Tuesday, February 26, 2013

RAMALAN KEPUTUSAN PILIHANRAYA UMUM KE 13?

Berdasarkan sumber maklumat daripada beberapa kajian pemerhati politik di Malaysia dan pemerhatian secara tidak langsung.  Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras melihatkan iklim politik di Malaysia sejak akhir-akhir ini mengunjurkan jangkaan seperti berikut :- 
 
Pakatan Rakyat akan terus kekal di Pulau Pinang.

Kerajaan PAS akan terus memerintah di Negeri Kelantan
 
Manakala di Negeri Terengganu , Johor , Melaka , Sarawak dan Pahang, Barisan Nasional dijangka tidak mempunyai masalah besar untuk memerintah dikelima - lima buah Negeri tersebut.
Pencapaian status quo parti politik sepertimana Pilihanraya Umum 2008 itu, sebahagian besarnya dijangka akan kekal status quonya dengan sedikit perubahan di sana-sini.
 
 
Apapun pengundi-pengundi Cina dilihat menunjukkan satu perubahan yang ketara sejak Pilihanraya Umum ke 13 termasuklah di Negeri Johor di mana ada beberapa "kerusi panas" yang sedang hangat di bincang di peringkat tertinggi pemimpin politik tanahair baik di pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. 
 
6 kerusi parlimen di Negeri Johor sangat menarik untuk diperhatikan dan dikategorikan sebagai kawasan HITAM hasil kajian terkini di Negeri Johor adalah di Kulai, Kluang, Bakri, Gelang Patah, Segamat, Pulai.

Manakala 8 kerusi Parlimen , masing - masing di Negeri Sabah dan Sarawak juga bakal menarik perhatian untuk di nilaikan oleh pengundi - pengundi.

Manakala di Negeri Selangor dan Kedah, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras merasakan masih lagi kekal status quonya. Namun begitu di Negeri Kedah akan menyaksikan Pakatan Rakyat akan kehilangan beberapa lagi kerusi Parlimen  kepada Barisan Nasional. Ini kerana dasar kepimpinan di Kedah tidak selari dengan masyarakat di Kedah kerana populasi di antara kaum yang agak ‘homogeneous’ berlainan dengan di Negeri Kelantan.
 

Negeri Perak adalah antara "Negeri Panas" yang dijangkakan bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Ada Pemerhati Politik mengatakan Barisan Nasional akan mentadbir terus Negeri Perak berdasarkan maklumat yang menyatakan UMNO akan bertanding di 36 kawasan ADUN.
 
Dewan parlimen akan mencapai tempoh matang dan terbubar secara otomotis menjelang 28 April 2013.  Mengikut peruntukan perundangan dan perlembagaan negara, pilihanraya hendaklah dijalankan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tidak kira pembubaran itu adalah awal mahu pun mengikut tempoh matangnya.
Jika Negeri Selangor membubarkan dewan undangannya terlebih dahulu, tiada peruntukan undang-undang yang MEWAJIBKAN pilihanraya dijalankan berasingan. Tempoh matang bagi Dewan Undangan Negeri Selangor adalah 22 April 2013. 

Lain-lain negeri turut akan terbubar secara otomatis mengikut tempoh masa seperti berikut :-  Johor (21 Mac) , Negeri Sembilan (26 Mac), Pahang (7 April), Perak (24 April) , Melaka (26 April) , Perlis dan Kelantan (28 April) , Sabah (29 April) , Penang dan Kedah (2 Mei) dan Terengganu (5 Mei) 
 
Walau apa pun, keputusan Pilihanraya Umum ke 13 nanti adalah terletak di tangan anda semua sebagai pengundi yang sah di hari mengundi Pilihanraya Umum ke 13 kelak.

Apa pandangan balas anda sebagai pengundi pula?
 
Bagaimana anda melihat iklim politik di kawasan Parlimen anda sekarang?

Jentera Pilihanraya Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 kelak.

