Wednesday, March 24, 2010

PUTERI UMNO MALAYSIA MENGESA AGAR DIBEKUKAN KEMASUKAN PEKERJA ASING DARI LOMBOK

Pergerakan Puteri UMNO menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok, Indonesia berikutan trend kahwin lari melibatkan gadis-gadis Malaysia dengan lelaki dari wilayah tersebut yang semakin membimbangkan.

Puteri UMNO memperoleh maklumat terdapat kira-kira 500 wanita Malaysia berada di Lombok sekarang ini akibat terjerat oleh ikatan perkahwinan dengan lelaki dari wilayah tersebut semasa bekerja di negara ini.

Pembongkaran satu demi satu kes kahwin lari melibatkan lelaki dari Lombok menuntut satu mekanisme yang perlu dilaksanakan segera oleh KDN bagi membendung gejala yang tidak menyenangkan itu.

Puteri UMNO percaya akan ada lagi kes gadis Malaysia nekad meninggalkan keluarga masing-masing gara-gara berkahwin dengan lelaki dari Lombok dan terpaksa mengharungi penderitaan sepanjang berada di negara orang.

Kita tidak mahu trend yang semakin berleluasa ini akan mengakibatkan ramai gadis terpaksa mengorbankan masa depan mereka termasuk menjadi janda apabila sedar mereka ditipu oleh janji-janji manis.

Lebih dikesalkan apabila trend kahwin lari itu melibatkan gadis-gadis remaja yang hanyut dalam dunia percintaan sehingga segala-galanya tampak indah dan hanya sedar daripada khayalan apabila dihimpit penderitaan.

Puteri UMNO juga bimbang perkembangan tersebut jika tidak dibendung akan mengakibatkan ibu-ibu muda terpaksa membesarkan anak mereka bersendirian apabila dibawa pulang ke tanah air.

Manakala gadis-gadis yang masih berada di Lombok dan beranak-pinak di sana terpaksa membesarkan anak-anak mereka dengan peluang pendidikan yang sangat terhad.

Sehubungan itu Pergerakan Puteri UMNO mahu KDN mengambil langkah segera termasuk menghentikan pengambilan pekerja asing dari Lombok bagi membendung gejala yang `terlalu mengikut cinta akhirnya menderita'.


No comments: