Wednesday, January 6, 2010

PUTERI UMNO WILAYAH PERSEKUTUAN PRIHATIN PELAJAR

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Kira-kira 50 pelajar dari keluarga kurang upaya di sekitar Kuala Lumpur memulakan sesi persekolahan dengan lebih ceria tahun ini apabila mendapat bantuan persekolahan daripada Puteri Umno Wilayah Persekutuan (PPUWP).
Ketua pergerakan itu, Sarina Sharif berkata, bantuan yang diberi adalah tanda kasih sayang dan sokongan mereka kepada pelajar berkenaan agar lebih bersemangat ke sekolah.



Sarina Sharif (empat dari kanan) menyerahkan barangan persekolahan kepada pelajar sewaktu program penyerahan bantuan persekolahan di Kuala Lumpur, semalam.



Tambahnya, senarai nama pelajar kurang upaya yang diperoleh daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan itu adalah kumpulan awal kepada lebih ramai pelajar yang akan mendapat bantuan mereka.

"Hari ini adalah permulaan kepada bantuan menyeluruh yang akan diberi kepada lebih ramai pelajar kurang upaya. Kami lihat mereka memerlukan sokongan dan apa yang dibuat hari ini diharap menyemarakkan semangat mereka untuk bersekolah.

"Syukur kami mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan serta beberapa syarikat korporat yang sudi menyumbangkan peralatan sekolah. Kami berharap lebih banyak syarikat akan tampil dan memberi kerjasama kepada program Puteri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program penyampaian bantuan hari ini melibatkan tujuh buah sekolah sekitar ibu kota. Bantuan yang diberi berupa peralatan sekolah serta wang tunai.

Tujuh sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 5, Wangsa Maju; Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Depot, Jalan Semarak; SK Setapak; SK Taman Koperasi Polis; SK Perempuan Jalan Batu; SK Yaacob Latif dan SMK Yaacob Latif.

Turut hadir, Pengerusi Biro Pelajaran Puteri UMNO, Seriwani Sabtu.

Tambah Sarina, program kali pertama itu akan dijadikan acara tahunan kepada pergerakan itu sendiri.

Jelasnya, rasa tanggungjawab dan mahu melihat pelajar kurang berkemampuan di ibu kota berjaya walaupun datang dari keluarga miskin mendorong pihaknya untuk menjadikan program itu sebagai rutin tahunan.

"Kami tidak mahu kesusahan menjadi penghalang kepada mana-mana pelajar di Kuala Lumpur untuk berjaya.

"Seharusnya lebih banyak pihak tampil dan membantu. Apa yang dilakukan Puteri hari ini hanyalah sebahagian yang termampu dilakukan kami kepada masyarakat," ujarnya.

Sementara itu Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Maju, Saamah Muhayat menjelaskan, bantuan yang diberi merupakan satu penghargaan dan tanda keprihatinan Puteri sendiri kepada pelajar sekolah.

"Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kerana Puteri sudi menghulurkan bantuan kepada pelajar kurang upaya," katanya.

No comments: