Friday, March 26, 2010

HULU SELANGOR AKAN MENGHADAPI PILIHANRAYA KECIL

Peta Hulu Selangor


PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat Jumaat depan untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pilihan raya kecil itu berikutan kematian penyandang kerusi kawasan itu, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi akibat barah otak.

Abdul Aziz berkata mesyuarat itu diadakan di Ibu pejabat SPR di sini pada jam 10 pagi. "Notis mengenai kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor akan diterima Isnin ini," katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dato' G Palanivel, dengan majoriti tipis 198 undi.

Pada Pilihanraya Umum, kutipan undian adalah :-
Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad (PKR) - 23,177 undi
Dato' G. Palanivel (BN) - 22,979 undi.

Sumber Berita- Bernama

SALAM TAKZIAH KEPADA KELUARGA ALLAHYARHAM DATUK DR ZAINAL ABIDIN AHMAD

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Ahli Parlimen Hulu Selangor, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang, kira-kira 9.27 malam ini akibat barah otak, demikian menurut adiknya Md Hambali Ahmad.

Allahyarham Datuk Zainal Abidin, 71, meninggalkan isteri, Datin Siti Zaharah Mohd Zin, dan empat orang anak.

Allahyarham Datuk Zainal Abidin yang memenangi kawasan Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum Mac 2008 di atas tiket PKR, pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor ketika dalam UMNO semasa Tan Sri Muhammad Haji Muhammad Taib menjadi Menteri Besar.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, Allahyarham Datuk Zainal Abidin pernah menjawat jawatan Exco negeri, antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Allahyarham Datuk Zainal Abidin adalah seorang ahli akademik sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa. Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya Pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Allahyarham Datuk Zainal Abidin yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

Dalam UMNO, Allahyarham Datuk Zainal Abidin pernah menjadi Pengerusi, cawangan UMNO Cheras (1987) serta pernah mengetuai UMNO Bahagian Hulu Langat untuk beberapa penggal sebelum menyertai PKR pada 2005 dan menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu bagi penggal 2007/2010.

Allahyarham Datuk Zainal Abidin turut aktif dalam pelbagai pertubuhan dan pernah menjawat jawatan seperti Pengerusi Persekutuan Pelajar Melayu, Pengerusi Majlis Pemuda Hulu Langat dan Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Selangor.

Semasa dalam UMNO, Allahyarham Datuk Zainal Abidin memenangi tiga penggal berturut-turut kerusi DUN Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999. Pilihan raya umum ke-11 pada 2004, Allahyarham Datuk Zainal Abidin digugurkan daripada menjadi calon.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Allahyarham Datuk Zainal Abidin membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

AL FATIHAH.

Sumber berita dari MediaUMNO/Bernama

Wednesday, March 24, 2010

PUTERI UMNO MALAYSIA MENGESA AGAR DIBEKUKAN KEMASUKAN PEKERJA ASING DARI LOMBOK

Pergerakan Puteri UMNO menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok, Indonesia berikutan trend kahwin lari melibatkan gadis-gadis Malaysia dengan lelaki dari wilayah tersebut yang semakin membimbangkan.

Puteri UMNO memperoleh maklumat terdapat kira-kira 500 wanita Malaysia berada di Lombok sekarang ini akibat terjerat oleh ikatan perkahwinan dengan lelaki dari wilayah tersebut semasa bekerja di negara ini.

Pembongkaran satu demi satu kes kahwin lari melibatkan lelaki dari Lombok menuntut satu mekanisme yang perlu dilaksanakan segera oleh KDN bagi membendung gejala yang tidak menyenangkan itu.

Puteri UMNO percaya akan ada lagi kes gadis Malaysia nekad meninggalkan keluarga masing-masing gara-gara berkahwin dengan lelaki dari Lombok dan terpaksa mengharungi penderitaan sepanjang berada di negara orang.

Kita tidak mahu trend yang semakin berleluasa ini akan mengakibatkan ramai gadis terpaksa mengorbankan masa depan mereka termasuk menjadi janda apabila sedar mereka ditipu oleh janji-janji manis.

Lebih dikesalkan apabila trend kahwin lari itu melibatkan gadis-gadis remaja yang hanyut dalam dunia percintaan sehingga segala-galanya tampak indah dan hanya sedar daripada khayalan apabila dihimpit penderitaan.

Puteri UMNO juga bimbang perkembangan tersebut jika tidak dibendung akan mengakibatkan ibu-ibu muda terpaksa membesarkan anak mereka bersendirian apabila dibawa pulang ke tanah air.

Manakala gadis-gadis yang masih berada di Lombok dan beranak-pinak di sana terpaksa membesarkan anak-anak mereka dengan peluang pendidikan yang sangat terhad.

Sehubungan itu Pergerakan Puteri UMNO mahu KDN mengambil langkah segera termasuk menghentikan pengambilan pekerja asing dari Lombok bagi membendung gejala yang `terlalu mengikut cinta akhirnya menderita'.


Tuesday, March 23, 2010

BOWLING PERSAHABATAN 2010 ANJURAN BIRO SUKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS



Pada 21 Mar 2010 bersamaan Hari Ahad, Biro Sukan dan Belia Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras telah menganjurkan Pertandingan Bowling Persahabatan di antara ahli - ahli Puteri UMNO cawangan di Bahagian Cheras yang bertempat di Ampang Superbowl, Ampang Point, Ampang Selangor.

Seramai 35 orang peserta terdiri dari pasukan Puteri UMNO dan pasukan jemputan dari Pemuda UMNO Bahagian Cheras telah mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlansung dalam suasana penuh semangat kesukanan.



Puan Sarina Sharif, Ketua Puteri Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras telah menyampaikan hadiah kepada pemenang - pemenang dan berharap aktiviti - aktiviti sukan seperti sukan Bowling ini dapat membentuk kerjasama berpasukan di samping mengeratkan silatrurahim sesama ahli -ahli Puteri UMNO di Bahagian Cheras.

Biro Sukan dan Belia Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan kepada mereka yang kurang bernasib baik di harap jangan putus asa dan cuba lagi di kejohanan yang akan datang.

Tuesday, March 16, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU :-)



Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras mengucapkan Selamat Pengantin Baru serta ucapan tahniah kepada Saudari Norehan, Exco Puteri UMNO Bahagian Cheras yang telah selamat diijabkabulkan pada 14 Mar 2010 (Ahad) dengan pasangan beliau Saudara Mohd Nor Baqi Bin ABdul Razak di Pusat Rekreasi Cheras Jalan Peel, Kuala Lumpur.




Semoga perkahwinan mereka berdua akan berkekalan sehingga ke akhir hayat dan di kurniakan oleh ALLAH s.w.t. sebuah keluarga yang bahagia. AMIN....

HARI KELUARGA PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS 2010


Pada 6 Mar 2010 sehingga 7 Mar 2010, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras telah menganjurkan Hari Keluarga bagi tahun 2010 bertempat di Everly Resort Hotel, Melaka.



Hari Keluarga Puteri UMNO Bahagian Cheras telah dihadiri seramai 45 orang yang terdiri daripada barisan Ahli Jawatan Kuasa Pergerakan Puteri UMNO Bahagian, Ketua Puteri UMNO Cawangan berserta Naib Ketua Puteri Cawangan dan juga Setiausaha Puteri UMNO Cawangan.



Objektif utama Hari Keluarga Puteri UMNO Bahagian Cheras di anjurkan adalah untuk merapatkan silaturahim di antara Ketua Puteri , Naib Ketua Puteri dan Setiausaha Bahagian dan Cawangan. Bersama kehadiran kaum keluarga acara Hari Keluarga Puteri UMNO Bahagian Cheras berlansung dengan meriahnya.



Program Hari Keluarga telah dimulakan dengan aktiviti sukan yang melibat Ahli - ahli Puteri dan keluarga. Pelbagai hadiah-hadiah yang hebat juga telah diberikan kepada semua pemenang. Acara kemuncak Hari Keluarga, pihak urusetia telah mengadakan majlis makan malam yang turut dihadiri oleh tetamu istimewa iaitu, Puan Azliza (Along) yang merupakan Pengerusi Tetap Puteri UMNO Malaysia merangkap Ketua Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu, Melaka.



Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras turut ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka yang sudi menaja makan tengahari sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Adat orang Melaka tidak lekang dengan pantun.

Kalau ada sumur di ladang,
boleh kami menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
boleh kami berjumpa lagi.