Wednesday, May 11, 2011

ULANGTAHUN UMNO KE 65

Perutusan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak Sempena 65 Tahun UMNO

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

SYUKUR Alhamdulillah, marilah bersama-sama kita merafakkan sepenuh rasa tawaduk ke hadrat Allah S.W.T. yang memberi izin dan inayah-Nya membolehkan kita berkumpul sekali lagi dalam dewan yang penuh keramat ini untuk meraikan ulang tahun UMNO yang ke-65. Ucapan Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajaran dariNya.

UMNO lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu dan rakyat akar umbi. Sepanjang usia 65 tahun, UMNO telah menterjemahkan agenda transformasi dan membuktikan bahawa sokongan kepada parti ini tidak pernah luntur.

Kepercayaan dan keyakinan ini bukan wujud secara semula jadi tetapi dimenangi serta dipupuk hasil keikhlasan dan iltizam perjuangan generasi kepimpinan dan ahli UMNO silih berganti. Ia tidak mungkin berterusan tanpa kemampuan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO untuk terus merasai denyut nadi rakyat serta mendokong aspirasi mereka.

Dalam menyambut ulang tahun yang ke-65, jangan kita lupa UMNOlah satu-satunya parti yang menggerakkan kesedaran nasionalisme, semangat patriotisme dan demokrasi politik. Kepimpinan UMNO berjaya sebagai teraju ulung mentransformasikan Malaysia dengan begitu pantas seperti apa yang kita kecapi hari ini.

Marilah sama-sama kita bersumpah taat setia, berikrar untuk tetap menunaikan amanah memartabatkan bangsa, agama dan tanah air.

UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut di tepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. UMNO komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu.

Sejak mula ditubuhkan sebelum merdeka lagi, UMNO telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah parti politik yang bukan sahaja mampu menyatukan orang Melayu tetapi juga menerajui pemerintahan negara. Untuk itu, kita perlu meneruskan perjuangan pendahulu-pendahulu kita untuk menjadi juara rakyat. UMNO dan rakan-rakan komponen Barisan Nasional perlu memastikan agar hari ini untuk warga Malaysia adalah lebih baik dari hari semalam dan fajar menyinsing di hari esok akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

Marilah kita bersama-sama rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk terus berkerja keras dan berusaha dengan gigih bagi mencipta masa depan Malaysia yang lebih makmur, marilah kita bersama-sama untuk meletakkan negara tercinta ini ditempatnya yang hak di persada antarabangsa. – MediaUMNO


Berita Bertarikh 11 May 2011

NOTA KAKI : 11 Mei 2011….. Maka genaplah 65 tahun usia UMNO. Dalam usia sebegini, seharusnya UMNO di lihat sebagai sebuah Parti siasah dan politik yang lebih matang dalam menghadapi dan menangani masalah yang sentiasa hadir dalm pelbagai bentuk dan teori serangan politik.




No comments: