Thursday, June 28, 2012

JEMPUTAN MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS 2012


Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras Tahun 2012 akan di adakan pada tarikh 30hb Jun 2012 bersamaan 10 Syaaban 1433. Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO bahagian Cheras akan diadakan pada jam 10:00 pagi, bertempat di Dewan Utama, Pusat Rekreasi Cheras (PRC) Jalan Peel , Kuala Lumpur.
Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras akan di rasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Wira Syed Ali Al Habshee, Ketua UMNO Bahagian Cheras merangkap Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Kepada Ahli - Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Cheras, Ketua - Ketua Cawangan UMNO,  Ahli - Ahli Puteri Cawangan, Ahli - Ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan  di jemput hadir bersama - sama mengikuti Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO 2012.

Wednesday, June 20, 2012

DAFTAR SEBELUM BULAN JUN LAYAK MENGUNDI PILIHANRAYA UMUM

Kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih, masih berpeluang mengundi sekiranya mendaftar sebelum 30 Jun ini jika Pilihan Raya Umum diadakan selepas Ogos.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Jun adalah detik paling sesuai untuk mereka mendaftar sebelum senarai pemilih diwartakan pada Ogos depan.

"Bulan Jun ini adalah bulan terakhir suku tahun 2/2012 dan selepas itu nama-nama tersebut akan dipamerkan pada bulan berikutnya iaitu Julai selama dua minggu. Jika tiada sebarang bantahan, senarai daftar pemilih berkenaan boleh diwartakan," katanya.


Dalam setahun ada empat suku tahun iaitu suku tahun pertama (Januari-Mac), suku kedua (April-Jun), suku ketiga (Julai-September) dan suku keempat (Oktober-Disember), kini SPR dalam proses menerima permohonan pendaftaran pemilih bagi suku tahun kedua.

Sehingga suku 1/2012, seramai 12.9 juta yang sudah mendaftar, daripada jumlah itu pengundi Melayu (6,782,990), Cina (3,871,277), India (938,946), Bumiputera Sabah (618,277), Bumiputera Sarawak (519,563), Orang Asli (69,510) dan lain-lain (11,2027).


Bernama melaporkan Tan Sri Abdul Aziz berkata, selain pendaftaran baru, Jun juga penting kepada mereka yang sudah mendaftar membuat semakan. "Ia bagi membolehkan pemilih mengetahui sekiranya terdapat perubahan lokaliti, tempat mengundi atau sebarang kesilapan dan ketidaktepatan maklumat, jika semakan dibuat selepas Jun mungkin sudah terlewat," katanya.

Beliau berkata, hanya pemilih sahaja boleh memohon menukar butir diri masing-masing dalam Daftar Pemilih, SPR tidak dapat membetulkan apa-apa kesilapan yang berlaku tanpa pemilih itu sendiri memaklumkan kepada SPR mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan.
"Tidak boleh beranggapan disebabkan sudah mengundi di tempat sama sebanyak tiga kali sebelum ini, maka kita pun ambil mudah tidak mahu membuat semakan, tidak boleh begitu adalah lebih baik buat semakan bukannya susah pun," katanya.



Bagi menggalakkan pemilih membuat semakan, kempen bulan semakan diadakan sejak 1 Jun lepas selama sebulan dan sehingga 11 Jun, hanya satu peratus sahaja iaitu kira-kira 138,216 pemilih telah berbuat demikian.

"Jumlah itu jika dibandingkan dengan jumlah pemilih berdaftar adalah terlalu kecil kerana jumlah pemilih berdaftar sehingga suku tahun 1/2012 adalah seramai 12.9 juta orang," katanya.

Tan Sri Abdul Aziz berharap selepas ini lebih ramai yang akan mendaftar dan membuat semakan kerana pelbagai kaedah disediakan SPR untuk kemudahan orang ramai.

Semakan boleh dibuat melalui Call Centre di ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6565 atau pejabat Pilihan Raya Negeri mulai 8.00 pagi hingga 5.00 petang, Isnin hingga Ahad tujuh hari seminggu sepanjang bulan berkenaan.

Semakan juga boleh dibuat di laman web SPR di www.spr.gov.my atau Sistem Khidmat 
Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Semakan di kaunter SPR boleh dibuat di Ibu Pejabat SPR Putrajaya, ataupun di pejabat Pilihan Raya Negeri dan dibuka pada Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang sepanjang bulan berkenaan. 

Sumber Berita -Agenda Daily

PUTERI UMNO AKAN BANTU SPR JEJAK 3.6 JUTA YANG BELUM DAFTAR SEBAGAI PENGUNDI

Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa 3.6 juta rakyat Malaysia yang telah layak mengundi tetapi belum daftar mengundi merupakan situasi yang perlu di pandang serius.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin berkata, Puteri UMNO melihat isu ini perlu diberi perhatian sewajarnya dan diambil tindakan segera.

“Hal ini kerana dari jumlah tersebut menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia tidak mengambil berat tentang kepentingan mereka untuk menjadi pengundi serta mengambil mudah urusan mendaftar dan mengundi.

“Mereka merasakan bahawa satu undi mereka itu tidak akan menjejaskan keadaan ataupun mereka berfikir masih ada ramai lagi yang mengundi,” ujarnya mengulas kenyataan SPR bahawa terdapat 3.6 rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar sebagai pengundi lagi.

Dalam masa yang sama jelas beliau Pergerakan Puteri UMNO melalui Skuad Daftar Pemilih sentiasa berusaha mendaftarkan seramai mungkin sebagai pengundi.

Justeru katanya Pergerakan Puteri UMNO sama ada di peringkat pusat, negeri atau bahagian membuka kaunter daftar pengundi atau kaunter PR semasa Puteri UMNO melaksanakan program bersama masyarakat.

“Terdapat juga usaha dari Pergerakan ini membuka kaunter SPR di pasar malam dan kedai mamak. Langkah ini dilaksanakan adalah bagi memastikan rakyat Malaysia yang telah layak mengundi mendaftar sebagai pengundi.

“Jika dilihat statistik dari 383,805 orang ahli Puteri UMNO, 306,352 orang daripadanya merupakan golongan pengundi,” ujarnya lagi. 

Sumber Berita - MediaUMNO

Tuesday, June 5, 2012

BILA BUKAN MELAYU MENJADI PERDANA MENTERI?

Kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa beliau tidak akan berhenti dari memperjuangkan bukan Melayu untuk memegang jawatan Perdana Menteri di negara ini, memperlihatkan bahawa usaha untuk menguasai tampuk kepimpinan tertinggi di negara ini tidak pernah padam di kalangan pemimpin dan ahli DAP.

Malah, Karpal ‘tersasul’ pula menyebut Lim Guan Eng sebagai Perdana Menteri membuktikan bahawa Anwar Ibrahim, Nik Aziz, Haji Hadi, ahli-ahli PKR dan Pas hanyalah menjadi kuda tunggangan atau balaci mereka untuk mencapai matlamat tersebut.


Namun, perlu diingat, bahawa kenyataan atau impian Karpal itu bakal menjadi kenyataan, sekiranya umat Melayu di negara ini terus berpecah belah hanya kerana perbezaan pendapat dan pendekatan di dalam politik seperti yang berlaku hari ini.


Lihat sahajalah hari ini, biarpun perpecahan umat Melayu di negara ini belum sampai ke tahap yang amat kritikal, namun golongan pejuang politik yang rasis dan liberal seperti DAP sudah mula memperlihatkan belang mereka. Hari ini, mereka tidak lagi segan silu atau takut untuk bersuara mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi, Raja-Raja Melayu apatah lagi untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu yang menjadi sasaran dan kecaman mereka pada setiap masa. Justeru itu, umat Melayu perlulah sedar dan sentiasa beringat, bahawa segala nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada umat Melayu di negara ini adalah sesuatu yang boleh ditarik balik, sekiranya umat Melayu terus berpecah belah dan tidak mahu bersatu padu dalam membela agama dan kuasa politik Melayu sebagai syarat utama untuk mensyiarkan daulah Islam di negara ini.

Umat Melayu perlu sedar bahawa perpecahan yang berlaku di kalangan umat Melayu ini bukanlah sesuatu yang tidak sengaja atau timbul secara semulajadi, tetapi ia merupakan satu gerakan terancang oleh golongan tertentu yang mahu menguasai pentadbiran di negara ini dan hanya satu caranya, iaitu dengan memecah belahkan umat Melayu sehingga hilang kekuatan mereka, biarpun pada angkanya umat Melayu menjadi bangsa majoriti di negara ini. Malahan, apa yang lebih bahaya hari ini ialah apabila sikap sebahagian dari umat Melayu yang lebih mementingkan diri sendiri dan tidak mahu mengambil tahu tentang politik, serta bersikap jahil dalam ilmu dan lebih tertumpu kepada perkara-perkara negatif yang berbentuk hiburan semata-mata. Sedangkan medan politiklah yang menjadi saluran golongan politikus rasis dan liberal yang anti Islam dan Melayu untuk menguasai pentadbiran negara dalam usaha untuk menjadikan Islam, Raja-Raja dan Hak Istimewa Orang Melayu tinggal sebagai satu lipatan sejarah di negara ini.



Apakah umat Melayu merasakan bahawa sekiranya Perdana Menteri negara ini bukan di kalangan orang Melayu, maka dia akan memelihara Islam, Raja-Raja dan Hak Istimewa Orang Melayu seperti mana yang wujud pada hari ini? Sudah tentu tidak!

Ada juga suara-suara yang sesetengah umat Melayu yang jahil mengatakan, apa yang nak dirisaukan kerana orang Melayu tetap akan menjadi pemimpin tertinggi baik di peringkat pusat ataupun negeri, sekiranya Pakatan Pembangkang berjaya menguasai pentadbiran negara, kerana itu sudah termaktub di dalam perlembagaan. Golongan ini tidak tahu kerana kejahilan mereka, bahawa perlembagaan boleh dipinda, atau ditukar sekiranya majoriti 2/3 yang dimiliki oleh Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO berpindah milik kepada Pakatan Pembangkang satu hari nanti. Ini sudah terbukti apabila kerajaan Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Pembangkang bercadang untuk meminda perlembagaan baru-baru ini kerana mereka adalah majoriti yang menguasai kerajaan di negeri tersebut.

Tidakah umat Melayu sedar, bahawa usaha Pakatan Pembangkang, terutama DAP adalah untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara republik di mana Islam tidak lagi menjadi agama rasmi, Raja-Raja akan dipaksa untuk turun takhta dan hak-hak istimewa Melayu akan dihapuskan!

Lihatlah nasib agama Islam, Raja Melayu dan bangsa Melayu yang hidup di pulau di selatan tanahair, yang satu ketika dulu dipanggil Temasik, di mana har ini kemuliaan dan keagungan Melayunya sudah tinggal dalam lipatan sejarah yang usang dan tidak dipedulikan lagi.
Justeru itu, umat Melayu di negara ini perlu cepat-cepat sedar dan bangkit sebelum nasi menjadi bubur. Bersatulah umat Melayu dalam dua perkara yang diikat oleh Allah s.w.t. kepada kita sebagai tali kekuatan iaitu atas nama Islam dan bangsa. Janganlah kita berpecah hanya kerana perbezaan pendapat politik dan pendekatan cara pentadbiran negara, kerana ia akan menyebabkan datangnya bencana dan kehancuran yang besar terhadap umat Melayu secara keseluruhannya.

Ambillah iktibar daripada sejarah sebagai satu pengajaran. Dan ingatlah pepatah orang-orang tua kita dulu yang berpesan, jangan sudah terantuk baru nak terngadah dan janganlah kita hanya menang bersorak, sedangkan kelak Islam, Bangsa, Tanahair dan maruah umat Melayu tergadai tanpa dapat ditebus kembali.

Monday, June 4, 2012

MAJLIS PELANCARAN JENTERA PILIHANRAYA BARISAN NASIONAL WILAYAH PERSEKUTUAN

Semalam bertempat di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur,  Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan. Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi Perhubungan Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan telah menyampaikan  mesej jelas mengenai “sokong siapa saja calon BN”. Pada pilihan raya umum (PRU)yang  ke 13 nanti, apa yang penting ialah kemenangan parti bukannya calon yang bertanding.
Kata Tan Sri Muhyiddin: “Walaupun kawasan itu kawasan yang bukan Umno, kemenangan rakan-rakan kita dalam BN menentukan kemenangan parti kita walaupun yang bertanding itu MCA atau Gerakan (misalnya), kita harus menyokong parti yang bertanding kerana mereka bertanding atas tiket BN dan kemenangan itu kelak adalah kemenangan BN”.
Mesej ini bukan sekadar untuk Wilayah Persekutuan sahaja sebaliknya di seluruh negara. Tetapi bagi Wilayah Persekutuan terutama di Kuala Lumpur, setiap anggota parti komponen BN perlu menerima baik mesej ini jika mereka mahu “gelombang biru” membersihkan tsunami politik 2008.
Apakah Umno / BarisanNasional terutama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah bersedia untuk bangkit semula? Tsunami politik 2008 menyebabkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur jatuh ke tangan DAP, PKR, Pas. Bukannya luar biasa bagi pembangkang menguasai kerusi di ibu negara dan sekitarnya tetapi dengan hanya satu kerusi, keputusan PRU yang lalu bagi BN amat memeritkan.

Daripada 11 yang ditandingi, Barisan Nasional tewas di 10 kerusi. Setiawangsa yang ditandingi Dato’ Seri Zulhasnan Rafique “menyelamatkan” keadaan. Berbekalkan Parlimen Setiawangsa, Umno /BN masih “terus bernafas di pusat sehenti” yang menjadi nadi urusan politik, pentadbiran dan pengurusan negara.

Menyelak kembali keputusan PRU lalu di Wilayah Persekutuan, Umno bertanding di lima kerusi termasuk Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan. Keputusan mengejutkan apabila Dato Shahrizat Abdul Jalil kalah kepada calon PKR, Nurul Izah Anwar (PKR) di Lembah Pantai dengan majoriti 2,895 undi. Dato Shahrizat gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2004 dengan majoriti 15,288 undi. Satu lagi kerusi ialah di Parlimen Titiwangsa apabila muka baru, Aziz Jamaluddin Mhd Tahir tewas kepada Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali (Pas) dengan majoriti 1,972 undi berbanding kemenangan calon BN 2004 dengan majoriti 11,815 undi.

Mampukah BN menguasai semula Lembah Pantai dan Titiwangsa dan mengekalkan Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan?

Semuanya terletak kepada kepimpinan dan anggota parti di kawasan berkenaan sejauh mana mereka dapat menerima amaran, nasihat dan teguran Tan Sri Muhyiddin. Jika masih mahu berebut, “pijak kepala” kawan, sabotaj dan macam-macam lagi, maka lupakan saja kemenangan. Bagaimana pula dengan lapan kerusi yang ditandingi MCA dan Gerakan? MCA dan Gerakan tersungkur dan tersingkir di KL pada PRU lalu.

Antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan BN di Lembah Klang termasuklah kehilangan undi yang ketara daripada masyarakat Cina dan India. MCA gagal mempertahankan Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak apabila tewas kepada PKR sementara DAP pula menyapu bersih kerusi yang menjadi “kubu kuat” mereka di Seputeh, Bukit Bintang dan Cheras.

Gerakan pula gagal mempertahankan Segambut dan Batu yang jatuh kepada DAP dan PKR serta terus mengalami kekalahan di Kepong, kerusi tradisi DAP. Kecuali di Bandar Tun Razak, majoriti pengundi ketika itu adalah masyarakat Cina dan kedudukan itu mungkin masih kekal sehingga sekarang.

Mungkin untuk PRU akan datang, BN melalui mana-mana parti komponen sekurang-kurangnya perlu “mengambil semula” Segambut, Batu, Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak sementara kerusi lain boleh dianggap bukan pilihan utama untuk menang. Jika menang, mungkin di Bukit Bintang, ia adalah satu bonus kepada BN.

Ramai yang menjangkakan BN mampu “mengambil semula” Wangsa Maju, kawasan yang dilihat mempunyai ramai pengundi Melayu. Pada PRU lalu, calon PKR, YB Wee Choo Keong menang dengan majoriti 150 undi mengalahkan penyandang, Yew Teong Look yang sebelum itu menang dengan majoriti 10,185 undi.

Khabarnya, Umno berminat dengan kerusi Parlimen Wangsa Maju, sementara PKR dijangka meletakkan Dr Tan Kee Kwong, bekas Ahli Parlimen Segambut yang juga bekas Pengerusi Gerakan WP KL. Bekas timbalan menteri itu kini mengetuai Wangsa Maju selepas YB Wee Choo Keong menjadi wakil rakyat Bebas.

Begitu juga dengan Bandar Tun Razak. Adakah strategi PKR menurunkan calon Melayu, Khalid Ibrahim yang memenangi kawasan itu akan menjadi turutan BN? Mungkin formula ini boleh diguna pakai untuk sekurang-kurangnya PRU akan datang dengan matlamat untuk menang dan berdasarkan kepada “calon boleh menang” yang boleh diterima pengundi serta penduduk setempat. Maka setiap parti komponen BN perlu sedia “berkorban” demi strategi yang dapat menjamin kemenangan BN.
Pada masa yang sama pemimpin-pemimpin berpengaruh di Wilayah  Persekutuan boleh menjadi faktor kekuatan untuk menggerakkan jentera Umno seperti Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Dato Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta dua bekas Pengerusi Umno WP iaitu YB Dato Seri Zulhasnan Rafique, YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Al Habshee.


Mereka boleh memainkan peranan yang penting untuk memperkuatkan lagi jentera BN dan Umno Wilayah Persekutuan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin, Timbalan Perdana Menteri itu perlu diberi sokongan yang kuat oleh setiap pemimpin parti komponen BN di WP supaya tidak timbul masalah menjelang PRU.

Semua pemimpin BN di semua peringkat iaitu Umno, MCA, MIC , Gerakan dan PPP perlu bersatu untuk memperkukuh, memperkasa dan memperkuatkan lagi jentera parti. Di Wilayah Persekutuan, pemilihan calon amat sensitif kerana tidak ada kerusi Dewan Undangan Negeri. Ini menjadi cabaran kepada pemimpin untuk mencari calon boleh menang yang terbaik dari segala aspek.

Harus diingat, geografi politik Kuala Lumpur melibatkan kumpulan campuran iaitu golongan elit dan sederhana termasuk pengundi baru dari seluruh negara yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Merekalah yang akan menentukan gelombang pilihan pada PRU akan datang.