - hak lain kepada bangsa - bangsa lain di tanah ini menunjukkan pendirian kukuh kita.

Sekali lagi di ulangi MELAYU DALAM BAHAYA ? Siapa mengancam kita ?

Perlu di ingatkan bahawa kelahiran anak kecil berbangsa Cina dan kelahiran anak kecil berbangsa Melayu bukan di penuhkan dengan sikap sebagai satu pakej menentukan perbezaan bangsa. Anak kecil Melayu bukan di lahirkan dengan pakej sifat - sifat pemalas, mahu kaya cepat dan haprak dan anak kecil Cina bukan di lahirkan dengan sifat kerajinan, pandai berniaga dan berani. Dalam konteks mudah, anak - anak kecil itu di lahirkan dan akan subur dengan sikap yang di warisi daripada kepimpinan ibu bapa mereka. Dalam konteks yang lebih besar kaum Melayu itu akan subur dengan sifat yang di warisi oleh kepimpinan Melayu pada ketika itu. Apakah kita mewarisi sifat yang sepatutnya atau kita terikut dengan sifat yang di punyai oleh kepimpinan kita.

Bahaya di hadapi Melayu

Serangan utama kepada Melayu adalah;

Bila yang mengamalkan tabiat rasuah, menyusulkan kepada anak bangsanya menolak rasuah - ini merupakan satu pembohongan.
Persoalan utama Melayu, apakah seluruh, secara kolektif mereka yang berbangsa Melayu itu adalah punca kemunduran Melayu?

Lahir sahaja sebagai Melayu maka pakej yang di sertakan oleh Allah SWT ialah pemalas, mahu kaya cepat dan haprak. Kalau itu jawapan yang boleh di berikan oleh cerdik pandai kepimpinan kita maka kita usulkan mulai tahun ini kita haramkan Melayu berkahwin dengan Melayu kerana ini akan menyebabkan Malaysia penuh dengan bangsa haprak yang akan merugikan Malaysia.

Kalau di katakan pergeseran antara Melayu kaya dengan Melayu miskin adalah punca kemunduran Melayu, maka persoalkan pembahagian kekayaan yang adil sebagai asas menangani pergeseran ini.

Namun kalau di katakan kepimpinan Melayu menjual hak sebagai punca kemunduran Melayu maka Melayu harus di sedarkan mengenai kepimpinan yang di pilih.

Sekali lagi dalam keadaan yang terbatas dan masa yang agak suntuk bagi saya - saya katakan seperti yang di petik dalam tulisan saya kali ini :

Kuasa seharus di sertakan dengan tanggungjawab, sekiranya tidak maka itu satu kezaliman. Kita perlu juga menyimpulkan bahawa kuasa politik yang tidak di gadai mampu membantu generasi hari ini untuk berdiri sama tinggi dan sama rendah dengan bangsa - bangsa lain.

Kita perlu ada gambaran yang terperinci mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan bukan membuat andaian yang belum tentu keberkesanannya. Jangan di tarik hak ini kononnya ia akan dapat membantu kaum Melayu kerana ini hanya satu teori yang belum menjanjikan kejayaan. Jangan yang ada di lupus ibarat mencurah air tempayan bila guruh berdentum - kerana hujan belum tentu turun.

Jangan kita ibaratkan bangsa kita sebagai bangsa "RED INDIAN", kerana teori RED INDIAN tidak boleh di guna pakai kerana "RED INDIAN" bukan pemerintah Amerika sedangkan Melayu adalah pemegang kuasa. Persamaan dangkal ini - Melayu dan "Red Indian" dalam konteks tanah rizab Melayu harus di tolak.

Melayu harus di sedarkan dan masyarakat Melayu harus melalui proses pembangunan minda yang menyeluruh sebelum tamadun Melayu dapat berkembang dan seterusnya dapat menggenggam kuasa politik yang ada tanpa tiris. Proses ini harus di jalankan secara jujur tanpa kepentingan individu.

Dan akhir sekali - Jangan tersalah memberi mandat sehingga yang di kendung berciciran.