Thursday, February 7, 2013

PERANG POLITIK - MENJELANG PRU KE 13

Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU) semakin hampir. Serangan serta pendedahan isu sudah dan akan masuk ke pusingan terakhir. BARISAN NASIONAL (BN) dikatakan akan berhadapan dengan PRU 13 paling getir pernah dilalui. Ini adalah andaian dan pendapat kepimpinan politik yang ada termasuk kepimpinan tertinggi UMNO sekali. Misi untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak oleh kedua-dua belah pihak berlaku dan semakin sengit. Namun apa yang Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras lihat ialah serangan pembangkang terus konsisten dan satu persatu isu dikeluarkan sedangkan BN masih tersangkut-sangkut dengan isu yang sama.


Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras mendapat maklumat beberapa isu baru sedang dimasak oleh pembangkang dan ia pasti akan diletupkan pada saat yang tepat dan masa yang sesuai. Dalam pada itu adakah BN masih lagi tersangkut, menoleh dan mencari apa lagi yang boleh  dilakukan untuk meyakinkan rakyat bahawa BN dan UMNO adalah pilihan untuk kestabilan negara. Ini perlu dibuat sekarang di samping mula bertindak untuk menyerang pembangkang sebagaimana mereka menyerang kepimpinan BN dan UMNO dalam isu yang lebih cerdik dan lebih memberi persepsi menyeluruh.

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras ingin bertanya mengenai mereka yang menyeberang masuk ke UMNO dari PKR. Mereka dilihat suatu masa dahulu hebat dalam PKR, namun apa jadi dengan mereka semua? Apakah mereka berjaya dalam misi mereka? Kita lihat Ezam Mohd Noor dan gerombolan mereka, adakah mereka telah berjaya memecahkan benteng PKR ? Adakah mereka berjaya membawa orang untuk mengalih pandangan dari melihat ke Pakatan Rakyat kepada BN dan UMNO? Adakah mereka berjaya dalam menahan perkembangan Pakatan Rakyat dalam membentuk persepsi bahawa mereka sudah sedia untuk memerintah negara?

Mungkin benar dan mungkin juga tidak. Apa yang jelas nampak ialah mereka setakat ini hanya fokus untuk menyerang keperibadian Datuk Seri Anwar Ibrahim, lantas terus mempopularkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menjadi lebih besar dari sepatutnya. Langkah untuk mereka melakukan strategi menyerang keperibadian Anwar itu terus menerus diasosiasikan dengan UMNO lantas UMNO sendiri menerima bahana kesan dari kegagalan mereka.

BN dan UMNO masih lagi dalam persekitaran elitis. Itu mungkin satu kenyataan yang keras tetapi mereka tidak lagi berjaya membawa jiwa perjuangan dalam kancah perang politik yang ada. Mereka masih dalam kenangan kekuatan dan kekuasaan, lantas perang politik mereka masih terkandung dalam ilusi bahawa mereka kuat dan mereka mampu melakukan dengan cara bersahaja sahaja.

Hari ini menjelang pilihanraya, BN masih tercari-cari “punch line” untuk memukul politik pembangkang. BN masih lagi teraba-raba dalam menyalurkan kebaikan BN perlu berusaha lebih untuk menyalurkan bantuan keprihatinan kepada rakyat, melakukan yang terbaik untuk memulangkan kesejahteraan kepada rakyat tetapi masih terkedu dengan sambutan rakyat dengan pembangkang.

Mungkin dalam masa beberapa minggu ini, sesuatu yang lain dapat dilakukan untuk menarik kembali perhatian rakyat kepada BN dan UMNO. Andai kata,  kalau pun BN/UMNO menang dalam PRU 13 ini, keadaan Kerajaan yang memerintah tidak mungkin selesa dan negara akan sentiasa berada dalam pergolakan politik yang merugikan. 
 
 
 

Wednesday, February 6, 2013

MAJLIS PENYERAHAN BAUCER BANTUAN RAKYAT 1 MALAYSIA

Majlis penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) peringkat ke 2 telah di adakan semalam bertempat di PPR Sri Alam,Cheras Kuala Lumpur.
 
 
Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) telah di sampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee kepada penerima - penerima yang layak di sekitar Parlimen Cheras. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras, Puan Sarina Sharif bersama  Ahli - Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Cheras dan pemimpin Parti komponen Parlimen Cheras . 
 
Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras merasakan usaha pemberian BR1M 2.0 sangat baik dilakukan dan sepatutnya diteruskan di masa akan datang. Namun begitu dalam pada masa yang sama Kerajaan perlu mengambil serius dengan mencari jalan penyelesaian terbaik bagaimana cara untuk mengekang lonjakan kos sara hidup yang menghimpit golongan pertengahan, dan berpendapatan rendah termasuklah isu pemilikan rumah. 
 
 

 
 
 

Monday, February 4, 2013

SEKALUNG TAHNIAH KEPADA DATUK SERI SYED ALI AL HABSHEE

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee hari ini dianugerahkan Darjah Seri Mahkota Wilayah (S.M.W.) bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, yang membawa gelaran DATUK SERI.

Anugerah tersebut disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, di Balairongseri, Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Datuk Seri Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai penghargaan terhadap seluruh kepimpinan UMNO di Bahagian Cheras dan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur amnya.

"Saya amat terharu dengan penganugerahan tersebut dan insyaallah akan terus menabur khidmat bakti kepada masyarakat setempat," katanya ringkas ketika ditemui di majlis tersebut.

Dua orang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Cheras, iatu Encik So'aid Ali turut dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W.) dan Puan Sri Datin Che Ashidah Mini,di anugerahkan Kesastria Mahkota Wilayah (K.M.W.).

Pegawai Media kepada Datuk Seri Syed Ali, Encik Amran Mamat pula dianugerahkan Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W).
 
Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras mengambil kesempatan mengucapkan sekalung Tahniah kepada Datuk Seri Syed Ali Al Habshee dan penerima - penerima anugerah pingat sempena Hari Wilayah 2013.
 

Sunday, February 3, 2013

MENJELANG PILIHANRAYA UMUM KE 13


 


Pada tahun 2013 Pilihanraya Umum ke 13 akan diadakan. Perdana Menteri boleh menasihatkan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa sebelum tarikh terakhir Pilihanraya Umum wajib diadakan. Dari sekarang hingga ke tarikh Pilihanraya Umum diadakan maka semua parti akan mempersiapkan diri masing-masing untuk mencapai kemenangan kerusi bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebanyak mungkin untuk membolehkan penubuhan kerajaan. Oleh itu semua pilihanraya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri atau kawasan Parlimen yang diadakan menjelang Pilihanraya Umum ke 13 menjadi ukuran dan bahan kajian untuk semua parti membuat perhitungan atas strategi dan taktik yang perlu diikuti untuk mencapai kemenangan.dalam Pilihanraya Umum ke 13.

Apabila keputusan satu-satu pilihanraya umum atau kecil diumumkan maka berbagai-bagai alasan diberi oleh pihak yang menang apatahlagi yang kalah mengenai prestasi masing-masing. Yang menang sudah pasti memuji-muji diri, sama ada parti, dasar, kepimpinan dan peribadi calon yang bertanding mengikut siapa yang membuat ulasan dan kenapa ulasan itu dibuat. Yang kalah, jika ianya dari kalangan pembangkang kepada Barisan Nasional, sudah tentu menyalahkan daftar pengundi, sistem pengundian dan, jika ada pergaduhan, sudah tentu pihak polis disalahkan. Tidak nampak langsung penerimaan keputusan dalam satu-satu pertandingan dalam sistem demokrasi sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengasas Syarikat National, Encik Matsushita supaya yang mengamalkan demokrasi hendaklah mempunyai dua sikap iaitu - "Susyi dan Sunao".

"Susyi" bererti menerima keputusan kalah atau menang walau dengan satu undi sekali pun dan yang menang hendaklah dianggap sebagai mewakili semua yang mengundi sehinggalah pemilihan yang akan datang.

 "Sunao" pula bererti seseorang yang menang atau kalah hendaklah mampu melihat kebaikan yang ada pada lawannya supaya dapat bekerjasama membangun organisasi, negeri atau negara.

Perkara pokok di dalam membuat keputusan untuk mengundi tersangat bergantung kepada budi, janji, ingatan dan keyakinan. Bagi kerajaan yang memerintah mahunya ialah supaya rakyat sentiasa mengenang budi yang telah ditabur sepanjang pemerintahannya. Yang menentang kerajaan pula akan berusaha supaya rakyat melupakan budi yang telah ditabur dan, jika mampu, mencemarkan atau menidakkan budi itu. Atau pun sekurang-kurangnya memperkecil-kecilkan sesuatu budi itu dengan mengatakan bahawa ianya ialah satu tanggungjawab yang akan dilaksanakan oleh sesiapa sahaja yang memerintah. Pihak pemerintah pula akan mengingatkan bahawa bukan semua pihak yang memerintah mampu melaksana apa yang telah dilaksanakan oleh mereka.

Calon yang bertanding pula mempunyai peluang untuk mengingatkan pengundi kepada khidmatnya selama menjadi wakil, apatahlagi jika calon itu pernah memegang jawatan dalam kerajaan. Apakah ada budi atau jasa calon kepada pengundi setempat, kepada kawasan, negeri atau negara?

Begitu juga di dalam keluarga. Masyarakat yang ingin bersatu itu hendaklah dianggotai oleh banyak keluarga dari kalangan masyarakat itu yang bersatu-padu dan tidak purak-puranda. Untuk bersatu syarat utama yang wajib wujud di antara anggota keluarga ialah sikap mengenang budi. Hubungan ibu dan bapa dalam keluarga akan aman damai jika dari sejak mereka muda remaja mereka berbudi antara satu sama lain dan budi itu kekal dalam ingatan sehingga jika ada sengketa antara mereka berdua ikatan budi itu cukup kuat sebagai benteng yang kukuh yang dapat mengembalikan mereka menjadi harmonis.

Anak-anak pula hendaklah mengingati dan sentiasa mengenang budi ibu dan bapa kepada mereka. Dengan adanya ingatan inilah maka ibu bapa akan berbangga dengan adanya anak sedemikian. Sementara itu pula antara adik beradik akan terjalin ikan yang bertambah harmonis dengan adanya ingatan ke atas budi antara sesama mereka.

Di hari tua, apabila wajah ibu sudah kedut dan bapa tidak bermaya lagi ingatan kepada budilah yang akan mengekalkan hubungan yang mesra antara mereka. Ibu bapa akan merasa bahagia apabila menerima kiriman dari anak yang jauh dan akan terus terhibur apabila anak-anak balik untuk berhari raya.
Tanpa budi tidak ada kebahagiaan dalam keluarga. Tanpa mengenang budi calon oleh pengundi tidak adalah undi baginya.

JANJI DI TEPATI


Bagi parti yang belum memerintah atau calon yang belum pernah berkhidmat maka usaha gigih ialah dalam mengetengahkan janji-janji murni dan suci. Kerja ini agak mudah jika calon itu berlatarbelakang agama. Jika tidak, adalah penting bagi calon itu mempunyai kelulusan dan watak yang lebih memberi harapan kepada pengundi. Agak mudah bagi calon yang belum pernah menang untuk mengetengahkan dan membesarkan rekod buruk samaada benar atau rekaan mengenai lawannya.

Janji parti juga penting. Parti yang cuba mengalahkan parti yang memerintah mempunyai kelebihan dari segi membuat janji kerana belum diuji dan janji itu pun belum pasti atau perlu dilaksanakan. Memang janji dalam pilihanraya, mengikut bekas Perdana Menteri Britain, Mr. Harold Wilson, 'janji dalam pilihanraya itu hanyalah janji sahaja'.

Seorang bekas Timbalan Perdana Menteri telah menjanjikan Islam sebagai wadah perjuangan sebelum beliau menjadi Menteri sehingga beliau begitu popular dan dipilih menjadi pemimpin di peringkat atasan. Apabila beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan beliau menjanjikan pula kekayaan dan kemewahan kepada penyokong-penyokongnya. Ternyata wang lebih popular dari agama sebagai hadiah untuk mendapat sokongan. Apabila ditakdirkan hilang kuasanya sebagai Timbalan Perdana Menteri beliau terpaksa merobah janjinya untuk memperjuangkan keadilan untuk rakyat jelata. Keadilan yang mempunyai berbagai wajah ini pula ditafsirkan oleh yang bukan Melayu dan Bumiputra sebagai usaha menghapuskan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu dan Islam.

Sebagai sahutan kepada janji pihak pembangkang untuk memperjuangkan keadilan dalam erti tersebut maka kelihatan pihak kerajaan di zaman Perdana Menteri sebelum ini juga membuktikan kesanggupan untuk menidakkan hak dan keistimewaan Melayu sehingga baru-baru ini pun beliau mengulangi di luar jawatan, bahawa 'tongkat' Melayu itu hendaklah dibuang.


Manusia, sebagai insan, adalah pelupa. Apatahlagi bangsa Melayu kita. Betullah yang Tun Dr. Mahathir katakan bahawa bangsa Melayu cepat lupa. Oleh kerana sifat pelupa ini sudah lumrah maka budi, yang biasanya menjadi modal besar, sebagaimana semestinya, sebagai simen, yang mengikat batu bata hubungan antara manusia, malahan juga sebahagian besar haiwan, tanpa haiwan menyedari erti budi, sudah hilang kekuatan atau kuasanya sebagai modal untuk mendapat sokongan dalam satu-satu pilihanraya kecil atau umum.

Jelas sekali ramai dari antara generasi muda sudah lupa kepada budi yang mereka nikmati dari Hak Istimewa Orang-Orang Melayu yang terukir dalam Perlembagaan dan tunjangan pelaksanaannya dalam Dasar Ekonomi Baru. Sementara generasi muda tidak menganggap biasiswa itu satu hak bagi mereka, sebaliknya sebagai satu 'tongkat' yang melambangkan penghinaan, dari antara yang angkuh, demikian pula kita dapati ada mereka yang mengamalkan rasuah politik secara tidak malu sedangkan 'rasuah' itu sendiri adalah 'tongkat' yang bukan hak tetapi haram dan memalukan bangsa.

Sudah terlalu ramai pula dari kaum China yang bangga dengan ke Chinaannya, tetapi anti sikap 'racist' yang ada pada Melayu, turut marah jika diingatkan sifat imigran yang ada padanya, tetapi lupa untuk berterima kasih kepada pemimpin mereka yang terdahulu seperti Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan yang tidak lupa berterima kasih kepada pemimpin Melayu yang dengan rela dan senang hati menerima nenek moyang imigran mereka untuk menjadi rakan senegera dengan pemberian kerakyatan. Dalam konteks sikap ingat dan lupa inilah politik dalam negara bergolak. 

Apakah yang sebenarnya perlu ditawarkan oleh seorang calon, pemimpin atau parti di dalam sesebuah pertandingan. Berbagai. Yang perlu diingat ialah, apabila seseorang itu perlu memilih antara prinsip dan kawan rata-rata kita dapati orang Melayu malahan orang-orang Islam jua mendahului kawan dari prinsip. Kita perlu berhati-hati apabila kita memberitahu sesuatu kepada pengundi sebelum dan sesudah pilihanraya kerana rakyat adalah seperti raja di dalam pilihanraya. 

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras amat yakin Barisan Nasional yang di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato Seri Najib akan memperolehi kemenangan besar di dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti. 
Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras akan bersama - sama dengan ahli - ahli  UMNO Bahagian Cheras yang diterajui oleh Datuk Seri Syed Ali Al Habshee, Ketua Bahagian UMNO Cheras akan melancarkan satu slogan untuk Pilihan Raya Umum ke 13 khusus untuk Pemimpin utama yang kita sanjungi iaitu Yang Amat Berhormat Dato Seri Najib.


Slogan : " 1 Malaysia Loves 2 BN : BERSAMA NAJIB, BINA NEGARA".