Saturday, November 13, 2010

MENYERLAHKAN POTENSI GENERASI MUDA KE HADAPAN

UCAPAN DASAR PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim,

Y.Bhg. Puan Pengerusi Tetap
Y.Bhg. Puan Timbalan Pengerusi Tetap
YB Wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi
YB Datuk Shaziman Mansor
YB Dato’ Seri Ir Mohd Zin bin Mohamed
YB Datuk Seri Panglima Lajim bin Ukin
YB / Y.Bhg. Naib Pegawai, Exco dan Ketua Pergerakan Negeri-Negeri
Perwakilan dan Pemerhati yang dikasihi,
Mantan Kekanda-kekanda pemimpin Pergerakan Puteri sekalian,

Assalamualaikum Wrt. Wbt dan Salam 1Malaysia,

1. Alhamdulillah, berkat keizinan dan limpahan kasih serta rahmat Allah S.W.T, Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 ini dapat diadakan.

2. Selawat dan puji ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W di atas semangat perjuangan Baginda, bersandarkan semangat ini, Puteri meneruskan perjuangan Alif, Ba dan Ta iaitu agama, bangsa dan Tanahair.

3. Alhamdulillah juga dengan izin Allah, Perhimpunan Pergerakan Puteri, dapat diadakan dengan aman, tenteram dan harmoni di bawah kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional yang terus gah membawa Malaysia ke persada dunia.

4. Jutaan penghargaan kepada semua perwakilan di atas semangat, komitmen dan dedikasi untuk memastikan Puteri terus kekal utuh, disenangi kawan dan dikagumi lawan.

Sidang Perwakilan Yang Di Rahmati Allah Sekalian,

Tatkala orang sibuk membina bangunan tinggi, orang Melayu dan bumiputera sibuk berebut menjadi pengawal keselamatannya…

Kala orang sibuk membina pusat perniagaan, orang Melayu dan bumiputera pula sibuk berebut tapak warung-warung berkenaan,

Kala orang sibuk membuat hypermarket, orang Melayu dan bumiputera pula sibuk menjual goreng pisang di depannya,

Kala orang sibuk mencipta kekayaan, kita pula sibuk menjaja ceritanya,

Kala orang sibuk membuat perniagaan eksport, anak dara kita jadi keldai belasahannya,

Hakikatnya, orang-orang Melayu dan bumiputera sibuk untuk menjadi sederhana dan ala kadar sahaja….

5. Kenapa? Adakah kerana kita sudah puas, selesa dan bangga dengan kesederhanaan ini?. Ini tanah tumpah darah kita, sehubungan itu saya akan bercakap pada hari ini kepada semua yang hadir tentang bagaimana kita boleh berubah daripada kesederhanaan kepada ‘kiasu bertempat’. Saya akan bercakap tentang peranan generasi muda yang seharusnya membina bangsa Melayu dan bumiputera yang berkualiti dan berkeupayaan men’jutawan’kan atau memperkasakan Melayu dan bumiputera dari sudut ekonomi, pendidikan dan gaya hidup.

Jadi, apa yang kita perlukan?

Tak sungguh tak melata,
Tak sungguh orang tak kata,
Berdiri kita berjuang dalam bicara,
Agar Puteri bangkit dan peka

6. Untuk hari ini, saya berdiri di sini mewakili seluruh tenaga wanita muda seMalaysia untuk menyatakan pendirian dan pemikiran kita selaku generasi yang akan mencorak masa depan negara. Kita akan membawa suara Pergerakan Puteri UMNO Malaysia kerana pada hari ini Puteri dilihat sebagai satu tunggak dalam merencana program dan aktiviti generasi muda.

Sidang perwakilan sekalian,

7. Selaku Ketua kepada Pergerakan yang kita kasihi ini saya tidak malu dan tidak gentar untuk menyatakan bahawa Puteri hingga ke hari ini telah berjaya melaksanakan 10 program dalam masa setahun. Semua aspek telah cuba disentuh. Daripada isu pembuangan bayi dengan program Life is Precious, Kempen Banteras Ragut dan Rogol untuk golongan wanita, program Jejak Ramadhan bagi mereka yang kurang bernasib baik, Dialog bersama NGO dan Profesional Muda bagi golongan muda, Sinar Kasih untuk memberi rawatan kesihatan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan bermacam-macam lagi.

