Thursday, December 4, 2008

SEKAPUR SIRIH , SEULAS PINANG.

SARINA SHARIF
Ketua Puteri UMNO Bahagian Cheras

Alhamdulillah dan bersyukur saya ke hadrat Allah swt, kerana dengan izin - NYA , maka saya telah di berikan kesejahteraan dan kelapangan menyusun kata di ruangan ini.

Sebenarnya perjuangan kita masih belum selesai. Sungguhpun hari ini kita hidup dalam kesenangan, kita harus sentiasa ingat bahawa kenikmatan yang kita rasai ini tidak datang percuma dan ia tidak akan kekal jika kita tidak berusaha untuk mengekalkannya. Demi masa depan kita dan anak-anak serta cucu cicit kita, kita sebagai generasi wanita Melayu muda wajib memikul perjuangan yang dipelopori golongan veteran.

Puteri UMNO sebagai generasi yang bernafas dengan segala kemudahan dan keistimewaan Dasar Ekonomi Baru, tanggungjawab seterusnya ialah untuk menentukan masa depan generasi yang akan datang. Tugas kita bukan hanya mempertahankan apa yang ada tapi untuk mengasuh serta menyediakan generasi masa hadapan yang mempunyai jati diri, berjaya tanpa bantuan orang lain, mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dunia dan seterusnya berdiri lebih tinggi dari kalangan bangsa lain yang ada. Tugas itu sebenarnya tidaklah begitu sukar sekiranya kita semua bersatu hati dan bermuhasabah diri.

Harapan saya sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Cheras ,perpaduan dan kerjasama di dalam Pergerakan Puteri UMNO akan menjadi asas perjuangan kita. Sebagai ahli UMNO, sifat hasad dengki dan benci-membenci wajar dikikis. Bersatu - padulah dalam menghadapi musuh UMNO! Janganlah kita menjatuhkan sesama kita hanya kerana jawatan dan kuasa. Tunjukkanlah kepada masyarakat bahawa UMNO masih relevan dalam memperjuangkan agenda orang Melayu.

"Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar."

Terima kasih kerana mengunjungi Laman Blog Puteri UMNO Cheras.