Monday, July 4, 2011

KONVENSYEN BARISAN NASIONAL LULUS USUL

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Setiausaha Agung BN,
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Raja Nong Chik,
Datuk Wira Syed Ali Al Habshee (kanan sekali)
dan pemimpin lain melaungkan slogan ‘Hidup BN’
pada Konvensyen BN Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR 3 Julai – Konvensyen Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan hari ini meluluskan usul tergempar untuk menolak sekeras-kerasnya penganjuran perhimpunan haram Bersih di ibu negara, Sabtu ini.

Usul yang dibacakan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mendapat sokongan padu 1,180 perwakilan yang hadir pada konvensyen tersebut.

Antara lain, usul berkenaan meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan langkah-langkah pencegahan di samping mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbabit dalam perhimpunan itu.

Ia bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara dan rakyat yang cintakan keamanan serta ketenteraman terjamin.

Usul tergempar yang dibacakan Muhyiddin yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan ketika sesi penggulungan konvensyen tersebut ialah:

  • Menyedari bahawa perhimpunan haram atas nama Bersih yang dijangka diadakan pada 9 Julai nanti boleh mendatangkan ancaman kepada negara, kemusnahan harta benda, keretakan perpaduan kaum, menjejaskan ketenteraman awam dan boleh memberikan imej yang tidak baik terhadap negara kita.
  • Menyesali perhimpunan haram Bersih yang dirancang ini boleh menimbulkan implikasi buruk kepada keseluruhan struktur negara. Lalu konvensyen percaya Bersih mempunyai niat kotor untuk mengheret rakyat terjebak dengan agenda jahat mereka, menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi demokrasi pilihan raya.
  • Menginsafi bahawa majoriti rakyat negara ini lebih mencintai keamanan dan kemakmuran dan menolak tindakan mereka menerusi demokrasi jalanan yang berbaur provokasi. Malah kita melihat tindakan jahat mereka penuh dengan agenda tersirat iaitu hendak mengalihkan isu yang sedang menghimpit salah seorang pemimpin pembangkang.

“Maka Konvensyen BN Wilayah Persekutuan yang diadakan pada hari ini, 3 Julai 2011 menolak sekeras-kerasnya pertubuhan haram Bersih untuk jalankan perhimpunan haram dan meminta pihak polis menjalankan langkah-langkah pencegahan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbabit untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara kita,’’ kata Muhyiddin ketika membacakan usul tersebut.

Terdahulu, dalam ucapan penggulungannya, Muhyiddin mencadangkan agar BN Wilayah Persekutuan menubuhkan pasukan khas yang bertindak dalam membincangkan isu-isu berkaitan warga wilayah berkenaan.

Katanya, ia perlu ditubuhkan segera terutama dalam menyelesaikan masalah seperti isu berkaitan perumahan dan lesen penjaja.

“Berkaitan isu lesen (penjaja), mengapa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susah sangat nak keluarkan lesen? Kalau ada kawasan yang sesuai, berilah lesen.

“Ada banyak kawasan lapang. Kalau Bandaraya (DBKL) tiada kawasan, biar mana-mana syarikat boleh pinjam tanah untuk buka pasar sementara dan tempatkan orang nak meniaga. Justeru, kita akan kenal pasti siapa yang bakal mengetuai pasukan itu tidak lama lagi,’’ jelasnya.


Sumber Berita Oleh: METRA SYAHRIL MOHAMED dan MOHAMMED SOFIAN BAHAROM
pengarang@utusan.com.my

No comments: