KUALA
LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Laungan takbir "Allah Hu Akbar" bergema
sebanyak tujuh kali di Dataran Merdeka di sini sebagai menggantikan konsert dan
percikan bunga api pada kiraan detik 12 malam ketibaan tahun baharu 2015
menerusi program Malam Cinta Rasul 2015.
Setiausaha program Malam Cinta Rasul 2015, Zainal Abidin Amir berkata laungan
takbir itu oleh ribuan yang membanjiri Dataran Merdeka adalah sebagai simbolik
kepada pelbagai musibah yang menimpa negara termasuk kejadian banjir di pantai
timur dan kehilangan pesawat MH370 serta tragedi pesawat MH17 yang ditembak
jatuh di Ukraine.
Menurutnya pelbagai acara kerohanian disediakan bermula 8 malam, termasuk solat
Isyak berjemaah, solat hajat, qasidah dan sesi bersama Habib Syech Abdul Kadir
Asseggaf.
"Seramai 25 urusetia mengedarkan tabung kemanusiaan kepada orang ramai
khusus bagi didermakan kepada mangsa banjir di pantai timur. Sebelum ini
sebanyak RM150,000 telah dikutip beberapa hari lepas yang disumbangkan oleh
badan korporat.
"Kesemua kutipan akan diserahkan kepada tabung mangsa banjir NSTP-Media
Prima," katanya.
Sehubungan itu buat kali kedua, rakyat Malaysia di seluruh negara tidak
menyambut kedatangan Tahun Baharu 2015, selepas kali pertama tidak berbuat demikian
pada 2005 akibat tragedi tsunami yang melanda Asia Tenggara pada akhir 2004.
Pembatalan sambutan Tahun Baharu 2015 itu berikutan pelbagai tragedi dan
musibah yang melanda Malaysia sepanjang 2014, antaranya insiden kehilangan
pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh
di Tmur Ukraine dan terbaharu bencana banjir di beberapa negeri.

Sambutan tahun baharu pada malam 31 Dis seperti kelazimannya tidak lagi
mewarnai tempat tumpuan orang ramai sekitar ibu negara seperti di Dataran
Merdeka, Menara Berkembar Petronas, Jalan Bukit Bintang di samping lokasi lain
di seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada di Kelantan, negeri
paling teruk dilanda banjir tahun ini, bagi meninjau dan melawat mangsa yang
terjejas teruk dengan bencana itu.
Beliau mengakhiri tahun 2014 dengan bersolat jemaah bersama-sama mangsa banjir
di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2.
Di PUTRAJAYA, program sambutan Ambang Tahun Baharu 2015 tajaan Kumpulan Ambank
pada malam ini, dibatalkan sebagai tanda simpati terhadap mereka yang terjejas
banjir, menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor.
Sebaliknya ia diraikan dengan program keagamaan yang dinamakan 'Karnival Raudah
NASIONALfm' di Masjid Putra sempena Tahun Baharu 2015.
Program anjuran NASIONALfm dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan
Perbadanan Putrajaya bermula 2 petang dengan pelbagai aktiviti termasuk solat
Maghrib berjemaah, bacaan Yasin dan solat hajat banjir.

Karnival Raudah itu juga menampilkan penceramah terkemuka Ustaz Mohamad Kazim
Elias dan Ustaz Mohamad Najmuddin Elias membincangkan topik 'Cabaran Tahun
Baharu Dalam Konteks Mempertahankan Keimanan Remaja, Keluarga dan Masyarakat'
dan 'Azam Tahun Baharu - Mengikut Lunas-lunas Islam'.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh Ustaz Nabil Ahmad dan
Kumpulan Far East serta persembahan alunan Burdah & Qasidah daripada
Kumpulan Anak Warisan Kasih.
Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat.
Sementara itu, di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pertunjukan pancutan air berwarna-warni
dipertontonkan kepada pengunjung yang meraikan sambutan ambang tahun baharu
2015.
Tinjauan Bernama mendapati tiada konsert diadakan dan juruacara program turut
meminta orang ramai menderma bagi mangsa banjir di negeri Pantai Timur.
Bernama difahamkan tiada pertunjukkan bunga api diadakan bagi menghormati
pelbagai tragedi yang menimpa negara ini termasuk kejadian pesawat AirAsia
Indonesia QZ8501 yang terhempas 28 Dis lepas.
Di PULAU PINANG, Sambutan Ambang Tahun Baharu 2015 yang dijadualkan di Padang
Esplanade, turut ditukar kepada kempen mengutip dana untuk membantu mangsa
banjir.
Di MELAKA, Program Sambutan Ambang Tahun Baharu 2015 peringkat negeri yang
dijadualkan berlangsung di Dataran Sungai Melaka diadakan secara sederhana.
Di SEREMBAN, program Sambutan Tahun Baharu 2015 di Port Dickson Waterfront
seperti yang dijadualkan turut dibatalkan.
-- BERNAMA