Satu kajian kendalian Merdeka Center menunjukkan pengundi-pengundi mahu siri debat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sekitar 54 peratus responden, yang ditemui oleh firma kajian pendapat awam itu di Semenanjung Malaysia, bersetuju agar kedua-dua pemimpin ini mengambil bahagian dalam debat. Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, sokongan bagi debat sangat tinggi di kalangan pengundi muda.
"Di mana 67 peratus bersetuju bahawa perlu ada debat di antara kedua-dua pemimpin itu bagi mengetengahkan idea-idea dan dasar-dasar mereka kepada negara," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Hasil kajian itu selari dengan pandangan yang pernah diberikan oleh Ibrahim, di mana golongan profesional Melayu mahukan kedua-dua tokoh politik itu , Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar berdebat. Pandangan itu diberikan hasil perbincangan Merdeka Center dengan golongan profesional muda Melayu di kawasan bandar.
Idea berdebat itu menjadi harapan orang ramai susulan debat antara Presiden MCA dan Setiausaha Agung DAP awal bulan lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, beberapa jam selepas entri blog Datuk Seri Najib yang turut menyentuh tentang soal debat, Ibrahim berkata, sokongan agar Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar berdebat sangat tinggi di kalangan orang Melayu muda dengan 76 peratus memperlihatkan pendirian menyokong.
Bagaimanapun pendirian itu sangat rendah di kalangan orang berusia 60 tahun dan ke atas. Hanya 39 peratus responden dalam golongan itu bersetuju kepada soalan sama ada perlu diadakan siri debat antara Najib dan Anwar.
"Sementara sesetengah berhujah bahawa debat-debat sedemikian tidak perlu dan bukan budaya kita, penemuan kajian menunjukkan bahawa ia akan membantu pengundi menentukan pendirian mereka memandangkan 62 peratus pengundi belum membuat keputusan parti yang mereka akan sokong," katanya lagi.
Antara topik yang pengundi-pengundi mahukan jika debat diadakan ialah isu berkaitan ekonomi, nasional semasa, kebajikan rakyat dan pembangunan negara.
Kajian ini dikendalikan oleh Merdeka Center antara 10 dan 23 Februari lalu, di kalangan 1,022 pengundi yang terdiri daripada 59 % kaum Melayu, 32 % kaum Cina dan 9 % kaum India.
No comments:
Post a Comment