Friday, January 2, 2015

LAUNGAN "ALLAH HU AKBAR" GANTI KONSERT TAHUN BAHARU DI DATARAN MERDEKA


KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Laungan takbir "Allah Hu Akbar" bergema sebanyak tujuh kali di Dataran Merdeka di sini sebagai menggantikan konsert dan percikan bunga api pada kiraan detik 12 malam ketibaan tahun baharu 2015 menerusi program Malam Cinta Rasul 2015.

Setiausaha program Malam Cinta Rasul 2015, Zainal Abidin Amir berkata laungan takbir itu oleh ribuan yang membanjiri Dataran Merdeka adalah sebagai simbolik kepada pelbagai musibah yang menimpa negara termasuk kejadian banjir di pantai timur dan kehilangan pesawat MH370 serta tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.


Menurutnya pelbagai acara kerohanian disediakan bermula 8 malam, termasuk solat Isyak berjemaah, solat hajat, qasidah dan sesi bersama Habib Syech Abdul Kadir Asseggaf.

"Seramai 25 urusetia mengedarkan tabung kemanusiaan kepada orang ramai khusus bagi didermakan kepada mangsa banjir di pantai timur. Sebelum ini sebanyak RM150,000 telah dikutip beberapa hari lepas yang disumbangkan oleh badan korporat.

"Kesemua kutipan akan diserahkan kepada tabung mangsa banjir NSTP-Media Prima," katanya.

Sehubungan itu buat kali kedua, rakyat Malaysia di seluruh negara tidak menyambut kedatangan Tahun Baharu 2015, selepas kali pertama tidak berbuat demikian pada 2005 akibat tragedi tsunami yang melanda Asia Tenggara pada akhir 2004.

Pembatalan sambutan Tahun Baharu 2015 itu berikutan pelbagai tragedi dan musibah yang melanda Malaysia sepanjang 2014, antaranya insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Tmur Ukraine dan terbaharu bencana banjir di beberapa negeri.


Sambutan tahun baharu pada malam 31 Dis seperti kelazimannya tidak lagi mewarnai tempat tumpuan orang ramai sekitar ibu negara seperti di Dataran Merdeka, Menara Berkembar Petronas, Jalan Bukit Bintang di samping lokasi lain di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada di Kelantan, negeri paling teruk dilanda banjir tahun ini, bagi meninjau dan melawat mangsa yang terjejas teruk dengan bencana itu.

Beliau mengakhiri tahun 2014 dengan bersolat jemaah bersama-sama mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2.
Di PUTRAJAYA, program sambutan Ambang Tahun Baharu 2015 tajaan Kumpulan Ambank pada malam ini, dibatalkan sebagai tanda simpati terhadap mereka yang terjejas banjir, menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sebaliknya ia diraikan dengan program keagamaan yang dinamakan 'Karnival Raudah NASIONALfm' di Masjid Putra sempena Tahun Baharu 2015.

Program anjuran NASIONALfm dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Perbadanan Putrajaya bermula 2 petang dengan pelbagai aktiviti termasuk solat Maghrib berjemaah, bacaan Yasin dan solat hajat banjir.



Karnival Raudah itu juga menampilkan penceramah terkemuka Ustaz Mohamad Kazim Elias dan Ustaz Mohamad Najmuddin Elias membincangkan topik 'Cabaran Tahun Baharu Dalam Konteks Mempertahankan Keimanan Remaja, Keluarga dan Masyarakat' dan 'Azam Tahun Baharu - Mengikut Lunas-lunas Islam'.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh Ustaz Nabil Ahmad dan Kumpulan Far East serta persembahan alunan Burdah & Qasidah daripada Kumpulan Anak Warisan Kasih.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat.

Sementara itu, di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pertunjukan pancutan air berwarna-warni dipertontonkan kepada pengunjung yang meraikan sambutan ambang tahun baharu 2015.

Tinjauan Bernama mendapati tiada konsert diadakan dan juruacara program turut meminta orang ramai menderma bagi mangsa banjir di negeri Pantai Timur.

Bernama difahamkan tiada pertunjukkan bunga api diadakan bagi menghormati pelbagai tragedi yang menimpa negara ini termasuk kejadian pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas 28 Dis lepas.

Di PULAU PINANG, Sambutan Ambang Tahun Baharu 2015 yang dijadualkan di Padang Esplanade, turut ditukar kepada kempen mengutip dana untuk membantu mangsa banjir.

Di MELAKA, Program Sambutan Ambang Tahun Baharu 2015 peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Dataran Sungai Melaka diadakan secara sederhana.

Di SEREMBAN, program Sambutan Tahun Baharu 2015 di Port Dickson Waterfront seperti yang dijadualkan turut dibatalkan.

-- BERNAMA 

No comments: