Wednesday, November 30, 2011

UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA


Pergerakan Puteri UMNO bertekad untuk menunjangi gerakan perubahan pemikiran dan cara bertindak generasi muda, kata Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.


Saya suka memulakan ucapan ini untuk kita bersama-sama menyelak keagungan beberapa kisah dalam sejarah. Mungkin ramai yang tidak menyedari, sudah banyak hikayat dan riwayat yang dikisahkan kepada kita tentang kehebatan insan bernama Puteri dan kelembutan mereka dalam mengubah dunia.

Kisah pertama. Atas wadah perjuangan, Puteri Hang Li Po adalah puteri yang menyatukan kesantunan budaya Melayu dan keunikan tradisi Cina. Kehebatan wadah perjuangan Puteri Hang Li Po menukilkan sejarah kejayaan, menyatukan 2 bangsa, mengeratkan dua bahasa.

Kisah kedua. Atas wasilah keikhlasan, Puteri Balqis, adalah satu-satunya Sang Puteri yang diundang menjadi saksi kemahsyuran istana kaca Nabi Sulaiman. Kerendahan hati dan pekerti Puteri Balqis menjadi asbab seluruh rakyat tunduk dan tawadhuk kepada Pencipta, dan Pemilik seluruh semesta.

Kisah ketiga, atas hikmah kebijaksanaan, Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah adalah Puteri Gunung Ledang yang bisa menundukkan keangkuhan seorang sultan yang bersemayam di singgahsana kebatilan. Sebalik santun beradab, Puteri Gunung Ledang menggunakan hikmah kebijaksanaan untuk membuktikan kepada sebuah pemerintahan, betapakuasa wanita bukan pada rupa, sebaliknya kuasa sebenar wanita pada tajamnya akal minda, padahalusnya kuasa fikir yang sukar dibaca dan ditafsir.

Sebagai Puteri, saya percaya kesemua peristiwa ini lebih daripada sekadar satu rakaman sejarah lampau atau mitos rakyat. Ini adalah satu bingkisan peristiwa yang akan mengajar kita tentang wadah, wasilah dan hikmah perjuangan seorang wanita muda. Mereka bukan Puteri pada nama, tetapi Puteri pada jiwa. Mereka bukan Puteri pada pangkat, tetapi Puteri pada semangat. Mereka bukan Puteri untuk ditatang, mereka adalah Puteri yang bisa turun ke medan juang. Inilah roh perjuangan dan semangat sebenar seorang Puteri.

Tamsilan dari kisah ini, dan mengambil roh semangat setiap watak-wataknya, saya dengan rasa rendah diri berdiri sebagai Ketua Puteri, mengambil setiap bait-bait harapan, semangat, impian, dan daya juang yang tertanam dalam setiap roh perjuangan ahli-ahli Puteri, untuk kita bersama-sama merungkai dan menilai, makna disebalik wadah, wasilah dan hikmah sebuah perjuangan.

Kita sudah melalui sebuah perjalanan yang panjang. Justeru, ucapan saya pada hari ini, ingin mendekatkan kita untuk menyusur semula wadah perjuangan kita, merasai setiap nafas perjuangan yang menghela wasilah keikhlasan dan bertulang sendikan hikmah kebijaksanaan.

Srikandi - srikandi bangsa,

10 TAHUN PERJUANGAN PERGERAKAN PUTERI UMNO.

Tahun ini adalah ulangtahun Pergerakan Puteri yang ke 10. Apa ada pada angka sepuluh? 10 Zulhijjah, adalah saksi peristiwa Nabi Allah Ibrahim mengorbankan anaknya sebagai lambang kepatuhan kepada Yang Maha Esa. 10 Muharram, Hari Asyura yang menyaksikan Nabi Nuh dan seluruh pengikutnya menghulurkan segala yang mereka ada demi menjamin kelangsungan dan survival kehidupan. Dan surah ke 10 dalam Al Quran adalah Surah Yunus, yang menceritakan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah yang menuntut pengorbanan dan ketakwaan hamba pada Khaliknya.

Angka sepuluh ini membawa siginifikan tentang pengorbanan dan segala sifat yang terkandung di dalamnya. Angka sepuluh ini hadir sebagai petanda dan aksara keramat, betapa setiap yang dikerjakan atas roh perjuangan perlu bertunjangkan pengorbanan. Dan uniknya, tahun ini adalah tahun ke sepuluh pengorbanan Pergerakan Puteri sebagai sayap UMNO, yang berjuang meladeni ketuanan Melayu.

Syukurlah, rahmat dan redha Allah tidak pernah putus mengiringi perjuangan kita. Diturunkan kepada kita ujian untuk kita belajar dan sedar, betapa besarnya harga dan nikmat sebuah perjuangan. Sedar atau pun tidak, sepanjang 10 tahun ini juga telah lahir pejuang, wirawati, srikandi dan perevolusi dalam Pergerakan Puteri.

Malah dalam mana-mana kepimpinan pun akan lahir yang khianat, yang dengki, yang iri hati, yang tamak haloba, namun dengan matang kita bangun dan berkata, inilah resam, adat dan lumrah berjuang, kerana apabila kita mendaki puncak kejayaan, jalannya pasti berliku, ranjau pasti akan kita ketemu. Kesemuanya hanya sekadar menyediakan kita kepada satu jawapan, Kita kini dipuncak perjuangan?

Namun, apa yang kita miliki hari ini, tidak menjadikan kita buta, bisu dan pekak dari terus memperhalusi garisan panjang perjuangan bangsa. Kerana setiap dari kita harus punya semangat Melayu tulen. Semangat yang pantang menyerah sebelum kalah, semangat membujur lalu melintang patah, berpantang maut sebelum ajal. Atas semangat inilah, maka sudah sampai masanya kita memperkukuhkan wadah, wasilah dan hikmah perjuangan kita.

Saya ingin mengambil seketika masa saudari-saudari untuk kita memahami memahami terlebih dahulu, 3 perkataan keramat yakni wadah, wasilah dan hikmah, yang akan menjadi azimat perjuangan kita. Wadah, secara bahasanya membina maksud asas, tempat, platform, saluran dan medan yang paling berkesan dalam menggapai sesuatu sasaran. Justeru, kita hari ini sudah punya wadah. Malah belum ada dalam sejarah mana-mana bangsa, wadah ini bertahan merentas zaman ke zaman. UMNO dan Pergerakan Puteri adalah wadah kita, saluran kita, asas tempat kita, dan di sinilah medan kita berjuang, berperang dan menyediakan kehidupan kepada generasi masa hadapan.

Inilah satu-satunya wadah keramat orang Melayu dan wadah perjuangan ini yang akan kita pertahankan, walaupun terpaksa dipertaruhkan sehingga bercerai nyawa dari badan. Biar putih tulang jangan putih mata. Wasilah secara hurufiahnya adalah kedudukan, perantara dan sesuatu yang menyambung dan mendekatkan sesuatu dengan yang lain, atas dasar keinginan yang kuat untuk mendekati. Di dalam Al Quran sendiri, perkataan wasilah ini disebut sebanyak dua kali iaitu di dalam Surah Al Maidah ayat 35 dan Al Isra ayat 57, yang mengunjurkan pengertian tentang seruan untuk umat manusia mencari wasilah atau kedudukan dan jalan, yang mampu mendekatkan diri dengan Allah Yang Maha Esa.

Pemahaman yang lebih tajam, wasilah dalam konteks kehidupan adalah suatu kedudukan, perantara dan jalan yang seharusnya kita redahi untuk mencapai redha Ilahi, serta sebagai usaha yang istiqamah dalam meneruskan kelangsungan agama, bangsa dan negara. Wasilah dalam konteks perjuangan kita, seharusnya lebih terarah pada kedudukan dan jalan yang tepat, agar kita benar-benar berjuang dari jiwa yang waja dan hati yang tidak berbelah bagi. Kita mencari wasilah keikhlasan kerana yang menjadi perantara di antara apa yang kita juangkan dengan sesuatu yang dicari dalam perjuangan, hanya satu perkataan iaitu keikhlasan. Keikhlasan tidak penah membanding bezakan pangkat dan jawatan, juga keikhlasan tidak pernah buta dan bebal dalam mengenal emosi dan rasional.

Hikmah pula, adalah mengetahui dan mencari sesuatu yang terbaik, melaksanakan dengan cara yang terbaik untuk memperoleh hasil yang terbaik. Hikmah adalah keadilan dalam menghakimi dan ia dipasakkan atas kekuatan pengetahuan dan ilmu. Secara khulasahnya, perkataan roh hikmah ini mengajak kita untuk mendasari sesuatu kebenaran melalui ketajaman akal fikir, kekuatan rasional, keluasan sudut pandang, ketinggian ilmu serta keberanian mengambil tindakan.

Maka dalam konteks perjuangan Pergerakan Puteri, hikmah ini tersimpul mati dalam satu erti iaitu, kebijaksanaan. Inilah hikmah yang akan mendasari perjuangan kita sampai bila-bila. Bertitik tolak dari pemahaman wadah, wasilah dan hikmah inilah, maka setiap dari kita perlu untuk bermuhasabah semula, mengingati dan menginsafi setiap denai perjuangan selama 10 tahun yang telah kita lalui.Perubahan zaman, telah menjadikan Puteri semakin matang, terbuka dan optimis untuk kehadapan bersuara dan memberi pandangan.

Bangsa yang bertamadun lazimnya percaya, bahawa syarat asas membina sebuah ketamadunan ialah apabila tidak ada seorang pun dari rakyat yang dinafikan haknya untuk berjuang, dan haknya untuk bersuara. Atas kepercayaan itulah, maka usaha ke arah penubuhan Pergerakan Puteri Umno bermula, bagi menyediakan satu jawapan kepada 1001 persoalan, dimanakah wadah perjuangan wanita muda?

Syukurlah, Hari ini 10 tahun Puteri berdiri kerana pemimpin terdahulu tidak pernah berputus asa berjuang menyediakan wadah untuk kita. Pada tahun awal penubuhan Puteri, kita dikecam, kita dipandang rendah dan kita dicabar oleh banyak pihak. Tetapi semangat dan kemahuan kita untuk bangun berjuang telah membawa satu isyarat, bahawa wanita muda juga ada hak dan tidak mahu hak mereka dipinggirkan.

Tiada yang lebih berharga selain dari penghargaan terima kasih buat Datuk Azalina Othman, Ketua Pergerakan Puteri yang pertama yang lantang menentang semua suara-suara sumbang, dan tegar berdiri menyediakan kita wadah perjuangan ini.

Juga penghargaan terima kasih buat Datuk Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang kedua, dengan semangat dan kerja kuat beliau akhirnya telah merintis Pergerakan Puteri dalam memahami erti perjuangan melalui wasilah keikhlasan. Dan hari ini, tugas dan tanggungjawab ini terpikul di pundak kita. Kita punya wadah dan sudah bertemu wasilah, dan kini kita perlu belajar berjuang dengan asas hikmah kebijaksanaan.

Ibn Khaldun dalam karya agongnya Muqaddimah pernah menegaskan, ?Kebijaksanaan itu adalah asas untuk membangunkan kesejahteraan rakyat.? Justeru itu, bijaksana dalam berjuang, menuntut kita untuk mengenal siapa diri kita yang sebenar. Cara kita mendidik dan membesar juga menjadi petanda kematangan kita mendepani zaman.

Contohnya, dalam kitab Tarbiyatul Aulad karangan Abdullah Nasih Ulwan, jelas menerangkan betapa kanak-kanak berusia 7 tahun perlu diajar bersolat dan kalau enggan mereka perlu dinasihati. Dan pastinya ada sebab kenapa apabila 10 tahun baru Islam mewajibkan merotan anak yang enggan bersolat. Apakah signifikan dengan 10 tahun? Maka Tuhan mengajar kita bahawa pada usia ini kita sudah boleh menentukan halatuju hidup dan berhak menerima hukuman dan bertanggungjawab atas segala tindakan kita.

Andai kita ingin mengibaratkan perjuangan ini seperti kisah hidup seorang Muslim, maka Pergerakan Puteri UMNO sudah cukup dewasa dan benar-benar merdeka dalam memahami tanggungjawab dan halatujunya. Kita sudah mumaiyiz yang sudah bijak menentukan baik buruk dan tidak lagi mengharap sepenuhnya pada sayap-sayap yang lain dan kepimpinan tertinggi parti.

Kita sudah bijak bertindak dalam membuat keputusan demi menjaga kesarwajagatan bangsa Melayu. Kita sudah selayaknya berjuang dan bertindak untuk mengangkat martabat dan darjat bangsa kerana ia bukan hanya tanggungjawab parti tetapi ia juga tanggungjawab kita setiap ahli-ahli Puteri. Mari kita fahami semula asas perjuangan Pergerakan Puteri.

Tujuan asal penubuhan Puteri sebagai salah satu sayap utama parti ialah menjadi perintis kepada perubahan terhadap dua perkara, iaitu Teknologi Maklumat dan Generasi Muda. Kedua-dua elemen ini kita bangunkan sebaik mungkin sebagai asas dan matlamat perjuangan kita. Dan hari ini Pergerakan Puteri UMNO jelas dihadapan dalam menyediakan keperluan teknologi maklumat dalam arus media baru sehingga kita telah dikenali sebagai pemegang kunci azimat maklumat maya. Pengenalan Cyber Troopers adalah lambang betapa kita dihadapan dalam usaha merakyatkan penggunaan teknologi dan semua maklumat ini diurus tadbir dengan berhikmah. Puteri juga sentiasa terbuka dalam memahami dan mendekati secara berhikmah keperluan dan kehendak generasi muda. Khulasahnya, media baru dan generasi muda memang sudah sinonim dan Pergerakan Puteri sebagai wadah untuk kedua-dua bergerak atas wasilah dan berhikmah.

Perubahan akan lebih terkesan, andai ia bermula dari dalam dan persoalan bagaimana cara mengubah harus di fahami secara berhikmah. Kita harus berubah dan bersedia untuk diubah. Dengan ini transformasi yang lebih dinamik akan terus menggerakkan perjuangan. Dengan ini saya mencadangkan Gagasan Tranformasi Puteri ( GTP ) yang digerakkan melalui 5 asas utama.

Pertama: TRANSFORMASI AKHLAK

Puteri akan kehadapan dalam menyediakan contoh akhlak terpuji yang harus diteladani.

Kedua : PERADABAN

Semua usaha dan pendekatan kita, akan lebih terarah kepada pembinaan sebuah peradaban bangsa yang berjaya.

Ketiga : TRANSFORMASI PERENGGU MINDA ATAU “MIND SET”.

Sudah tiba masanya kita membuka kotak fikir kita, untuk melihat perjuangan dalam bermacam sudut pandang dan perspektif. Lebih terbuka dalam menerima kritikan dan lebih berani menegakkan kebenaran.

Keempat : TINDAKAN.

Tindakan kita harus lebih agresif, proaktif dan lebih mengutamakan kepentingan parti dari kepentingan indidvidu.

Kelima: PEMIKIRAN.

Inilah tranformasi paling utama dan setiap dari kita harus percaya, semuanya harus bermula dengan asas pemikiran yang sihat dan terarah. GTP inlah yang menjadikan kita lebih berhikmah dalam berdepan cabaran perjuangan.

Akhlak, peradaban, perenggu minda, tindakan dan pemikiran, inilah tranformasi asas YAB Dato Seri Presiden, dan kesemua transformasi ini harus didahulukan sebelum transformasi lain kita laksanakan. Masa kita kini adalah untuk setia bersama Dato? Seri Presiden untuk merealisasikan tranformasi beliau, dan ini jugalah masa untuk kita bersama Dato Seri Presiden agar beliau tidak bersendirian melakukan perubahan ini. Itu janji kita di Pergerakan Puteri.

Puteri-puteri pejuang bangsa,

RESMI PERJUANGAN

Masyarakat Jepun percaya, bahawa ubat paling mujarab untukseseorang pesakit adalah pesakit itu sendiri. Kerana itulah, sejak di awal usia, kanak-kanak Jepun diajar memakai kasut yang nipis, supaya mereka dapat menahan bahang dan rasa sejuk lantai tempat berpijak, sekalipun suhu badan panas mereka dihambat ke pintu sekolah kerana disitulah bermulanya sifat survival dalam jiwa kental setiap rakyatnya. Mereka percaya, ubat yang terbaik adalah kekuatan minda, jatidiri dan antibodi untuk terus berdiri secara mandiri. Malah pakar psikologi begitu percaya, separuh daripada pesakit di hospital sebenarnya tidak sakit sebaliknya tewas kepada mentaliti sendiri.

Mengambil semangat itulah, kita harus kuat untuk terus mandiri berdepan dengan kesakitan dan keperitan perjuangan. Benar resmi berjuang itu sakit, pedih, perit dan adakalanya mengecewakan, namun itu bukan alasan untuk kita bacul dan lari dari perjuangan. Puteri harus punya ketahanan untuk berdepan perit sakit perjuangan. Semua ini adalah bekal dan kekuatan kita untuk menakhodai arus perubahan selari dengan hasrat YAB Dato? Seri Presiden yang mahukan kita menakhodai zaman.

Zaman sudah berubah. Justeru pemikiran juga harus berubah. Hanya melalui tranformasi pemikiran yang sihat kita mampu mengubati penyakit yang melarat. Syukurlah hari ini, kita sudah meninggalkan budaya canggung dalam politik. Tiada lagi budaya separuh masak orang Melayu. Kalau kita ada pisau kita tak tikam belakang orang, kalau ada gunting kita tak potong rambut orang. Kita berani berkata benar demi menegakkan hak dan manfaat perjuangan. Tiada lagi adu domba. Tiada lagi pura-pura didepan bikin kerja, tapi dibelakang bikin cerita. Di depan ketua, dia serendah-rendah ahli, di depan ahli, dia setinggi-tinggi ketua. Tiada lagi budaya selak menyelak. Semua dia yang tahu, semua dia yang betul. Tiada lagi watak Bawang Merah dalam Puteri, jiwanya dengki, hatinya iri dan raganya berdendam benci. Tiada lagi watak Kassim Pantalon dalam Tiga Abdul, bila disuruh urus kerja, semuanya 25 percen.

Kalau masih ada yang mahu dikipas dan mengipas, yang dengki dan iri hati, yang dendam tak bertepi, yang cemburu membuta tuli, sama-sama kita bilang pada mereka, UMNO bukan parti mereka. Perjuangan UMNO suci, yang kotor hanya tangan-tangan mereka. Perjuangan UMNO bersih, yang tercemar hanya politik murahan mereka. Tiada lagi gunting dalam lipatan, tiada lagi musuh dalam selimut, tiada lagi lidah bercabang dua dan tiada lagi kepalanya ular, ekornya belut kerana kita bukan seperti Pakatan Rakyat, satu bahtera tiga nakhoda.

Akibat kita terlalu memikirkan parasit-parasit parti, kita lupa ribuan ahli yang lain jauh lebih ikhlas dalam berjuang. Sepanjang saya menjadi Ketua Puteri, telah banyak cerita yang saya dengar dan saya temui sendiri, kegigihan pejuang-pejuang Puteri yang tidak punya apa-apa jawatan dan pangkat dalam parti, tetapi berjuang seikhlas hati. Tahukah adik-adik, di dalam dan diluar sana ramai ahli-ahli kita yang sanggup lakukan apa sahaja untuk perjuangan ini. Pernah ada ahli Puteri yang sarat mengandung, pada malamnya masih lagi turun ke mesyuarat Puteri, dan esoknya dia bersalin.

Pernah ada ahli Puteri yang dengan penuh gigih mengambil ahli-ahlinya untuk hadir ke mesyuarat sampai 4, 5 trip, dan kemudian menghantar semula mereka pulang selepas mesyuarat tanpa meminta upah satu sen pun. Dan kerana terlalu penat, sewaktu pulang awal pagi, beliau ditimpa kemalangan. Ada yang sampai hilang kerja kerana terlalu bekerja untuk parti. Saya percaya di luar dewan ini, lebih ribuan ahli Puteri lain yang tak dapat peluang menjadi perwakilan masih datang ke PWTC. Makan tak menentu, tidur tak bertempat, tinggalkan keluarga semata-mata sayangkan perjuangan parti. Sebenarnya, mereka ini kalau kita tewas mereka yang sedih dan menangis, kalau kita dihina dan dicaci mereka yang tampil ke hadapan bersuara.

Merekalah wirawati yang tak pernah didendang, wirawati yang sebenar dalam berjuang. Jiwa mereka besar, semangat mereka besar, keberanian mereka besar walaupun mereka tidak memegang apa-apa jawatan besar. Pada saya mereka umpama sebutir mutiara yang lebih berharga dari pasir sepantai. Biar mereka tidak cantik di mata penduduk bumi, tapi nama mereka menjadi bualan penduduk di langit. Mereka lah semangat dan kekuatan kita untuk terus berjuang.

Janji saya, selagi saya berdiri di dalam Puteri, selagi itu doa saya, semangat saya akan mengiringi tiap jerih perjuangan mereka. Biar mereka bukan jutawan dunia tapi mereka lah jutawan akhirat. Jasa mereka hanya Allah yang mampu menghitungnya.

Sidang perwakilan yang saya kasihi,

Umum maklumi, Jepun adalah sebuah bangsa yang hebat. Dari debu runtuhan Nagasaki dan Hiroshima, mereka membangun sebagai bangsa yang benar-benar merdeka. Dari runtuhan Kobe dan bencana radioaktif Fukushima, mereka berdiri membina semula peradaban dan keyakinan. Pemikiran mereka merdeka. Tindakan serta keberanian mereka, menjadi perintis kepada semua perubahan. Kita mungkin lazim mendengar semangat kamikaze yang sudah sejiwa dengan darah pejuang mereka. Namun ramai yang mungkin tidak mengetahui, bahawa bangsa Jepun punya satu lagi prinsip yang besar yang diterapkan dalam setiap denyut nadi bangsanya iaitu ?Gambaru.?

Gambar membawa makna berjuang bermati-matian sehingga titik darah penghabisan atau bertahan sampai kemana pun juga. Apa juga yang ditegakkan dari pangkal menjadi tanggungjawab untuk diperjuangkan sehingga ke hujungnya. Persoalan yang hadir adalah sebuah kewajaran dalam hidup dan semuanya hanya bisa dihadapi dengan semangat Gambaru kerana perjuangan bukan soal menghitung menang dan berserah kalah, perjuangan adalah soal prinsip yang perlu ditegakkan dengan segala kudrat dan kekuatan yang ada. InsyaAllah rahmat dan berkat Tuhan acapkali rapat dengan mereka yang ikhlas dalam berjuang.

Maka benarlah kata-kata pujangga Arab, “Manjadda wajada” - Sesiapa yang berusaha maka dia akan berjaya. “Man Zara a Hasada” - Siapa yang menanam, maka dialah yang mendapat hasilnya. Justeru, menggenggam aspirasi dari semangat inilah, setiap dari kita perlu memahami asas dan wadah perjuangan Pergerakan Puteri UMNO. Dimana kita bermula dan kemana harus kita teroka. “Maka jadda” - yakni berusaha bersungguh-sungguh menyeru untuk kita dengan hati dan seluruh kudrat memahami prinsip perjuangan, wadah yang digunakan, matlamat yang ingin dicapai serta manfaat yang mampu ditebarkan.

Cuma satu pesan saya, ingat, bukan resmi berjuang jika semuanya mudah dan indah. Bukan berjuang namanya, jika yang lalu adalah seperti apa yang kita mahu. Benar, berjuang adalah untuk mencari kemenangan, benar berjuang ialah soal menundukkan ego lawan, tetapi adalah lebih benar, berjuang adalah untuk mempertahankan hak, prinsip dan kebenaran. Jangan sesekali kita lupa, berjuang tidak semestinya kita sentiasa menang, berjuang bukan bererti kita perlu berada di atas, berjuang juga bukan bererti bekerja hanya apabila menerima ganjaran, kerana itu, hari ini, ramai yang menang sorak kampong tergadai.

Berjuang kita akan tetap berjuang menentang kebatilan menegak kebenaran. Kita akan tunduk menghormati dan angguk membenarkan tiap sesuatu yang pasti. Tapi kita takkan sesekali kaku dan lemah mengiyakan semua perkara dengan pasrah dan berserah. Sudah-sudahlah kita menjadi seperti Mahsuri, bila difitnah dia mengalah dan duduk mengharap simpati menyebelah. Cukup-cukuplah kita bersimpati dengan watak Si Bawang Putih. Apabila difitnah, dicaci, di hina hanya tunduk dan mengiyakan maruahnya dipijak-pijak.

Hari ini, semangat Puteri harus mengalir sepekat darah Tun Fatimah. Yang bangun berjuang kerana prinsip, tajam lidah bersuara kerana kebenaran dan keberanian menongkah arus kerana percaya kalau bukan dia yang pertahankan Melaka, habis itu siapa? Maka benarlah seperti yang pernah dikhabarkan sejarah, betapa Portugis lebih takutkan Tun Fatimah dari suaminya Sultan Mahmud Syah. Iktibar dari kisah inilah, maka bangunlah berjuang dan menegakkan kebenaran. Kalau yang dijuangkan adalah kebenaran, maka yang tertegak juga adalah kebenaran. Kalau diperjuang adalah kebatilan, maka akhirnya yang akan menimpa adalah kebatilan.

Saudari dan saudari yang dihormati,

SUDUT PANDANG SEJARAH

Sebagai sebuah sayap pergerakan politik, Puteri hari ini sudah semakin matang dalam menilai dan menghadam setiap isu yang berlaku saban hari. Kita punya asas rasional yang kukuh untuk melihat sesuatu isu serta berpasak pada prinsip dan pendirian kita sendiri. Kalau benar kita katakan benar dan kita sokong, tetapi kalau batil kita tidak pernah gentar untuk katakan batil dan kita tentang habis-habisan. Dalam kehidupan manusia, banyak perkara yang boleh kita pilih, tetapi hanya satu yang tak boleh kita pilih. Iaitu asal usul kita. Sejarah kita. Hari ini semua orang bercakap tentang sejarah. Signalnya setiap dari kita sayangkan perjalanan sejarah kita. Sejarah adalah tentang hak milik, kepunyaan yang membesar sebagai lambang dan pusaka satu bangsa.

Tetapi, sejarah boleh sahaja jadi alat politik bagi mereka yg meletakkan kepentingan peribadi mengatasi dari harga diri dan nilai yang dilalui oleh sejarah itu sendiri. Soalnya rakyat bukan lagi buta sejarah. Mereka tersepit antara memahami pengajaran dari kulitnya dan menerokai kebenaran yang tersembunyi dalam intinya. Kita takut untuk bercerita tentang kebenaran walhal sejarah adalah sejarah. Dalam perjalanan sejarah mana-mana bangsa di dunia, fakta sejarah pasti bergaul antara indah untuk dikenang dan yang perit untuk ditatang. Laluan sejarah juga boleh sahaja bercerita tentang kesilapan kita sebelumnya dan kita harus matang dan terbuka berhadapan dengannya untuk dipetik tiap bait pengajaran.

Jangan sekali-kali kita paranoid dan takut pada bayang-bayang sendiri. Natijahnya, maka akan hadir pihak tidak bertanggungjawab yang hanya menangguk di air keruh, melukut di tepian gantang, mengambil kesempatan atas situasi seperti ini, untuk mengasak cara berfikir masyarakat agar pendirian mereka terhadap persepsi sejarah boleh dibeli dan dijual sesuka hati.

Jika dahulu pembangkang memecah belahkan perpaduan kita melalui sentimen perkauman, melalui sentimen bahasa, sentimen kuota bumiputera, hingga kepada sentimen agama tetapi hari ini kerana niat kotor politik mereka, kita dipecahbelahkan menggunakan sentimen sejarah. Ironinya, jika soal agama, kuota bumiputera, isu kaum adalah isu tentang perjuangan tunggal sesuatu kaum tetapi sentimen sejarah hari ini cubadigaris pisahkan antara ideologi pembangkang dan kerajaan. Mereka sanggup jual cerita, bina persepsi membabi buta, mengasak emosi rakyat dengan kaedah retorik dan logik tanpa asas untuk royalti politik murahan. Akhirnya sedikit demi sedikit mereka mengajar rakyat membenci sejarah, dan sedikit demi sedikit kebencian terhadap kerajaan berakar.

Justeru itu, Pergerakan Puteri UMNO bertegas bahawa perlu adanya satu gerakan yang komprehensif untuk menyelak semula pendekatan dalam matapelajaran Sejarah yang sudah digunapakai sejak sekian lama. Bukan bermakna apa yang kita buat selama ini salah, tetapi kita seharusnya matang untuk menerima bahawa sesuatu yang betul tidak bermakna ia relevan untuk setiap zaman dan generasi.

Sudah tiba masanya, pendekatan dan daya sampai subjek Sejarah mampu untuk mengubah persepsi pelajar untuk tidak melihat Sejarah sebagai satu subjek apatah lagi mengasaki mereka melalui helaian kertas peperiksaan.

Selain dari pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih terbuka, merangsang pelajar untuk bereskpresi rasa tentang perjalanan sejarah bangsa mereka, disamping membuka ruang pelajar untuk berdebat sesama mereka tentang pandangan terhadap sejarah dengan dipimpin oleh kematangan guru dalam mengendalikan isu. Sejarah hanya benar-benar akan rosak, apabila disebut tentang subjek sejarah, pelajar hanya terfikir tentang nama tokoh, tarikh ,tempat, peristiwa, punca dan kesan. Kita tutup pintu mereka untuk berekspresi, bereksplorasi, bertanyadan tampil dengan pandangan dan pendapat mereka sendiri. Akhirnya, kegagalan untuk mengekspresi nilai inilah menyebabkan kita jumud dengan kebenaran.

Saudari-saudari sekalian,

Fakta adalah hakikat.Manakala interpretasi terhadap fakta membentuk persepsi. Tetapi cara interpretasi itu yang menjadikan sudut pandang sejarah menjadi hitam atau putih. Soalnya yang benar-benar ingin kita fahami adalah pengajaran yang di bawa bersama sejarah. Percayalah, dalam dunia yang semakin terbuka sekarang,ditambah dengan lonjakan cara fikir rakyat yang semakin matang, kita akan tewas jika kita sering takut dengan kesilapan silam.

Apa yang kita harus lakukan ialah memberi interpretasi baru tentang kesilapan silam untuk kita menjadi lebih berani dan bermaruah mendepani perjuangan. Inilah yang dikatakan belajar daripada sejarah, kerana sejarah bukan hanya sekadar mengangkat kemegahan dan kekuatan, disebaliknya matang mencedok pengajaran dari kesilapan masa silam. Justeru, Puteri dengan lantang menentang sekeras-kerasnya tindakan Mat Sabu yang telah memberi interpretasi separuh masak fakta sejarah dalam isu Bukit Kepong. Mereka boleh sahaja meletakkan anggapan keganasan komunis sebagai lambang perjuangan, tetapi kita harus yakin dan percaya sampai bila-bila, bahawa pengganas tidak akan pernah menjadi pejuang. Perompak harta rakyat, perogol anak dara tidak akan pernah menjadi pembela bangsa, dan keganasan bukan cara bangsa bermaruah untuk bertempur dimedan perang.

Pejuang yang sayangkan tanah air tidak akan memporak-perandakan tanah air sendiri, mengugut, membunuh hanya kerana kehendak mereka tidak dilunasi. Kerana itu bila ditanya antara perjuangan Perikatan yang menyatukan rakyat dan keganasan komunis mana yang lebih baik, seikhlasnya, saya tahu rakyat menyimpan jawapannya. Natijahnya, tindakan tidak bertanggungjawab Mat Sabu telah meracuni segelintir generasi muda untuk mula mempertikaikan kebenaran sejarah. Justeru, sebagai muqaddimah dalam mensinergikan semula matapelajaran sejarah agar ia mampu menarik minat pelajar disekolah, Puteri berbesar hati untuk mencadang pendekatan yang lebih muda dan terbuka. Fakta adalah hakikat dan buku teks hadir melalui olahan dan interpretasi terhadap fakta yang membina sesuatu sudut persepsi bagi memimpin pelajar memahami susur galur sejarah melalui jalan yang seragam. Malangnya, hari ini persepsi itu sudah menjadi seakan sebuah fakta bagi pelajar.

Di sinilah momentum mereka terhadap penerokaan sejarah terbantut aklibat sudut pandang mereka yang mula dikotak-kotakkan.Untuk tujuan itu, Puteri mencadangkan:-

Pertama, Buku Teks Sejarah dimurnikan cara dan daya penyampaiannya. Hakikatnya, kebenaran adalah hak yang perlu dipaparkan kepada rakyat. Jika kita masih mahu berkompromi dengan hakikat ini,kita hanya mampu melihat dan melatah apabila anasir luar hadir membawa kebenaran bersama persepsi yang membabi buta.

Kedua, menggalakkan budaya percambahan fikiran di bilik darjah melalui aktiviti perdebatan mengenai isu-isu sejarah yang dipelajari. Ini memberi ruang kepada pelajar untuk hadir bersama sudut pandang berbeza supaya mereka lebih dekat dengan sejarah mereka sendiri. Tidak salah jika akhirnya ada yang ingin menyatakan Jebat itu benar dan Tuah telah melakukan kesilapan, selagi mana proses berfikir ini dipimpin oleh guru dengan berhikmah.

Ketiga, silibus dan orientasi peperiksaan perlu dirombak secara holistik. Tiada lagi soalan yang mengasak pengahafalan pelajar pada persepsi sejarah yang dibina di dalam buku teks mereka. Contohnya, disebalik soalan seperti, ?Apakah faktor-faktor kejatuhan Melaka ketangan Portugis dan ia boleh diperbaharui dengan soalan yang lebih terbuka.

Pada pandangan anda, seandainya Melaka tidak dijajah Portugis, bagaimana keadaan kita hari ini ? Maka pelajar akan mula berekspresi dengan memetik setiap jalan cerita sejarah mereka untuk membentuk pandangan mereka. Selagi mana ianya jawapan yang rasional, maka tidak ada betul dan tidak ada salah kerana akhirnya kita mahu mereka faham sejarah adalah perjalanan masa lalu mereka.

Natijahnya, apabila kebenaran tidak disembunyi, apabila asas itu difahami, maka jika pembangkang hadir dengan persepsi yang lain, mereka ada jawapan kerana mereka diajar memahami sejarah dari proses berfikir dan bukan proses menghafal cerita. Generasi yang terbentuk dari perubahan ini adalah generasi berprinsip dan bersebab, dan tidak bertindak kerana kebencian terhadap sesuatu pihak. Atas dasar itulah, jangan biarkan generasi muda melihat sejarah dari garisan luar dan hanya memerhati perkara yang lalu, walhal mereka juga berada dalam garisan sejarah itu. Jangan kita tutup kehendak mereka untuk merasai sifat memiliki sejarah sendiri, melalui pendekatan subjek ini yang berisiko membunuh minda pelajar untuk mendalaminya.

Sejarah bukan ditulis oleh pasukan yang menang. Sebaliknya sejarah adalah perjalanan cerita yang dirakam oleh susur galur sejarah itu sendiri. Kita bukan bacul seperti Mat Sabu, yang sanggup menipu sejarah untuk senjata politik parti. Kita juga bukan anak-anak kecil, yang mudah ditakut-takutkan dengan cerita karut dan sejarah ciptaan mereka sendiri. Kita sedar, rakyat punya prinsip, rakyat punya pendirian, dan rakyat tahu siapa yang benar dan siapa yang membelit seperti ular. Rakyat tahu siapa yang iklhas dan siapa yang culas, siapa yang jujur dan siapa yang mengumpul fitnah untuk ditabur. Pergerakan Puteri akan terus berdiri di barisan paling hadapan, untuk menentang siapa juga petualang yang cuba mengubah jalan cerita perjalanan kita.

Ingat, apa yang tertulis dalam sejarah, bukan hak milik UMNO atau hak milik MCA, MIC, PAS, PKR atau DAP, tetapi adalah hak milik rakyat, kerana sejarah itu adalah sejarah bersama. Selagi nyawa dikandung badan, kita yang akan pertahankannya.


Saudari-saudari yang dikasihi,

PARTISIPASI GENERASI MUDA

Anak muda laksana tiang sebuah negara. Jika betul cara ia dipasak, maka tapaknya kuat, dasarnya erat dan mercunya adalah buah-buah rahmat. Jika salah cara tiang ini dipasak, maka tapaknya pincang, dasarnya berliang dan mercunya pasti kecundang dan terbuang. Maka benar kata bijak pandai, kalau mahu untung sehari, tanamlah jagung, kalau mahu untung setahun, tanamlah padi, dan kalau mahu untung beratus tahun, maka didiklah generasi muda. Sejarah telah menyaksikan, Negara bisa terbina kerana keampuhan tangan anak-anak mudanya, dan negara bisa binasa juga kerana kealpaan mereka.

Walaupun hari ini kita adalah puteri, saya suka meminjam kisah seorang putera, bernama Putera Muhammad Al Fateh, Putera Raja Murad 2, yang keberanian dan kebijaksannanya telah acap kali diulang sebut dalam lipatan sejarah. Baginda Rasulullah pernah bersabda, bahawa pada satu, ketika akan lahir seorang pemimpin muda terbaik dunia, yang akan memimpin bersama gerombolan tentera terbaik dunia. Sehinggakan Abu Ayob Al Ansari, dipenghujung hayatnya berpesan, agar jasadnya dimakamkan di antara dua bukit pintu masuk Selat Bosforus, semata-mata kerana beliau ingin menjadi sebahagian daripada mereka, yang berpeluang mendengar derapan tapak kaki kuda, yang membawa pemimpin terbaik yang memimpin bala tentera terbaik.

Pada usia 21 tahun, Muhamad Al Fateh telah berjaya menawan Constantinopel setelah 19 usaha dari 19 kerajaan besar yang lain menemui kegagalan. Hikmah perjuangan seorang anak muda berusia 21 tahun ini, meruntuhkan keangkuhan dan kezaliman empayar Byzantine. Tahukah anda,nama putera ini hanya Sultan Muhamad. Manakala Al Fateh, adalah gelaran yang diberi dan membawa makna pembuka. Menyeru semangat inilah, maka kita mahu generasi muda hari ini menjadi pembuka kepada peradaban berteraskan hikmah kebijaksaan.

Bukan lagi soal umur, soal jawatan, soal pangkat, tetapi ia soal tanggungjawab yang terpikul di bahu setiap generasi muda. Soal bagaimana harus kita bangun dan berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Justeru, Pergerakan Puteri harus menjadi tulang belakang utama dalam menggerakkan perubahan cara fikir dan bertindak generasi muda. Berfikir, bertindak dan beraksi selari dengan aspirasi yang dimahukan oleh generasi muda.

Saudari - saudari sekalian,

Generasi muda dahulu dan generasi muda hari ini sebenarnya berbeza. Generasi muda hari ini, menitik beratkan tentang cara kita memandang mereka, mendekati mereka, mendampingi mereka dan yang penting menjadi sebahagian dari mereka. Mungkin untuk satu ketika tindakan mereka sukar untuk kita fahami dan maknai, tetapi itulah generasi muda. Mereka kaya dengan pandangan dan persepsi serta sifat eksplorasi yang tinggi. Saya suka mengambil ibarat pada satu situasi pemerhatian politik. Generasi pasca awal kemerdekaan, memang mempunyai semangat juang parti yang tebal. Malah ada dalam kalangan nenek moyang kita yang tidak mahu turun mengundi kalau yang bertanding itu bukan parti kapal layar. Malah sifat menerima mereka terhadap semua usaha parti juga lebih bersantun dan terbuka. Umpamanya, jika ke kedai mamak, yang mereka pesan teh panas, tetapi yang dihantar kopi panas, mereka tetap tersenyum dan minum rezeki yang ada di depan mata.

Generasi pertengahan yang banyak didorong oleh sifat memberontak pembangkang, lain pulak lagaknya. Kalau yang dterima tidak sama seperti apa yang dipesan, maka dimaki-hamunnya si mamak itu. Silap haribulan terbalik meja-meja. Tetapi generasi alaf baru hari ini sangat berbeza cara mereka beraksi dengan situasi. Jika yang dipesan teh panas dan yang dihidang adalah kopi panas, mereka tidak meminumnya, tidak juga memaki, tetapi dengan senyap dan perlahan mereka berpindah ke kedai mamak sebelah. Dan itulah yang kita alami pada tsunami pilihanraya yang lalu. Kegagalan kita untuk memahami mereka, boleh sahaja membawa makna kita sebenarnya meninggalkan mereka. Daripada situasi ini, tidak bermakna mereka tidak ada pendirian, tidak berprinsip. Cuma kita harus lebih matang untuk duduk bersama mereka memahami situasi yang berlaku. Kita seringkali percaya, umur lazimnya membezakan kematangan berfikir manusia, tetapi kematangan di alaf baru diukur dari sudut siapa yang dapat mengejar perubahan zaman.

Boleh sahaja orang yang semakin berusia, yang kurang menguasai capaian media baru tidak seiring dengancara fikir dan kematangan generasi yang jauh lebih muda, yang ghairah meneroka maklumat dari segenap penjuru. Maka mereka mula percaya, yang mereka juga boleh mempunyai pandangan dan prinsip mereka sendiri. Maka disitulah mereka perlu dirai dan dihormati. Saya sejujurnya percaya, permulaan dalam usaha mendampingi mereka adalah dengan meraikan idea dan pandangan mereka melalui santun yang betul. Sudah sampai satu tahap, mereka mahu pandangan mereka bukan hanya didengar, tetapi diambil pertimbangan untuk tindakan. Mereka juga mahu berjasa dan berada dalam barisan pejuang kita, dari mula strategi perang itu dirangka, sehinggalah kebarisan depan di medantempur, mereka mahu bersama. Kata ? kata bahawa pandangan mereka mentah, tidak boleh dipakai, ikut emosi, tidak berfikir panjang, radikal, hanyut dalam teknologi, dan tidak berasas, hanya menjadikan kita dan mereka belayar dalam kapal yang berbeza.

Menyedari akan keperluan inilah, Pergerakan Puteri sentiasa dihadapan, bersama program-program yang dekat dan mesra dengan generasi muda. Penubuhan Biro NGO dan Profesional Muda, adalah bukti betapa kita serius menjalin hubungan dan kerjasama dengan generasi Y. Biro Penggerak Belia dan Biro Usahawan dan Pemantapan Ekonomi juga, selari dengan usaha Puteri untuk menjadi tulang belakang dan penggerak kepada aktiviti keusahawanan generasi muda. Kita lancarkan skuad VOGUE untuk menarik generasi muda menjadi sukarelawan dan turun padang memberi khidmat kepada rakyat. Skuad ini turun menjayakan program Ziarah Kasih, Sinar Kasih, Jelajah Sinar Kasih Ramadhan, Konvoi Kebajikan Menyusur Akar, Projek Puteri Prihatin, dan banyak lagi program-program utama Puteri yang digerakkan oleh generasi muda. Kita mahu generasi muda memahami dan mengerti, orang-orang politik tidak pernah kesampingkan mereka, tidak pernah membuang mereka dan tidak pernah pinggirkan hak dan usaha mereka. Kita mahu mereka sedalamnya memahami, perjuangan kita adalah perjuangan mereka, sakit kita adalah sakit mereka, kejayaan kita adalah kejayaan mereka, kerana generasi muda adalah sebahagian dari perjuangan kita.

Saudari-saudari sekalian,

Pandangan generasi muda, terhadap politik juga semakin matang. Mereka bukan lagi generasi yang angguk angguk geleng-geleng. Budaya Witch Trial tidak lagi wujud. Sebelum angguk mereka berfikir, dan sebelum geleng pun mereka akan berfikir. Kita tidak mahu mereka penat dengan politik sebelum sampai masanya. Siapapun mereka, penyokong kita atau penentang kita, mereka aset politik negara. Jangan fikir apabila mereka diam, mereka tidak tahu apa-apa, jangan fikir apabila mereka memberi pandangan tidak sama dengan kita, mereka mahu menentang kita, jangan fikir apabila mereka punya prinsip sendiri, mereka tidak menyokong kita. Orang muda kurang selesa dengan idea semua sudah tersedia untuk mereka, semuanya sudah diperjuangkan untuk mereka, dan mereka terhutang budi dengan generasi sebelumnya. Sudah sampai masanya, kita semarakkan suara mereka, kita raikan idea mereka, kita bangunkan roh dan jiwa pejuang mereka. Buat pemimpin parti, pimpinlah mereka dengan tangan kasih sayang, dekati mereka dengan suara keprihatinan dan kepekaan, bela mereka dengan jiwa yang ikhlas dan jujur seperti yang dilakukan oleh YAB Dato Seri Presiden, kerana kita mahu mereka matang dalam berjuang.

Saudari – saudari sekalian,

Ketamadunan sebuah bangsa adalah bersendikan kepada ruang fikir dan gerak politiknya. Dengan memisahkan politik dan generasi muda, sama seperti kita memisahkan busur dan anak panahnya. Akibatnya, anak muda semakin jauh dengan politik dan minat mereka terhadapnyapun semakin mati. Mengupayakan hak dan suara mereka tidak bermakna kita mengiyakan mereka turun ke jalan, berdemonstrasi macam orang hilang fikiran. Kita tahu generasi muda kita bukan seperti itu. Cuma ada petualang yang membutakan mata mereka, memekakkan telinga mereka dengan menjadikan mereka tukang sorak dan perusuh jalanan. Kerana itu kita mahu menghak upaya suara dan idea mereka, melalui garis panduan yang matang dan bertamadun.

Umum mengetahui, kelompok terbesar yang berpengaruh dalam kalangan generasi muda pastinya golongan mahasiswa. Kita mungkin boleh mengawal kebebasan mereka bertindak, kita mungkin boleh mengawal kebebasan mereka untuk bersuara, tetapi kita tidak akan boleh menyekat kebebasan mereka untuk berfikir, dan disitulah lazimnya prinsip dan kubu pendirian mereka terbina. Mendoktrinasikan pemikiran generasi muda, samalah seperti kita meracun akar.

Sebab itu, Puteri mahukan sebuah transformasi minda, untuk lebih terbuka terutama apabila kita menangani isu mahasiswa. Persepsi terhadap mereka perlu berubah dan diubah. Setegasnya, saya mahu katakan, AUKU bukan senjata kita, AUKU bukan perisai kita, bukan peluru kita.

Malah kalau kita kekal begini AUKU bisa menjadi liabiliti buat kita. Perlu diingat, kebebasan wujud secara relatif dan tidak bersifat mutlak. Sebab itu, mahasiswa pada hakikatnya adalah kelompok yang bebas bersuara dan bertindak di universiti.

Keputusan Y.A.B Perdana Menteri pada minggu yang lalu untuk meminda Seksyen 15 AUKU sepatutnya disambut dengan terbuka. Selepas ini mahasiswa berhak menjadi ahli mana-mana parti politik seperti yang dijamin di bawah perlembagaan. Kesediaan kita meminda Seksyen 15 AUKU, adalah lambang kepercayaan kita kepada kuasa anak muda, untuk membangunkan negara dan memikul tanggungjawab atas segala tindakan mereka. Jangan sesekali kita khuatir dan masih berpegang kepada dogma, betapa universiti adalah sarang pembangkang. Sedangkan secara hakikat, begitu ramai mahasiswa yang sebenarnya secara diam menjadi aset kita. Cuma, peluang tidak dibuka, ruang jarang disedia dan kerana kurangnya rasa percaya kita, permata-permata negara ini tidak digilap dan kemilaunya dibiar malap.

Percayalah, mereka cuma perlu didekati dan difahami. Jika kita cuba memahami mereka, mereka juga akan mudah memahami kesucian perjuangan kita. Waktu itu, gerombolan baru anak muda yang akan memimpin dan menyokong perjuangan parti, akan menjalar dan memenuhi segenap ruang bumi Malaysia ini. Kerja-kerja membangunkan negara akan menjadi terlalu mudah dan pantas. Cuma soalnya, kita perlu percaya pada kematangan mereka dan kita sendiri perlu bertindak matang dan berani.

Kami menyokong sepenuhnya semua keputusan Presiden, dan sentiasa bersama semua winnable candidate, yang akan dipilih bagi mewakili Barisan Nasional pada Piliharaya Umum ke 13, kerana sedar ia menjunjung wasilah keikhlasan dan hikmah kebijaksanaan. Amanat Presiden akan terus dijunjung di atas jemala perjuangan Pergerakan Puteri. Amanah ini akan kami lunaskan selagi nyawa dan jasad kami bersatu untuk agama, bangsa dan negara.

Rakan-rakan seperjuangan sekalian,

Apabila berbicara soal kesediaan dan tanggungjawab pemimpin muda, saya teringat pada satu kisah yang berlaku 2 hari sebelum kewafatan baginda Rasulullah SAW. Pada ketika itu, baginda sedang mempersiapkan bala tentera Islam, untuk turun berperang menentang kerajaan Rom. Maka dikumpulkan semua bala tentera dan pahlawan Islam yang hebat, dan akhirnya Rasulullah melantik seorang pemuda yang hanya berusia 18 tahun sebagai Panglima Angkatan Perang yang akan mengetuai ribuan tentera Islam yang lain. Pemuda itu ialah Usamah bin Zaid. Pada usia 18 tahun, Rasulullah telah memberi kepercayaan kepadanya untuk merancang strategi, membuat keputusan sehinggalah memimpin kebanyakan tentera yang jauh lebih berpengalaman dan berusia termasuklah Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab, dan Abu Ubaidillah.

Pengamatan dari kisah ini, membawa kita pada satu makna, betapa Rasulullah SAW pun mempercayai generasi mudanya, dan sedar betapa generasi muda ini perlu diberikan tanggungjawab, dan peranan untuk mereka memberikan sumbangan yang berharga buat agama, bangsa dan negara. Tidak timbul soal senioriti dan usia dalam kepemimpinan siasah kerana percayalah, perbezaan usia tampil bersama perbezaan perspektif dalam melihat dunia dan menghadam perubahan semasa. Kita memerlukan generasi berbeza untuk memimpin generasi yang berbeza. Kita juga perlukan generasi berbeza dalam sebuah wadah yang sama, kerana matlamat kita adalah meraih sokongan dan kepercayaan semua golongan masyarakat.

Benarlah wasiat Umar Al Khattab. Ajarlah anak kamu dengan urusan di zaman mereka, kerana mereka akan hidup di suatu zaman yang bukan lagi menjadi zaman kamu. Uniknya pemimpin kita, Dato Seri Presiden telahpun mencontohi teladan yang ditunjukkan nabi dan para sahabat. Kepercayaan kepada golongan muda untuk menerajui parti, tidak perlu dipertikaikan lagi. Kini terserahlah kepada kita untuk membuktikan peluang yang ada takkan dipersia. Ibarat bola sudah di padang, sepak mula sudah dilakukan, yang ditunggu adalah gol dan kemenangan. Semua anak muda adalah harimau muda, semua anak muda adalah harimau negara!

Para pencinta perjuangan sekalian,

HEGEMONI MEDIA BARU

World Is Flat karya Thomas L. Friedman, menceritakan, betapa globalisasi 3.0 telah menatijahkan hubungan manusia dengan manusia di alam maya, semakin rapat dan datang dari pelbagai arah penjuru. Pengaruh media baru datang bersama perubahan yang besar dalam iklim politik dunia dan politik Negara. Dan hari ini, peperangan di dalam politik juga sudah menjadikan media baru sebagai senjata. Hentikan fahaman konservatif kita terhadap fungsi media. Media bukan lagi medium sekadar beritahu apa kita dah buat, apa yang kita dah kecapi, dan menjual kerja sendiri, malah ia juga bukan lagi sekadar susunan dan himpunan fakta,kini ia tampil sebagai wadah kemukakan idea, prinsip dan perlumbaan pandangan dan persepsi. Debat di alam maya hari ini jelas membawa impak yang besar terhadap politik semasa. Kita harus bijak dan matang mengendalikan media baru. Masyarakat juga bukan lagi bodoh yang akan hanya menerima setiap retorik dan hiperbola cerita membabi buta. Kematangan dan keberanian kita mendepani isu akan membangkitkan rasa hormat rakyat terhadap prinsip kita dalam berjuang.

Arus perubahan yang melanda ragam fikir politik di Barat banyak dipengaruhi oleh akses kepada media baru yang luas dan tanpa batas. Sewaktu perdebatan terakhir di antara Parti Konservatif, Demokrat dan Parti Buruh yang lalu, 154 352 tweet telah dicatatkan sebagai respon dari perdebatan tersebut, dengankadar kelajuan 26.77 tweet setiap saat, dari 33 095 pemegang akaun yang berbeza. Itu baru isu yang dibicarakan dalam sebuah perdebatan dan adik-adik puteri sekalian boleh bayangkan, bagaimana pesatnya sesuatu isu diserakkan yang kini boleh diakses di tangan rakyat. Politik dan media baru sudah menjadi begitu sebati. Malah jika betul strategi media, kita boleh menuai hasil yang lebih dari munasabah dalam sebuah perjuangan. Media baru mengubah landskap politik mana-mana negara melalui 4 faktor berikut ;

Pertama, melalui berita yang boleh dipilih. Akses maklumat yang semakin meluas membina ruang dan pilihan yang pelbagai kepada rakyat untuk menilai dan menganalisis maklumat.

Kedua, melalui perkongsian rangkaian. Setiap maklumat dan isu akan terserak dengan mudah melalui proses rangkaian.

Ketiga melalui pandangan dan idea tanpa halangan. Siapa sahaja boleh mengemukakan pandangan dan pendirian tanpa sebarang halangan dan sekatan. Keempat, kapasiti media yang boleh membina rangkaian ke setiap pengguna. Dalam masa yang singkat, maklumat mampu sampai dan tersebar pada ruang lingkup yang tidak dijangkakan. Faktor-faktor inilah yang seharusnya dipelajari dan dikuasai oleh kita sebagai senjata dalam perjuangan.


Saudari-saudari sekalian,

Sebab itu apabila ditanya bila agaknya perang dunia ke tiga akan berlaku, maka ramai yang bersetuju bahawa perang dunia ketiga sudah pun berlaku di alam siber. Kalau kita menganggap media sebagai senjata yang membunuh kita, maka secara semangatnya kita memang akan dibunuh. Jika kita anggap ia sebagai perisai mempertahankan perjuangan kita, maka ia mampu menjadi perisai paling kebal, kalau kita menjadikan media sebagai senjata menyerang, maka ia boleh saja membunuh setiap dari lawan kita. Mesej moralnya disini, media adalah senjata baru politik. Kita tidak mahu media baru ini hanya menjadi senjata dan begitu sinonim dengan pembangkang. Kita juga harus sedar, media baru juga adalah kekuatan dan kita punya kepakaran dalam mengurus tadbirnya.

Pergerakan Puteri harus memulakan usaha yang bersungguh-sungguh ke arah mempromosikan budaya percambahan idea dan budaya debat yang sihat. Tiada lagi budaya fitnah menfitnah, maki memaki, caci mencaci dan memburuk-burukkan orang lain. Cukuplah budaya itu hanya diimani oleh juak-juak sebelah sana yang kononnya berjuang untuk keadilan rakyat, berjuang untuk Negara kebajikan dan Negara Islam. Kalau mereka fikir dengan fitnah mereka akan kelihatan hebat dan gah, dengan memburuk-burukkan kita, merekayasa cerita, dan dengan memaki hamun maka mereka akan dilihat lebih berani dan gagah, biarkan mereka. Kita percaya, ini bukan budaya kita dan takkan pernah sesekali menjadi pegangan kita dalam berjuang. Semoga fitnah dan tohmah mereka akan menjadi sebatang anak sungai yang mengalir tenang untuk kita di syurga idaman. Semoga cacian mereka akan menumbuhkan pohon-pohon redup yang mendamaikan. Dan semoga maki hamun yang kita terima, akan menjadi jambatan emas yang akan menemukan semula kita di alam syurga penuh bahagia. Dunia adalah pentas perjuangan sementara. Akhirat jualah yang menjadi matlamat abadi yang kita ingini, yang kita cari.

Saudari-saudari perwakilan sekalian,

Di kesempatan ini, Pergerakan Puteri merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua blogger yang telah sama berjuang menegakkan kebenaran dan hakikat. Saya sedar, ramai dalam kalangan mereka adalah penulis sukarela, namun itu tidak pernah menjadi halangan untuk mereka melunaskan tanggungjawab dalam berjuang. Ini barulah namanya pejuang sejati. Untuk itu, Pergerakan Puteri mengalu-alukan semua blogger untuk duduk semeja dan bermusyawarah bersama untuk kita mencari pendekatan paling berhikmah, dalam memenuhi tuntutan politik ummah. Puteri akan sentiasa di hadapan bersama blogger-bloggeruntuk menentang aplikasi peraturan rimba di alam siber, demi membina santun politik yang bermaruah di bumi Malaysia ini.

Jika barah ini dibiarkan, maka pada akhirnya yang rugi, yang malu, yang hancur, yang binasa siapa? Waktu itu barulah yang baling batu tangkas sembunyi tangan. Justeru, selari dengan akses maklumat yang semakin meluas, Puteri komited mendahului usaha mempromosikan budaya berfikir secara krtis dan analitis agar rakyat lebih matang dalam menilai isu.

Usaha Pergerakan Puteri memperkenalkan Cyber Troopers adalah sebagai isyarat betapa kita sedia menggempur dan berperang menggunakan senjata media baru. Kita punya pasukan yang akan mengumpul, menganalisis dan menjawab setiap isu yang timbul dan mediumnya adalah aplikasi media baru. Malahan, Puteri akan terus memperkasakan setiap ahlinya dengan asas pengetahuan dan kemahiran yang cukup, dalam mengendali dan mengurus tadbir media baru supaya kita tidak tersasar dari landasan perjuangan yang sebenarnya. Demokrasi hanya betul-betul subur dan matang apabila masyarakat diterapkan dengan cara fikir yang kritis dan analitis, untuk melihat sesuatu isu secara lebih mendalam dan terperinci. Bukan terus melompat kepada kesimpulan. Hentikan taklid membabi buta dan mari kita bangunkan budaya rasional dalam berfikir dan mengutarakan pendapat dengan lunas kematangan sewajarnya. Itulah jawapan kepada sebuah ketamadunan bermaruah.

Saudari- saudari sekalian,

BAJET 2012

Kita takkan pernah hairan atau terkejut apabila setiap kali bajet dibentangkan, setiap kali itu jugalah pembangkang akan muncul bersama helah mencari keburukan dan mencanang kelemahannya kepada rakyat. Kita juga tidak pernah bimbang mahupun gentar, kerana kita sudah cukup bersedia dan sedar, prasangka buruk sememangnya telah menjadi makanan pembangkang dan sudah sebati menjadi darah daging membentuk jasad dan mencemari hati mereka. Apabila kerajaan menyusun pelan dan mengimplementasi tindakan, semuanya akan kelihatan buruk pada mereka.Kalau benar mereka berjuang untuk rakyat, apa juga yang kerajaan laksanakan untuk rakyat mereka harus sokong. Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia ( PR1MA ), Menu 1Malaysia dan banyak lagi usaha kerajaan untuk rakyat buat pembangkang tak senang duduk kerana mereka sedar kita buat apa yang kita janjikan. Tetapi, rakyat punya mata, rakyat tidak buta, rakyat melihat betapa kerajaan sentiasa mendahulukan mereka dalam setiap bajet dan pelan tindakan yang dibentangkan. Sebab itulah setiap kali pembangkang memukul gendang irama sumbang, kerajaan hanya memerhati dengan hemah dan akan bertindak dengan berhikmah. Kita tahu, rakyat bukan lemah. Rakyat tidak mudah diperbodoh dan diperkotak-katikkan.

Pembangkang menyebar berita kononnya kita tidak tahu mengurus negara, kononnya kita sengaja membiarkan defisit dan hutang negara meningkat, kononnya negara akan muflis dan bankrap. Isu defisit dan hutang dimomok-momokkan ke seluruh pelusuk negara. Angka-angka dan figura-figura tertentu dicanang-canang bagai sesuatu yang dahsyat, bertujuan menakutkan rakyat supaya mereka terkesan dan percaya dengan sebuah pembohongan. Pembangkang ibarat orang tua nyanyuk yang cuba menakutkan kanak-kanak dengan cerita hantu. Tetapi rakyat bukan budak-budak bahkan mereka sudah cukup matang. Mereka takkan telan dan mereka juga takkan hadam pembohongan golongan petualang.

Mari kita nilai beberapa fakta untuk menjernihkan pemahaman, dan mencari islah dalam kerangka yang mudah. Pertama, lazimnya negara-negara di dunia yang sedang bergerak ke arah negara maju, atau sudah bergelar negara maju sukar untuk mengelak defisit dalam bajet yang dibentangkan. Ini adalah kenyataan. Kedua, defisit negara sebanyak 5.4 % tahun ini adalah catatan penurunan defisit berbanding tahun sebelumnya, 2010 iaitu sebanyak 5.6 %, yang juga menurun daripada tahun sebelumnya, 2009, iaitu sebanyak 7.4 %. Faktanya, defisit negara semakin menurun semenjak Dato? Seri Najib mengambil alih pentadbiran negara, daripada 7.4 % kepada 5.6 % kepada 5.4% dan pengurangan defisit ini kekal menjadi sasaran kerajaan untuk masa-masa yang mendatang. Tahun 2012, sasaran kita adalah pengurangan defisit sehingga 4.7 %. Tahukah kita, sehingga September 2011, RM 12.44 billion telah dibelanjakan untuk kesihatan rakyat dari pembinaan hospital sehinggalah pembelian ubat-ubatan, namun hasil pemerolehan kerajaan atau pulangan semula hanyalah berjumlah RM 238.5 juta sahaja.Kerajaan telah menanggung dan mensubsidikan sebanyak RM 12.20 billion atau pada kadar 98% dari pada keseluruhan perbelanjaan Kementerian Kesihatan Malaysia. Tetapi tak mengapa, kerana harga kesihatan dan nyawa rakyat tidak ternilai buat kerajaan.

Tidakkah kita terkejut dengan tindakan Parti Islam Semalaysia (Pas) yang selama ini kononnya berjuang demi sebuah Negara Islam, tiba-tiba pula berjuang untuk sebuah Negara berkebajikan? Mana perginya rasa ikhlas dan zuhud dalam berjuang? Mana perginya pendirian? Mana letaknya prinsip perjuangan? Adakah agama kini letaknya di bawah tapak kaki kita? Hanya kerana menagih undi rakan-rakan bukan seagama, kita tunduk dan akur. Sudahlah prinsip agama dibuang, mereka mendabik dada kononnya Negara Berkebajikan ini, merekalah perintis dan pemula.Barisan Nasional umumnya dan UMNO khususnya, telah lama melaksanakan Negara berkebajikan. Kita tidak canang hanya pada nama, biar nampak gah, biar nampak indah. Tapi yang kita jaga adalah pada isi dan inti. Biar benar-benar dilaksana, biar setiap susuk tubuh rakyat dapat merasa. Jika implementasinya benar, maka dengan sendiri namanya akan mekar. Bajet 2012 sememangnya bajet untuk rakyat dan semua bakal merasa tempiasnya. Daripada kanak-kanak darjah satu hinggalah balu seorang tentera. Daripada pemandu teksi, hinggalah gelandangan di ibu kota. Daripada golongan kanak-kanak, belia hinggalah golongan pesara. Daripada baikpulih rumah nelayan hinggalah meningkatkan sumber makanan melalui pertanian. Inilah contoh terbaik negara kebajikan. Kita sudah mula sejak semalam, kita teruskan sekarang dan kita akan pastikan berterusan untuk hari-hari yang mendatang.

Saudari-saudari sekalian,

PENEROKAAN IDEA BARU

Dalam membincangkan penerokaan idea baru, saya tertarik untuk mengimbau kisah Albert Einstein yang menemui kuasa elektrik atau Isaac Newton yang menjumpai tenaga graviti, mereka bermula sebagai peneroka dan pencari idea-idea baru. Mereka menjadi perintis kepada proses mencari sesuatu di luar pemikiran dan kebiasaan insan. Kita juga harus mengenang sejarah dengan membuka kitab Sulalatus Salatin. Mengambil iktibar keberanian dan kelantangan Hang Nadim yang tampil dengan idea baru dan bijak, akhirnya menyelamatkan Singapura daripada serangan todak. Puteri perlu mengambil iktibar daripada semua ini, bahawa Puteri perlu hadir dengan idea baru, segar dan di luar kebiasaan. Untuk itu, Puteri sentiasa mahu merakyatkan budaya inovasi dan penerokaan idea baru dalam segenap bidang. Kerja yang dianggap sesetengah orang sebagai kerja gila-gila ini telah banyak mengubah dunia. Kita tidak akan pernah tahu, apa benar suatu idea itu gila atau bermanfaat pada bangsa. 20 tahun dahulu mungkin gila jika saya katakan, saya mahu mengambil sebiji botol kosong, mengisi air kosong di dalamnya dan menjualnya. Tetapi hari ini, anda sendiri ada jawapannya. Inovasi dan kelahiran idea baru juga tidak pernah kenal sempadan jawatan mahupun latar belakang insan. Tahukah saudari-saudari, pencipta Vakum Hampagas adalah Hubert Booth yang merupakan seorang pengurus pengkebumian, manusia yang mencipta kapal terbang mini pertama iaitu Wright bersaudara hanyalah seorang pelukis potret, pencipta telegraf dan kod morse ialah Samuel Morse yang merupakan seorang veterinar dan pencipta telefon automatik iaitu Almind Strowger hanya seorang pembina jambatan. Mereka ini bukan manusia yang hebat dalam bidang yang diinovasikan, tetapi merekalah pemula dan penggerak kepada perubahan kerana mereka percaya apa yang mereka buat dan apa yang mereka fikir.

Kata-kata dan pandangan orang hanya buat mereka lebih berani dan berdiri dengan mandiri. Mereka mencari wadah, mereka menerokai wasilah dan mereka bijak mengenal hikmah.Saya percaya diluar sana, terdapat ribuan anak muda yang kaya dengan idea dan sarat dengan kemahuan untuk mencuba sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya menunggu ruang dan peluang untuk ?eureka? inovasi mereka diberi tempat yang sepatutnya. Selari dengan itu, kita tidak mahu lagi menjadi bangsa pengguna, yang sekadar menggunakan inovasi dan teknologi bangsa lain.

Sebaliknya, kita mahu bangun sebagai bangsa pencipta yang menjadi perintis dan peledak kepada penemuan-penemuan baru, untuk diinovasikan ke peringkat antarabangsa. Menjunjung hasrat inilah, Pergerakan Puteri mencadangkan;

Pertama, pembinaan Bank Idea, yang akan menghimpunkan semua inovasi dan penemuan baru yang hebat oleh pencipta Bumiputera yang selama ini kita pinggirkan.Mereka punya idea yang hebat, tetapi seringkali idea itu diciplak dan kertas cadangannya disalin kulit pihak lain kerana kita tidak cukup bersungguh-sungguh mempertahankan ketulenan inovasi mereka. Bank Idea ini akan menjadi pemudah cara untuk memastikan inovasi ini dipatenkan dengan segera.

Kedua, mewujudkan jaringan yang benar-benar kuat, efisien dan bermanfaat di antara universiti dan industri. Setiap penemuan, penyelidikan dan inovasi tidak hanya dimuziumkan di makmal sebaliknya dikomersialkan untuk manfaat bersama.

Ketiga, Pergerakan Puteri akan menubuhkan sebuah Biro Inovasi sebagai kerangka awal dalam usaha menggerakkan kelahiran inovasi yang berpotensi terutama yang dibangunkan oleh wanita muda.Kita tidak mahu apabila inovasi yang baik ini diiktiraf di luar negara, barulah kita sedar kekuatan dan kebolehupayaan yang kita ada. Kita tidak mahu pencipta-pencipta muda ini dibeli orang luar kerana kealpaan kita.

Keempat, sistem pendidikan yang berorientasikan kepada peperiksaan perlu dikendurkan sifatnya supaya potensi pelajar dalam lain-lain bidang dapat dibangunkan dengan lebih seimbang. Sifat persepsi negatif yang seringkali menghukum pelajar yang gagal cemerlang dalam peperiksaan perlu dibakul sampahkan, supaya mereka sedar tidak ada seorang pun dari rakyat yang tidak bernilai pada sebuah negara.

Saudari-saudari sekalian,

Idea baru juga harus hadir dalam perjuangan. Dalam konteks perjuangan kita, Puteri perlu tampil bersama idea tranformasi, dan pendapat berani yang mungkin menongkah arus, namun akan membawa pembaharuan yang berimpak besar kepada parti dan matlamat perjuangan. Puteri bukan lagi penerus tradisi, dan budaya politik konservatif, sebaliknya puteri mampu melahirkan dengan idea segar, berani dan kadangkala bersifat agresif.

Saudari-saudari perwakilan sekalian,

REVOLUSI MINDA DAN RASA

Dalam politik hari ini, perubahan bukan lagi bersifat pilihan, tetapi kewajipan untuk memastikan Puteri terus relevan dan kekal diperlukan. Puteri akan bertindak menjadi wadah politik yang menggerakkan perubahan sendiri. Malah, Puteri bukan sahaja akan menyokong agenda perubahan Parti, bahkan akan menjadi agen perubahan yang bertindak sebagai perintis dan pemula untuk sesebuah pembaharuan dilaksanakan. Puteri akan tampil sebagai satu sayap yang berani meneroka jalan revolusi, istiqamah merangsang inovasi dan agresif mencipta transformasi.

Saudari-saudari sidang perwakilan sekalian,


UMNO parti kita, parti ini telah membela nasib nenek moyang kita, kalau kita bacul dan pengecut, kita yang sebenarnya membunuh hak anak- anak dan cucu-cucu kita. Selepas ini, tidak akan ada lagi nada-nada sumbang yang menuduh Puteri ibarat, “Belum bergigi tapi sudah hendak mengunyah”. Suara-suara ini adalah lambang ketidak yakinan manusia-manusia sekeliling akan kemampuan Puteri, kononnya kita masih muda, lemah dan tidak berupaya melakukan transformasi. Kita akan buktikan, kita bukan sahaja sudah bergigi, bahkan kita sudah bertaring tajam untuk membaham lawan seperti Harimau Muda membaham sayap Garuda.Pastinya kita sudah mampu mengaum, menyusup rasa ngeri dan gerun pihak lawan, membangkit rasa kagum pada kawan.

Atas roh itulah, Puteri dengan tegas menentang budaya politik kotor pembangkang, atau siapa sahaja yang berjuang atas wadah memecahbelahkan bangsa dan agama. Kita tak akan jual agama kita untuk kedudukan politik kita, kita tak akan lacur maruah bangsa kita untuk cita-cita peribadi kita.