Friday, November 26, 2010

JUMLAH PEMILIH PENENTU PERSEMPADANAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat berdasarkan jumlah pemilih sesuatu lokasi. Najib berkata, ketentuan itu selari dengan prinsip dan tatacara persempadanan seperti yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas, Bahagian I dan II Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam melaksanakan urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya tersebut, SPR akan melihat keseluruhan persempadanan di s

eluruh negara tanpa menumpukan pada sesuatu bahagian pilihan raya sahaja. Nisbah perbezaan “rural-weightage” yang diberi kepada kawasan Parlimen di luar bandar berbanding bandar serta langkah SPR bagi memastikan jumlah pengundi yang seimbang di semua kawasan pilihan raya dalam proses persempadanan semula akan datang.

Datuk Seri Najib berkata, kriteria kawasan pilihan raya bagi sesebuah Parlimen di bandar ialah mempunyai pemilih berjumlah 60,000 orang ke atas, berkeluasan di antara lapan dan 49 kilometer (km) persegi manakala jumlah pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bandar ialah 25,000 orang ke atas.

Bagi kategori separuh bandar pula, ia perlu mempunyai keluasan di antara 50 dan 250km persegi dengan jumlah pemilih bagi kawasan Parlimen berjumlah 30,000 hingga 59,000 orang manakala jumlah pemilih DUN ditetapkan di antara 15,000 dan 24,000 orang.

Bagi kategori luar bandar dan pedalaman pula, ia terletak dalam kawasan kurang daripada 250km persegi dengan jumlah pengundi Parlimen di bawah 30,000 orang manakala jumlah pemilih DUN kategori itu berjumlah di bawah 15,000 orang.

Bagaimanapun, penentuan kawasan itu tidak termasuk bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sumber Berita – BERNAMA

No comments: