Saturday, December 17, 2011

PERASMIAN MINI KARNIVAL SRI SELANGOR 2011

Ketua Puteri UMNO Bahagian Cheras , Saudari Sarina Sharif, mewakili bagi pihak Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, telah hadir merasmikan Mini Karnival Sri Selangor 2011 yang di adakan di Dataran Futsal Sri Selangor, Cheras pada 17 Disember 2011.

Pelbagai acara sukan telah di adakan anjuran UMNO Cawangan Sri Selangor dengan kerjasama Pemuda dan Puteri UMNO Cawangan. Pelbagai acara sukan rakyat dan pertandingan Futsal telah di adakan di Dataran Futsal Sri Selangor.



Dalam ucapan mewakili Ketua Bahagian UMNO Cheras, Saudari Sarina Sharif menyampaikan salam tahniah kepada ahli-ahli UMNO Cawangan Sri Selangor yang telah berjaya menganjurkan satu program riadah yang dapat menghimpunkan penduduk setempat terutama dari golongan muda dalam menyertai acara Mini Karnival Sri Selangor. Datuk Wira Syed Ali Al Habshee juga memohon maaf tidak berkesempatan bersama -sama kerana terdapat program di UMNO Bahagian yang berlangsung pada waktu dan hari yang sama.

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras sentiasa mendoakan program mendekati rakyat akan terus di laksanakan dalam persedian menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13.

Thursday, December 1, 2011

UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2011

Alhamdulillah, dizahirkan sejuta kalimah syukur ke hadrat Allah SWT, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita dapat sekali lagi berkumpul dalam dewan penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang senantiasa dipersadakan kepimpinannya.

Berbekal rasa tawadhu’ dan kerendahan hati, Perhimpunan Agung UMNO kali ini ditandai masuknya Tahun Baru Hijrah 1433. Ini bererti, hampir 1380 tahun wafatnya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada 11 Hijrah bersamaan tahun 632 Masihi. Baginda telah kembali ke pangkuan Ilahi. Pergi selamanya meninggalkan kita dengan dua pegangan utama yakni Al-Quran dan Sunnah sebagai suluh sepanjang zaman agar tidak tersasar dalam perjalanan hidup di dunia ini.

Menyisir sirah Nabawi, dengan beriktibar daripada rentetannya, Rasul yang agung itu, telah mewariskan kepada tamadun kemanusiaan suatu riwayat kepimpinan penuh berteladan. Baginda telah didokong dan didamping, penuh kemuliaan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Pertama selaku teman setia yang arif berpengalaman, Saidina Umar Al-Khattab, Khalifah Kedua, Al-Faruq yang menjadi perlambangan ketegasan prinsip beragama.

Seterusnya, Saidina Uthman Al-Affan, Khalifah Ketiga, hartawan amanah dengan kewarakan dan keperibadian tiada tolok bandingnya, manakala Saidina Ali, Khalifah Keempat, simbol ketokohan golongan muda yang sanggup berkorban apa saja. Dimuliakan wajahnya serta turut digelar sebagai Singa Allah sepertimana Saidina Hamzah.

Sayugialah, para cendekiawan dan para pengkaji menyifatkan tali temali perjuangan suci Baginda dalam menegakkan syiar Islam, sebagai penuh berstrategi. Semuanya dipintal dan diikat oleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seperti cinta dan kasih kepada perjuangan, ketaatan, kesetiaan, pengorbanan, keikhlasan, kejujuran, amanah, kuat kerja, tidak putus asa, tabah dan pastinya bertawakal kepada Allah.

Saudara dan Saudari,

Menjejaki laluan tersebut, kita mahu terus mencontohi dan mengambil pengajarannya, bagi memperelok dan memperbaiki perjuangan UMNO, yang selama ini turut dipersaksikan oleh perjalanan suka duka, pahit dan manis, selaku sebuah parti penuh berjasa. Tahun ini, UMNO menyambut kelahirannya yang ke-65. Hampir tujuh dekad berjuang sebagai organisasi politik yang menyejarah, mendaging dan mendarah dalam ikhtiar memartabatkan maruah serta mengangkat tinggi kedudukan orang-orang Melayu.

Sungguh jauh kita berjalan. Sungguh banyak hitungan masa. Walau dihadap segenap cabaran, walau dilempar segala fitnah, walau diterjah sedemikian banyak taktik jahat lagi kotor, digodam dan dihentam oleh pihak lawan, terbukti kita tidak pernah pudar semangat, tidak akan mengalah, dan, tidak akan mungkin padam cita-cita. Bahkan, derap demi derap, terus menyusun strategi, mengatur langkah demi langkah, mara ke hadapan, menjulang panji-panji bangsa, agama dan Negara.

Saudara dan Saudari,

Bersesekali dengan itu jua, saya pohon, marilah kita sama-sama bangun dan berdiri……, bangkit, untuk beri satu penghormatan kepada para pendahulu, kesatria-kesatria UMNO, warga parti yang tidak didendang serta barisan negarawan unggul lagi terbilang yang dilahirkan oleh perjuangan mulia ini. Marilah….., marilah, kita angkat tinggi penghargaan kepada semuanya.

Bermula dengan gemulah tokoh-tokoh tersanjung yang telah pulang menyahut panggilan Ilahi seperti Allahyarham Dato’ Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba. Begitulah juga tokoh-tokoh yang masih teguh berbakti hingga ke detik ini, seperti Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Badawi dan Tun Musa Hitam.

Saudara dan Saudari,

Khususnya, kalungkanlah penghormatan kita kepada parti bertuah ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO yang telah memungkinkan sebuah negara merdeka terbina gagah, ilmu pengetahuan digembur dan disebar luas pada anak-anak, belantara dipugar, sawah ladang diusahakan, hingga laba yang lumayan melimpah-limpah ke kaki halaman.

Saudara dan Saudari,

Sememangnya termaktub, ceritera kejayaan Malaysia adalah cerita kejayaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, yakni UMNO, bersama dengan rakan-rakannya. Parti Perikatan, yang kemudiannya bergelar Barisan Nasional, adalah satu jelmaan dan terjemahan hasil pakatan ikhlas kaum Melayu/Bumiputera beserta kaum-kaum lain di Malaysia. Berkat pengurusan negara yang begitu cekap, terutamanya di lapangan ekonomi, wajah Malaysia telah berubah daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, diawali dengan lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, di mana, kurang daripada empat peratus penduduknya berada bawah paras kemiskinan relatif manakala kemiskinan tegar pula hampir berjaya dibasmi.

Jika dihalusi, susur galur kejayaan ini, mempunyai bibit-bibitnya dalam prakarsa, perancangan rapi, penggubalan dasar dan pelaksanaan oleh kerajaan yang diterajui UMNO. Dalam kata lain, ia tidak terjadi secara sendiri mahupun dalam vakum atau kelompongan. Lantas, usahlah kita berasa bimbang dan ragu. Malaysia, nyatanya, bukanlah sebuah kisah ditulis parti pemerintah yang gagal. Ia dinukil oleh sebuah parti yang berhak untuk berbesar hati, bahawa, mandat dan kepercayaan diberikan oleh rakyat Malaysia, telah digunakan sebaik-baiknya, demi kebajikan dan kegemilangan pertiwi.

Saudara dan Saudari sekalian,

Menghayati ehwal demikian, secara sedar atau tidak, bukan semua parti politik jika membentuk kerajaan akan menghasilkan kejayaan yang sama seperti kita. Lihat saja kepada sejumlah besar negara di dunia, waima, mempunyai pelbagai potensi termasuk sumber asli yang kaya, namun dek sebab kerajaan tidak berkebolehan, sia-sialah segala faktor dimiliki, malah akhirnya mereka menjadi negara yang gagal.

Saudara dan Saudari,

Pada perhimpunan tahun lepas, saya telah bercakap dan membicarakan dari sudut falsafah dan asal usulnya, siapakah itu Melayu. Kita dah dengar bahawa antara terhitung dalam kelompok Melayu adalah Bugis, Minang, Arab, Muallaf, serta berpuluh suku kaum di Sabah dan Sarawak. Hatta Mamak dan Malbari pun dah serap jadi Melayu. Celah-celah itu, ketiga-tiga Naib Presiden kita tampaknya terdiri daripada Jawa, Turki dan Bajau Laut atau lanun. Saya kata takpalah, yang penting semua kira Melayu… Jadinya, pada perhimpunan kali ini, setelah saya belek-belek dan saya kaji-kaji pengalaman secara aktif selama 35 tahun dalam parti, bersempena pula UMNO sudah menjangkau satu umur yang sangat dewasa, berpengalaman dan matang yakni 65 tahun, elok rasanya kalau dikupas pula siapakah dan apakah ertinya menjadi orang UMNO.

Maksud saya, bilamana memperkatakan tentang parti, kita semua, sebenarnya, tidak cukup sekadar didefinisikan sebagai ahli UMNO. Sebaliknya, kita perlu menjadi orang UMNO. Makna kata, orang UMNO yang tergambar dan terpamer perwatakannya melalui tindak tanduk serta sistem nilai yang dipegang.

Saudara dan Saudari,

TAAT DAN SETIA

Pertama sekali, orang UMNO itu adalah, orang yang taat dan setia kepada parti. Orang UMNO tidak akan sekali-sekali mengkhianati parti. Kita faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti, mesti timbul perbezaan pendapat. Apa yang penting, kelainan pandangan itu, seharusnya membawa rahmat dan bukannya mengundang mudarat. Dalam berijtihad pula, orang UMNO harus mencipta kebaikan untuk parti. Mengambil mufaham pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti difirmankan dengan indahnya pada helaian Surah An-Nisa’, apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah ditaati. Contohnya, kita mahu pengikut seperti Khalid al-Walid yang taat mengundur diri sebagai Panglima perang apabila diarahkan oleh Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa. Sekalipun sedang berada dikemuncak karier, menurut sejarahnya tidak pernah kalah perang.

Seterusnya, Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun bukanlah seorang panglima yang berpengalaman di medan perang. Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang-orang UMNO. Bercakap tentang taat setia juga, kita tak mau, bila depan kita disuruh angguk, dia angguk, disuruh geleng, dia geleng. Tapi di belakang lain pulak halnya.

Jangan tikam dari belakang dan jangan pulak main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk saja lurus tetapi kelingking berkait.

Saudara dan Saudari,
CINTA DAN KASIH

Adapun nilai kedua orang UMNO itu adalah, orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti. Seperti dimadah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dalam lagunya… itulah kasih mesra, sejati dan mulia. Dalam hal ini, apabila ada rasa cinta dan kasih kepada parti, orang UMNO itu juga adalah, orang yang tidak takut dan tidak gentar menyuarakan pendapat serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti. Ajaran agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul zaman.

Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa kasihnya kepada parti, orang UMNO wajib membela dan mempertahankan parti, selagi hayat dikandung badan. Seperkara utama lagi adalah, cerdik pandai berfatwa, tak kenal maka tak cinta. Lantaran, untuk mencintai parti, orang UMNO wajar kenal sejarah parti, samada yang tersurat, mahupun yang tersirat. Begitulah, seharusnya menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya. Pendek kata, orang UMNO harus melihat parti sebagai satu-satunya wadah yang mampu membela untung nasib orang Melayu. Dalam berusaha pula, sebagai tanda kasih, orang UMNO sewajibnya bersemangat dan tidak sesekali mengecewakan parti yang dicintai. Meluncur topik cinta dalam berorganisasi, orang UMNO wajib ada cinta yang satu sahaja kepada parti, tidak boleh cinta poligami, tidak boleh cinta berbelah bagi atau kata orang Indonesia berbagi cinta…tak mungkin Pak…engga’ bisa Pak…

Saudara dan Saudari,

BERKHIDMAT TANPA JEMU DAN BERKORBAN

Orang UMNO itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri orang UMNO. Bersandarkan prinsip persalingan, orang UMNO harus menunjukkan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat. Beringatlah bahawa, rakyat sedang memerhati kita. Kata orang, rakyat itu sentiasa merasa, mendengar dan mengadili, biar betapapun senyap suara mereka, biar betapapun jua diam gerak geri mereka. Di sudut lain, sambil menghadam peradaban Melayu, orang UMNO perlu bermuhasabah ke dalam diri masing-masing. Masih wujudkah semangat Tun Tuah di sanubari? Masih bergemakah kekentalan jiwa Tun Fatimah?

Mahu tidak mahu, orang UMNO harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan UMNO menang, biar dilintang apapun dugaan, orang UMNO mesti terus berdamping dengan rakyat. Sedarlah kita bahawa, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua. Kita wajib jadi juara. Kesimpulannya, kemuncak pengorbanan adalah menjunjung kepentingan dan maruah parti, bukannya kepentingan dan maruah peribadi.

Saudara dan Saudari,

i) 1946
Terpanggu atas segalanya, kejayaan terbesar UMNO adalah menyatupadukan orang-orang Melayu melalui penubuhannya pada 11 Mei 1946. Lantaran itu, perlu ditegaskan bahawa, kejayaan ini bukannya kecil, jauh sekali daripada bersifat enteng kerana bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, masih belum endah politik, disamping terbelenggu semangat kenegerian.
Jangan dilupa juga, termusta’id dalam lembaran sejarah bahawa, UMNOlah yang telah berjaya menguburkan penubuhan Malayan Union dan menggantikannya dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu. Sekaligus, ditanda dengan episod itu, UMNO telah berbakti menyelamatkan kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan kesucian agama Islam.

Saudara dan Saudari
ii) 1951
Kemudiannya, satu episod getir telah dilalui oleh UMNO apabila Dato’ Onn Jaafar seorang tokoh bangsa, selaku Presiden Pengasas, meletakkan jawatan, sebagai Yang DiPertu,a dan keluar dari parti. Pada masa tersebut, banyak pihak telah menitipkan belasungkawa dan membacakan talqin terhadap UMNO kerana hilangnya kepimpinan. Sekalipun begitu, pemilihan parti telah menyaksikan Tunku Abdul Rahman mengambil tempat sebagai Yang DiPertua dengan Tun Razak sebagai Timbalannya yang setia. Ternyata, telahan kelam oleh pelbagai pihak bahawa, UMNO akan karam, amat meleset, malah, penggantian kepimpinan ini telah merancakkan lagi usaha bagi mendapat kemerdekaan negara. Serentak dengan itu, slogan “Hidup Melayu” telah diubah kepada “Merdeka”.

Kendatipun para ahli tidak menerima cadangan Dato’ Onn untuk membuka pintu UMNO kepada orang-orang bukan Melayu, kepimpinan parti waktu itu, memahami realiti yang ada dan berfikir panjang, malah berilham jauh ke hadapan dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik, melalui Parti Perikatan dengan menggabungkan UMNO, MCA dan MIC. Yang termustahak adalah, taat setia semua kaum kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Saudara dan Saudari,
iii) 1955
Menyentuh usaha tersebut, iltizam UMNO bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam pilihanraya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan, prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan UMNO apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2. Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti Melayu, dan hanya 2, kawasan majoriti Cina. Perlu diketahui juga, pecahan pengundi semasa pilihan raya tersebut, mencatatkan majoriti kira-kira 84 peratus atau lebih 1 juta pengundi Melayu. 11 peratus atau seramai 143 ribu pula, adalah pengundi Cina, manakala 50 ribu, atau, hampir 4 peratus sahaja, di kalangan pengundi India. Hakikat tersebut nyatanya, tidak menghalang semua calon parti MCA dan parti MIC untuk menang. Bagi pemimpin dan orang-orang UMNO, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa. Keikhlasan ini dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang UMNO untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihanraya, kemudiannya, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan. Terbukti, sejak dari dulu lagi, UMNO bukanlah sebuah pertubuhan rasis. UMNO sebenar dan sebetulnya adalah pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum, yang akhirnya, telah mencipta kestabilan sosial, membawa kepada kemakmuran nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,
iv) 1957
UMNO juga melalui Parti Perikatan telah mengemudi pelayaran bahtera merdeka, tanpa pertumpahan darah, mahupun revolusi. Ia dimeterai atas meja rundingan. Syukur, tiada kemusnahan, sekalipun terhadap sumber kekayaan negara, samada dalam bentuk ladang mahupun lombong. Ini, membolehkan kerajaan yang baru merdeka, membina sebuah watan aman berjaya, di atas asas-asas pemerintahan sedia ada. Setepatnya, kisah kejayaan kita bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan, 54 tahun yang lalu. Ia bertitik tolak apabila Kerajaan Perikatan dengan kuasa terhad, di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dibentuk pada tahun 1955. Sebaik sahaja mencapai taraf berkerajaan sendiri, Perikatan mula mengorak langkah, bagi membaiki nasib rakyat, dengan penggubalan Rancangan Malaya Pertama, antara tahun 1956 hingga 1960. Dalam ketika itu, pada 1956, FELDA ditubuhkan, disusuli pula langkah-langkah lebih konkrit pasca merdeka.

Penubuhan FELDA menjadi satu langkah yang amat mendahului waktunya. Ia telah memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanah, ia telah membawa sinar kepada mereka yang tidak mempunyai harapan, dan ia telah menawarkan permulaan baru untuk warga Malaysia keluar daripada kemelut kemiskinan. Segala tahmid ke hadrat Yang Esa, hari ini terdapat lebih 100 ribu peneroka di seluruh negara yang telah menikmati hasil rancangan penuh berwawasan ini, bersama-sama ratusan ribu generasi kedua.

Saudara dan Saudari,
Berbalik kepada salasilah, apabila negara memperoleh kemerdekaan, maka cabaran pertama dihadapi UMNO dan Parti Perikatan ialah, bagaimana hendak menangani pengaruh dan ancaman Parti Komunis Malaya serta menamatkan darurat yang telah diisytiharkan pada tahun 1948. Alhamdulillah, matlamat ini telah berjaya dicapai, kurang daripada tempoh tiga tahun selepas 1957. Kejayaan yang dicapai bukanlah sedikit, sebaliknya ia begitu signifikan dan tersergam kepada negara. Kita harus melihat kejayaan ini dari perspektif apa yang berlaku dirantau ini. Kalau diamati, walau ada penglibatan kuasa besar dunia dengan kekuatan militer tanpa tolok banding, masih tidak mampu menghalang pengaruh komunisme. Sebaliknya, sebuah kerajaan baru merdeka, dengan sokongan padu rakyat, berjaya menyanggah teori domino. Oleh yang demikian, UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang cuba menulis dan meriwayat semula sejarah, dengan memperlekehkan sumbangan para pahlawan negara. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengenang budi, kerajaan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali membiarkan wirawan serta wirawati kita, tanpa pembelaan sewajarnya. Sesungguhnya, jasa dan bakti mereka akan terus malar serta segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia.

Selepas memenangi keamanan, telah diisytiharkan pula perang terhadap kemiskinan dan kemunduran. Seperti disebut tadi, ini wajar dilakukan kerana, seawal merdeka, lebih 89 peratus rakyat Malaya hidup di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan kadar buta huruf yang tinggi, akses kepada pendidikan yang rendah, ditambah pula kemudahan asas yang terkebelakang. Lucunya, kita kini mendengar pihak-pihak tertentu tanpa segan silu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, kerana, baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Sesungguhnya, mereka sudah 60 tahun terlewat. Soalnya, kenapakah kini, baru prihatin terhadap kebajikan rakyat? Kita ingin bertanya, sebelum ini apa matlamat perjuangan mereka? Adakah matlamatnya semata-mata untuk memecahbelahkan ukhuwah umat? Hakikatnya, dengan segala inisiatif dan perlaksanaan demi rakyat, kerajaan Barisan Nasional sudah sejak melebihi enam dekad, mengamalkan konsep negara berkebajikan.

Saudara dan Saudari,
v) 1969
Apabila tragedi hitam rusuhan kaum 1969 terjadi, prognosis pemerhati antarabangsa terhadap Malaysia amat buruk. Mereka meramalkan kita akan gagal manakala rakyat seolah-olah telah hilang harapan. Sementelahan pun begitu, UMNO dan rakan-rakannya jauh dari menyerah kalah atau hilang pedoman. Sehubungan peristiwa ini juga, jangan sekali-kali kita alpa bahawa, terdapat di kalangan pemimpin pembangkang, turut terlibat mengapi-apikan slogan untuk menghina orang Melayu sehingga berlakunya tragedi 13 Mei.

Saudara dan Saudari sekalian,

vi) 1970
Tarikh 22 September 1970 menyaksikan Tunku Abdul Rahman melepaskan kepimpinan negara diikuti kepimpinan parti. Tun Razak telah mengambil alih kedua-dua jawatan tersebut, maka bermulalah era pelaksanaan DEB. Fokus masih lagi kepada kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini dicerminkan menerusi penubuhan agensi, antara lainnya, RISDA, untuk pekebun kecil getah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ternakan Negara, masing-masing untuk petani, peladang dan penternak. Bagi merancakkan pembangunan wilayah pula, kerajaan telah menubuhkan KEJORA, KETENGAH, PERDA, KEDA, KESEDAR, DARA dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka.

Bagi mencipta masyarakat perdagangan dan perindustrian serta kemasukan kaum Melayu/Bumiputera ke dalam sektor moden pula, kerajaan telah menubuhkan agensi seperti Bank Bumiputra, UDA, Pernas dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau PABK. Kesan utama pelaksanaan dasar ini, dan pewujudan Barisan Nasional adalah terciptanya kestabilan sosial yang membolehkan pertumbuhan ekonomi mapan dengan kadar pukul rata hampir 7 peratus untuk dua dekad berturut-turut. Ini secara langsung telah meningkatkan kemakmuran serta taraf hidup semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

Saudara dan Saudari,

vii) 1988
UMNO menghadapi saat paling dahsyat apabila parti keramat ini diharamkan pada tahun 1988. Ini kerana keputusan pemilihan parti 1987 tidak dapat diterima dan kes telah dibawa ke mahkamah. Walaupun UMNO berpecah dua, seraya menyaksikan satu percubaan untuk meniru konsep Barisan Nasional melalui Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah, hal ini tidak berjaya, kerana tidak ada keikhlasan. Sungguh apapun, segala cabaran telah berjaya diharungi. Bangkit dari runtuhan UMNO lama, UMNO baru telah wujud bagi terus membela umat Melayu dalam satu proses pemulihan parti dengan tidak mengambil masa yang lama.

Saudara dan Saudari,
viii) 1990
Berlawanan dengan tafsiran cetek oleh sesetengah pihak, DEB sejelasnya tidak pernah merugikan orang-orang bukan Melayu. Buktinya, setelah dua dekad pelaksanaan, pada tahun 1990, orang bukan Melayu masih lagi memiliki ekuiti terbesar dalam kekayaan negara manakala pendapatan pukul rata isi rumah mereka, masih yang tertinggi antara kaum di Malaysia. Diperakui, walaupun matlamat pemilikan ekuiti tidak tercapai sepenuhnya, paling terkesan ialah penciptaan kelas menengah Melayu yang besar, menjelang berakhirnya dasar ini. Saiz kelas menengah ini meningkat tinggi dengan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional antara 1991 hingga 2000. DEB, sebenarnya telah mengasaskan kestabilan sosial kebangsaan yang membolehkan penciptaan kekayaan dan kemakmuran dinikmati oleh semua pihak.

Salah satu kisah kejayaan lagi, ialah bertambahnya jumlah profesional Melayu/Bumiputera. Jika dikaji, ketika bermula pelaksanaannya pada awal 70an, hanya terdapat kurang 5 peratus profesional daripada kaum Melayu dan Bumiputera. Jumlah ini telah bertambah kepada 45 peratus dari keseluruhan profesional hasil DEB dan dasar-dasar seangkatan dengannya. Prakarsa kerajaan melalui penubuhan sekolah berasarama penuh atau SBP dalam bentuk Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains MARA, pusat asasi sains, matrikulasi untuk IPTA tempatan dan penghantaran pelajar ijazah pertama ke luar negara menjadi pemangkin yang telah membawa kepada kemunculan kelas pertengahan Melayu. Dasar ini juga telah menunjang pergerakan menegak mobiliti sosial, maka tidak pelik melihat anak seorang buruh kasar hari ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan. Anak pesawah, penoreh getah, nelayan dan peladang pula menjadi anggota pentadbiran tertinggi, penjawat awam dan korporat, usahawan, hartawan dan cendekiawan.

Saudara dan Saudari,
Sebagai dimaklumi, asalnya kita adalah sebuah negara pertanian yang eksport utamanya adalah komoditi seperti getah, kelapa sawit dan bijih timah. Pada pertengahan tahun 80an, apabila pulih daripada menghadapi kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi utama negara, kerajaan telah memulakan proses industrialisasi. Tumpuan juga mula diberikan bagi menjadikan Malaysia pusat tarikan pelancongan global disamping pembinaan projek infrastruktur yang besar. Misalnya, Lebuhraya Utara-Selatan yang telah berjaya merangsang pertumbuhan dan proses urbanisasi. Pucuk pangkalnya, semua inisiatif, dasar dan program ini telah membawa kepada perubahan struktural bukan sahaja kepada lanskap sosioekonomi rakyat Malaysia tetapi juga kepada sistem nilai, taraf hidup dan pendidikan lebih tinggi serta akses kepada maklumat yang lebih luas.

Saudara dan Saudari,

ix) 1999
Direnung-renung dan ditinjau-tinjau semula, dalam Pilihanraya 1999, sungguhpun penggunaan telefon bimbit makin meningkat, disebabkan keupayaan teknologi masih terbatas ketika itu, ia belum mampu menyalurkan data. Maka, e-mel, faks dan laman sesawang yang tidak interaktif, menjadi medium popular sebagai penyampai berita alternatif. Meneropong kembali, waktu itu, belum ada Google, belum ada Facebook, belum ada Twitter hatta telefon pintar. Berbanding sekarang ini, menurut data dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kita mencatat 36 juta pelanggan telefon selular, iaitu kadar penembusan 124%, atau, 124 set bagi 100 penduduk. Penembusan jalurlebar sekarang pula telah meningkat kepada 62% langganan isi rumah. Dengan kata lain, 4 juta isi rumah dari sejumlah 6.5 juta isi rumah, atau, lebih 16 juta penduduk Malaysia mempunyai kemudahan jalurlebar. Selain itu, lebih 40 peratus yang melanggani TV satelit berbayar, mendedahkan mereka kepada saluran berita seperti CNN, BBC dan Al-Jazeera, bagi mengikuti perkembangan dunia secara langsung.

Saudara dan Saudari,
x) 2011
Bertapak jauh selepas satu dekad, pengenalan SMS, MMS, BlackBerry Messenger, telefon pintar, media sosial, tablet eletronik pintar dan Wi-Fi percuma telah mejadikan akses kepada idea, pendapat dan berita melaluinya menjadi lebih mudah. Umpamanya, ucapan perayaan Aidil Adha, yang disiarkan semasa saya dan rombongan mengerjakan Haji baru-baru ini, telah dirakam semasa di Padang Arafah, dengan menggunakan iPhone, sebelum diedarkan kepada media tempatan.

1. Saudara dan Saudari,
Berkalam tentang kecanggihan sebegini, demikian kita menyaksikan saat-saat akhir Saddam Hussein di tali gantung, serta juga nasib yang menimpa Muammar Gaddafi. Perubahan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen serta protes di Syria seperti kita lihat, adalah juga, genesis kepada medium media sosial. Kita dapati, walaupun pemerintah negara-negara berkenaan cuba untuk membuat putaran cerita, namun dengan hanya telefon pintar, jalurlebar dan YouTube, mampu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, di negara-negara tersebut.

Berpacu dari sini, kerajaan, melalui SKMM telah mewujudkan lebih kurang 560 pusat jalurlebar masyarakat, iaitu hampir satu di setiap mukim di negara ini. Kita mantapkan lagi usaha penubuhan lebih 1300 kampung tanpa wayar di merata negara, agar, rakyat keseluruhan, berkemampuan melayari internet manakala 1700 lagi masih dalam proses. Malaysia sekarang sudah terletak antara tangga teratas di kalangan negara Asean dari segi kemampuan ICTnya. Kita juga mempunyai 17.5 juta pengguna Internet, dan menurut kajian, orang Malaysialah, yang paling ramai mempunyai rakan Facebook, yakni, secara puratanya, 234 bagi setiap seorang.

Saudara dan Saudari,
Begitu juga bermula tahun 90an, bagi menangani perasaan tidak puas hati terhadap akses pendidikan tinggi, maka, bermula tahun 1995, kerajaan telah mengorak langkah untuk meliberalkan sektor pengajian tinggi tempatan. Kesannya, dari hanya 9 buah universiti awam, hari ini telah bertambah menjadi 20. Disamping itu, 25 universiti, 22 kolej universiti dan lebih 400 kolej swasta serta 5 kampus tempatan universiti asing kini telah wujud.

Saudara dan Saudari sekalian,
Hasil peningkatan taraf sosioekonomi dan akses lebih meluas kepada pendidikan pasca menengah, telah mewujudkan generasi rakyat Malaysia baru lebih kritikal dan meningkat ekspektasinya terhadap kerajaan. Generasi ini adalah anak-anak kepada generasi pertama DEB. Mereka dilahirkan bermula tahun 70an. Generasi ini, tidak suka dibentak-bentak, tidak suka diarah-arah apa yang perlu dilakukan, tidak gemar diberitahu apa yang benar dan salah, serta paling tidak disenangi mereka apabila kita mengungkit-ungkit jasa-jasa kita yang lalu. Kita dapati bahawa, mereka ini mahu terus dirundingi, mahu kebebasan untuk menilai, berhujah dan membuat keputusan berdasarkan kepada pasaran maklumat dan idea yang ada. Jadinya, untuk terus kekal, UMNO perlu berkomunikasi mengikut langgam dan laras bahasa anak-anak muda, supaya parti kita difahami. Lalu, dalam persekitaran inilah kerajaan mengumumkan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU bagi membenarkan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam untuk menjadi ahli parti politik apabila mencapai umur baligh undang-undang atau 18 tahun.

Saudara dan Saudari,
UMNO sentiasa mendengar suara dan menghargai peranan serta sumbangan orang muda. Kita mengiktiraf mereka bukan sahaja apabila menghadapi pilihan raya, sebaliknya pada setiap masa dan ketika. Dalam sejarahnya, UMNO adalah parti politik pertama di negara ini, yang mempunyai sayap untuk orang muda, lelaki, wanita dan diikuti dengan sayap puteri. Bagi meningkatkan peranannya, dalam pindaan Perlembagaan UMNO yang terbaru, kita telah menambah jumlah perwakilan di peringkat Bahagian dan Perhimpunan ini. Malah, jumlah mereka juga ditokok dalam proses memilih pucuk pimpinan parti.

1. PENUTUP
Saudara dan Saudari,
Kejayaan membentuk wajah Malaysia seperti yang ada, telah menghadapkan kita dengan cabaran terbesar kepada survival parti dan Barisan Nasional itu sendiri. Sama ada kita akan kekal sebagai parti yang dipercayai rakyat dan mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan, bergantung kepada kesedaran, kefahaman dan tindakan kita selanjutnya. Sepanjang ucapan saya tadi, dirakamkan kronologi 10 detik yang telah menjadi “game changer” kepada UMNO menyusuri sejarah parti.

Sehubungan itu, suka saya simpulkan, 5 kekuatan teras, yang membolehkan kita menghadapi apa pun badai dan mehnah yang merempuh parti, samada bersifat dalaman, mahupun luaran.

Pertamanya ialah, keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru.
Kedua, pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang, samada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

Ketiganya, UMNO sentiasa mengulungi idea atau “supremacy of ideas” dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat.
Keempat, UMNO perlu terus meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya. Segala dasar yang digubal, prakarsa yang dirancang dan program yang dilaksana mengutamakan kebajikan rakyat.
Kelimanya, kebolehan UMNO untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji. Pucuk pangkalnya, kita bukan seperti sesetengah pihak yang hanya menjadi tukang karut.

Saudara dan Saudari,
Oleh sebab itulah, apabila saya mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan tiga puluh bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan sama ada dalam Majlis Tertinggi UMNO, Dewan Tertinggi Barisan Nasional mahupun Kabinet, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan proses islah dan pembaharuan. Dalam parti, mula-mula sekali kita telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi. Kita mahu lebih ramai orang UMNO diberi hak untuk memilih pemimpin mereka. UMNO bukan parti yang gentar terhadap demokrasi seperti tuduhan seteru politik kita, malah UMNO adalah parti yang mendakap demokrasi. Kata pepatah Inggeris “the proof of the pudding is in the eating”.

Kita bukan seperti pihak lawan. Contoh pertama, Parti A, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasa pulak dari Presiden parti. Contoh kedua, Parti B sebuah parti yang memakai gelar demokrasi, namun, langsung tidak demokratik. Apakah demokratik namanya kalau perwakilan cawangan memilih 20 orang ahli jawatankuasa pusat dan kemudian ahli jawatankuasa pusat tersebut pula, memilih kepimpinan tertinggi parti? Ini jelasnya, tidak sama sekali mencerminkan kehendak ahli terbanyak.

Manakala contoh ketiga, adalah Parti C, yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan. Lahawlawala…., jawatan Mursyidul Am pun, tampaknya tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa dari Presiden. Sama jugak dengan Parti A. Tambahan lagi Parti A itu, suami, Ketua Umum, isteri, Presiden, anak perempuan sulung, Naib Presiden, Timbalan Presiden pulak…..hrmm…tak payah lah kita cerita.

Saudara dan Saudari,
Menelaah perkara-perkara itu, kita mesti insaf, jika UMNO masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi “game changer” atau peneraju cara gaya baru kepada lanskap politik nasional, serta tidak pula mengambil langkah merangka semula “game plan” yakni gerakan terancang, maka kita namanya menempah tragedi untuk parti. Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini?

Pertamanya ialah realiti baru. Jika UMNO tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana UMNO dan BN mahu berjaya?

Keduanya, media baru. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, UMNO harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan. Ia berupaya mendatarkan “the playing field” atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu, tidak setara. Dari yang demikian, orang UMNO wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti. Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, UMNO selaku sebuah parti siasah yang dinamik, tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu, kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini.

Ketiga, UMNO juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi, bagi menarik sokongan mereka. UMNO tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita.

Saudara dan Saudari,
Selama hampir enam dekad, UMNO telah menjadi parti teras yang menonggak kejayaan. Selama ini, rekod-rekod membuktikan bahawa, kita tidak pernah mendominasi atau sekalipun berniat untuk mendominasi parti-parti komponen seperti yang difitnah oleh pembangkang. Jauh sekali dari kemelut gabungan parti pembangkang yang tidak mampu berijma’ dan bersatu hati walaupun dalam soal-soal dasar. Misalnya, dalam perihal negara Islam, Parti A kata, setuju secara peribadi, Parti B kata, tidak sekali-kali, langkah mayat mereka dulu, Parti C pulak kata “kita tukar jadi negara kebajikan”. Pening dan keliru rakyat dibuatnya.

Berbeza dengan UMNO, sebagai parti teras, kita mengambil langkah berganding dan bekerjasama dengan parti-parti komponen. Kerjasama kita bersifat pragmatik, realistik dan ikhlas. Kita menerima seadanya rakan-rakan dalam Barisan Nasional. Kita saling percaya mempercayai, saling bergantungan dan saling bersefahaman sejak sebelum merdeka lagi. Inilah yang membuatkan kita berjaya sebagai teraju dalam memakmurkan negara ini.

Saudara dan Saudari,
Sebagai game changer yang kesebelas, kita mulakan dengan Program Transformasi Kerajaan bagi membaiki penyampaian sektor awam. Seterusnya, Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi sebagai peta halatuju pusingan akhir ke arah wawasan negara maju berpendapatan tinggi. Kemudiannya, Program Transformasi Politik bagi menyeimbangkan antara Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu.

Program Transformasi Luar Bandar dilancar, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman, serta, Program Transformasi Sosial yang berpandukan falsafah pemandu 1Malaysia. Kita lanjutkan pula dengan inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PRIMA.

1. Saudara dan Saudari,
Sebetulnya, apa yang ada hari ini seperti dapat disaksikan oleh semua, bukan dibina dalam masa yang singkat. Ia terbina dengan penuh tatih, pengorbanan dan jerih payah. Ia dibangunkan oleh bapa-bapa kita orang-orang Melayu, orang-orang Cina, orang-orang India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi termasuklah orang asli dan orang Siam. Cita-cita mereka, impian mereka, tidak lain tidak bukan demi kehidupan lebih baik untuk kita. Ia diteruskan lagi oleh generasi kini yang mendambakan masa depan lebih cerah untuk anak-anak cucu kita.

Ingatlah….., ingatlah bahawa, semua ini dimungkinkan oleh kita orang-orang UMNO, sebuah parti yang amat berjasa kepada kita semua, bukan sahaja anak-anak Melayu tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. Namun, alangkah pedih dan alangkah lukanya hati kita, pabila hari ini, UMNO, parti yang sarat jasa dan baktinya, sedang dimomok, dinista dan dicerca semahunya. Malah, jasa kita seolah hendak dipadam terus dari helaian sejarah. Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa, UMNO langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.

Saudara dan Saudari,
Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air dikali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran? Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200 ribu orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta. Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?

Saudara dan Saudari,
Inilah nasib yang akan melanda, jika UMNO sudah hilang kuasa. Siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan.
Saudara dan Saudari,

500 tahun yang lalu, jatuhlah empayar Melaka. Ia jatuh bukan kerana Melayu kurang hulubalang atau kependekarannya, ia rebah bukan kerana kemiskinan atau kefakiran, ia tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan Begitu juga nasib tamadun-tamadun besar di dunia yang hancur, mereput dan runtuh. China, terhina akibat siri perang candu, Empayar Rom, dirobek perpecahan dari dalam dan Khilafah Othmanniyah, punah dek kerana kehalusan strategi pecah belah dan perintah. Bertolak dari situ, marilah kita jadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan sempadan. Jangan sekali-kali kita terperangkap olehnya.

Saudara dan Saudari,
Akhir kalam, selaku Presiden UMNO, saya bersyukur kerana mempunyai Timbalan Presiden yang setia, barisan Naib Presiden yang taat, Pergerakan Wanita yang tidak jemu-jemu mendokong perjuangan parti, ketumbukan Pemuda yang lantang dan berani, para Puteri yang cekal dan bersemangat, Majlis Tertinggi yang sentiasa bersiaga, khususnya, orang-orang UMNO sekalian, yang menunggu-nunggu panggilan bertempur.

Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita. Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba. Bingkaslah orang-orang UMNO, kita turun ke medan bakti.

Mudah-mudahan Allah memberkati. Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KE 62

Hari ini , 1 Disember bersamaan 6 Muharam 1433 hijrah, bermulanya Perhimpunan Agung UMNO kali ke 62 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Hari ini juga, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Al Habshee yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan akan
membahaskan ucapan Dasar Presiden UMNO.

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras sentiasa akan menyokong dan mendokong perjuangan membela Agama, Bangsa dan Tanahair bersama - sama Datuk Wira Syed Ali AlHabshee.

Serangkap pantun untuk Datuk Wira Syed Ali :

Suara Ibarat Petir Membelah Bumi,

Wakil dari Badan Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan,

Setiap kata penuh makna dan berisi,

Siapa yang mendengar pasti tertawan.

Ucapan dari Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras, "Selamat Bersidang" kepada Para Perwakilan UMNO Bahagian
Cheras.

Datuk Wira Syed Ali Al Habshee , Ketua UMNO Bahagian Cheras dan Datuk Syed Mehdhar, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras bersama perwakilan UMNO Bahagian Cheras.


Ketua Puteri UMNO Bahagian Cheras, Saudari Sarina Sharif dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Cheras, Saudari Norhana Abas di Dewan Merdeka, PWTC, menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2011


Wednesday, November 30, 2011

UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA


Pergerakan Puteri UMNO bertekad untuk menunjangi gerakan perubahan pemikiran dan cara bertindak generasi muda, kata Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.


Saya suka memulakan ucapan ini untuk kita bersama-sama menyelak keagungan beberapa kisah dalam sejarah. Mungkin ramai yang tidak menyedari, sudah banyak hikayat dan riwayat yang dikisahkan kepada kita tentang kehebatan insan bernama Puteri dan kelembutan mereka dalam mengubah dunia.

Kisah pertama. Atas wadah perjuangan, Puteri Hang Li Po adalah puteri yang menyatukan kesantunan budaya Melayu dan keunikan tradisi Cina. Kehebatan wadah perjuangan Puteri Hang Li Po menukilkan sejarah kejayaan, menyatukan 2 bangsa, mengeratkan dua bahasa.

Kisah kedua. Atas wasilah keikhlasan, Puteri Balqis, adalah satu-satunya Sang Puteri yang diundang menjadi saksi kemahsyuran istana kaca Nabi Sulaiman. Kerendahan hati dan pekerti Puteri Balqis menjadi asbab seluruh rakyat tunduk dan tawadhuk kepada Pencipta, dan Pemilik seluruh semesta.

Kisah ketiga, atas hikmah kebijaksanaan, Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah adalah Puteri Gunung Ledang yang bisa menundukkan keangkuhan seorang sultan yang bersemayam di singgahsana kebatilan. Sebalik santun beradab, Puteri Gunung Ledang menggunakan hikmah kebijaksanaan untuk membuktikan kepada sebuah pemerintahan, betapakuasa wanita bukan pada rupa, sebaliknya kuasa sebenar wanita pada tajamnya akal minda, padahalusnya kuasa fikir yang sukar dibaca dan ditafsir.

Sebagai Puteri, saya percaya kesemua peristiwa ini lebih daripada sekadar satu rakaman sejarah lampau atau mitos rakyat. Ini adalah satu bingkisan peristiwa yang akan mengajar kita tentang wadah, wasilah dan hikmah perjuangan seorang wanita muda. Mereka bukan Puteri pada nama, tetapi Puteri pada jiwa. Mereka bukan Puteri pada pangkat, tetapi Puteri pada semangat. Mereka bukan Puteri untuk ditatang, mereka adalah Puteri yang bisa turun ke medan juang. Inilah roh perjuangan dan semangat sebenar seorang Puteri.

Tamsilan dari kisah ini, dan mengambil roh semangat setiap watak-wataknya, saya dengan rasa rendah diri berdiri sebagai Ketua Puteri, mengambil setiap bait-bait harapan, semangat, impian, dan daya juang yang tertanam dalam setiap roh perjuangan ahli-ahli Puteri, untuk kita bersama-sama merungkai dan menilai, makna disebalik wadah, wasilah dan hikmah sebuah perjuangan.

Kita sudah melalui sebuah perjalanan yang panjang. Justeru, ucapan saya pada hari ini, ingin mendekatkan kita untuk menyusur semula wadah perjuangan kita, merasai setiap nafas perjuangan yang menghela wasilah keikhlasan dan bertulang sendikan hikmah kebijaksanaan.

Srikandi - srikandi bangsa,

10 TAHUN PERJUANGAN PERGERAKAN PUTERI UMNO.

Tahun ini adalah ulangtahun Pergerakan Puteri yang ke 10. Apa ada pada angka sepuluh? 10 Zulhijjah, adalah saksi peristiwa Nabi Allah Ibrahim mengorbankan anaknya sebagai lambang kepatuhan kepada Yang Maha Esa. 10 Muharram, Hari Asyura yang menyaksikan Nabi Nuh dan seluruh pengikutnya menghulurkan segala yang mereka ada demi menjamin kelangsungan dan survival kehidupan. Dan surah ke 10 dalam Al Quran adalah Surah Yunus, yang menceritakan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah yang menuntut pengorbanan dan ketakwaan hamba pada Khaliknya.

Angka sepuluh ini membawa siginifikan tentang pengorbanan dan segala sifat yang terkandung di dalamnya. Angka sepuluh ini hadir sebagai petanda dan aksara keramat, betapa setiap yang dikerjakan atas roh perjuangan perlu bertunjangkan pengorbanan. Dan uniknya, tahun ini adalah tahun ke sepuluh pengorbanan Pergerakan Puteri sebagai sayap UMNO, yang berjuang meladeni ketuanan Melayu.

Syukurlah, rahmat dan redha Allah tidak pernah putus mengiringi perjuangan kita. Diturunkan kepada kita ujian untuk kita belajar dan sedar, betapa besarnya harga dan nikmat sebuah perjuangan. Sedar atau pun tidak, sepanjang 10 tahun ini juga telah lahir pejuang, wirawati, srikandi dan perevolusi dalam Pergerakan Puteri.

Malah dalam mana-mana kepimpinan pun akan lahir yang khianat, yang dengki, yang iri hati, yang tamak haloba, namun dengan matang kita bangun dan berkata, inilah resam, adat dan lumrah berjuang, kerana apabila kita mendaki puncak kejayaan, jalannya pasti berliku, ranjau pasti akan kita ketemu. Kesemuanya hanya sekadar menyediakan kita kepada satu jawapan, Kita kini dipuncak perjuangan?

Namun, apa yang kita miliki hari ini, tidak menjadikan kita buta, bisu dan pekak dari terus memperhalusi garisan panjang perjuangan bangsa. Kerana setiap dari kita harus punya semangat Melayu tulen. Semangat yang pantang menyerah sebelum kalah, semangat membujur lalu melintang patah, berpantang maut sebelum ajal. Atas semangat inilah, maka sudah sampai masanya kita memperkukuhkan wadah, wasilah dan hikmah perjuangan kita.

Saya ingin mengambil seketika masa saudari-saudari untuk kita memahami memahami terlebih dahulu, 3 perkataan keramat yakni wadah, wasilah dan hikmah, yang akan menjadi azimat perjuangan kita. Wadah, secara bahasanya membina maksud asas, tempat, platform, saluran dan medan yang paling berkesan dalam menggapai sesuatu sasaran. Justeru, kita hari ini sudah punya wadah. Malah belum ada dalam sejarah mana-mana bangsa, wadah ini bertahan merentas zaman ke zaman. UMNO dan Pergerakan Puteri adalah wadah kita, saluran kita, asas tempat kita, dan di sinilah medan kita berjuang, berperang dan menyediakan kehidupan kepada generasi masa hadapan.

Inilah satu-satunya wadah keramat orang Melayu dan wadah perjuangan ini yang akan kita pertahankan, walaupun terpaksa dipertaruhkan sehingga bercerai nyawa dari badan. Biar putih tulang jangan putih mata. Wasilah secara hurufiahnya adalah kedudukan, perantara dan sesuatu yang menyambung dan mendekatkan sesuatu dengan yang lain, atas dasar keinginan yang kuat untuk mendekati. Di dalam Al Quran sendiri, perkataan wasilah ini disebut sebanyak dua kali iaitu di dalam Surah Al Maidah ayat 35 dan Al Isra ayat 57, yang mengunjurkan pengertian tentang seruan untuk umat manusia mencari wasilah atau kedudukan dan jalan, yang mampu mendekatkan diri dengan Allah Yang Maha Esa.

Pemahaman yang lebih tajam, wasilah dalam konteks kehidupan adalah suatu kedudukan, perantara dan jalan yang seharusnya kita redahi untuk mencapai redha Ilahi, serta sebagai usaha yang istiqamah dalam meneruskan kelangsungan agama, bangsa dan negara. Wasilah dalam konteks perjuangan kita, seharusnya lebih terarah pada kedudukan dan jalan yang tepat, agar kita benar-benar berjuang dari jiwa yang waja dan hati yang tidak berbelah bagi. Kita mencari wasilah keikhlasan kerana yang menjadi perantara di antara apa yang kita juangkan dengan sesuatu yang dicari dalam perjuangan, hanya satu perkataan iaitu keikhlasan. Keikhlasan tidak penah membanding bezakan pangkat dan jawatan, juga keikhlasan tidak pernah buta dan bebal dalam mengenal emosi dan rasional.

Hikmah pula, adalah mengetahui dan mencari sesuatu yang terbaik, melaksanakan dengan cara yang terbaik untuk memperoleh hasil yang terbaik. Hikmah adalah keadilan dalam menghakimi dan ia dipasakkan atas kekuatan pengetahuan dan ilmu. Secara khulasahnya, perkataan roh hikmah ini mengajak kita untuk mendasari sesuatu kebenaran melalui ketajaman akal fikir, kekuatan rasional, keluasan sudut pandang, ketinggian ilmu serta keberanian mengambil tindakan.

Maka dalam konteks perjuangan Pergerakan Puteri, hikmah ini tersimpul mati dalam satu erti iaitu, kebijaksanaan. Inilah hikmah yang akan mendasari perjuangan kita sampai bila-bila. Bertitik tolak dari pemahaman wadah, wasilah dan hikmah inilah, maka setiap dari kita perlu untuk bermuhasabah semula, mengingati dan menginsafi setiap denai perjuangan selama 10 tahun yang telah kita lalui.Perubahan zaman, telah menjadikan Puteri semakin matang, terbuka dan optimis untuk kehadapan bersuara dan memberi pandangan.

Bangsa yang bertamadun lazimnya percaya, bahawa syarat asas membina sebuah ketamadunan ialah apabila tidak ada seorang pun dari rakyat yang dinafikan haknya untuk berjuang, dan haknya untuk bersuara. Atas kepercayaan itulah, maka usaha ke arah penubuhan Pergerakan Puteri Umno bermula, bagi menyediakan satu jawapan kepada 1001 persoalan, dimanakah wadah perjuangan wanita muda?

Syukurlah, Hari ini 10 tahun Puteri berdiri kerana pemimpin terdahulu tidak pernah berputus asa berjuang menyediakan wadah untuk kita. Pada tahun awal penubuhan Puteri, kita dikecam, kita dipandang rendah dan kita dicabar oleh banyak pihak. Tetapi semangat dan kemahuan kita untuk bangun berjuang telah membawa satu isyarat, bahawa wanita muda juga ada hak dan tidak mahu hak mereka dipinggirkan.

Tiada yang lebih berharga selain dari penghargaan terima kasih buat Datuk Azalina Othman, Ketua Pergerakan Puteri yang pertama yang lantang menentang semua suara-suara sumbang, dan tegar berdiri menyediakan kita wadah perjuangan ini.

Juga penghargaan terima kasih buat Datuk Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang kedua, dengan semangat dan kerja kuat beliau akhirnya telah merintis Pergerakan Puteri dalam memahami erti perjuangan melalui wasilah keikhlasan. Dan hari ini, tugas dan tanggungjawab ini terpikul di pundak kita. Kita punya wadah dan sudah bertemu wasilah, dan kini kita perlu belajar berjuang dengan asas hikmah kebijaksanaan.

Ibn Khaldun dalam karya agongnya Muqaddimah pernah menegaskan, ?Kebijaksanaan itu adalah asas untuk membangunkan kesejahteraan rakyat.? Justeru itu, bijaksana dalam berjuang, menuntut kita untuk mengenal siapa diri kita yang sebenar. Cara kita mendidik dan membesar juga menjadi petanda kematangan kita mendepani zaman.

Contohnya, dalam kitab Tarbiyatul Aulad karangan Abdullah Nasih Ulwan, jelas menerangkan betapa kanak-kanak berusia 7 tahun perlu diajar bersolat dan kalau enggan mereka perlu dinasihati. Dan pastinya ada sebab kenapa apabila 10 tahun baru Islam mewajibkan merotan anak yang enggan bersolat. Apakah signifikan dengan 10 tahun? Maka Tuhan mengajar kita bahawa pada usia ini kita sudah boleh menentukan halatuju hidup dan berhak menerima hukuman dan bertanggungjawab atas segala tindakan kita.

Andai kita ingin mengibaratkan perjuangan ini seperti kisah hidup seorang Muslim, maka Pergerakan Puteri UMNO sudah cukup dewasa dan benar-benar merdeka dalam memahami tanggungjawab dan halatujunya. Kita sudah mumaiyiz yang sudah bijak menentukan baik buruk dan tidak lagi mengharap sepenuhnya pada sayap-sayap yang lain dan kepimpinan tertinggi parti.

Kita sudah bijak bertindak dalam membuat keputusan demi menjaga kesarwajagatan bangsa Melayu. Kita sudah selayaknya berjuang dan bertindak untuk mengangkat martabat dan darjat bangsa kerana ia bukan hanya tanggungjawab parti tetapi ia juga tanggungjawab kita setiap ahli-ahli Puteri. Mari kita fahami semula asas perjuangan Pergerakan Puteri.

Tujuan asal penubuhan Puteri sebagai salah satu sayap utama parti ialah menjadi perintis kepada perubahan terhadap dua perkara, iaitu Teknologi Maklumat dan Generasi Muda. Kedua-dua elemen ini kita bangunkan sebaik mungkin sebagai asas dan matlamat perjuangan kita. Dan hari ini Pergerakan Puteri UMNO jelas dihadapan dalam menyediakan keperluan teknologi maklumat dalam arus media baru sehingga kita telah dikenali sebagai pemegang kunci azimat maklumat maya. Pengenalan Cyber Troopers adalah lambang betapa kita dihadapan dalam usaha merakyatkan penggunaan teknologi dan semua maklumat ini diurus tadbir dengan berhikmah. Puteri juga sentiasa terbuka dalam memahami dan mendekati secara berhikmah keperluan dan kehendak generasi muda. Khulasahnya, media baru dan generasi muda memang sudah sinonim dan Pergerakan Puteri sebagai wadah untuk kedua-dua bergerak atas wasilah dan berhikmah.

Perubahan akan lebih terkesan, andai ia bermula dari dalam dan persoalan bagaimana cara mengubah harus di fahami secara berhikmah. Kita harus berubah dan bersedia untuk diubah. Dengan ini transformasi yang lebih dinamik akan terus menggerakkan perjuangan. Dengan ini saya mencadangkan Gagasan Tranformasi Puteri ( GTP ) yang digerakkan melalui 5 asas utama.

Pertama: TRANSFORMASI AKHLAK

Puteri akan kehadapan dalam menyediakan contoh akhlak terpuji yang harus diteladani.

Kedua : PERADABAN

Semua usaha dan pendekatan kita, akan lebih terarah kepada pembinaan sebuah peradaban bangsa yang berjaya.

Ketiga : TRANSFORMASI PERENGGU MINDA ATAU “MIND SET”.

Sudah tiba masanya kita membuka kotak fikir kita, untuk melihat perjuangan dalam bermacam sudut pandang dan perspektif. Lebih terbuka dalam menerima kritikan dan lebih berani menegakkan kebenaran.

Keempat : TINDAKAN.

Tindakan kita harus lebih agresif, proaktif dan lebih mengutamakan kepentingan parti dari kepentingan indidvidu.

Kelima: PEMIKIRAN.

Inilah tranformasi paling utama dan setiap dari kita harus percaya, semuanya harus bermula dengan asas pemikiran yang sihat dan terarah. GTP inlah yang menjadikan kita lebih berhikmah dalam berdepan cabaran perjuangan.

Akhlak, peradaban, perenggu minda, tindakan dan pemikiran, inilah tranformasi asas YAB Dato Seri Presiden, dan kesemua transformasi ini harus didahulukan sebelum transformasi lain kita laksanakan. Masa kita kini adalah untuk setia bersama Dato? Seri Presiden untuk merealisasikan tranformasi beliau, dan ini jugalah masa untuk kita bersama Dato Seri Presiden agar beliau tidak bersendirian melakukan perubahan ini. Itu janji kita di Pergerakan Puteri.

Puteri-puteri pejuang bangsa,

RESMI PERJUANGAN

Masyarakat Jepun percaya, bahawa ubat paling mujarab untukseseorang pesakit adalah pesakit itu sendiri. Kerana itulah, sejak di awal usia, kanak-kanak Jepun diajar memakai kasut yang nipis, supaya mereka dapat menahan bahang dan rasa sejuk lantai tempat berpijak, sekalipun suhu badan panas mereka dihambat ke pintu sekolah kerana disitulah bermulanya sifat survival dalam jiwa kental setiap rakyatnya. Mereka percaya, ubat yang terbaik adalah kekuatan minda, jatidiri dan antibodi untuk terus berdiri secara mandiri. Malah pakar psikologi begitu percaya, separuh daripada pesakit di hospital sebenarnya tidak sakit sebaliknya tewas kepada mentaliti sendiri.

Mengambil semangat itulah, kita harus kuat untuk terus mandiri berdepan dengan kesakitan dan keperitan perjuangan. Benar resmi berjuang itu sakit, pedih, perit dan adakalanya mengecewakan, namun itu bukan alasan untuk kita bacul dan lari dari perjuangan. Puteri harus punya ketahanan untuk berdepan perit sakit perjuangan. Semua ini adalah bekal dan kekuatan kita untuk menakhodai arus perubahan selari dengan hasrat YAB Dato? Seri Presiden yang mahukan kita menakhodai zaman.

Zaman sudah berubah. Justeru pemikiran juga harus berubah. Hanya melalui tranformasi pemikiran yang sihat kita mampu mengubati penyakit yang melarat. Syukurlah hari ini, kita sudah meninggalkan budaya canggung dalam politik. Tiada lagi budaya separuh masak orang Melayu. Kalau kita ada pisau kita tak tikam belakang orang, kalau ada gunting kita tak potong rambut orang. Kita berani berkata benar demi menegakkan hak dan manfaat perjuangan. Tiada lagi adu domba. Tiada lagi pura-pura didepan bikin kerja, tapi dibelakang bikin cerita. Di depan ketua, dia serendah-rendah ahli, di depan ahli, dia setinggi-tinggi ketua. Tiada lagi budaya selak menyelak. Semua dia yang tahu, semua dia yang betul. Tiada lagi watak Bawang Merah dalam Puteri, jiwanya dengki, hatinya iri dan raganya berdendam benci. Tiada lagi watak Kassim Pantalon dalam Tiga Abdul, bila disuruh urus kerja, semuanya 25 percen.

Kalau masih ada yang mahu dikipas dan mengipas, yang dengki dan iri hati, yang dendam tak bertepi, yang cemburu membuta tuli, sama-sama kita bilang pada mereka, UMNO bukan parti mereka. Perjuangan UMNO suci, yang kotor hanya tangan-tangan mereka. Perjuangan UMNO bersih, yang tercemar hanya politik murahan mereka. Tiada lagi gunting dalam lipatan, tiada lagi musuh dalam selimut, tiada lagi lidah bercabang dua dan tiada lagi kepalanya ular, ekornya belut kerana kita bukan seperti Pakatan Rakyat, satu bahtera tiga nakhoda.

Akibat kita terlalu memikirkan parasit-parasit parti, kita lupa ribuan ahli yang lain jauh lebih ikhlas dalam berjuang. Sepanjang saya menjadi Ketua Puteri, telah banyak cerita yang saya dengar dan saya temui sendiri, kegigihan pejuang-pejuang Puteri yang tidak punya apa-apa jawatan dan pangkat dalam parti, tetapi berjuang seikhlas hati. Tahukah adik-adik, di dalam dan diluar sana ramai ahli-ahli kita yang sanggup lakukan apa sahaja untuk perjuangan ini. Pernah ada ahli Puteri yang sarat mengandung, pada malamnya masih lagi turun ke mesyuarat Puteri, dan esoknya dia bersalin.

Pernah ada ahli Puteri yang dengan penuh gigih mengambil ahli-ahlinya untuk hadir ke mesyuarat sampai 4, 5 trip, dan kemudian menghantar semula mereka pulang selepas mesyuarat tanpa meminta upah satu sen pun. Dan kerana terlalu penat, sewaktu pulang awal pagi, beliau ditimpa kemalangan. Ada yang sampai hilang kerja kerana terlalu bekerja untuk parti. Saya percaya di luar dewan ini, lebih ribuan ahli Puteri lain yang tak dapat peluang menjadi perwakilan masih datang ke PWTC. Makan tak menentu, tidur tak bertempat, tinggalkan keluarga semata-mata sayangkan perjuangan parti. Sebenarnya, mereka ini kalau kita tewas mereka yang sedih dan menangis, kalau kita dihina dan dicaci mereka yang tampil ke hadapan bersuara.

Merekalah wirawati yang tak pernah didendang, wirawati yang sebenar dalam berjuang. Jiwa mereka besar, semangat mereka besar, keberanian mereka besar walaupun mereka tidak memegang apa-apa jawatan besar. Pada saya mereka umpama sebutir mutiara yang lebih berharga dari pasir sepantai. Biar mereka tidak cantik di mata penduduk bumi, tapi nama mereka menjadi bualan penduduk di langit. Mereka lah semangat dan kekuatan kita untuk terus berjuang.

Janji saya, selagi saya berdiri di dalam Puteri, selagi itu doa saya, semangat saya akan mengiringi tiap jerih perjuangan mereka. Biar mereka bukan jutawan dunia tapi mereka lah jutawan akhirat. Jasa mereka hanya Allah yang mampu menghitungnya.

Sidang perwakilan yang saya kasihi,

Umum maklumi, Jepun adalah sebuah bangsa yang hebat. Dari debu runtuhan Nagasaki dan Hiroshima, mereka membangun sebagai bangsa yang benar-benar merdeka. Dari runtuhan Kobe dan bencana radioaktif Fukushima, mereka berdiri membina semula peradaban dan keyakinan. Pemikiran mereka merdeka. Tindakan serta keberanian mereka, menjadi perintis kepada semua perubahan. Kita mungkin lazim mendengar semangat kamikaze yang sudah sejiwa dengan darah pejuang mereka. Namun ramai yang mungkin tidak mengetahui, bahawa bangsa Jepun punya satu lagi prinsip yang besar yang diterapkan dalam setiap denyut nadi bangsanya iaitu ?Gambaru.?

Gambar membawa makna berjuang bermati-matian sehingga titik darah penghabisan atau bertahan sampai kemana pun juga. Apa juga yang ditegakkan dari pangkal menjadi tanggungjawab untuk diperjuangkan sehingga ke hujungnya. Persoalan yang hadir adalah sebuah kewajaran dalam hidup dan semuanya hanya bisa dihadapi dengan semangat Gambaru kerana perjuangan bukan soal menghitung menang dan berserah kalah, perjuangan adalah soal prinsip yang perlu ditegakkan dengan segala kudrat dan kekuatan yang ada. InsyaAllah rahmat dan berkat Tuhan acapkali rapat dengan mereka yang ikhlas dalam berjuang.

Maka benarlah kata-kata pujangga Arab, “Manjadda wajada” - Sesiapa yang berusaha maka dia akan berjaya. “Man Zara a Hasada” - Siapa yang menanam, maka dialah yang mendapat hasilnya. Justeru, menggenggam aspirasi dari semangat inilah, setiap dari kita perlu memahami asas dan wadah perjuangan Pergerakan Puteri UMNO. Dimana kita bermula dan kemana harus kita teroka. “Maka jadda” - yakni berusaha bersungguh-sungguh menyeru untuk kita dengan hati dan seluruh kudrat memahami prinsip perjuangan, wadah yang digunakan, matlamat yang ingin dicapai serta manfaat yang mampu ditebarkan.

Cuma satu pesan saya, ingat, bukan resmi berjuang jika semuanya mudah dan indah. Bukan berjuang namanya, jika yang lalu adalah seperti apa yang kita mahu. Benar, berjuang adalah untuk mencari kemenangan, benar berjuang ialah soal menundukkan ego lawan, tetapi adalah lebih benar, berjuang adalah untuk mempertahankan hak, prinsip dan kebenaran. Jangan sesekali kita lupa, berjuang tidak semestinya kita sentiasa menang, berjuang bukan bererti kita perlu berada di atas, berjuang juga bukan bererti bekerja hanya apabila menerima ganjaran, kerana itu, hari ini, ramai yang menang sorak kampong tergadai.

Berjuang kita akan tetap berjuang menentang kebatilan menegak kebenaran. Kita akan tunduk menghormati dan angguk membenarkan tiap sesuatu yang pasti. Tapi kita takkan sesekali kaku dan lemah mengiyakan semua perkara dengan pasrah dan berserah. Sudah-sudahlah kita menjadi seperti Mahsuri, bila difitnah dia mengalah dan duduk mengharap simpati menyebelah. Cukup-cukuplah kita bersimpati dengan watak Si Bawang Putih. Apabila difitnah, dicaci, di hina hanya tunduk dan mengiyakan maruahnya dipijak-pijak.

Hari ini, semangat Puteri harus mengalir sepekat darah Tun Fatimah. Yang bangun berjuang kerana prinsip, tajam lidah bersuara kerana kebenaran dan keberanian menongkah arus kerana percaya kalau bukan dia yang pertahankan Melaka, habis itu siapa? Maka benarlah seperti yang pernah dikhabarkan sejarah, betapa Portugis lebih takutkan Tun Fatimah dari suaminya Sultan Mahmud Syah. Iktibar dari kisah inilah, maka bangunlah berjuang dan menegakkan kebenaran. Kalau yang dijuangkan adalah kebenaran, maka yang tertegak juga adalah kebenaran. Kalau diperjuang adalah kebatilan, maka akhirnya yang akan menimpa adalah kebatilan.

Saudari dan saudari yang dihormati,

SUDUT PANDANG SEJARAH

Sebagai sebuah sayap pergerakan politik, Puteri hari ini sudah semakin matang dalam menilai dan menghadam setiap isu yang berlaku saban hari. Kita punya asas rasional yang kukuh untuk melihat sesuatu isu serta berpasak pada prinsip dan pendirian kita sendiri. Kalau benar kita katakan benar dan kita sokong, tetapi kalau batil kita tidak pernah gentar untuk katakan batil dan kita tentang habis-habisan. Dalam kehidupan manusia, banyak perkara yang boleh kita pilih, tetapi hanya satu yang tak boleh kita pilih. Iaitu asal usul kita. Sejarah kita. Hari ini semua orang bercakap tentang sejarah. Signalnya setiap dari kita sayangkan perjalanan sejarah kita. Sejarah adalah tentang hak milik, kepunyaan yang membesar sebagai lambang dan pusaka satu bangsa.

Tetapi, sejarah boleh sahaja jadi alat politik bagi mereka yg meletakkan kepentingan peribadi mengatasi dari harga diri dan nilai yang dilalui oleh sejarah itu sendiri. Soalnya rakyat bukan lagi buta sejarah. Mereka tersepit antara memahami pengajaran dari kulitnya dan menerokai kebenaran yang tersembunyi dalam intinya. Kita takut untuk bercerita tentang kebenaran walhal sejarah adalah sejarah. Dalam perjalanan sejarah mana-mana bangsa di dunia, fakta sejarah pasti bergaul antara indah untuk dikenang dan yang perit untuk ditatang. Laluan sejarah juga boleh sahaja bercerita tentang kesilapan kita sebelumnya dan kita harus matang dan terbuka berhadapan dengannya untuk dipetik tiap bait pengajaran.

Jangan sekali-kali kita paranoid dan takut pada bayang-bayang sendiri. Natijahnya, maka akan hadir pihak tidak bertanggungjawab yang hanya menangguk di air keruh, melukut di tepian gantang, mengambil kesempatan atas situasi seperti ini, untuk mengasak cara berfikir masyarakat agar pendirian mereka terhadap persepsi sejarah boleh dibeli dan dijual sesuka hati.

Jika dahulu pembangkang memecah belahkan perpaduan kita melalui sentimen perkauman, melalui sentimen bahasa, sentimen kuota bumiputera, hingga kepada sentimen agama tetapi hari ini kerana niat kotor politik mereka, kita dipecahbelahkan menggunakan sentimen sejarah. Ironinya, jika soal agama, kuota bumiputera, isu kaum adalah isu tentang perjuangan tunggal sesuatu kaum tetapi sentimen sejarah hari ini cubadigaris pisahkan antara ideologi pembangkang dan kerajaan. Mereka sanggup jual cerita, bina persepsi membabi buta, mengasak emosi rakyat dengan kaedah retorik dan logik tanpa asas untuk royalti politik murahan. Akhirnya sedikit demi sedikit mereka mengajar rakyat membenci sejarah, dan sedikit demi sedikit kebencian terhadap kerajaan berakar.

Justeru itu, Pergerakan Puteri UMNO bertegas bahawa perlu adanya satu gerakan yang komprehensif untuk menyelak semula pendekatan dalam matapelajaran Sejarah yang sudah digunapakai sejak sekian lama. Bukan bermakna apa yang kita buat selama ini salah, tetapi kita seharusnya matang untuk menerima bahawa sesuatu yang betul tidak bermakna ia relevan untuk setiap zaman dan generasi.

Sudah tiba masanya, pendekatan dan daya sampai subjek Sejarah mampu untuk mengubah persepsi pelajar untuk tidak melihat Sejarah sebagai satu subjek apatah lagi mengasaki mereka melalui helaian kertas peperiksaan.

Selain dari pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih terbuka, merangsang pelajar untuk bereskpresi rasa tentang perjalanan sejarah bangsa mereka, disamping membuka ruang pelajar untuk berdebat sesama mereka tentang pandangan terhadap sejarah dengan dipimpin oleh kematangan guru dalam mengendalikan isu. Sejarah hanya benar-benar akan rosak, apabila disebut tentang subjek sejarah, pelajar hanya terfikir tentang nama tokoh, tarikh ,tempat, peristiwa, punca dan kesan. Kita tutup pintu mereka untuk berekspresi, bereksplorasi, bertanyadan tampil dengan pandangan dan pendapat mereka sendiri. Akhirnya, kegagalan untuk mengekspresi nilai inilah menyebabkan kita jumud dengan kebenaran.

Saudari-saudari sekalian,

Fakta adalah hakikat.Manakala interpretasi terhadap fakta membentuk persepsi. Tetapi cara interpretasi itu yang menjadikan sudut pandang sejarah menjadi hitam atau putih. Soalnya yang benar-benar ingin kita fahami adalah pengajaran yang di bawa bersama sejarah. Percayalah, dalam dunia yang semakin terbuka sekarang,ditambah dengan lonjakan cara fikir rakyat yang semakin matang, kita akan tewas jika kita sering takut dengan kesilapan silam.

Apa yang kita harus lakukan ialah memberi interpretasi baru tentang kesilapan silam untuk kita menjadi lebih berani dan bermaruah mendepani perjuangan. Inilah yang dikatakan belajar daripada sejarah, kerana sejarah bukan hanya sekadar mengangkat kemegahan dan kekuatan, disebaliknya matang mencedok pengajaran dari kesilapan masa silam. Justeru, Puteri dengan lantang menentang sekeras-kerasnya tindakan Mat Sabu yang telah memberi interpretasi separuh masak fakta sejarah dalam isu Bukit Kepong. Mereka boleh sahaja meletakkan anggapan keganasan komunis sebagai lambang perjuangan, tetapi kita harus yakin dan percaya sampai bila-bila, bahawa pengganas tidak akan pernah menjadi pejuang. Perompak harta rakyat, perogol anak dara tidak akan pernah menjadi pembela bangsa, dan keganasan bukan cara bangsa bermaruah untuk bertempur dimedan perang.

Pejuang yang sayangkan tanah air tidak akan memporak-perandakan tanah air sendiri, mengugut, membunuh hanya kerana kehendak mereka tidak dilunasi. Kerana itu bila ditanya antara perjuangan Perikatan yang menyatukan rakyat dan keganasan komunis mana yang lebih baik, seikhlasnya, saya tahu rakyat menyimpan jawapannya. Natijahnya, tindakan tidak bertanggungjawab Mat Sabu telah meracuni segelintir generasi muda untuk mula mempertikaikan kebenaran sejarah. Justeru, sebagai muqaddimah dalam mensinergikan semula matapelajaran sejarah agar ia mampu menarik minat pelajar disekolah, Puteri berbesar hati untuk mencadang pendekatan yang lebih muda dan terbuka. Fakta adalah hakikat dan buku teks hadir melalui olahan dan interpretasi terhadap fakta yang membina sesuatu sudut persepsi bagi memimpin pelajar memahami susur galur sejarah melalui jalan yang seragam. Malangnya, hari ini persepsi itu sudah menjadi seakan sebuah fakta bagi pelajar.

Di sinilah momentum mereka terhadap penerokaan sejarah terbantut aklibat sudut pandang mereka yang mula dikotak-kotakkan.Untuk tujuan itu, Puteri mencadangkan:-

Pertama, Buku Teks Sejarah dimurnikan cara dan daya penyampaiannya. Hakikatnya, kebenaran adalah hak yang perlu dipaparkan kepada rakyat. Jika kita masih mahu berkompromi dengan hakikat ini,kita hanya mampu melihat dan melatah apabila anasir luar hadir membawa kebenaran bersama persepsi yang membabi buta.

Kedua, menggalakkan budaya percambahan fikiran di bilik darjah melalui aktiviti perdebatan mengenai isu-isu sejarah yang dipelajari. Ini memberi ruang kepada pelajar untuk hadir bersama sudut pandang berbeza supaya mereka lebih dekat dengan sejarah mereka sendiri. Tidak salah jika akhirnya ada yang ingin menyatakan Jebat itu benar dan Tuah telah melakukan kesilapan, selagi mana proses berfikir ini dipimpin oleh guru dengan berhikmah.

Ketiga, silibus dan orientasi peperiksaan perlu dirombak secara holistik. Tiada lagi soalan yang mengasak pengahafalan pelajar pada persepsi sejarah yang dibina di dalam buku teks mereka. Contohnya, disebalik soalan seperti, ?Apakah faktor-faktor kejatuhan Melaka ketangan Portugis dan ia boleh diperbaharui dengan soalan yang lebih terbuka.

Pada pandangan anda, seandainya Melaka tidak dijajah Portugis, bagaimana keadaan kita hari ini ? Maka pelajar akan mula berekspresi dengan memetik setiap jalan cerita sejarah mereka untuk membentuk pandangan mereka. Selagi mana ianya jawapan yang rasional, maka tidak ada betul dan tidak ada salah kerana akhirnya kita mahu mereka faham sejarah adalah perjalanan masa lalu mereka.

Natijahnya, apabila kebenaran tidak disembunyi, apabila asas itu difahami, maka jika pembangkang hadir dengan persepsi yang lain, mereka ada jawapan kerana mereka diajar memahami sejarah dari proses berfikir dan bukan proses menghafal cerita. Generasi yang terbentuk dari perubahan ini adalah generasi berprinsip dan bersebab, dan tidak bertindak kerana kebencian terhadap sesuatu pihak. Atas dasar itulah, jangan biarkan generasi muda melihat sejarah dari garisan luar dan hanya memerhati perkara yang lalu, walhal mereka juga berada dalam garisan sejarah itu. Jangan kita tutup kehendak mereka untuk merasai sifat memiliki sejarah sendiri, melalui pendekatan subjek ini yang berisiko membunuh minda pelajar untuk mendalaminya.

Sejarah bukan ditulis oleh pasukan yang menang. Sebaliknya sejarah adalah perjalanan cerita yang dirakam oleh susur galur sejarah itu sendiri. Kita bukan bacul seperti Mat Sabu, yang sanggup menipu sejarah untuk senjata politik parti. Kita juga bukan anak-anak kecil, yang mudah ditakut-takutkan dengan cerita karut dan sejarah ciptaan mereka sendiri. Kita sedar, rakyat punya prinsip, rakyat punya pendirian, dan rakyat tahu siapa yang benar dan siapa yang membelit seperti ular. Rakyat tahu siapa yang iklhas dan siapa yang culas, siapa yang jujur dan siapa yang mengumpul fitnah untuk ditabur. Pergerakan Puteri akan terus berdiri di barisan paling hadapan, untuk menentang siapa juga petualang yang cuba mengubah jalan cerita perjalanan kita.

Ingat, apa yang tertulis dalam sejarah, bukan hak milik UMNO atau hak milik MCA, MIC, PAS, PKR atau DAP, tetapi adalah hak milik rakyat, kerana sejarah itu adalah sejarah bersama. Selagi nyawa dikandung badan, kita yang akan pertahankannya.


Saudari-saudari yang dikasihi,

PARTISIPASI GENERASI MUDA

Anak muda laksana tiang sebuah negara. Jika betul cara ia dipasak, maka tapaknya kuat, dasarnya erat dan mercunya adalah buah-buah rahmat. Jika salah cara tiang ini dipasak, maka tapaknya pincang, dasarnya berliang dan mercunya pasti kecundang dan terbuang. Maka benar kata bijak pandai, kalau mahu untung sehari, tanamlah jagung, kalau mahu untung setahun, tanamlah padi, dan kalau mahu untung beratus tahun, maka didiklah generasi muda. Sejarah telah menyaksikan, Negara bisa terbina kerana keampuhan tangan anak-anak mudanya, dan negara bisa binasa juga kerana kealpaan mereka.

Walaupun hari ini kita adalah puteri, saya suka meminjam kisah seorang putera, bernama Putera Muhammad Al Fateh, Putera Raja Murad 2, yang keberanian dan kebijaksannanya telah acap kali diulang sebut dalam lipatan sejarah. Baginda Rasulullah pernah bersabda, bahawa pada satu, ketika akan lahir seorang pemimpin muda terbaik dunia, yang akan memimpin bersama gerombolan tentera terbaik dunia. Sehinggakan Abu Ayob Al Ansari, dipenghujung hayatnya berpesan, agar jasadnya dimakamkan di antara dua bukit pintu masuk Selat Bosforus, semata-mata kerana beliau ingin menjadi sebahagian daripada mereka, yang berpeluang mendengar derapan tapak kaki kuda, yang membawa pemimpin terbaik yang memimpin bala tentera terbaik.

Pada usia 21 tahun, Muhamad Al Fateh telah berjaya menawan Constantinopel setelah 19 usaha dari 19 kerajaan besar yang lain menemui kegagalan. Hikmah perjuangan seorang anak muda berusia 21 tahun ini, meruntuhkan keangkuhan dan kezaliman empayar Byzantine. Tahukah anda,nama putera ini hanya Sultan Muhamad. Manakala Al Fateh, adalah gelaran yang diberi dan membawa makna pembuka. Menyeru semangat inilah, maka kita mahu generasi muda hari ini menjadi pembuka kepada peradaban berteraskan hikmah kebijaksaan.

Bukan lagi soal umur, soal jawatan, soal pangkat, tetapi ia soal tanggungjawab yang terpikul di bahu setiap generasi muda. Soal bagaimana harus kita bangun dan berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Justeru, Pergerakan Puteri harus menjadi tulang belakang utama dalam menggerakkan perubahan cara fikir dan bertindak generasi muda. Berfikir, bertindak dan beraksi selari dengan aspirasi yang dimahukan oleh generasi muda.

Saudari - saudari sekalian,

Generasi muda dahulu dan generasi muda hari ini sebenarnya berbeza. Generasi muda hari ini, menitik beratkan tentang cara kita memandang mereka, mendekati mereka, mendampingi mereka dan yang penting menjadi sebahagian dari mereka. Mungkin untuk satu ketika tindakan mereka sukar untuk kita fahami dan maknai, tetapi itulah generasi muda. Mereka kaya dengan pandangan dan persepsi serta sifat eksplorasi yang tinggi. Saya suka mengambil ibarat pada satu situasi pemerhatian politik. Generasi pasca awal kemerdekaan, memang mempunyai semangat juang parti yang tebal. Malah ada dalam kalangan nenek moyang kita yang tidak mahu turun mengundi kalau yang bertanding itu bukan parti kapal layar. Malah sifat menerima mereka terhadap semua usaha parti juga lebih bersantun dan terbuka. Umpamanya, jika ke kedai mamak, yang mereka pesan teh panas, tetapi yang dihantar kopi panas, mereka tetap tersenyum dan minum rezeki yang ada di depan mata.

Generasi pertengahan yang banyak didorong oleh sifat memberontak pembangkang, lain pulak lagaknya. Kalau yang dterima tidak sama seperti apa yang dipesan, maka dimaki-hamunnya si mamak itu. Silap haribulan terbalik meja-meja. Tetapi generasi alaf baru hari ini sangat berbeza cara mereka beraksi dengan situasi. Jika yang dipesan teh panas dan yang dihidang adalah kopi panas, mereka tidak meminumnya, tidak juga memaki, tetapi dengan senyap dan perlahan mereka berpindah ke kedai mamak sebelah. Dan itulah yang kita alami pada tsunami pilihanraya yang lalu. Kegagalan kita untuk memahami mereka, boleh sahaja membawa makna kita sebenarnya meninggalkan mereka. Daripada situasi ini, tidak bermakna mereka tidak ada pendirian, tidak berprinsip. Cuma kita harus lebih matang untuk duduk bersama mereka memahami situasi yang berlaku. Kita seringkali percaya, umur lazimnya membezakan kematangan berfikir manusia, tetapi kematangan di alaf baru diukur dari sudut siapa yang dapat mengejar perubahan zaman.

Boleh sahaja orang yang semakin berusia, yang kurang menguasai capaian media baru tidak seiring dengancara fikir dan kematangan generasi yang jauh lebih muda, yang ghairah meneroka maklumat dari segenap penjuru. Maka mereka mula percaya, yang mereka juga boleh mempunyai pandangan dan prinsip mereka sendiri. Maka disitulah mereka perlu dirai dan dihormati. Saya sejujurnya percaya, permulaan dalam usaha mendampingi mereka adalah dengan meraikan idea dan pandangan mereka melalui santun yang betul. Sudah sampai satu tahap, mereka mahu pandangan mereka bukan hanya didengar, tetapi diambil pertimbangan untuk tindakan. Mereka juga mahu berjasa dan berada dalam barisan pejuang kita, dari mula strategi perang itu dirangka, sehinggalah kebarisan depan di medantempur, mereka mahu bersama. Kata ? kata bahawa pandangan mereka mentah, tidak boleh dipakai, ikut emosi, tidak berfikir panjang, radikal, hanyut dalam teknologi, dan tidak berasas, hanya menjadikan kita dan mereka belayar dalam kapal yang berbeza.

Menyedari akan keperluan inilah, Pergerakan Puteri sentiasa dihadapan, bersama program-program yang dekat dan mesra dengan generasi muda. Penubuhan Biro NGO dan Profesional Muda, adalah bukti betapa kita serius menjalin hubungan dan kerjasama dengan generasi Y. Biro Penggerak Belia dan Biro Usahawan dan Pemantapan Ekonomi juga, selari dengan usaha Puteri untuk menjadi tulang belakang dan penggerak kepada aktiviti keusahawanan generasi muda. Kita lancarkan skuad VOGUE untuk menarik generasi muda menjadi sukarelawan dan turun padang memberi khidmat kepada rakyat. Skuad ini turun menjayakan program Ziarah Kasih, Sinar Kasih, Jelajah Sinar Kasih Ramadhan, Konvoi Kebajikan Menyusur Akar, Projek Puteri Prihatin, dan banyak lagi program-program utama Puteri yang digerakkan oleh generasi muda. Kita mahu generasi muda memahami dan mengerti, orang-orang politik tidak pernah kesampingkan mereka, tidak pernah membuang mereka dan tidak pernah pinggirkan hak dan usaha mereka. Kita mahu mereka sedalamnya memahami, perjuangan kita adalah perjuangan mereka, sakit kita adalah sakit mereka, kejayaan kita adalah kejayaan mereka, kerana generasi muda adalah sebahagian dari perjuangan kita.

Saudari-saudari sekalian,

Pandangan generasi muda, terhadap politik juga semakin matang. Mereka bukan lagi generasi yang angguk angguk geleng-geleng. Budaya Witch Trial tidak lagi wujud. Sebelum angguk mereka berfikir, dan sebelum geleng pun mereka akan berfikir. Kita tidak mahu mereka penat dengan politik sebelum sampai masanya. Siapapun mereka, penyokong kita atau penentang kita, mereka aset politik negara. Jangan fikir apabila mereka diam, mereka tidak tahu apa-apa, jangan fikir apabila mereka memberi pandangan tidak sama dengan kita, mereka mahu menentang kita, jangan fikir apabila mereka punya prinsip sendiri, mereka tidak menyokong kita. Orang muda kurang selesa dengan idea semua sudah tersedia untuk mereka, semuanya sudah diperjuangkan untuk mereka, dan mereka terhutang budi dengan generasi sebelumnya. Sudah sampai masanya, kita semarakkan suara mereka, kita raikan idea mereka, kita bangunkan roh dan jiwa pejuang mereka. Buat pemimpin parti, pimpinlah mereka dengan tangan kasih sayang, dekati mereka dengan suara keprihatinan dan kepekaan, bela mereka dengan jiwa yang ikhlas dan jujur seperti yang dilakukan oleh YAB Dato Seri Presiden, kerana kita mahu mereka matang dalam berjuang.

Saudari – saudari sekalian,

Ketamadunan sebuah bangsa adalah bersendikan kepada ruang fikir dan gerak politiknya. Dengan memisahkan politik dan generasi muda, sama seperti kita memisahkan busur dan anak panahnya. Akibatnya, anak muda semakin jauh dengan politik dan minat mereka terhadapnyapun semakin mati. Mengupayakan hak dan suara mereka tidak bermakna kita mengiyakan mereka turun ke jalan, berdemonstrasi macam orang hilang fikiran. Kita tahu generasi muda kita bukan seperti itu. Cuma ada petualang yang membutakan mata mereka, memekakkan telinga mereka dengan menjadikan mereka tukang sorak dan perusuh jalanan. Kerana itu kita mahu menghak upaya suara dan idea mereka, melalui garis panduan yang matang dan bertamadun.

Umum mengetahui, kelompok terbesar yang berpengaruh dalam kalangan generasi muda pastinya golongan mahasiswa. Kita mungkin boleh mengawal kebebasan mereka bertindak, kita mungkin boleh mengawal kebebasan mereka untuk bersuara, tetapi kita tidak akan boleh menyekat kebebasan mereka untuk berfikir, dan disitulah lazimnya prinsip dan kubu pendirian mereka terbina. Mendoktrinasikan pemikiran generasi muda, samalah seperti kita meracun akar.

Sebab itu, Puteri mahukan sebuah transformasi minda, untuk lebih terbuka terutama apabila kita menangani isu mahasiswa. Persepsi terhadap mereka perlu berubah dan diubah. Setegasnya, saya mahu katakan, AUKU bukan senjata kita, AUKU bukan perisai kita, bukan peluru kita.

Malah kalau kita kekal begini AUKU bisa menjadi liabiliti buat kita. Perlu diingat, kebebasan wujud secara relatif dan tidak bersifat mutlak. Sebab itu, mahasiswa pada hakikatnya adalah kelompok yang bebas bersuara dan bertindak di universiti.

Keputusan Y.A.B Perdana Menteri pada minggu yang lalu untuk meminda Seksyen 15 AUKU sepatutnya disambut dengan terbuka. Selepas ini mahasiswa berhak menjadi ahli mana-mana parti politik seperti yang dijamin di bawah perlembagaan. Kesediaan kita meminda Seksyen 15 AUKU, adalah lambang kepercayaan kita kepada kuasa anak muda, untuk membangunkan negara dan memikul tanggungjawab atas segala tindakan mereka. Jangan sesekali kita khuatir dan masih berpegang kepada dogma, betapa universiti adalah sarang pembangkang. Sedangkan secara hakikat, begitu ramai mahasiswa yang sebenarnya secara diam menjadi aset kita. Cuma, peluang tidak dibuka, ruang jarang disedia dan kerana kurangnya rasa percaya kita, permata-permata negara ini tidak digilap dan kemilaunya dibiar malap.

Percayalah, mereka cuma perlu didekati dan difahami. Jika kita cuba memahami mereka, mereka juga akan mudah memahami kesucian perjuangan kita. Waktu itu, gerombolan baru anak muda yang akan memimpin dan menyokong perjuangan parti, akan menjalar dan memenuhi segenap ruang bumi Malaysia ini. Kerja-kerja membangunkan negara akan menjadi terlalu mudah dan pantas. Cuma soalnya, kita perlu percaya pada kematangan mereka dan kita sendiri perlu bertindak matang dan berani.

Kami menyokong sepenuhnya semua keputusan Presiden, dan sentiasa bersama semua winnable candidate, yang akan dipilih bagi mewakili Barisan Nasional pada Piliharaya Umum ke 13, kerana sedar ia menjunjung wasilah keikhlasan dan hikmah kebijaksanaan. Amanat Presiden akan terus dijunjung di atas jemala perjuangan Pergerakan Puteri. Amanah ini akan kami lunaskan selagi nyawa dan jasad kami bersatu untuk agama, bangsa dan negara.

Rakan-rakan seperjuangan sekalian,

Apabila berbicara soal kesediaan dan tanggungjawab pemimpin muda, saya teringat pada satu kisah yang berlaku 2 hari sebelum kewafatan baginda Rasulullah SAW. Pada ketika itu, baginda sedang mempersiapkan bala tentera Islam, untuk turun berperang menentang kerajaan Rom. Maka dikumpulkan semua bala tentera dan pahlawan Islam yang hebat, dan akhirnya Rasulullah melantik seorang pemuda yang hanya berusia 18 tahun sebagai Panglima Angkatan Perang yang akan mengetuai ribuan tentera Islam yang lain. Pemuda itu ialah Usamah bin Zaid. Pada usia 18 tahun, Rasulullah telah memberi kepercayaan kepadanya untuk merancang strategi, membuat keputusan sehinggalah memimpin kebanyakan tentera yang jauh lebih berpengalaman dan berusia termasuklah Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab, dan Abu Ubaidillah.

Pengamatan dari kisah ini, membawa kita pada satu makna, betapa Rasulullah SAW pun mempercayai generasi mudanya, dan sedar betapa generasi muda ini perlu diberikan tanggungjawab, dan peranan untuk mereka memberikan sumbangan yang berharga buat agama, bangsa dan negara. Tidak timbul soal senioriti dan usia dalam kepemimpinan siasah kerana percayalah, perbezaan usia tampil bersama perbezaan perspektif dalam melihat dunia dan menghadam perubahan semasa. Kita memerlukan generasi berbeza untuk memimpin generasi yang berbeza. Kita juga perlukan generasi berbeza dalam sebuah wadah yang sama, kerana matlamat kita adalah meraih sokongan dan kepercayaan semua golongan masyarakat.

Benarlah wasiat Umar Al Khattab. Ajarlah anak kamu dengan urusan di zaman mereka, kerana mereka akan hidup di suatu zaman yang bukan lagi menjadi zaman kamu. Uniknya pemimpin kita, Dato Seri Presiden telahpun mencontohi teladan yang ditunjukkan nabi dan para sahabat. Kepercayaan kepada golongan muda untuk menerajui parti, tidak perlu dipertikaikan lagi. Kini terserahlah kepada kita untuk membuktikan peluang yang ada takkan dipersia. Ibarat bola sudah di padang, sepak mula sudah dilakukan, yang ditunggu adalah gol dan kemenangan. Semua anak muda adalah harimau muda, semua anak muda adalah harimau negara!

Para pencinta perjuangan sekalian,

HEGEMONI MEDIA BARU

World Is Flat karya Thomas L. Friedman, menceritakan, betapa globalisasi 3.0 telah menatijahkan hubungan manusia dengan manusia di alam maya, semakin rapat dan datang dari pelbagai arah penjuru. Pengaruh media baru datang bersama perubahan yang besar dalam iklim politik dunia dan politik Negara. Dan hari ini, peperangan di dalam politik juga sudah menjadikan media baru sebagai senjata. Hentikan fahaman konservatif kita terhadap fungsi media. Media bukan lagi medium sekadar beritahu apa kita dah buat, apa yang kita dah kecapi, dan menjual kerja sendiri, malah ia juga bukan lagi sekadar susunan dan himpunan fakta,kini ia tampil sebagai wadah kemukakan idea, prinsip dan perlumbaan pandangan dan persepsi. Debat di alam maya hari ini jelas membawa impak yang besar terhadap politik semasa. Kita harus bijak dan matang mengendalikan media baru. Masyarakat juga bukan lagi bodoh yang akan hanya menerima setiap retorik dan hiperbola cerita membabi buta. Kematangan dan keberanian kita mendepani isu akan membangkitkan rasa hormat rakyat terhadap prinsip kita dalam berjuang.

Arus perubahan yang melanda ragam fikir politik di Barat banyak dipengaruhi oleh akses kepada media baru yang luas dan tanpa batas. Sewaktu perdebatan terakhir di antara Parti Konservatif, Demokrat dan Parti Buruh yang lalu, 154 352 tweet telah dicatatkan sebagai respon dari perdebatan tersebut, dengankadar kelajuan 26.77 tweet setiap saat, dari 33 095 pemegang akaun yang berbeza. Itu baru isu yang dibicarakan dalam sebuah perdebatan dan adik-adik puteri sekalian boleh bayangkan, bagaimana pesatnya sesuatu isu diserakkan yang kini boleh diakses di tangan rakyat. Politik dan media baru sudah menjadi begitu sebati. Malah jika betul strategi media, kita boleh menuai hasil yang lebih dari munasabah dalam sebuah perjuangan. Media baru mengubah landskap politik mana-mana negara melalui 4 faktor berikut ;

Pertama, melalui berita yang boleh dipilih. Akses maklumat yang semakin meluas membina ruang dan pilihan yang pelbagai kepada rakyat untuk menilai dan menganalisis maklumat.

Kedua, melalui perkongsian rangkaian. Setiap maklumat dan isu akan terserak dengan mudah melalui proses rangkaian.

Ketiga melalui pandangan dan idea tanpa halangan. Siapa sahaja boleh mengemukakan pandangan dan pendirian tanpa sebarang halangan dan sekatan. Keempat, kapasiti media yang boleh membina rangkaian ke setiap pengguna. Dalam masa yang singkat, maklumat mampu sampai dan tersebar pada ruang lingkup yang tidak dijangkakan. Faktor-faktor inilah yang seharusnya dipelajari dan dikuasai oleh kita sebagai senjata dalam perjuangan.


Saudari-saudari sekalian,

Sebab itu apabila ditanya bila agaknya perang dunia ke tiga akan berlaku, maka ramai yang bersetuju bahawa perang dunia ketiga sudah pun berlaku di alam siber. Kalau kita menganggap media sebagai senjata yang membunuh kita, maka secara semangatnya kita memang akan dibunuh. Jika kita anggap ia sebagai perisai mempertahankan perjuangan kita, maka ia mampu menjadi perisai paling kebal, kalau kita menjadikan media sebagai senjata menyerang, maka ia boleh saja membunuh setiap dari lawan kita. Mesej moralnya disini, media adalah senjata baru politik. Kita tidak mahu media baru ini hanya menjadi senjata dan begitu sinonim dengan pembangkang. Kita juga harus sedar, media baru juga adalah kekuatan dan kita punya kepakaran dalam mengurus tadbirnya.

Pergerakan Puteri harus memulakan usaha yang bersungguh-sungguh ke arah mempromosikan budaya percambahan idea dan budaya debat yang sihat. Tiada lagi budaya fitnah menfitnah, maki memaki, caci mencaci dan memburuk-burukkan orang lain. Cukuplah budaya itu hanya diimani oleh juak-juak sebelah sana yang kononnya berjuang untuk keadilan rakyat, berjuang untuk Negara kebajikan dan Negara Islam. Kalau mereka fikir dengan fitnah mereka akan kelihatan hebat dan gah, dengan memburuk-burukkan kita, merekayasa cerita, dan dengan memaki hamun maka mereka akan dilihat lebih berani dan gagah, biarkan mereka. Kita percaya, ini bukan budaya kita dan takkan pernah sesekali menjadi pegangan kita dalam berjuang. Semoga fitnah dan tohmah mereka akan menjadi sebatang anak sungai yang mengalir tenang untuk kita di syurga idaman. Semoga cacian mereka akan menumbuhkan pohon-pohon redup yang mendamaikan. Dan semoga maki hamun yang kita terima, akan menjadi jambatan emas yang akan menemukan semula kita di alam syurga penuh bahagia. Dunia adalah pentas perjuangan sementara. Akhirat jualah yang menjadi matlamat abadi yang kita ingini, yang kita cari.

Saudari-saudari perwakilan sekalian,

Di kesempatan ini, Pergerakan Puteri merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua blogger yang telah sama berjuang menegakkan kebenaran dan hakikat. Saya sedar, ramai dalam kalangan mereka adalah penulis sukarela, namun itu tidak pernah menjadi halangan untuk mereka melunaskan tanggungjawab dalam berjuang. Ini barulah namanya pejuang sejati. Untuk itu, Pergerakan Puteri mengalu-alukan semua blogger untuk duduk semeja dan bermusyawarah bersama untuk kita mencari pendekatan paling berhikmah, dalam memenuhi tuntutan politik ummah. Puteri akan sentiasa di hadapan bersama blogger-bloggeruntuk menentang aplikasi peraturan rimba di alam siber, demi membina santun politik yang bermaruah di bumi Malaysia ini.

Jika barah ini dibiarkan, maka pada akhirnya yang rugi, yang malu, yang hancur, yang binasa siapa? Waktu itu barulah yang baling batu tangkas sembunyi tangan. Justeru, selari dengan akses maklumat yang semakin meluas, Puteri komited mendahului usaha mempromosikan budaya berfikir secara krtis dan analitis agar rakyat lebih matang dalam menilai isu.

Usaha Pergerakan Puteri memperkenalkan Cyber Troopers adalah sebagai isyarat betapa kita sedia menggempur dan berperang menggunakan senjata media baru. Kita punya pasukan yang akan mengumpul, menganalisis dan menjawab setiap isu yang timbul dan mediumnya adalah aplikasi media baru. Malahan, Puteri akan terus memperkasakan setiap ahlinya dengan asas pengetahuan dan kemahiran yang cukup, dalam mengendali dan mengurus tadbir media baru supaya kita tidak tersasar dari landasan perjuangan yang sebenarnya. Demokrasi hanya betul-betul subur dan matang apabila masyarakat diterapkan dengan cara fikir yang kritis dan analitis, untuk melihat sesuatu isu secara lebih mendalam dan terperinci. Bukan terus melompat kepada kesimpulan. Hentikan taklid membabi buta dan mari kita bangunkan budaya rasional dalam berfikir dan mengutarakan pendapat dengan lunas kematangan sewajarnya. Itulah jawapan kepada sebuah ketamadunan bermaruah.

Saudari- saudari sekalian,

BAJET 2012

Kita takkan pernah hairan atau terkejut apabila setiap kali bajet dibentangkan, setiap kali itu jugalah pembangkang akan muncul bersama helah mencari keburukan dan mencanang kelemahannya kepada rakyat. Kita juga tidak pernah bimbang mahupun gentar, kerana kita sudah cukup bersedia dan sedar, prasangka buruk sememangnya telah menjadi makanan pembangkang dan sudah sebati menjadi darah daging membentuk jasad dan mencemari hati mereka. Apabila kerajaan menyusun pelan dan mengimplementasi tindakan, semuanya akan kelihatan buruk pada mereka.Kalau benar mereka berjuang untuk rakyat, apa juga yang kerajaan laksanakan untuk rakyat mereka harus sokong. Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia ( PR1MA ), Menu 1Malaysia dan banyak lagi usaha kerajaan untuk rakyat buat pembangkang tak senang duduk kerana mereka sedar kita buat apa yang kita janjikan. Tetapi, rakyat punya mata, rakyat tidak buta, rakyat melihat betapa kerajaan sentiasa mendahulukan mereka dalam setiap bajet dan pelan tindakan yang dibentangkan. Sebab itulah setiap kali pembangkang memukul gendang irama sumbang, kerajaan hanya memerhati dengan hemah dan akan bertindak dengan berhikmah. Kita tahu, rakyat bukan lemah. Rakyat tidak mudah diperbodoh dan diperkotak-katikkan.

Pembangkang menyebar berita kononnya kita tidak tahu mengurus negara, kononnya kita sengaja membiarkan defisit dan hutang negara meningkat, kononnya negara akan muflis dan bankrap. Isu defisit dan hutang dimomok-momokkan ke seluruh pelusuk negara. Angka-angka dan figura-figura tertentu dicanang-canang bagai sesuatu yang dahsyat, bertujuan menakutkan rakyat supaya mereka terkesan dan percaya dengan sebuah pembohongan. Pembangkang ibarat orang tua nyanyuk yang cuba menakutkan kanak-kanak dengan cerita hantu. Tetapi rakyat bukan budak-budak bahkan mereka sudah cukup matang. Mereka takkan telan dan mereka juga takkan hadam pembohongan golongan petualang.

Mari kita nilai beberapa fakta untuk menjernihkan pemahaman, dan mencari islah dalam kerangka yang mudah. Pertama, lazimnya negara-negara di dunia yang sedang bergerak ke arah negara maju, atau sudah bergelar negara maju sukar untuk mengelak defisit dalam bajet yang dibentangkan. Ini adalah kenyataan. Kedua, defisit negara sebanyak 5.4 % tahun ini adalah catatan penurunan defisit berbanding tahun sebelumnya, 2010 iaitu sebanyak 5.6 %, yang juga menurun daripada tahun sebelumnya, 2009, iaitu sebanyak 7.4 %. Faktanya, defisit negara semakin menurun semenjak Dato? Seri Najib mengambil alih pentadbiran negara, daripada 7.4 % kepada 5.6 % kepada 5.4% dan pengurangan defisit ini kekal menjadi sasaran kerajaan untuk masa-masa yang mendatang. Tahun 2012, sasaran kita adalah pengurangan defisit sehingga 4.7 %. Tahukah kita, sehingga September 2011, RM 12.44 billion telah dibelanjakan untuk kesihatan rakyat dari pembinaan hospital sehinggalah pembelian ubat-ubatan, namun hasil pemerolehan kerajaan atau pulangan semula hanyalah berjumlah RM 238.5 juta sahaja.Kerajaan telah menanggung dan mensubsidikan sebanyak RM 12.20 billion atau pada kadar 98% dari pada keseluruhan perbelanjaan Kementerian Kesihatan Malaysia. Tetapi tak mengapa, kerana harga kesihatan dan nyawa rakyat tidak ternilai buat kerajaan.

Tidakkah kita terkejut dengan tindakan Parti Islam Semalaysia (Pas) yang selama ini kononnya berjuang demi sebuah Negara Islam, tiba-tiba pula berjuang untuk sebuah Negara berkebajikan? Mana perginya rasa ikhlas dan zuhud dalam berjuang? Mana perginya pendirian? Mana letaknya prinsip perjuangan? Adakah agama kini letaknya di bawah tapak kaki kita? Hanya kerana menagih undi rakan-rakan bukan seagama, kita tunduk dan akur. Sudahlah prinsip agama dibuang, mereka mendabik dada kononnya Negara Berkebajikan ini, merekalah perintis dan pemula.Barisan Nasional umumnya dan UMNO khususnya, telah lama melaksanakan Negara berkebajikan. Kita tidak canang hanya pada nama, biar nampak gah, biar nampak indah. Tapi yang kita jaga adalah pada isi dan inti. Biar benar-benar dilaksana, biar setiap susuk tubuh rakyat dapat merasa. Jika implementasinya benar, maka dengan sendiri namanya akan mekar. Bajet 2012 sememangnya bajet untuk rakyat dan semua bakal merasa tempiasnya. Daripada kanak-kanak darjah satu hinggalah balu seorang tentera. Daripada pemandu teksi, hinggalah gelandangan di ibu kota. Daripada golongan kanak-kanak, belia hinggalah golongan pesara. Daripada baikpulih rumah nelayan hinggalah meningkatkan sumber makanan melalui pertanian. Inilah contoh terbaik negara kebajikan. Kita sudah mula sejak semalam, kita teruskan sekarang dan kita akan pastikan berterusan untuk hari-hari yang mendatang.

Saudari-saudari sekalian,

PENEROKAAN IDEA BARU

Dalam membincangkan penerokaan idea baru, saya tertarik untuk mengimbau kisah Albert Einstein yang menemui kuasa elektrik atau Isaac Newton yang menjumpai tenaga graviti, mereka bermula sebagai peneroka dan pencari idea-idea baru. Mereka menjadi perintis kepada proses mencari sesuatu di luar pemikiran dan kebiasaan insan. Kita juga harus mengenang sejarah dengan membuka kitab Sulalatus Salatin. Mengambil iktibar keberanian dan kelantangan Hang Nadim yang tampil dengan idea baru dan bijak, akhirnya menyelamatkan Singapura daripada serangan todak. Puteri perlu mengambil iktibar daripada semua ini, bahawa Puteri perlu hadir dengan idea baru, segar dan di luar kebiasaan. Untuk itu, Puteri sentiasa mahu merakyatkan budaya inovasi dan penerokaan idea baru dalam segenap bidang. Kerja yang dianggap sesetengah orang sebagai kerja gila-gila ini telah banyak mengubah dunia. Kita tidak akan pernah tahu, apa benar suatu idea itu gila atau bermanfaat pada bangsa. 20 tahun dahulu mungkin gila jika saya katakan, saya mahu mengambil sebiji botol kosong, mengisi air kosong di dalamnya dan menjualnya. Tetapi hari ini, anda sendiri ada jawapannya. Inovasi dan kelahiran idea baru juga tidak pernah kenal sempadan jawatan mahupun latar belakang insan. Tahukah saudari-saudari, pencipta Vakum Hampagas adalah Hubert Booth yang merupakan seorang pengurus pengkebumian, manusia yang mencipta kapal terbang mini pertama iaitu Wright bersaudara hanyalah seorang pelukis potret, pencipta telegraf dan kod morse ialah Samuel Morse yang merupakan seorang veterinar dan pencipta telefon automatik iaitu Almind Strowger hanya seorang pembina jambatan. Mereka ini bukan manusia yang hebat dalam bidang yang diinovasikan, tetapi merekalah pemula dan penggerak kepada perubahan kerana mereka percaya apa yang mereka buat dan apa yang mereka fikir.

Kata-kata dan pandangan orang hanya buat mereka lebih berani dan berdiri dengan mandiri. Mereka mencari wadah, mereka menerokai wasilah dan mereka bijak mengenal hikmah.Saya percaya diluar sana, terdapat ribuan anak muda yang kaya dengan idea dan sarat dengan kemahuan untuk mencuba sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya menunggu ruang dan peluang untuk ?eureka? inovasi mereka diberi tempat yang sepatutnya. Selari dengan itu, kita tidak mahu lagi menjadi bangsa pengguna, yang sekadar menggunakan inovasi dan teknologi bangsa lain.

Sebaliknya, kita mahu bangun sebagai bangsa pencipta yang menjadi perintis dan peledak kepada penemuan-penemuan baru, untuk diinovasikan ke peringkat antarabangsa. Menjunjung hasrat inilah, Pergerakan Puteri mencadangkan;

Pertama, pembinaan Bank Idea, yang akan menghimpunkan semua inovasi dan penemuan baru yang hebat oleh pencipta Bumiputera yang selama ini kita pinggirkan.Mereka punya idea yang hebat, tetapi seringkali idea itu diciplak dan kertas cadangannya disalin kulit pihak lain kerana kita tidak cukup bersungguh-sungguh mempertahankan ketulenan inovasi mereka. Bank Idea ini akan menjadi pemudah cara untuk memastikan inovasi ini dipatenkan dengan segera.

Kedua, mewujudkan jaringan yang benar-benar kuat, efisien dan bermanfaat di antara universiti dan industri. Setiap penemuan, penyelidikan dan inovasi tidak hanya dimuziumkan di makmal sebaliknya dikomersialkan untuk manfaat bersama.

Ketiga, Pergerakan Puteri akan menubuhkan sebuah Biro Inovasi sebagai kerangka awal dalam usaha menggerakkan kelahiran inovasi yang berpotensi terutama yang dibangunkan oleh wanita muda.Kita tidak mahu apabila inovasi yang baik ini diiktiraf di luar negara, barulah kita sedar kekuatan dan kebolehupayaan yang kita ada. Kita tidak mahu pencipta-pencipta muda ini dibeli orang luar kerana kealpaan kita.

Keempat, sistem pendidikan yang berorientasikan kepada peperiksaan perlu dikendurkan sifatnya supaya potensi pelajar dalam lain-lain bidang dapat dibangunkan dengan lebih seimbang. Sifat persepsi negatif yang seringkali menghukum pelajar yang gagal cemerlang dalam peperiksaan perlu dibakul sampahkan, supaya mereka sedar tidak ada seorang pun dari rakyat yang tidak bernilai pada sebuah negara.

Saudari-saudari sekalian,

Idea baru juga harus hadir dalam perjuangan. Dalam konteks perjuangan kita, Puteri perlu tampil bersama idea tranformasi, dan pendapat berani yang mungkin menongkah arus, namun akan membawa pembaharuan yang berimpak besar kepada parti dan matlamat perjuangan. Puteri bukan lagi penerus tradisi, dan budaya politik konservatif, sebaliknya puteri mampu melahirkan dengan idea segar, berani dan kadangkala bersifat agresif.

Saudari-saudari perwakilan sekalian,

REVOLUSI MINDA DAN RASA

Dalam politik hari ini, perubahan bukan lagi bersifat pilihan, tetapi kewajipan untuk memastikan Puteri terus relevan dan kekal diperlukan. Puteri akan bertindak menjadi wadah politik yang menggerakkan perubahan sendiri. Malah, Puteri bukan sahaja akan menyokong agenda perubahan Parti, bahkan akan menjadi agen perubahan yang bertindak sebagai perintis dan pemula untuk sesebuah pembaharuan dilaksanakan. Puteri akan tampil sebagai satu sayap yang berani meneroka jalan revolusi, istiqamah merangsang inovasi dan agresif mencipta transformasi.

Saudari-saudari sidang perwakilan sekalian,


UMNO parti kita, parti ini telah membela nasib nenek moyang kita, kalau kita bacul dan pengecut, kita yang sebenarnya membunuh hak anak- anak dan cucu-cucu kita. Selepas ini, tidak akan ada lagi nada-nada sumbang yang menuduh Puteri ibarat, “Belum bergigi tapi sudah hendak mengunyah”. Suara-suara ini adalah lambang ketidak yakinan manusia-manusia sekeliling akan kemampuan Puteri, kononnya kita masih muda, lemah dan tidak berupaya melakukan transformasi. Kita akan buktikan, kita bukan sahaja sudah bergigi, bahkan kita sudah bertaring tajam untuk membaham lawan seperti Harimau Muda membaham sayap Garuda.Pastinya kita sudah mampu mengaum, menyusup rasa ngeri dan gerun pihak lawan, membangkit rasa kagum pada kawan.

Atas roh itulah, Puteri dengan tegas menentang budaya politik kotor pembangkang, atau siapa sahaja yang berjuang atas wadah memecahbelahkan bangsa dan agama. Kita tak akan jual agama kita untuk kedudukan politik kita, kita tak akan lacur maruah bangsa kita untuk cita-cita peribadi kita.