Monday, April 23, 2012

BARISAN NASIONAL PILIHAN ANAK MUDA

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Pilihanraya Umum ke12, Barisan Nasional (BN) telah menghadapi ujian yang cukup getir, malah di beberapa kawasan penting telah dikuasai pakatan pembangkang.

“Kini selepas hampir tiga tahun berlalu, usaha yang telah dibuat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO, semangat rakyat telah kembali untuk memberikan sokongan yang cukup padu kepada kerajaan BN.
“Hari ini, kita mengajak semua anak muda, sebagai pemimpin-pemimpin muda di akar umbi, tampil ke depan untuk memberikan satu kesedaran baru, komitmen tinggi kita untuk menyedarkan anak-anak muda sama ada mereka sudah bersama BN atau mereka masih di luar BN kerana peranan kita adalah untuk menentukan mereka yakin bahawa BN, parti yang terbaik, parti yang membela nasib rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya ketika merasmikan Program BN Pilihan Anak Muda peringkat negeri Wilayah Persekutuan di sini, Ahad.

Tambahnya, golongan muda di negara ini diajak untuk bersama-sama kerajaan menentang ideologi baru bawaan pakatan pembangkang, khususnya berkaitan keberanian mempertikai perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Negara.

Menyifatkan perbuatan itu sebagai cuba “menjahanamkan kerajaan”, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan mempertikai apa yang dilakukan kerajaan dalam perkara yang termaktub dalam perlembagaan, yang didakwa tidak adil kepada rakyat oleh pembangkang merupakan satu tohmahan yang sengaja diputar belit untuk mengelirukan rakyat.

 “Puak pembangkang ini telah membawa ideologi baru dengan mempersoalkan banyak perkara yang telah kita terima selama ini, persoalkan sebahagian besar peruntukan dalam Perlembagaan Negara dengan menyatakan bahawa BN tidak berlaku adil kepada semua kaum dalam negara. Itu semua tohmahan.

“Sebab itu, saya nak mengajak anda semua untuk menentang mereka ini yang merupakan puak-puak yang hendak menjahanamkan Negara. Kita semua anak muda BN supaya meneruskan momentum sokongan yang bertambah baik kepada parti itu dengan turun padang bertemu setiap pengundi muda bagi menyedarkan kepentingan menyokong BN,” tambahnya yang mengajak anak muda BN turun ke seluruh pelosok di Wilayah Persekutuan untuk bertemu pengundi dan memujuk mereka untuk bersama berjuang dalam BN.

Hadir sama Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut hadir memberikan sokongan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan mahu golongan muda terutamanya Pemuda BN perlu tampil menjadi benteng bagi mempertahankan negara daripada menjadi bahan tohmahan pihak berkenaan yang semakin lantang kebelakangan ini.

“Saya mahu anak-anak muda BN, Pemuda BN mahupun Puteri supaya meneruskan momentum sokongan yang bertambah baik kepada BN hari ini. Kita turun padang bertemu setiap pengundi muda, lelaki mahupun perempuan bagi menyedarkan kepentingan menyokong BN.
“Janjikan kepada mereka bahawa BN akan membela nasib mereka. Jumpa mereka dengan cara kita yang baik, sopan, dengan perkataan yang sesuai, pujuk supaya mereka yakin BN akan membela nasib mereka sekarang dan juga di masa depan,” ujarnya lagi. 

Sumber Berita -MediaUMNO

No comments: