Wednesday, May 11, 2011

ULANGTAHUN UMNO KE 65

Perutusan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak Sempena 65 Tahun UMNO

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

SYUKUR Alhamdulillah, marilah bersama-sama kita merafakkan sepenuh rasa tawaduk ke hadrat Allah S.W.T. yang memberi izin dan inayah-Nya membolehkan kita berkumpul sekali lagi dalam dewan yang penuh keramat ini untuk meraikan ulang tahun UMNO yang ke-65. Ucapan Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajaran dariNya.

UMNO lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu dan rakyat akar umbi. Sepanjang usia 65 tahun, UMNO telah menterjemahkan agenda transformasi dan membuktikan bahawa sokongan kepada parti ini tidak pernah luntur.

Kepercayaan dan keyakinan ini bukan wujud secara semula jadi tetapi dimenangi serta dipupuk hasil keikhlasan dan iltizam perjuangan generasi kepimpinan dan ahli UMNO silih berganti. Ia tidak mungkin berterusan tanpa kemampuan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO untuk terus merasai denyut nadi rakyat serta mendokong aspirasi mereka.

Dalam menyambut ulang tahun yang ke-65, jangan kita lupa UMNOlah satu-satunya parti yang menggerakkan kesedaran nasionalisme, semangat patriotisme dan demokrasi politik. Kepimpinan UMNO berjaya sebagai teraju ulung mentransformasikan Malaysia dengan begitu pantas seperti apa yang kita kecapi hari ini.

Marilah sama-sama kita bersumpah taat setia, berikrar untuk tetap menunaikan amanah memartabatkan bangsa, agama dan tanah air.

UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut di tepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. UMNO komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu.

Sejak mula ditubuhkan sebelum merdeka lagi, UMNO telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah parti politik yang bukan sahaja mampu menyatukan orang Melayu tetapi juga menerajui pemerintahan negara. Untuk itu, kita perlu meneruskan perjuangan pendahulu-pendahulu kita untuk menjadi juara rakyat. UMNO dan rakan-rakan komponen Barisan Nasional perlu memastikan agar hari ini untuk warga Malaysia adalah lebih baik dari hari semalam dan fajar menyinsing di hari esok akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

Marilah kita bersama-sama rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk terus berkerja keras dan berusaha dengan gigih bagi mencipta masa depan Malaysia yang lebih makmur, marilah kita bersama-sama untuk meletakkan negara tercinta ini ditempatnya yang hak di persada antarabangsa. – MediaUMNO


Berita Bertarikh 11 May 2011

NOTA KAKI : 11 Mei 2011….. Maka genaplah 65 tahun usia UMNO. Dalam usia sebegini, seharusnya UMNO di lihat sebagai sebuah Parti siasah dan politik yang lebih matang dalam menghadapi dan menangani masalah yang sentiasa hadir dalm pelbagai bentuk dan teori serangan politik.




Monday, May 2, 2011

DATUK WIRA SYED ALI BIDAS PEMIMPIN UMNO HANYA CARI GLAMOUR

Pemimpin UMNO diingatkan jangan hanya bermegah dengan jawatan untuk mencari glamour tetapi sebaliknya memberi perkhidmnatan terbaik kepada rakyat, tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Katanya, jawatan dalam parti merupakan amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Beliau berkata, golongan tersebut sepatutnya disingkirkan daripada parti kerana akibat perbuatan mereka orang Melayu hilang kepercayaan kepada UMNO.

"Hari ini, ramai yang gilakan jawatan untuk glamour, syok sendiri dan cari kepentingan diri dengan memperalatkan parti," tegasnya.

Beliau turut menegur segelintir Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang tidak menampakkan bekerja untuk memantapkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Seri Muhyiddin Yassin.
"Mungkin mereka merajuk, lepas menang MT tetapi tidak terpilih menjadi menteri atau timbalan menteri, merajuk dan tak nak buat kerja untuk parti," tegasnya.

"Kasihan Najib dan Muhyiddin, terpaksa bertungkus lumus turun padang, ada MT UMNO, tetapi tak nampak kerjanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap di majlis perasmian persidangan tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Cheras, oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Saudara Khary Jamaluddin di Dewan Utama Pusat Rekreasi Cheras.

Turut hadir timbalannya, Datuk Mahadi Abdul Shukor, Naib Ketua Bahagian, Datuk Haji Md. Nasir Ghani, Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian, Hajah Zurainah Musa dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Puan Sarina Sharif.

Syed Ali juga turut mempesoalkan kemantapan barisan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang menurut beliau agak lemah dan tidak bersatu.
"Pemilihan dah habis, sepatutnya barisan EXCO lebih mantap dan bersatu di bawah pimpinan Khairy untuk memperkasakan perjuangan pemuda," ujarnya.

Beliau berkata, walaupun Khairy tidak diberikan tempat dalam kabinet bukan bermakna beliau tidak boleh buat kerja untuk parti dan rakyat. "Saya sendiri tak ada jawatan penting, seperti KJ, tetapi kita tetap memberi khidmat bakti kepada rakyat kerana itu adalah amanah yang dipertanggungjawabkan," katanya.
"Kita tak mengemis jawatan, yang penting kita buktikan kepada pucuk pimpinan bahawa kita sentiasa buat kerja parti demi rakyat," tegasnya lagi.

Syed Ali melahirkan keyakinan kepimpinan Khairy mampu membawa perubahan kepada perjuangan pemuda jika mendapat sokongan padu daripada seluruh ahlinya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras, Syed Mehdhar Syed Abdullah mencadangkan kepada Presiden UMNO supaya Khairy diberikan tempat dalam kabinet berasaskan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
"Di depan perwakilan hari ini, saya minta Datuk Najib berikan jawatan kepada Khairy, bukan kerana KJ, tetapi menghormati jawatannya dalam parti," tegas beliau.

Syed Mehdhar juga menjelaskan bahawa walaupun beliau tidak menyebelahi Khairy semasa pemilihan jawatan Ketua Pemuda, tetapi dalam perjuangan dan kepentingan parti, tetap menyokong kepimpinan Khairy.

"Saya nak jelaskan, demi parti saya tetap menyokong dan teguh di belakang KJ sebagai Ketua Pemuda, ini soal parti, bukan soal peribadi," tegasnya lagi.