8. Saya percaya setiap program yang dilaksanakan selain bertujuan merapatkan barisan pergerakan kita, ianya juga sebahagian proses untuk menghidupkan transformasi dalam UMNO seperti mana yang ditegaskan Presiden yang disayangi semasa Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas.

9. Ada yang bertanya adakah Puteri telah berjaya melaksanakan transformasi? Jawapannya, transformasi telah pun bermula, malah perkembangannya amat memberangsangkan walaupun belum menyeluruh. Pelbagai program telah digerakkan oleh ahli-ahli Puteri menerusi biro masing-masing selaras dengan seruan transformasi. Kerja keras itu sekali gus mampu menidakkan segala tuduhan yang telah dilemparkan terhadap kita.

10. Segala usaha kita bertujuan merealisasikan falsafah pembentukan parti yang kita sayangi iaitu untuk membela bangsa yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama dari sudut keseimbangan politik, perkembangan sosial dan ekonomi semasa.

Sidang perwakilan sekalian,

A. CABARAN DAN SURVIVAL PERGERAKAN PUTERI UMNO

11. Dalam kita menakhoda bahtera perjuangan, kedengaran suara-suara meminta Pergerakan Puteri UMNO dibubarkan. Mengapa timbul cakap-cakap sedemikian rupa? Tentulah ada sebabnya. Adakah kerana ada yang melihat kita tidak sepenuh hati berjuang untuk parti? Atau mungkin juga faktor dalaman membuatkan kita kelihatan rapuh.

12. Saya ingin mengingatkan adik-adik dan diri saya sendiri. Sebagai manusia, ada ketikanya kita terlupa akan tanggungjawab bersama. Mungkin ada di kalangan kita yang terleka untuk menjaga kepercayaan serta mempertahankan amanah yang telah diletakkan di atas bahu Puteri. Sebab itu adakalanya kita dilihat hampir tergelincir dari landasan perjuangan yang mempunyai matlamatnya sendiri. Lebih menyedihkan lagi ada ketikanya kita alpa bahawa banyak mata di luar sana bukan sahaja memerhati malah menilai sejauh mana kita benar-benar berjaya membawa pergerakan ini ke arah transformasi.

13. Kadangkala dek kerana kepentingan peribadi yang meluap-luap atau terlalu selesa dengan jawatan, kita lupa menunjukkan semangat sayangkan parti dan sayangkan Pergerakan Puteri UMNO. Paling mengecewakan ada di antara kita tersasar daripada membuktikan bahawa pergerakan ini sangat relevan untuk mengukuhkan perjuangan parti.

Sidang perwakilan Puteri UMNO sekalian,

14. Kita mesti sedar bahawa tanggungjawab untuk memperkasakan pergerakan kita adalah di bahu kita sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan pihak lain untuk menggerakkan agenda Puteri. Pucuk pimpinan menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada Puteri untuk menjadi sayap yang tidak kurang pentingnya dengan dengan sayap-sayap yang lain.

15. Pucuk pimpinan juga berpesan bahawa tanggungjawab Puteri adalah sama berat seperti sayap-sayap yang lain. Kakak dan abang yang lahir lebih awal daripada kita yang bergelar Puteri ini, mempunyai peranan masing-masing yang juga bermatlamat mengukuhkan parti untuk memartabatkan bangsa.

16. Pucuk pimpinan kita menjadi pemerhati, menegur mana yang silap dan memberi dorongan serta galakan untuk kebaikan pergerakan kita. Cuma, sebagai adik bongsu mungkin adakalanya kita terlepas pandang nawaitu murni mereka dan kita tidak boleh malu untuk mengakui bahawa adakalanya kita terkhilaf dan terleka sehingga menjejaskan kewibawaan pergerakan.

17. Martabat dan maruah Pergerakan Puteri UMNO adalah tanggungjawab kita. Jika Puteri dilihat oleh pihak luar sebagai tidak memainkan peranan yang berkesan maka kita bertangggungjawab untuk membuktikan sebaliknya.

