Tuesday, January 21, 2014

ISU KANGKUNG BOLEH SEBABKAN 13 MEI KATA PERKASA

Ketua Penerangan Perkasa Zahid Md Arip
Kumpulan pendesak Melayu Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) hari ini tidak menolak isu kangkung yang dimainkan oleh pembangkang dan penyokong Umno boleh menjadi punca berulangnya tragedi berdarah 13 Mei.
Ketua Penerangan Perkasa Zahid Md Arip (gambar) berkata, isu kangkung yang dimainkan kali ini dianggap sebagai keterlaluan malah menyelar pihak pembangkang sebagai “jumud” kerana memperbesarkan hal tersebut.
"Ini terjadi apabila ada satu pihak yang tidak tahu menghormati pemimpin negara dan satu lagi yang cuba mempertahankan institusi apabila dipermainkan begitu.
"Maka sekiranya dibiarkan berterusan yang dimainkan secara melampau maka kemungkinan berlakunya 13 Mei sekali lagi," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Perkasa, Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun menurut Zahid, Perkasa tetap dengan pendirian mereka yang akan menentang sebarang usaha untuk mengulangi tragedi 13 Mei.
"Kita tetap dengan pendirian tidak mahu 13 Mei kerana menganggap isu itu telah selesai oleh ibu bapa generasi terdahulu," katanya.
Beliau berkata isu kangkung merupakan satu contoh apabila adanya pihak yang menggunakan kebebasan diberikan melebihi had yang ditetapkan.
Katanya, bagaimanapun marah rakyat kepada kerajaan kerana peningkatan kos sara hidup, namun kedudukan Najib sebagai perdana menteri haruslah dihormati semua rakyat di negara ini termasuklah pembangkang.
"Tengok cara isu itu dimainkan apabila keterlaluan melepasi keterbatasan yang ditetapkan maka jahanamlah negara," katanya.
Zahid juga mengambil contoh sebagai isu penarikan balik saman Umno ke atas pemimpin PKR Tian Chua memberikan isyarat jelas untuk pembangkang terus mempermainkan parti Melayu itu.
"Ini merupakan kesalahan daripada ibu pejabat Umno apabila kononya cuba memperlihatkan pendekatan terbuka namun akhirnya dikotak-katikkan pembangkang termasuk dalam isu kangkung ini," katanya.
Malah paling dikesalinya apabila adanya pihak terlalu taksub dengan isu kangkung sehingga telah menenggelamkan perkara lain yang perlu diberi perhatian.
"Ketika dalam satu majlis penyerahan bantuan mangsa banjir baru-baru ini, orang tidak peduli mengenai usaha tersebut sebaliknya bertanyakan pasal isu kangkung.
"Kita tidak faham apa yang begitu besar dengan isu tersebut hina sangatkan perdana menteri menyebut mengenai sayur kangkung," katanya.
Ditanya mengenai provakasi 13 Mei yang dilakukan oleh peserta Umno pada perhimpunan balas “flash mob kangkung” yang dianjurkan pembangkang, beliau mempertahankan tindakan itu sebagai luahan emosi.
"Itu perkara normal apabila orang tengah marah maka mereka tidak boleh kawal perasaan itu macam-macam boleh keluar.
"Kalau nak tuduh ia dicetuskan Perkasa, yang kononnya turut serta perhimpunan itu, mana kita nak tahu, ahli kita banyak," katanya.
Pada Ahad lalu, sebagai serangan balas tarian “flash mob kangkung” yang dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk dari PKR Lee Khai Loon minggu lau, mendakwa pengikut parti itu bertukar ganas hingga menyebabkan dua orang awam tercedera.
Malah pengikut Umno juga dikatakan turut memainkan isu perkauman dan agama sebagai serangan balas kepada Pakatan Rakyat. – 20 Januari, 2014.

Monday, January 20, 2014

AWASI "FORMULA KEMUSNAHAN" ADAB SOPAN ORANG KITA





DULU, media cetak dan elektronik terutama media arus perdana sering dipersalahkan kerana berita yang kurang enak serta menampilkan gambar yang dianggap menjolok mata. Media dipersalahkan kerana laporan sedemikian kononnya akan menimbulkan masalah sosial. Teguran ini juga pernah dimasukkan dalam khutbah Jumaat. Itu cerita dulu. Kini keadaan sudah berubah. Dalam era ‘langit terbuka’, media cetak dan elektronik arus perdana tidak mampu lagi menyekat dan menapis maklumat. Di luar media arus perdana, sudah ada kebebasan penyebaran maklumat. Baik atau buruk, maklumat sudah ada di hujung jari, 24 jam, berlegar tanpa henti-henti. Anak-anak kita yang celik IT lebih mudah mendapat maklumat. Terserah kepada ibu bapa untuk ‘memandu’ mereka. Penggunaan media baharu seperti internet, e-mel, facebook, twitter, whatsapp dan sebagainya mendedahkan mereka kepada pelbagai maklumat. Bukan sahaja maklumat dalam bentuk teks tetapi juga lakaran, kartun, grafik, serta video.

Memang elok jika semua kemudahan media baharu itu digunakan untuk kebaikan. Malangnya, kemudahan itu sudah menjadi medan memfitnah, mencemuh, mengejek, menyindir, mengaib dan menghina sesama manusia. Media baharu hari ini umpama kilang fitnah yang sentiasa mencari jalan untuk merosakkan pemikiran masyarakat, menanam persepsi buruk terhadap seseorang terutama pemimpin. Menyelak kembali pada era masa lalu, fitnah seumpama ini bergerak melalui surat layang yang mengambil masa untuk sampai ke tangan pembaca. Kadang-kadang surat layang dibakul sampah sebelum dibaca atau diedarkan. Sekarang, fitnah bergerak pantas melalui pelbagai medium. Begitu juga dengan surat berantai. Dulu, terpaksa ditulis dengan tangan atau ditaip tetapi sekarang lebih mudah melalui telefon bimbit. Teknologi ini boleh menukar wajah baik seseorang dengan wajah yang ‘hodoh’ beserta dialog yang tidak manis, berbentuk sindiran atau pembohongan. Teknologi boleh mengubah ucapan sebenar kepada lagu berbentuk sindiran. Dialog palsu boleh diletak pada gambar seseorang yang bertujuan menyindir. Lihat sahaja isu skandal seks yang melibatkan seseorang yang mirip pemimpin parti pembangkang, kes pencerobohan Lahad Datu dan terkini isu kangkung. Begitulah teknologi yang memudahkan kerja manusia menyebarkan pelbagai pandangan bukan sahaja yang baik-baik tetapi juga perkara tidak baik yang berunsur fitnah, sindiran, cercaan dan kritikan tidak sihat.
Teknologi itu tidak boleh dipersalahkan kerana kemudahan itu juga boleh digunakan ke arah kebaikan. Dalam jangka masa panjang, apakah kesannya situasi penyalahgunaan teknologi ini kepada generasi muda sebagai pelapis untuk memimpin negara? Apakah jenis generasi yang mahu kita lahirkan? Cabaran pemimpin masa depan nampaknya lebih mencabar dengan adanya tekonologi seperti hari ini. Jika dulu, ayat-ayat atau kata-kata sindiran, cercaan atau perbuatan biadab sukar dipertontonkan tetapi hari ini, semuanya dapat dilihat dan dibaca dengan mudah serta pantas. Tidak ada tapisan atau istilah ‘tidak sayang mulut’. Sudah tentu setiap penghinaan akan menyentuh perasaan atau mengguris hati orang berkenaan. Begitu juga keluarga yang akan terasa tempias cercaan itu lebih-lebih lagi melibatkan seorang pemimpin.
Contohnya dalam isu kangkung. Riuh rendah ruang media baharu. Sudah hilang perasaan adab sopan. Apa yang penting, pihak ini mahu mencapai matlamat untuk menyemai dan menanam kebencian terhadap pemimpin. Adakah pengikut pemimpin yang dicemuh akan berdiam diri? Walaupun tidak dibalas dengan kaedah yang sama melalui media baharu tetapi setiap orang ada tahap kesabaran. Jangan kerana kangkung, manusia sanggup ‘berperang’ untuk mempertahankan ideologi masing-masing.

Kelmarin di Permatang Pauh, lebih 3,000 orang menyertai perhimpunan bagi mengecam tindakan biadab ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan sekumpulan penyokong DAP menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai perdana menteri minggu lalu. Adakah wajar tindakan wakil rakyat itu? Apa perasaan dia jika mulut Lim Guan Eng disumbat dengan Mercedes-Benz S300L? Mungkin DAP akan menganggapnya tidak apa. Cuma yang membezakan dua situasi ini ialah nilai kangkung berbanding Mercedes-Benz S300L. Berapa sangat harga kangkung? Kadang-kadang sayur itu boleh didapati secara percuma di parit, paya atau tanam sendiri di belakang rumah (bagi yang rajin) berbanding Mercedes-Benz S300L. Berapa ramai orang Pulau Pinang yang mampu memiliki kereta jenis itu?

Kembali ke Permatang Pauh. Memang benar kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Reezal Merican Naina Merican semasa menghadiri perhimpunan itu. Katanya: “Kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan sampai menghina. Tindakan yang dilakukan oleh ADUN Machang Bubuk itu bukan sahaja biadab tetapi kurang ajar.’’

Dalam politik, kita boleh ‘berbaju’ biru, hijau, merah dan sebagainya tetapi ketika mahu menunaikan solat di surau atau masjid, kita berada di saf atau barisan yang sama dan lurus tanpa mengira fahaman politik. Itu yang diajar kepada kita tetapi dengan kehadiran tekonologi baharu hari ini, adakah semuanya sudah berubah? Apakah sudah tidak ada lagi rasa hormat terhadap orang yang sedikit sebanyak sudah berjasa atau lebih tua daripada kita? Sebagai orang Islam atau Melayu yang dididik dengan pelbagai adat resam bersandarkan ajaran agama dan budaya, adakah kita dibenarkan untuk mencerca, menghina dan mengaibkan seseorang yang melakukan sesuatu dengan niat baik?

Malang bagi generasi hari ini, mereka didedahkan dengan pelbagai bentuk media yang boleh menghakis rasa hormat terhadap orang lain yang sebangsa dan seagama dengan mereka. Lebih malang jika ‘permainan’ ini dilakukan oleh musuh yang bertujuan memecahbelahkan perpaduan sesuatu kaum dan agama.

Kita bimbang kemungkinan ada pihak yang sengaja mencipta ‘formula kemusnahan’ ini untuk kepentingan politik. Dalam politik, pihak berkenaan akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik perhatian rakyat. Walaupun tindakan itu melampaui batasan tatasusila agama dan budaya, tetapi ada sesetengah pihak tidak peduli itu semua. Bagi yang beragama Islam, soal dosa, pahala ditolak ketepi lebih-lebih lagi yang pegangan agamanya goyang tetapi merasakan diri lebih berilmu. Maka mereka ini akan menjadi penyumbang kepada penyebaran bahan-bahan yang dianggap menghina, mencerca dan mengaibkan seseorang dengan niat untuk memalu atau memperlekeh individu berkenaan. Akibatnya mesej yang memualkan ini menjadi seperti ‘surat berantai’ yang jika tidak dipanjangkan kepada orang lain akan menjadi satu dosa atau bakal ditimpa bala. Memang ada juga mesej melalui media baharu yang mengajak manusia ke arah kebaikan seperti penyebaran maklumat mengenai ceramah atau video agama, bacaan al-Quran dan sebagainya. Tetapi, lumrah manusia, kebanyakannya lebih gemar dengan mesej berunsur penghinaan atau sindiran.

Kita harus berhati-hati supaya formula kemusnahan ini tidak merosakkan umat Islam. Perlu ada kebimbangan dalam kalangan kita bahawa media baharu ini akan memandu ke jalan yang tidak diredai. Ketika kita berusaha mencari jalan ke syurga jangan pula kita terarah ke neraka disebabkan tindak-tanduk yang sama ada kita sedar atau pura-pura tidak sedar disebabkan kepentingan tertentu. Jangan ketika kita bercakap mengenai kangkung, diri kita begitu mudah ‘dicelur’ musuh untuk dijadikan pecal atau yong tau fu.


Wednesday, January 15, 2014

2,000 ORANG HADIR SAMBUTAN MAULIDUR RASUL UMNO CHERAS

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Cheras anjuran Pergerakan UMNO Bahagian itu berlangsung meriah apabila menarik kehadiran kira-kira 2,000 orang.


Ketua UMNO Bahagian yang juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee berkata, sambutan sempena meraikan keputeraan Rasulullah SAW itu adalah program untuk berdakwah dan mengeratkan hubungan antara penduduk.


Beliau berkata, kehadiran orang ramai yang jauh lebih ramai daripada sasaran awal membuktikan program keagamaan sentiasa mendapat tempat di hati penduduk sekitar.


"Tujuan himpunan ini diadakan adalah bagi memberi kesedaran dan keinsafan kepada orang ramai tentang perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan agama Islam," katanya dalam sidang akhbar selepas sambutan itu di sini hari ini.
Selain ceramah agama, tujuh tokoh Maulidur Rasul peringkat Parlimen Cheras telah dipilih dalam kalangan masyarakat setempat bagi menghargai jasa serta kejayaan masing-masing.
Mereka yang menerima anugerah itu ialah Mat Shah Mohd. Ali, 54; Shafaie Ahmad, 57; Hasnah Abdullah, 69; Azizah Mohd. Nor, 48; Mohd. Zaki Mat Aziz, 42; Juahir Mondakir, 55 dan Watihah Fatihul Azis, 15.

Kesemuanya menerima sijil, plak, hamper serta pakej menunaikan umrah.


LENSA CAMERA  SEKITAR MAJLIS HIMPUNAN MAULIDUR RASUL PARLIMEN CHERAS