Friday, October 29, 2010

PUTERI UMNO TEKAD TINGKATKAN KEAHLIAN PENGUNDI MUDA

Pergerakan Puteri UMNO bertekad akan meningkatkan usaha dan melaksanakan pelbagai program dalam fokus menarik golongan muda mendaftar sebagai pengundi di samping meningkatkan penyertaan mereka dalam UMNO.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Majid Rashid Shirlin berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua bahagian dan cawangan Puteri UMNO untuk bekerja keras mendekati golongan muda menerusi program-program yang bersesuaian dengan jiwa mereka.

“Apa yang penting adalah usaha menyedarkan golongan muda tentang betapa pentingnya mereka celik politik dan mendaftar sebagai pengundi,” katanya. Jelas beliau, sebagai sayap parti yang mewakili usia muda, Puteri UMNO sentiasa menggalas tanggungjawab tersebut kerana menyedari undi mereka amat penting untuk menentukan kedudukan serta senario politik negara.

pu3-pengundi-muda-rosnah

“Ini kerana golongan muda menyumbang 40 peratus daripada keseluruhan pengundi di negara ini, dan jika kebanyakkan mereka khususnya orang Melayu tidak berdaftar sebagai pengundi maka kesannya terhadap masa depan bangsa amat membimbangkan,” katanya.

Tambahnya lagi, pada masa yang sama golongan muda Melayu yang mendaftar sebagai pengundi mesti dibimbing supaya mereka tidak terikut-ikut dengan rentak politik pembangkang yang kononnya memperjuangkan idealisme dan kebebasan.

“Kesedaran serta minat berpolitik di kalangan muda mesti terarah dan tersusun, bukannya secara semberono kerana trend sekarang menunjukkan golongan muda yang mendaftar sebagai pengundi tetapi tidak dibimbing arah politik mereka menjadi penentang kepada kerajaan dan tidak memberi sokongan kepada UMNO.”

Dalam hal ini juga, Puteri UMNO akan terus menanamkan rasa cinta dan sayang golongan muda terhadap parti yang memelihara hak-hak orang Melayu serta menjaga kesucian Islam.

Selaras dengan hasrat mendekati masyarakat, komen dan cadangan daripada semua pihak untuk aktiviti yang dirasakan sesuai sebagai pemangkin mewujudkan ahli UMNO dan pengundi berkualiti amat dialu-alukan. Cadangan tersebut boleh dihantar ke admin@puteriumno.my atau ke laman facebook – Puteri Jiwa Rakyat.

Tuesday, October 26, 2010

UNDILAH BARISAN NASIONAL


BIODATA CALON BARISAN NASIONAL DI DUN GALAS

Abdul Aziz Yusuf dilahirkan pada 16 Jun 1961 di Kg. Bertam Baru, Gua Musang. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya Roshana Hashim, beliau dikurniakan 4 orang anak iaitu 3 orang perempuan dan 1 orang lelaki.

Dari segi latarbelakang pendidikan, Abdul Aziz memulakan pendidikan rendahnya di SK Bertam, Gua Musang. Pendidikan menengahnya di SMK Jerantut, Pahang dan kemudian masuk ke aliran teknik SMK Teknik Kuantan. Kelulusan tertinggi beliau adalah Sijil Pelajaran Malaysia.


Beliau kini berkhidmat sebagai Pengurus Pejabat Operasi Kesedar di RPT Sg. Terah. Beliau mendapat tiga anugerah kehormat iaitu, Ahli Kelantan, Seri Mahkota Kelantan dan Pingat Pangkuan Negara. Dalam parti, beliau kini adalah Setiausaha Bahagian UMNO Gua Musang serta merupakan Ketua Cawangan UMNO RPT Limau Kasturi.

Monday, October 25, 2010

CALON BARISAN NASIONAL DI PILIHANRAYA KECIL DUN GALAS DAN PARLIMEN BATU SAPI

Barisan Nasional (BN) semalam menamakan Setiausaha UMNO bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff, 49, sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Datin Linda Tsen Tsau Lin, 54, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi.

Pemilihan kedua-dua anak tempatan mewakili BN, diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Gua Musang dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di Sandakan, petang semalam.

Pilihan raya kecil DUN Galas dijangka menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PAS, manakala di Batu Sapi, BN dijangka berdepan PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Di GUA MUSANG, Muhyiddin yakin pemilihan Abdul Aziz boleh diterima semua pengundi Galas.

“Beliau dipilih oleh Perdana Menteri selepas berbincang dengan kepemimpinan UMNO bahagian dan Badan Perhubungan Kelantan. Kita berharap pengundi Galas dapat memberi mesej yang kuat, yang rakyat masih mahukan pembangunan untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Hakikatnya, pembangunan duniawi yang dilaksanakan BN adalah sebahagian tuntutan agama.

"Daripada profil DUN Galas yang mempunyai pengundi Melayu, Cina, India dan Orang Asli, ia memberi gambaran DUN Galas sebagai contoh 1Malaysia. Dalam hal ini, hanya kerajaan BN lebih mampu dan berupaya memenuhi kehendak rakyat," katanya pada majlis pengumuman calon BN di Balai Rakyat Bukit Chekati, Gua Musang.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Pilihan Raya Kecil BN bagi DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah; Naib Presiden MCA, Datuk Wira Chor Chee Heung dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.


Ketua Menteri Sabah bersama Linda ketika pengumuman calon BN di Sandakan

Di SANDAKAN Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bersama pemimpin komponen BN Sabah dalam sidang akhbar di Hotel Sanbay, dekat sini, pada 3 petang.
Tsen, 54, adalah balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, iaitu penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas.
Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 Nov. Musa berkata calon yang dipilih itu dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua parti komponen BN Sabah.
"Bagi Datin Linda, Batu Sapi bukanlah asing bagi beliau, dan politik bukan juga asing kepada beliau, kerana beliau adalah seorang Naib Ketua Exco Wanita PBS.

"Jadi, bagi dia ini adalah satu perkhidmatan, peluang untuk beliau teruskan perjuangan mendiang suami beliau dan beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas pengumuman itu.

Musa berkata memang sudah terbukti banyak wanita berkelayakan dan berkebolehan untuk menjadi pemimpin di negara ini, justeru peluang sebegini diberi kepada golongan wanita.

"Bagi kita di Sabah, kita juga mahu menonjolkan banyak lagi wanita yang berkebolehan, berdedikasi dan boleh memberi khidmat kepada rakyat," katanya.

Musa berkata Tsen berjanji akan bekerja keras dan memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat di Batu Sapi. Menjawab soalan sama ada pemilihan itu dibuat berdasarkan faktor simpati, Musa berkata terpulang kepada penilaian rakyat kerana yang penting calon dipilih boleh memberi perkhidmatan melalui pengalaman politik yang ada.

Sementara itu, Tsen apabila ditanya sama ada pemilihannya sebagai calon pilihan raya kecil itu satu perkara yang sukar buat dirinya memandangkan beliau baru kehilangan suami, berkata: "Saya berbesar hati kerana dipilih sebagai calon. Saya tahu saingan ini amat sukar, kita perlu bekerja keras.

"Ini adalah peluang untuk saya meneruskan khidmat bakti yang dicurahkan mendiang suami saya Datuk Edmund Chong," katanya.

Mengenai persediaan kempen BN untuk pilihan raya kecil ini, Musa berkata BN negeri telahpun bermesyuarat dan mengagihkan tugas kepada semua ketua bahagian dan wakil rakyat dalam parti komponen gagasan itu.

"Kita berjanji akan bekerja kuat dan bekerja keras bagi kemenangan Datin Linda. Insya-Allah dengan sokongan, dukungan dan kerjasama semua parti BN di Sandakan ini yang akan bekerja keras siang dan malam, kita boleh berjaya," kata beliau.

Tsen, anak kelahiran Sandakan, mengikut persekolahan awalnya di Sekolah Rendah Chi Hwa dan Sekolah Menengah Tiong Hwa, di sini.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di St Brandon School, United Kingdom, dan Trinity College of Music, London serta Fellowship London College of Music.

Beliau mempunyai empat anak, iaitu tiga perempuan berumur antara 18 dan 23 tahun dan yang bongsu seorang lelaki berumur 13 tahun.

Thursday, October 21, 2010

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2010

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak memeriksa barisan dan menerima tabik hormat yang terdiri masing-masing 50 ahli Pemuda, Wanita dan Puteri.


Perhimpunan Agung UMNO 2010 bermula hari ini dengan majlis perasmian oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Majlis dimulai dengan upacara perbarisan dan menaikkan bendera UMNO di Dataran Putra pada 8.30 pagi, diikuti dengan penyampaian ucapan dasar oleh Najib, yang juga Perdana Menteri, di Dewan Merdeka, di hadapan 4,907 perwakilan.

Perhimpunan Agung kali ini berlangsung selama lima hari bermula semalam dengan perasmian serentak perhimpunan agung tiga sayap Umno iaitu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden UMNO.
Sempena Perhimpunan Agung kali ini, satu forum antarabangsa dua hari turut diadakan bermula Isnin, yang bertajuk "Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik". Forum yang julung-julung kali diadakan itu dihadiri lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara termasuk 63 peserta dari 22 parti politik dari 20 negara, 54 peserta dari Kelab Umno Luar Negara serta para penganalisis politik.

PERSIDANGAN PERWAKILAN PUTERI UMNO MALAYSIA 2010


Rosnah Abdul Rashid Shirlin bersama Exco Pergerakan Puteri UMNO bergambar selepas perhimpunan agung tahunan pergerakan itu di PWTC, semalam.


Persidangan Perwakilan Puteri UMNO yang menutup tirai petang semalam mencetuskan kelainan apabila Ketuanya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menggunakan pendekatan unik bagi mencetus semangat perjuangan di kalangan ahli-ahli Puteri.

YB Datuk Rosnah di akhir ucapan penggulungan perbahasan mengajak para perwakilan menghayati lagu Warisan nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad untuk menyemarakkan perjuangan memperkasakan parti demi bangsa, agama dan negara.

Dalam nada sebak, beliau mahu ahli Puteri selepas menghayati lagu tersebut yang dikumandangkan di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pulang membawa bersama semangat juang yang tinggi bagi memastikan UMNO terus relevan dan diterima rakyat.

“Jangan apabila tamat perhimpunan, semua peringatan menjadi basi semata-mata. Ingatlah, setiap derapan langkah tertanggung amanah dan tanggungjawab, setiap kata kita seharusnya mempunyai isi dan seruan semangat serta setiap perbuatan kita sewajibnya mempunyai roh perjuangan UMNO.

“‘Jadi, sekiranya kita keluar dewan ini semata-mata membawa beg persidangan, kita keluar dewan ini semata-mata bergaya cantik, kita keluar dewan ini membawa barangan hasil beli-belah semata-mata, bermakna kita masih tidak berubah,’’ katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO.

Dalam penggulungan tersebut, beliau turut berpesan kepada ahli-ahli Puteri supaya bangun daripada tidur yang melalaikan dan segera menyusun serta memantapkan gerak kerja parti.

Pada masa sama, katanya, ahli-ahli parti di semua peringkat perlu menggerakkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi.

“Kita jangan omong-omong kosong. Marilah kita lapangkan dada, bulatkan tekad dan atur langkah serta catur kecemerlangan Puteri.

“Saya mahukan kita semua pulang pada Jumaat ini dengan membawa satu tekad untuk berjuang habis-habisan. Kita rampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi,’’ tegas beliau.

Beliau seterusnya melahirkan harapan agar semua peringkat pergerakan memberi sokongan kepada usaha menubuhkan Unit Khas Pilihan Raya Puteri.

“Saya berharap agar penubuhan unit itu akan memperkasakan lagi peranan Puteri dan Puteri tidak lagi dipandang enteng. Jangan sesekali kita diperlekehkan,’’ katanya.

Mengenai perbahasan wakil-wakil negeri, beliau menyifatkan ia sebagai perbahasan yang terbaik dan berharap akan dapat dipertingkat untuk tahun mendatang.

Monday, October 18, 2010

PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN BATU SAPI


Tarikh pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi di Sabah akan diadakan serentak dengan pilihan raya kecil dewan undangan negeri Galas iaitu pada 4 November ini.Manakala tarikh penamaan calon juga diadakan pada hari yang sama, iaitu 26 Oktober ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.

Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat pagi ini, katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya. Tan Sri Abdul Aziz berkata keputusan itu berdasarkan faktor undang-undang tidak melarang berbuat demikian dan pengalaman SPR sebelum ini yang mengadakan pilihan raya kecil secara serentak di tiga tempat iaitu di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai tahun lalu.

Beliau berkata jika dijalankan serentak, tempoh untuk mengadakan pilihan raya kecil itu menjadi pendek berbanding secara berasingan, sekali gus menjimatkan masa, perbelanjaan SPR dan mengurangkan ketegangan.

Katanya selain itu, SPR melihat tarikh berkenaan sebagai yang terbaik memandangkan faktor ruang yang terhad berikutan banyak peristiwa berlaku menjelang hujung tahun seperti sambutan perayaan Deepavali, Aidiladha, sidang DUN Sabah, awal Muharram, peperiksaan SPM.

“Dan yang paling penting, Sabah telah menyatakan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya kecil.

“Sebanyak 25,582 pemilih yang melibatkan 24,047 pengundi biasa dan 1,535 pengundi pos layak mengundi dalam pilihan raya ini,” katanya.

Beliau berkata dua DUN di kawasan Parlimen Batu Sapi iaitu masing-masing Sekong dan Karamunting, mempunyai 11,321 dan 14,261 pengundi.

Menurutnya, daftar pemilih yang digunakan adalah Daftar Pemilih Induk 2009 dan digabungkan bersama dengan daftar pemilih suku tahun pertama dan kedua tahun ini yang dikemaskini pada 9 Oktober lalu.

Menurut Abdul Aziz lagi, Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan Mohamad Hamsan Awang Supain telah dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan beliau akan dibantu oleh empat penolong pegawai pengurus.

“Sebanyak 45 saluran akan dibuka manakala 405 petugas telah dilantik bagi mengendalikan perjalanan pilihan raya ini,” kata Abdul Aziz.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, 9 Oktober lalu.

Mendiang menduduki kerusi itu sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah – menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

SPR, menurut Abdul Aziz menjangkakan pengumuman keputusan akan dibuat serentak bagi kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan iaitu kira-kira jam 8 malam.

Friday, October 15, 2010

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2010

Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung selama lima hari bermula 19 hingga 23 Oktober ini padat dengan pelbagai agenda yang telah diatur sebagai gerak kerja bagi melancarkan perjalanan persidangan tahunannya.

Dalam sidang medianya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa perancangan rapi berkaitan persidangan tersebut berjalan dengan lancar dan teratur.

“Kali ini Perhimpunan Agung UMNO akan dimulakan dengan Forum Antarabangsa yang diadakan atas kaedah untuk bertukar-tukar pandangan khususnya tentang permasalahan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Jelasnya lagi, forum tersebut akan memaparkan tema ‘Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru’ dengan melibatkan lebih 400 peserta dari dalam dan luar Negara termasuk kedutaan asing dalam negara, ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Exco, parti-parti komponen, Kelab UMNO Luar Negara dan para penganalisis politik.

“Forum tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan penutupnya oleh Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak,” maklumnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau turut memberitahu bahawa persidangan tahunan tersebut seperti biasa, akan dimulakan dengan majlis tertutup Taklimat Presiden pada hari pertama persidangan.

“Taklimat tertutup ini akan dihadiri oleh ahli MT, exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta para perwakilan dari Bahagian-bahagian di Dewan Merdeka.”

Beliau turut memberitahu, solat Jumaat sewaktu perhimpunan agung itu berlangsung akan diadakan di Surau Ar-Rahman PWTC yang boleh memuatkan sekitar 6,000 orang pada satu-satu masa.

Turut hadir Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh; Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar; Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri, Nor Azitah Abdul Rahman dan Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda, Saiful Hazizy Zainul Abidin.

Seramai 2,543 orang perwakilan Perhimpunan Agung sementara, 793 perwakilan untuk Perhimpunan Agung Wanita UMNO, 795 perwakilan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO dan 776 Perhimpunan Agung Puteri UMNO.

Tiga usul akan dibahaskan dalam perhimpunan tersebut melibatkan usul ucapan dasar Presiden, ekonomi dan usul pendidikan dan agama.

Berikut adalah aturcara sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2010:-

  • FORUM ANTARABANGSA

Tajuk: “The Creation of Global Citizen: Media Liberalization and New Political Realities”
Tarikh: 18 – 19 Oktober 2010
Tempat: Dewan Tun Dr. Ismail, PWTC

Butiran Forum:

PERASMIAN FORUM ANTARABANGSA 2010
Tarikh: 18 Oktober 2010 (Isnin)
Masa : 9.30 pagi
Tempat: Dewan Tun Dr. Ismail, Aras 2, PWTC
Dirasmikan : Timbalan Presiden UMNO
Ucaptama : YABhg.Tun Dr. Mahathir Mohamad


  • FORUM ANTARABANGSA 2010 (HARI KE-2)

Tarikh : 19 Oktober 2010 (Selasa)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Dewan Tun Dr. Ismail, Aras 2, PWTC
Penutupan : Presiden UMNO

  • PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2010

MAJLIS TAKLIMAT PRESIDEN (TERTUTUP)
Tarikh: 19 Oktober 2010 (Selasa)
Masa : 3.00 petang
Tempat: Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC

  • PERASMIAN SERENTAK PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO

Tarikh: 19 Oktober 2009 (Selasa)
Masa : 8.00 malam
Tempat: Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
Dirasmikan: Timbalan Presiden UMNO

  • PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO

Tarikh: 20 Oktober 2009 (Rabu)
Masa : 8.30 pagi
Tempat: i. Pergerakan Wanita
(Dewan Tun Hussein Onn, PWTC)

ii. Pergerakan Pemuda
(Dewan Merdeka, PWTC)

ii. Pergerakan Puteri
(Dewan Tun Dr. Ismail, PWTC)

  • UPACARA NAIK BENDERA DAN MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2010

Tarikh: 21 Oktober 2009 (Khamis)
Masa : 8.00 pagi
Tempat: Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
Dirasmikan : Y.A.B Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak
Presiden UMNO

  • JAMUAN MAKAN MALAM PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2010

Tarikh: 21 Oktober 2009 (Khamis)
Masa : 8.00 malam
Tempat: Dewan Tun Razak 1

  • PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2010 (HARI KE-2)

Tarikh: 22 Oktober 2010 (Jumaat)
Masa : 8.30 pagi
Tempat: Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC

  • PERHIMPUNAN AGUNG UMNO (HARI KE-3)
Tarikh: 23 Oktober 2010 (Jumaat)
Masa : 8.30 pagi
Tempat: Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC

Tuesday, October 12, 2010

INFORMASI N45 - DUN GALAS

Dun N45 Galas merupakan salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen P032 Gua Musang, Kelantan.


Kawasan ini bersempadan dengan DUN N43 Nenggiri disebelah utara, Merapoh, Pahang Darul Makmur dan Cameron Highland di sebelah selatan. Mempunyai 6 kawasan petiundi majoriti Orang Asli, 2 kawasan petiundi majoriti Cina dan 5 kawasan peti undi majoriti Melayu, menjadikan jumlah kawasan petiundi kesemuanya 13.

Semasa pilihanraya umum ke 12 tahun 2008, jumlah pemilih bagi DUN Galas ialah seramai 10330 (6255 Melayu, 1903 Cina, 172 India dan 2000 Orang Asli).

Pada pilihanraya umum ke 12 yang lepas, PAS memenangi kerusi DUN N45 Galas dengan majoriti kecil iaitu 646 dimana Calon Pas YB Chek Hashim Selema mengalahkan Calon BN iaitu En Mohamad Saufi Deraman, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang (pada masa itu) yang juga penyandang bagi kawasan berkenaan.

Tiga kategori kawasan iaitu kawasan kampung tradisional termasuk setinggan, kawasan bandar termasuk kawasan perumahan dipinggir bandar yang didiami oleh golongan pertengahan, manakala kawasan yang ketiga pula ialah kawasan kampung orang asli.

Dun Galas merupakan pusat pentadbiran Parlimen Gua Musang yang sekarang ini sedang berkembang pesat.

Walaupun kawasan ini bukan merupakan bandar industri, tetapi kawasan ini lebih popular sebagai bandar transit, dimana ia merupakan pintu masuk dari pahang melalui Kuala Lipis, dari Perak melalui Simpang Pulai, Ipoh dan Cameron Highland.


Monday, October 11, 2010

MAJLIS RUMAH TERBUKA UMNO BAHAGIAN CHERAS

Lebih 15 ribu orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri majlis Rumah Terbuka Rakyat 1Malaysia anjuran UMNO Bahagian Cheras dan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) malam tadi. Majlis yang sepatutnya bermula 7.30 malam itu bagaimanapun telah 'serbu' oleh orang ramai sejak pukul 7 petang untuk menikmati pelbagai juadah yang disediakan penganjur. Pengunjung Islam bersama kaum Cina dan India berpusu-pusu memenuhi dua tapak juadah yang disediakan khas bagi memberi keselesaan kepada pengunjung menikmati jamuan. Sambutan pada tahun ini merupakan yang paling meriah dan mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk khususnya sekitar Parlimen Cheras berbanding dengan tahun sebelumnya.

Ketua UMNO Bahagian Cheras merangkap Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee ternyata berpuashati dan gembira dengan sambutan diluar dugaan daripada orang ramai. "Saya bersyukur kerana sambutan tahun ini amat mengejutkan dan ini membuktikan masyarakat berbilang kaum semakin menerima pendekatan 1Malaysia yang diterapkan oleh kerajaan," katanya. Selain menerima kunjungan daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama, majlis itu juga turut dihadiri oleh ahli-ahli termasuk Ketua-Ketua UMNO Bahagian serta pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan.

Manakala antara tetamu kenamaan yang turut memeriahkan majlis tersebut ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jen (B) Dato' Jamil Khir Baharom dan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Mashitah Ibrahim. Turut serta ialah Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd. Ali Rustam dan Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Seri Ahmad Fuad Ismail.

Majlis yang berakhir kira-kira pukul 12 malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada seniman tanahair, Dato' Aziz Satar dan pelawak tersohor, Mydin. Orang ramai juga dihiburkan dengan persembahan kumpulan muzik 'bale-bale' serta tarian kebudayaan daripada kaum Melayu, Cina, India serta bangra serta permainan bunga api.

Wednesday, October 6, 2010

TARIKH PILIHANRAYA KECIL DUN GALAS - N 45

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menetapkan 4 Nov sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas, jika ada pertandingan, manakala penamaan calon pada 26 Okt.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan pada 28 Sept lepas berhubung kekosongan kerusi DUN N.45 Galas, Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept.

"Berikutan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di sini.

Chek Hashim, 46, daripada PAS, meninggal dunia akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada Barisan Nasional (BN), mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Wan Ahmad berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 Sept lepas.

Beliau berkata Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos. Katanya daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27).

Beliau berkata 11 buah sekolah, sebuah balai rawatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan sebuah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang kesemuanya mengandungi 25 saluran tempat mengundi.

Tuesday, October 5, 2010

JEMPUTAN KE MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI RAKYAT 1 MALAYSIA

JEMPUTAN KE MAJLIS RUMAH TERBUKA RAKYAT 1MALAYSIA, UMNO BAHAGIAN CHERAS & YPC

UMNO Bahagian Cheras dan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri Rakyat 1Malaysia.

Tarikh : 9hb. Oktober 2010
Hari : Sabtu
Waktu : 7.30 malam hingga 11.30 malam
Tempat: Perkarangan Pejabat UMNO Bahagian Cheras, Jalan Peel,
Kuala Lumpur.

Ketua UMNO Bahagian Cheras yang juga Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mengalu-alukan seluruh warga UMNO Bahagian Cheras, guru-guru dan pelajar sekolah serta orang ramai termasuk di sekitar kawasan Parlimen Cheras tanpa mengira agama dan bangsa hadir memeriahkan majlis tersebut. Antara tetamu dijangka hadir ialah menteri-menteri kabinet serta pemimpin-pemimpin UMNO termasuk rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN).

MENERUSKAN LEGASI PEMIMPIN YANG TERDAHULU

Pihak yang mengambil kesempatan terus memperbesar-besarkan perang mulut yang berlaku antara sebuah akhbar dengan seorang pemimpin yang disukainya. Saat-saat inilah yang paling ditunggu-tunggu oleh mereka yang menahan lukah di pergentingan. Perkara ini adalah suatu yang biasa dalam politik. Saling ingat mengingati barulah ada check and balance. Tetapi ia terus berlarutan seolah-olah tidak kesudahan. Orang lain bertepuk tangan melihat kita bertelingkah dalam serba-serbi.

Sikap terlalu defensif tidak akan menyelesaikan masalah. Lebih baik dibawa berbincang, kerana itu lebih menepati kehendak Islam dan membawa banyak manfaat kepada perpaduan umat Islam. Cukup sudahlah kita berpecah disebabkan oleh perbezaan parti politik dan ideologi, janganlah pula terbawa-bawa kepada sentimen sebegini. Bincanglah apa yang betul, apa yang salah, daripada menuding jari siapa yang betul, siapa yang salah. Cerminlah diri masing-masing, apakah sumbangan kita selama ini?

Sudahkah kita lupa kata-kata seorang ahli falsafah Cina yang berbunyi, jika anda mahu menjadi pemimpin negara, terlebih dahulu pastikan keluarga sendiri berada dalam keadaan baik. Bagi memastikan keluarga sendiri baik, pastikan diri sendiri perlu baik. Bagi memastikan diri sendiri baik, pastikan hati dijaga demgan baik. Bagi memastikan hati sentiasa baik, ia perlu bermula dengan keikhlasan. Cuba tanya pada diri kita, apakah kita ikhlas menjadi seorang pemimpin?

Nilai balik apakah sumbangan kita kepada agama, bangsa dan negara? Atau mungkinkan penyertaan kita dalam politik sekadar untuk membuncitkan perut dan membesarkan poket? Inilah pertanyaan-pertanyaan yang perlu dijawab oleh setiap pemimpin yang diberikan amanah oleh rakyat hari, tidak kira sama ada pemerintah atau pembangkang. Jika ada jawapannya, tidak perlulah terlalu risau akan pilihan raya umum akan datang.

Seringkali kita dengar, mereka yang menyertai politik, tidak ada agenda agama, bangsa dan negara. Agenda utama mereka adalah untuk mendapatkan kuasa dan pangkat, setelah itu mudah untuk mendapatkan tender dan projek melalui kroni-kroni yang akan dibela. Pemikiran seperti ini perlu dibuang jauh-jauh jika ada.

Tagline Gagasan 1Malaysia, “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”, perlu difahami oleh setiap wakil rakyat tanpa berkecuali. Rakyat perlu diutamakan dalam segala hal. Tanpa rakyat siapalah pemimpin kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat (dengan izin Allah). Itulah falsafah demokrasi yang saya fikir tidak bercanggah dengan sumber ajaran Islam jika diurus dengan baik berpandukan perlembagaan. Janganlah memperalatkan gagasan 1Malaysia untuk menutupi atau mengaburi tindakan kita, tetapi laksanakan gagasan tersebut sebagaimana yang dicitrakan oleh Perdana Menteri.

Malangnya, ketika Perdana Menteri mengajak rakyat memahami keutamaan, masih ramai umat Islam lebih menekankan hal remeh temeh daripada isu pokok. Bergaduh tidak tentu pasal. Mempertahankan kepentingan peribadi daripada kepentingan umum. Niat tidak lain, supaya dirinya nampak hebat, wal hal diri dan sumbangannya tidak seberapa. Ada kalanya kita menjadi pemimpin, bukan kerana kita bagus atau berwibawa, tetapi kadangkala kerana bernasib baik. Sedangkan ramai yang lebih layak daripada kita. Tetapi disebabkan mereka tidak pandai membodek dan mengampu, mereka tidak terpilih sebagai pemimpin.

Sedangkan mereka yang berfikiran seperti pandir dan tidak ada daya intelektual, begitu cepat naik dan berkuasa kerana nasib menyebelahi mereka, bukan kewibawaan dirinya. Sedangkan orang sebegini, boleh dikatakan kosong. Keluarga tidak terjaga dan terbela. Diri sendiri penuh dengan kontroversi dan sebagainya. Jika dikorek-korek nanti, keburukan yang dilakukan, lebih banyak dari kebaikan dan boleh dibuat buku. Bagaimana kita boleh harapkan orang sebegini boleh menjaga rakyat. Justeru, mereka yang ingin menjadi pemimpin atau dipilih menjadi wakil rakyat, mesti pandai menjaga diri dan keluarga terlebih dahulu. Selepas itu, barulah senang untuk bercakap soal menjaga rakyat dan menjaga kerajaan. Inilah aspirasi dan inspirasi 1Malaysia Perdana Menteri.

Jika tidak, kita akan menjadi bahan kutukan orang. Saya sudah tidak mampu lagi mendengar kata-kata seperti, “keluarga sendiri berterabur, tidak terjaga, bagaimana nak jadi pemimpin dan , menjaga rakyat”. Inilah kata-kata yang sindiran kerap kedengaran. 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sudah tentu tidak mahu memimpin yang sebegini. 1Malaysia mahukan pemimpin yang benar-benar berwibawa dan berakhlak mulia untuk meneruskan legasi pemimpin yang terdahulu. Ingatlah wahai saudaraku, rakyat hari ini bukan seperti dahulu, mereka sudah boleh membezakan mata dia intan, mana dia kaca.

Jika dahulu, tunggul kayupun kalau diletakkan sebagai calon mereka akan undi. Hari ini, tunggul kayu tersebut akan campaknya jauh entah ke mana, malah tidak lagi dipandang untuk menjadi kayu api.

Sudah sampai masanya gagasan 1Malaysia meletakkan KPI atau tanda aras untuk mereka yang mahu menjadi pemimpin. Pertama, saya ingin cadangkan supaya pemimpin tersebut boleh memimpin dirinya sendiri, meletakkan Allah ditempat pertama, diikuti dengan Rasulullah dan keluarganya. Setelah dirinya terpimpin berasaskan prinsip tersebut, barulah akan terpancar integritinya, tidak rasuah dan tidak korup.

Kita tidak mahu pemimpin yang rumahtangganya berantakan, anak-anaknya pula bertaburan. Ingatlah pesanan yang mengatakan rakyat (termasuk anak-anak) menilai (lebih terpengaruh) dengan apa yang kita buat, bukan apa yang kita cakap. Tidak ada gunanya jika cakap tidak serupa bikin. Hanya pandai bercakap tetapi apa yang dicakap tidak ditunaikan atau dikotakan. Kata mesti dikota.

Kedua, pemimpin mereka mempunyai ilmu. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu memahami keutamaan. Keutamaan jamaah (rakyat) berada di hadapan berbanding keutamaan diri. Jangan terlalu menjaga dan mementing diri sendiri atau terlalu mengikut emosi sehingga melupakan kepentingan rakyat. Memperbesarkan perkara kecil sehingga tertinggal perkara besar. Terlalu menjaga politik diri sendiri supaya tercalon lagi, sehingga terlupa akan agenda anak bangsa sendiri. Berikanlah laluan kepada mereka yang benar-benar mahu dan mampu memimpin.

Ketiga, pemimpin sebaik-baiknya mesti bebas atau tidak dilihat daripada dosa besar dan dosa kecil. Paling baik tidak melakukan apa-apa dosa. Sudah tentu ini adalah mustahil sebab kita bukan Rasul atau Malaikat. Kita tidak dapat lari daripada kesalahan. Namun, jangan lah kita terjebak dalam dosa-dosa yang rakyat boleh mempertikaikan kredibiliti kita. Misalnya seperti minum arak, kaki perempuan, kaki judi dan macam-macam kaki lagi. Ingatlah, rakyat melihat apa yang kita buat.

Keempat, pemimpin mesti mempunyai jiwa agama dan dapat menjaga amanah bangsa. Tidak semestinya mereka mempunyai latar belakang agama atau lulusan pengajian Islam. Kepemimpinan Islam boleh terdiri daripada mereka yang professional. Kadangkala sedih juga bila melihat bila ada ‘orang agama’ menjadi pemimpin, kepemimpinan dan pandangan mereka terlalu jumud dan tidak berpijak di bumi nyata. Sikit-sikit berhujah berbalik kepada Quran dan Hadis, tetapi modus operandi entah di mana. Justeru, orang agama perlu diprofesionalkan.

Apapun jika golongan professional mahu menjadi pemimpin, mereka mesti mempunyai jiwa agama atau mengulamakan professionalism nya itu. Jangan sampai pemimpin kita tidak boleh dilihat menjadi imam. Paling kurangpun pemimpin tersebut mesti boleh memimpin bacaan doa, keupayaan berdoa adalah petanda awal menunjukkan kita mengerjakan sembahyang. Dengan makna, pemimpin tersebut mesti bersolat sebagai asas utama nilaian akhlaknya dengan Tuhan. Ingatlah, sesiapa yang sensitif dengan Allah, pasti dia akan sensitif dengan orang lain (rakyat).

Inilah ‘kalahnya’ UMNO dengan pemimpin sebuah parti yang mendakwa diri mereka memperjuangkan Islam. Pemimpin parti Islam ini telah menarik ramai professional, termasuk orang UMNO yang berjiwa Islam. Profesional ini boleh menjalankan tanggungjawab ulama seperti membaca khutbah, menjadi imam, baca doa, sembahyang mayat dan sebagainya. Banding dengan sebahagian pemimpin UMNO hari ini, ada yang membaca al-Quran pun tidak betul. Bagaimana mereka boleh berdoa? Mungkin ada yang tersinggung dengan tulisan saya ini, saya pohon ampun dan maaf. Hari ini professional parti Islam ini begitu berpengaruh sehingga menimbulkan kebimbangan pemimpin bersifat ‘taliban’ dalam parti Islam tersebut. Sebenarnya UMNO tidak ketandusan orang agama dan professional, resepinya semua sudah ada. Hasil yang mahu dilihat adalah, laksanakan kata-kata keramat rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Berkata benar walaupun pahit. Jika UMNO mahukan meneruskan legasinya pada masa akan datang, UMNO tidak ada pilihan melainkan mesti dapat dilihat bersih, cekap, amanah dan dapat dilihat melaksanakan ciri-ciri kepimpinan Islam tersebut. Di sinilah yang dikatakan ‘kekuatan’ parti Islam yang sukar ditandingi UMNO.

Mereka sanggup berjemur, berjaga dan bercekang ketika pilihan raya dan melakukan kerja suka rela, tanpa meminta sebarang habuan. Tetapi tidak UMNO. Ada sebahagian mereka yang tidak ikhlas. Wang dan harta telah mengaburi mereka. Kerja sedikit, mereka mahukan habuan. Sudah sampai masanya kita latih mereka yakni kerja kerana Allah demi menjaga amanah agama, bangsa dan negara.

Jika inilah pemimpin UMNO yang bakal lahir, jangan harap parti-parti lain dapat menambah kerusi. Tetapi jika perkara asas ini diabaikan, maka tunggu kekalahan yang bakal menjelma. UMNO mesti serius dalam meletakkan kepentingan agama di hadapan berbanding kepentingan bangsa. Kebaikan mesti diutamakan daripada keburukan. Manakala jika berlaku pertembungan dua keburukan, maka kita mesti tahu memilih antara dua keburukan tersebut, mana satukah yang kurang mudaratnya. Misalnya, antara menyentuh (atau makan) babi dengan makan rasuah (atau riba). Sudah tentu implikasi makan rasuah atau makan riba, lebih buruk daripada menyentuh (makan) babi, sebab makan babi melibatkan dosa individu, sedangkan makan rasuah melibatkan orang ramai dan boleh meruntuhkan agama dan negara, sehingga sampai ke tahap boleh diperangi. Jangan pulak ada yang salah faham sehingga sanggup makan babi selepas ini.

Jika semua ini dapat difahami keadaan tidaklah seteruk hari ini. Teringat saya bila membaca buku Syed Hussein Alatas, bertajuk Mitos Pribumi Malas, antara punca kelemahan umat Islam (Melayu) hari ini, disebabkan oleh ada sebahagian pemimpin yang dipilih itu lemah, tidak ada daya intelektual. Ketiadaan daya keintektualan ini menjadikan mereka ini hanya mampu menjadi pengampu dan pembodek. Justeru, sudah sampai masa kita dapat membezakannya agar boleh bangun menjadi bangsa hebat dan digeruni.

Nukilan : Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis di Mingguan Malaysia 3 Oktober 2010