18. Syukur, Alhamdulillah adik-adik Puteri semua telah membuktikan kewibawaan dengan melaksanakan program-program melalui biro masing-masing. Program VOGUE atau Voluntary Group for Everyone, Program Banteras Ragut & Rogol (B2R), Program Sinar Kasih, Majlis Dialog Bersama NGO dan Profesional Muda dan Program Bual Bicara Tokoh Politik, Program Cari Seramai Ahli dan Kembara Daftar Pemilih dan jika hendak disebutkan mungkin tidak terungkap. Sehingga 12 Oktober 2010 kita telah mempunyai 347,378 ahli selepas proses pemutihan, dan ia merupakan hasil kerja keras ahli-ahli Puteri yang tidak pernah berputus asa dan tidak mengenal erti penat untuk menarik minat golongan muda menyertai Pergerakan Puteri UMNO.

19. Begitu juga dengan program memupuk semangat kesukarelawan di kalangan generasi muda yang sememangnya amat dituntut oleh barisan kepimpinan yang kita kasihi. Kesemuanya itu menjadi pendorong dan perangsang untuk kita semua memainkan peranan dengan lebih giat lagi – semuanya untuk mengukuhkan parti dan menjadikan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa Melayu.

Sidang perwakilan sekalian,

20. Saya amat berharap dan sentiasa berdoa agar semangat ini sentiasa berkekalan. Lebih banyak program yang menarik dan mencetuskan semangat untuk bersaing secara positif sesama ahli Puteri mesti digerakkan supaya pergerakan kita dilihat bernafas dan hidup. Kita tidak boleh menyalahkan orang lain atau pihak lain jika pergerakan kita dilihat gagal, lantaran kitalah yang memimpin Puteri, bukannya pihak lain.

21. Daya juang dan semangat ahli-ahli Puteri mesti berada pada tahap yang tidak boleh dipersoalkan dan diragui oleh sesiapa pun. Jika mahu diiktiraf maka sewajarnya kita menyoal diri sendiri adakah layak menerima pengiktirafan itu? Jika benar-benar layak maka mengapa sehingga sekarang masih ada segelintir daripada kita yang mahu mengusik keutuhan barisan yang telah dibina selama ini. Mengapa masih ada yang bersikap selesa dan begitu berat mahu menunjukkan komitmen untuk menggerakkan setiap usaha ke arah memantapkan pergerakan Puteri yang disayangi.

22. Paling dikesali apabila ada yang berani mengadu-domba, melemparkan fitnah sesama sendiri sehingga mengundang orang luar untuk mengeluarkan pelbagai kenyataan kononnya dalam Puteri ada pergeseran besar. Sedangkan hubungan yang terjalin antara ahli-ahli Puteri adalah di tahap yang terbaik.

23. Adat adik beradik; bertengkar, berselisih pendapat, tegur-menegur adalah perkara biasa yang menjadi asam garam. Apatah lagi dalam keluarga besar yang anak-anaknya masih remaja dan mempunyai pelbagai ragam serta kerenah.

24. Begitu juga dengan teguran bahawa pergerakan kita tidak bermaya dan hanya ghairah untuk merebut jawatan bagi kepentingan peribadi. Tepuk dada kita, dan cabar akal kita untuk menjawab teguran itu. Betulkah ada kalangan kita yang bertanding merebut jawatan dalam parti semata-mata untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan sama ada peringkat pusat mahu pun negeri? Terjadikah perkara seumpama itu dalam pergerakan kita? Jika ada kalangan kita mempunyai cita-cita sedemikian, maka saya menyeru supaya ketepikan niat tersebut.

25. Kita mesti mengembalikan semangat ini – “Jangan tanya apa yang parti boleh beri kepada kita, tapi tanya apa yang kita boleh beri kepada parti’’. Jangan anggap jawatan sebagai anugerah, tetapi landasan untuk bergerak dalam parti bagi memikul amanah. Kita mesti merapatkan barisan demi meneruskan perjuangan parti tanpa mengira sama ada kita berjawatan atau tidak.

26. Sehubungan itu, Puteri amat bersetuju dengan saranan YAB Perdana Menteri berhubung Model Politik Baru dimana kita perlu merubah dan memperkasakan politik masa kini bersesuaian dengan lanskap politik semasa. Model ini dapat memberi landasan yang lebih jelas tentang hala tuju yang bersifat praktikal dan pragmatik dengan mengekalkan roh serta semangat perjuangan tokoh-tokoh terdahulu, berteraskan tuntutan akar umbi dan dalam masa yang sama mengasimilasikan gagasan 1Malaysia. Kita semua yakin dan berharap generasi muda akan terlibat aktif dalam menyumbangkan idea yang progresif bagi penghasilan kerangka Model Politik Baru ini. Dengan itu, kita boleh melangkah seiring, sederap berbunyi lantang.

Sidang perwakilan sekalian,

27. Tidak ada agenda yang lebih penting selain memenuhi tuntutan tanggungjawab. Kita semua komited terhadap perjuangan parti dan bangsa Melayu dengan meminggirkan kepentingan diri sendiri. Komitmen kita sebagai generasi muda yang kini dilatih sebagai pemimpin pelapis mestilah lebih besar lantaran kitalah yang akan meneruskan pembangunan negara dan menjalin kesinambungan politik menegakkan agama, bangsa dan negara.

28. Sebagai lanjutan kepada suara keramat kita, sinambungan kepada tenaga setitis peluh dan keringat kita, pada hari yang penuh bersejarah ini saya mewakili Pergerakan Puteri UMNO seluruh negara akan menyentuh beberapa perkara penting yang mampu menyerlahkan potensi generasi muda selangkah ke hadapan.

Sidang perwakilan sekalian,

B. REALITI POLARISASI KAUM

29. Pergerakan Puteri UMNO mendokong setiap usaha ke arah memartabatkan bangsa Melayu yang diakui oleh sejarah negara sebagai pribumi tanpa mengenepikan hak orang kaum lain. Pada tahun 2010, orang Melayu dan Bumiputera merupakan majoriti di negara ini dengan kadar 67%.

30. Namun, majoriti Melayu dari segi angkanya jelas tidak memberikan makna kepada kekuatan bangsa Melayu. Dari segi politik, perpecahan orang Melayu memang sudah jelas. Atas nama ideologi yang berbeza, orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan utama iaitu UMNO, PAS dan PKR.

31. Ini tidak termasuk masih ramai orang muda Melayu yang tidak mengundi. Berdasarkan taburan ahli parlimen dan ADUN di negeri-negeri, jelas kuasa politik menunjukkan bahawa negara ini mengamalkan perkongsian kuasa tetapi kini seringkali mencabar ketuanan Melayu. Jelas, demografi politik orang Melayu bukanlah lagi semestinya majoriti secara mutlak di tanah airnya sendiri.

32. Apatah lagi apabila kita bercakap dari sudut sosial. Saya amat bimbang apabila laporan serta data terkini menunjukkan dari segi sosial, orang Melayu merupakan penyumbang terbesar masalah sosial negara.

33. Kita lihat masalah sosial yang melanda bangsa kita terutama generasi muda yang sememangnya menjadi perhatian Pergerakan Puteri UMNO. Pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah, kes penderaan dalam keluarga, sumbang mahram, kes lari dari rumah, keciciran pendidikan serta pelbagai perlakuan salah laku masih dijuarai oleh generasi muda Melayu dan bumiputera.

34. Jika tidak dibanteras segera maka kuasa majoriti Melayu tentunya tidak relevan lagi, bukan sahaja ke arah menyediakan pemimpin negara malah sebagai tenaga kerja profesional negara pada masa depan.

35. Kita tidak boleh memandang ringan masalah sosial yang kini seolah-olah dilihat telah menjadi jenama orang Melayu. Melayu dan buang anak sangat sinonim. Begitu juga Melayu dan penyalahgunaan dadah.

36. Dari perspektif ekonomi, statistik tahun 2009 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan pendapatan orang Melayu 37.5% lebih rendah daripada orang Cina. Manakala pendapatan orang Melayu adalah 22.4% lebih rendah berbanding orang India.

37. Selepas 53 tahun merdeka, hakikatnya orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama negara ini. Pelik bunyinya bila majoriti di tanah air sendiri lebih miskin berbanding kumpulan minoriti.

38. Apakah maknanya menjadi Melayu sebagai kumpulan yang membuat dasar dan mentadbir negara? Bukan sahaja kuasa ekonomi orang Melayu jauh lebih rendah daripada kaum lain, malah setiap pernyataan kita dianggap perkauman, inikan pula usaha untuk menjutawankan orang Melayu.

