Monday, April 5, 2010

HANYA WAKIL RAKYAT CEMERLANG KEKAL CALON

KUALA LUMPUR, 4 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengingatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) supaya bekerja kuat, berkesan, berkhidmat cemerlang kepada rakyat.

Presiden UMNO mengingatkan mereka yang mungkin masih bermimpi supaya bekerja untuk memastikan rekod cemerlang dalam kad laporan masing-masing.

Beliau yang juga Pengerusi BN kata jika terdapat mana-mana wakil rakyat yang ‘kad laporannya’ teruk, nama mereka tidak akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Biasanya bila ada pilihan raya, ada yang tidak dicalon semula, ada yang dicalon semula. Yang tidak dicalon semula tu, maknanya gagallah,” katanya.

Najib berkata demikian dalam temu bual eksklusif yang disiarkan Bernama TV malam ini sempena ulang tahun pertama beliau memegang jawatan itu.

Wawancara khas bertajuk Setahun di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkefli Salleh dan Pengarang Ekonomi, Mikhail Raj Abdullah.

Perdana Menteri ditanya mengenai prestasi anggota Kabinet dan ahli-ahli Parlimen BN dan sama ada kad laporan prestasi mereka sudah diterima olehnya.

Secara keseluruhannya, Najib berpuas hati dengan prestasi mereka setelah meneliti laporan yang diterima termasuk di kalangan anggota Kabinet.

“Wakil-wakil rakyat ini, kita ada ibu pejabat yang akan pantau dan mereka tahu siapa wakil rakyat yang rajin turun padang, balik kawasan, menyelesaikan masalah rakyat dan sebagainya.

“Mungkin lepas pilihan raya 2008 itu, mereka tergamam sedikit sebab keputusan itu di luar dugaan, jadi bila dalam keadaan itu, dalam masa setahun itu agak kurang aktiviti, tetapi sekarang ini saya nampak sudah ada peningkatan yang ketara,” kata beliau.

Dalam pada itu, mengulas Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, Najib berkata, BN mahu memenanginya tetapi sebarang keputusan mengenainya bukan merupakan ukuran sebenar kekuatan kerajaan.“Pilihan raya kecil adalah hanya pilihan raya kecil dan petunjuk sebenarnya adalah pilihan raya umum.

“Apa sahaja yang kita lakukan boleh menyumbang ke arah mencapai kepada jangkaan atau psikologi untuk menang dalam PRU-13,” katanya ketika ditanya jika beliau ingin menjadikan keputusan pilihan raya kecil itu sebagai satu ukuran sokongan kepada kerajaan.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 17 April dan hari membuang undi pada 25 April ini.


Lapuran Berita MediaUMNO

No comments: