Tuesday, November 9, 2010

KEPUTUSAN RASMI PILIHANRAYA KECIL DUN GALAS DAN PARLIMEN BATU SAPI


Syabas dan tahniah kepada jentera BN yang telah memenangi PRK Galas dan Batu Sapi.. Pastinya kemenangan ini merupakan satu signifikan kepada gerak kerja yang Dato Seri Najib , rancangkan dalam tempoh kurang 2 tahun ini.

Semangat jentera BN sudah kembali, penyelarasan, kejituan, keampuhan, kecekalan jentera BN nampak telah berubah sama sekali.

KEPUTUSAN RASMI PILIHANRAYA KECIL

Kawasan N.45 DUN Galas

Barisan Nasional : 5324
PAS : 4134

Undi Rosak : 132

Majoriti : 1190

Peratusan keluar mengundi : 83%



KEPUTUSAN RASMI PILIHANRAYA KECIL

Kawasan P.125 Parlimen Batu Sapi

Barisan Nasional : 9773
SAPP : 2007
PKR : 3414

Undi Rosak : 372

Majoriti : 6359

Peratusan keluar mengundi : 61%


Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras turut mengambil kesempatan mengucapkan ucapan tahniah dan terimakasih kepada ahli - ahli Puteri UMNO di seluruh Bahagian dan Negeri yang telah bekerja keras sepanjang tempoh kempen pilihanraya.

Tuesday, November 2, 2010

MENDAFTAR SEBAGAI PENGUNDI BARU


Mengikut sumber Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), seramai 246,962 orang telah mendaftar sebagai pengundi baru semasa tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun ketiga dari Julai hingga September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berkata dalam tempoh yang sama, 32,494 pemilih sedia ada memohon pertukaran alamat pusat mengundi.

Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun ketiga 2010 telah mula dipamerkan sejak semalam sehingga 2 Nov di 997 tempat pameran di seluruh negara, menurut kenyataan SPR hari ini.

Mereka yang baru memohon menjadi pemilih atau pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi dinasihatkan untuk menyemak rang tersebut.

“Mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2010, boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam rang itu boleh membuat bantahan dengan mengisi Borang C.

Antara tempat pameran rang daftar pemilih ialah Pejabat Pilihan Raya Negeri (14 tempat), Pejabat Pos Berkomputer (457 tempat), kompleks/pejabat kerajaan (103 tempat), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (157 tempat), Majlis Daerah/Perbandaran (52 tempat), Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan (183 tempat) dan lain-lain tempat (30 tempat). Selain itu, SPR juga turut mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih.

“Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera/Polis yang bermakna telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya,” kata SPR.

Justeru, SPR memohon kerjasama waris untuk melaporkan kematian kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan segera serta membawa permit mengubur sebagai bukti kematian bagi membolehkan JPN mengeluarkan Sijil Kematian kepada waris.

“Tanpa memperolehi pengesahan daripada JPN bahawa seseorang pemilih itu telah pun meninggal dunia, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama-nama pemilih berkenaan daripada pengkalan data Daftar Pemilih,” kata kenyataan itu.

SPR juga menasihatkan pemilih-pemilih berdaftar untuk membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih bagi memastikan pemilih-pemilih ini didaftarkan di lokaliti yang betul.

Manakala bagi pemilih-pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin, mereka digalakkan membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di satu pusat mengundi berdekatan dengan tempat kediaman masing-masing.

Permohonan pertukaran alamat pusat mengundi boleh dibuat di mana-mana pejabat pos berkomputer, kaunter-kaunter bergerak SPR, kaunter ibu pejabat SPR di Putrajaya atau di kaunter-kaunter pejabat pilihan raya negeri.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web SPR di www.spr.gov.my atau menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-88856500 atau melalui faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana pejabat pilihan raya negeri.

Friday, October 29, 2010

PUTERI UMNO TEKAD TINGKATKAN KEAHLIAN PENGUNDI MUDA

Pergerakan Puteri UMNO bertekad akan meningkatkan usaha dan melaksanakan pelbagai program dalam fokus menarik golongan muda mendaftar sebagai pengundi di samping meningkatkan penyertaan mereka dalam UMNO.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Majid Rashid Shirlin berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua bahagian dan cawangan Puteri UMNO untuk bekerja keras mendekati golongan muda menerusi program-program yang bersesuaian dengan jiwa mereka.

“Apa yang penting adalah usaha menyedarkan golongan muda tentang betapa pentingnya mereka celik politik dan mendaftar sebagai pengundi,” katanya. Jelas beliau, sebagai sayap parti yang mewakili usia muda, Puteri UMNO sentiasa menggalas tanggungjawab tersebut kerana menyedari undi mereka amat penting untuk menentukan kedudukan serta senario politik negara.

pu3-pengundi-muda-rosnah

“Ini kerana golongan muda menyumbang 40 peratus daripada keseluruhan pengundi di negara ini, dan jika kebanyakkan mereka khususnya orang Melayu tidak berdaftar sebagai pengundi maka kesannya terhadap masa depan bangsa amat membimbangkan,” katanya.

Tambahnya lagi, pada masa yang sama golongan muda Melayu yang mendaftar sebagai pengundi mesti dibimbing supaya mereka tidak terikut-ikut dengan rentak politik pembangkang yang kononnya memperjuangkan idealisme dan kebebasan.

“Kesedaran serta minat berpolitik di kalangan muda mesti terarah dan tersusun, bukannya secara semberono kerana trend sekarang menunjukkan golongan muda yang mendaftar sebagai pengundi tetapi tidak dibimbing arah politik mereka menjadi penentang kepada kerajaan dan tidak memberi sokongan kepada UMNO.”

Dalam hal ini juga, Puteri UMNO akan terus menanamkan rasa cinta dan sayang golongan muda terhadap parti yang memelihara hak-hak orang Melayu serta menjaga kesucian Islam.

Selaras dengan hasrat mendekati masyarakat, komen dan cadangan daripada semua pihak untuk aktiviti yang dirasakan sesuai sebagai pemangkin mewujudkan ahli UMNO dan pengundi berkualiti amat dialu-alukan. Cadangan tersebut boleh dihantar ke admin@puteriumno.my atau ke laman facebook – Puteri Jiwa Rakyat.

Tuesday, October 26, 2010

UNDILAH BARISAN NASIONAL


BIODATA CALON BARISAN NASIONAL DI DUN GALAS

Abdul Aziz Yusuf dilahirkan pada 16 Jun 1961 di Kg. Bertam Baru, Gua Musang. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya Roshana Hashim, beliau dikurniakan 4 orang anak iaitu 3 orang perempuan dan 1 orang lelaki.

Dari segi latarbelakang pendidikan, Abdul Aziz memulakan pendidikan rendahnya di SK Bertam, Gua Musang. Pendidikan menengahnya di SMK Jerantut, Pahang dan kemudian masuk ke aliran teknik SMK Teknik Kuantan. Kelulusan tertinggi beliau adalah Sijil Pelajaran Malaysia.


Beliau kini berkhidmat sebagai Pengurus Pejabat Operasi Kesedar di RPT Sg. Terah. Beliau mendapat tiga anugerah kehormat iaitu, Ahli Kelantan, Seri Mahkota Kelantan dan Pingat Pangkuan Negara. Dalam parti, beliau kini adalah Setiausaha Bahagian UMNO Gua Musang serta merupakan Ketua Cawangan UMNO RPT Limau Kasturi.

Monday, October 25, 2010

CALON BARISAN NASIONAL DI PILIHANRAYA KECIL DUN GALAS DAN PARLIMEN BATU SAPI

Barisan Nasional (BN) semalam menamakan Setiausaha UMNO bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff, 49, sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Datin Linda Tsen Tsau Lin, 54, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi.

Pemilihan kedua-dua anak tempatan mewakili BN, diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Gua Musang dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di Sandakan, petang semalam.

Pilihan raya kecil DUN Galas dijangka menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PAS, manakala di Batu Sapi, BN dijangka berdepan PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Di GUA MUSANG, Muhyiddin yakin pemilihan Abdul Aziz boleh diterima semua pengundi Galas.

“Beliau dipilih oleh Perdana Menteri selepas berbincang dengan kepemimpinan UMNO bahagian dan Badan Perhubungan Kelantan. Kita berharap pengundi Galas dapat memberi mesej yang kuat, yang rakyat masih mahukan pembangunan untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Hakikatnya, pembangunan duniawi yang dilaksanakan BN adalah sebahagian tuntutan agama.

"Daripada profil DUN Galas yang mempunyai pengundi Melayu, Cina, India dan Orang Asli, ia memberi gambaran DUN Galas sebagai contoh 1Malaysia. Dalam hal ini, hanya kerajaan BN lebih mampu dan berupaya memenuhi kehendak rakyat," katanya pada majlis pengumuman calon BN di Balai Rakyat Bukit Chekati, Gua Musang.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Pilihan Raya Kecil BN bagi DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah; Naib Presiden MCA, Datuk Wira Chor Chee Heung dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.


Ketua Menteri Sabah bersama Linda ketika pengumuman calon BN di Sandakan

Di SANDAKAN Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bersama pemimpin komponen BN Sabah dalam sidang akhbar di Hotel Sanbay, dekat sini, pada 3 petang.
Tsen, 54, adalah balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, iaitu penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas.
Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 Nov. Musa berkata calon yang dipilih itu dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua parti komponen BN Sabah.
"Bagi Datin Linda, Batu Sapi bukanlah asing bagi beliau, dan politik bukan juga asing kepada beliau, kerana beliau adalah seorang Naib Ketua Exco Wanita PBS.

"Jadi, bagi dia ini adalah satu perkhidmatan, peluang untuk beliau teruskan perjuangan mendiang suami beliau dan beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas pengumuman itu.

Musa berkata memang sudah terbukti banyak wanita berkelayakan dan berkebolehan untuk menjadi pemimpin di negara ini, justeru peluang sebegini diberi kepada golongan wanita.

"Bagi kita di Sabah, kita juga mahu menonjolkan banyak lagi wanita yang berkebolehan, berdedikasi dan boleh memberi khidmat kepada rakyat," katanya.

Musa berkata Tsen berjanji akan bekerja keras dan memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat di Batu Sapi. Menjawab soalan sama ada pemilihan itu dibuat berdasarkan faktor simpati, Musa berkata terpulang kepada penilaian rakyat kerana yang penting calon dipilih boleh memberi perkhidmatan melalui pengalaman politik yang ada.

Sementara itu, Tsen apabila ditanya sama ada pemilihannya sebagai calon pilihan raya kecil itu satu perkara yang sukar buat dirinya memandangkan beliau baru kehilangan suami, berkata: "Saya berbesar hati kerana dipilih sebagai calon. Saya tahu saingan ini amat sukar, kita perlu bekerja keras.

"Ini adalah peluang untuk saya meneruskan khidmat bakti yang dicurahkan mendiang suami saya Datuk Edmund Chong," katanya.

Mengenai persediaan kempen BN untuk pilihan raya kecil ini, Musa berkata BN negeri telahpun bermesyuarat dan mengagihkan tugas kepada semua ketua bahagian dan wakil rakyat dalam parti komponen gagasan itu.

"Kita berjanji akan bekerja kuat dan bekerja keras bagi kemenangan Datin Linda. Insya-Allah dengan sokongan, dukungan dan kerjasama semua parti BN di Sandakan ini yang akan bekerja keras siang dan malam, kita boleh berjaya," kata beliau.

Tsen, anak kelahiran Sandakan, mengikut persekolahan awalnya di Sekolah Rendah Chi Hwa dan Sekolah Menengah Tiong Hwa, di sini.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di St Brandon School, United Kingdom, dan Trinity College of Music, London serta Fellowship London College of Music.

Beliau mempunyai empat anak, iaitu tiga perempuan berumur antara 18 dan 23 tahun dan yang bongsu seorang lelaki berumur 13 tahun.