39. Kita menghormati dan mengakui usaha kaum-kaum lain sehingga berjaya menguasai kekayaan negara. Mereka secara bersungguh-sungguh menguasai ilmu dan juga menunjukkan kekentalan mental dan disiplin kerja yang tinggi untuk mencapai kekayaan itu.

40. Lihatlah bagaimana Amanah Saham Wawasan 2020 yang bernilai 490 juta unit habis dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa 6 jam 10 minit sahaja. Sebelumnya, pada 18 Julai 2007 lalu, sejumlah 500 juta unit ASM telah dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa hanya 39 minit sahaja. Bagi orang Melayu, tidak perlulah menunggu kerana unit ASM yang telah ditawarkan sejak sekian lama pun belum lagi habis dilanggan.

Sidang perwakilan sekalian,

41. Nampaknya perancangan untuk orang Melayu tidak begitu menjadi jika dibandingkan dengan jumlah tenaga manusia, kuasa politik serta segala macam kemudahan dan modal yang disediakan untuk memajukan mereka. Sebenarnya, sangat jarang berlaku di dalam mana-mana negara di dunia, sebuah negara yang dikuasai oleh etnik majoriti serta menguasai kuasa politik berada jauh ketinggalan berbanding etnik minoriti sepertimana yang berlaku di Malaysia.

42. Justeru Pergerakan Puteri Umno, menyokong penuh usaha besar-besaran membangunkan bangsa Melayu dan bumiputera tanpa mengganggu-gugat etnik lain yang telah dimasyhurkan oleh Perdana Menteri iaitu Presiden yang kita kasihi, YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak menerusi Model Baru Ekonomi (MBE). Lantaran, kita yakin dan percaya kewujudan MBE dapat menyelesaikan sebahagian besar permasalahan bangsa Melayu dan bumiputra pada masa akan datang. Tetapi MBE sahaja tidak mencukupi. Lebih daripada itu, orang Melayu khususnya pimpinannya harus meningkatkan integriti dan kredibiliti keMelayuannya.

43. Pimpinan Melayu mestilah boleh menonjol dan menguasai ruang politik pelbagai etnik secara meritokrasi bukan kroni, terbukti cemerlang dan pada masa yang sama mempunyai sikap benci rasuah, politik wang dan budaya mengambil kesempatan atas wang rakyat.

44. Kita juga mestilah berani dan boleh membuktikan keberkesanan pengurusan yang cekap, adil dan berintegriti. Dengan itu, majoriti Melayu dapat diterima oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi lebih penting oleh kumpulan etnik lain. Jika kita sebagai pimpinan Melayu sekarang tidak bertindak meningkatkan integriti dan kredibiliti keMelayuan pastinya majoriti Melayu tidak bermakna dan relevan lagi.

Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,

C. MODEL BARU EKONOMI (MBE) DAN KEMISKINAN BANDAR

45. Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan pada tahun ini pula menuntut kita memahami, merungkai dan menyelidik manfaat sebenar yang boleh dijana oleh generasi muda. Apabila bercakap mengenai ekonomi, generasi mudalah yang paling banyak terlibat. Pengangguran berlaku di kalangan generasi muda, sumber manusia yang tidak berdaya saing juga sering membelenggu generasi muda.

46. Pergerakan Puteri UMNO mengalu-alukan pengumuman YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dalam pembentangan Bajet 2011 pada hari Jumaat yang lepas. Puteri merasakan bahawa Bajet tersebut antara yang terbaik dalam menyerlahkan potensi generasi muda apabila banyak peluang dan peruntukan disediakan bagi menjana modal insan yang berkualiti. Ini termasuklah dengan menyediakan RM 60 juta ringgit bagi Program Industrial Skill Enhancement Programme dan melalui Program Latihan 1Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM 500 juta. Selari dengan hasrat dan pengumuman ini, Puteri memohon agar modul baru latihan semula atau retraining diperkenalkan seiring dengan MBE. Tujuan tidak lain tidak bukan untuk membolehkan pekerja-pekerja muda menyesuaikan diri dengan sektor berkemahiran tinggi. Langkah Ini juga penting untuk meningkatkan produktiviti negara selain membantu generasi muda meningkatkan keupayaan diri dalam sektor pekerjaan.

47. Apabila tenaga kerja muda kita berkemahiran tinggi maka syarikat tidak boleh lagi memberi alasan untuk membayar gaji rendah kepada para pekerja. Begitu juga usaha melatih semula para pekerja mereka supaya lebih produktif dan inovatif yang akhirnya menyumbang kepada gaji yang lebih baik. Bersangkutan dengan itu Puteri mahu dana untuk latihan semula dalam MBE digerakkan secara aktif dan pemantauan terhadap proses latihan semula dilaksanakan secara berkesan. Pastikan setiap agensi atau syarikat yang dipilih untuk menjalankan proses latihan semula itu benar-benar berwibawa. Mampu melahirkan modal insan yang bersaing melalui inovasi dan kreativiti serta meningkatkan kemahiran pekerja kita. Saya percaya ini adalah satu tindakan afirmatif yang lebih bermakna kerana rangkuman capaiannya lebih menyeluruh.

48. Seperkara lagi yang menimbulkan kebimbangan saya adalah perihal kemiskinan bandar yang kesan rantaiannya amat parah. Apatah lagi jika dilihat dari sudut pembentukan sahsiah serta agenda sosial orang Melayu di bandar. Saya berpandangan bahawa kemiskinan bandar mesti ditangani segera. Ini kerana cabaran, survival serta persaingan hidup di bandar adalah lebih besar terutama dari sudut kos yang tinggi. Dalam konteks sekarang, saya percaya usaha meningkatkan pendapatan rakyat tidak harus tertumpu kepada membasmi kemiskinan semata-mata. Usaha mesti digembeling untuk menambah pendapatan penduduk bandar yang berhadapan dengan kemiskinan relatif.

49. Kita sedari usaha kerajaan menaikkan kadar garis kemiskinan sehingga ke RM750 telah memberi ruang dan kebolehdapatan data yang lebih relevan dalam merencana program pembasmian kemiskinan. Namun dalam masa yang sama, kita tidak boleh terlepas pandang masalah kemiskinan bandar adalah satu perkara yang membimbangkan. Ramai penduduk bandar berpendapatan sekitar RM1,500 hingga RM3000. Kumpulan inilah yang sering terperangkap dalam apa yang dipanggil ‘perangkap hutang’. Pendapatan mereka rendah dan perbelanjaan pula tinggi menyebabkan mereka terpaksa berhutang. Maknanya mereka telah terkeluar daripada keupayaan pendapatan sebenar dan terperangkap dalam zon hutang. Mereka akan berterusan berhutang.

50. Kos sewa rumah di bandar tidak sama seperti di pinggiran bandar. Begitu juga kos membeli rumah, kos hidup, pendidikan yang rata-rata tidak memberi ruang untuk mereka yang terlibat untuk menghembus helaan nafas tenang di setiap tengah bulan. Untuk itu Puteri mengalu-alukan pembentangan RMK-10 Jumaat lalu yang menyediakan pinjaman 100 peratus kepada pembeli rumah pertama yang berpendapatan RM3000 ke bawah menerusi skim Rumah Pertamaku. Pengumuman tersebut pasti memberi sedikit kelegaan kepada warga kota yang terpaksa memperuntukkan sebahagian besar gaji untuk membayar sewa rumah.

Sidang perwakilan sekalian,

51. Usaha meningkatkan pendapatan penduduk bandar akan membantu mereka keluar dari zon perangkap ekonomi. Namun, dalam menjayakan MBE adalah perlu untuk kita menumpukan usaha untuk membantu golongan 40 peratus sederhana dan 40 peratus miskin supaya sasaran menjadi lebih jelas dan telus. Kita harus melihat isu ini dengan lebih holisitik dan dengan sedikit sentuhan keprihatinan. Perkara ini perlu menjadi antara perjuangan kita kerana kita semua hidup di bandar, saudara mara kita hidup di bandar, rakan-rakan kita hidup di bandar. Ia melibatkan hampir 80 peratus generasi seusia kita.

52. Apatah lagi dengan generasi wanita muda yang berkerjaya di bandar. Sudahlah baru hendak menapak dalam dunia pekerjaan ditambah kehidupan yang serba mencabar, mereka haruslah mengimbangi antara kerjaya, survival kehidupan, tuntutan hidup berkeluarga dalam unjuran pendapatan sekitar RM1500 ke RM 2500.

53. Untuk itu, Puteri menyarankan mereka yang berpendapatan dibawah RM4000 haruslah dikecualikan daripada cukai pendapatan. Memandangkan taraf hidup semasa yang semakin tinggi, adalah perlu bagi kerajaan untuk mengkaji semula perlepasan cukai untuk rakyat yang berpendapatan di bawah RM4000.

54. Mengikut data Lembaga Hasil Dalam Negeri, daripada 25 juta rakyat Malaysia, 11 juta orang adalah mereka yang layak membayar cukai namun hanya 1.5 juta sahaja rakyat yang membayarnya. Mengapa ini berlaku? Ini disebabkan faktor-faktor kenaikan harga barangan keperluan harian keluarga seperti petrol, tambang, barangan runcit, tol dan lain-lain yang memberi tekanan kepada individu yang layak.

55. Dicadangkan juga kadar perlepasan cukai bagi pendidikan anak-anak mengikut kategori kerana dengan perlepasan sebanyak RM1000 setahun untuk anak-anak berumur kurang 12 tahun adalah terlalu rendah jika dibandingkan dengan perbelanjaan masa kini. Dalam masa yang sama, Puteri juga menuntut agar perlepasan kos sara diri, kos perubatan, kos insurans dan lain-lain yang dapat mengimbangi kos sara hidup kini dikaji semula mengikut keperluan semasa.

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

D. KESAN KEBEBASAN SIBER

56. Dunia tanpa sempadan – rangkaian perkataan yang paling kerap kita dengar berikutan perkembangan pesat dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Jika pergerakan manusia samada menggunakan laluan udara, darat mahu pun laut ada sempadan dan batasnya, tetapi tidak dalam kes pergerakan maklumat yang disebarkan menerusi ruang siber yang bebas menerjah ke seluruh pelosok dunia. Maklumat yang tersebar tidak ditapis jauh sekali disaring. Lantas maklumat yang baik bercampur dengan kurang baik, yang kurang baik diaduk dengan yang tidak baik – hasilnya tercetuslah revolusi maklumat yang tidak dapat dibezakan antara yang baik dan buruk. Lebih menyedihkan apabila yang buruk menjadi buruan manakala yang baik diketepikan begitu saja.

57. Saya tidak menafikan peri pentingnya ICT dalam era globalisasi. Dengan adanya jaringan maklumat menerusi Internet, segala maklumat dapat dicapai dengan mudah. Komunikasi juga dimudahcarakan melalui Facebook, Twitter, Skype dan Youtube. Apa yang dikesalkan apabila kemampuan akal manusia disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah.

58. Kebebasan dunia maya semakin luas, tanpa batas dan sempadan jauh sekali ada undang-undang untuk menyekatnya. Maklumat yang terapung di ruang siber sememangnya sukar dikawal; ia boleh menyerang sesiapa saja, menyerap minda pelbagai peringkat usia tanpa saringan, justeru kesan dan bahayanya tidak boleh dijangka.

59. Sememangnya kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan informasi. Oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat sama ada benar atau salah, idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet.

60. Timbullah tanda tanya sama ada Internet harus dikawal selia atau tidak. Namun seperti yang termaktub dalam rang undang-undang, ini adalah jaminan yang dijanjikan oleh kerajaan dengan syarikat-syarikat Koridor Raya Multimedia. Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga mengisytiharkan bahawa tiada suatu pun peruntukan di bawah akta tersebut yang membenarkan sebarang penapisan maklumat berlaku.

61. Prinsip ini adalah berdasarkan pendapat bahawa pengawalan maklumat hanya akan memberikan kesan yang negatif kepada perkembangan teknologi komunikasi yang canggih ini.

62. Ini berbeza sekali dengan sesetengah negara yang mengambil pendirian yang jauh lebih agresif. Negara-negara seperti Cuba dan China, mengamalkan penapisan maklumat secara separa atau total. Mereka menganggap kandungan yang dibawa di dalam Internet sebagai ancaman ideologi kepada penduduk mereka.

63. Banyak juga negara yang bersikap sederhana dan menapis hanya maklumat yang berpotensi merosakkan fikiran orang awam seperti bahan lucah, bahan propaganda Nazi, bahan yang boleh menyebabkan ancaman kepada kesihatan awam seperti iklan-iklan ubatan dan racun yang memerlukan preskripsi doktor, bahan yang boleh menyebabkan ancaman kepada negara seperti cara-cara membuat bom, bahan api dan sebagainya dan perbuatan jenayah. Antara negara-negara yang termasuk dalam kategori ini adalah Australia, Kanada, Hong Kong, United Kingdom dan Singapura.

64. Untuk itu, Puteri berharap akan ada satu usaha bersepadu yang dapat digerakkan untuk menilai semula akta sedia ada kepada yang lebih terarah dan menpunyai kawalan berhemah. Sehubungan itu, dalam soal ini Pergerakan Puteri UMNO merasa kesal kerana pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) umpama harimau tidak bergigi…mengaum tidak berbunyi…

65. Bukanlah kita menyekat kebebasan bersuara atau kreativiti tetapi langkah-langkah perlu diambil dan dikenal pasti supaya Internet terus kekal sebagai alat komunikasi yang unggul pada abad ini. Cukuplah sekadar mengawal selia sistem dan maklumat mengikut acuan Malaysia.

66. Dalam hubungan yang sama salah laku pengguna Internet yang merisaukan seperti spamming, virus, hacking, e-mail bombing, denial of service attack, penggunaan `robot’, penggunaan kata laluan orang lain dan sebagainya perlu diberi perhatian. Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 ada memperuntukkan penubuhan satu Forum Pengisian yang menentukan etika-etika dan garis panduan yang patut diikuti dalam dunia siber. Seksyen 231 Akta tersebut membolehkan pengawalan bahan-bahan yang menyalahi, tidak sopan dan tidak senonoh.

67. Saya menggesa supaya garis panduan ini dilaksanakan secara berkesan untuk membatasi isi-isi kandungan laman web dan sesetengah salah laku pengguna dan bukanlah berperanan sebagai badan penapisan sahaja.

Sidang perwakilan sekalian,

68. Penggunaan dunia siber sebagai ruang melakukan jenayah adalah suatu yang dimaklumi. Perbuatan-perbuatan seperti penipuan, bahan lucah, skim piramid, judi siber, penipuan kad kredit, peras ugut, pengintipan industri, pelaburan haram dan sebagainya mesti dikawal selia untuk mengelakkan dunia siber daripada menjadi dunia liar seperti The Wild Wild West.

69. Perbuatan-perbuatan tersebut adalah salah di bawah peruntukan sekarang dan seharusnya dianggap sebagai kesalahan di dunia siber juga. Sekiranya tidak, dunia siber akan menjadi pusat jenayah dan seterusnya membantut usaha-usaha untuk memantapkan Internet sebagai pemantau K-ekonomi.

Sidang perwakilan sekalian,

E. MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN

70. Menyentuh mengenai kualiti pendidikan pula. Dari peringkat sekolah rendah lagi, kita telah diberi penekanan tentang peri pentingnya untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Ibu bapa suka mencanangkan berapa A anaknya perolehi dari keputusan peperiksaan yang setinggi-tinggi STPM hinggalah ke peperiksaan bulanan.

71. Kebanggaan ini adalah bertepatan memandangkan ibu bapa telah membuat pelaburan yang banyak dari sudut kewangan dengan menghantar anak-anak ke tuisyen dan sebagainya. Ada juga kita kedengaran di kalangan murid-murid yang menggantung diri sehingga mati kerana keputusan peperiksaan tidak memuaskan dan tidak seperti yang dihajati. Semua ini memberi tekanan kepada anak-anak sehingga mereka hilang arah pengertian sebenar pengetahuan dan pencarian ilmu.

72. Ibu bapa dan guru-guru adakalanya terikut sama dalam soal kualiti yang tidak kekal ini. Saya berpandangan begitu kerana berapa ramai di kalangan kita yang mendapat A dalam matapelajaran Geografi di sekolah contohnya yang masih ingat mahupun mengaplikasikan subjek tersebut di dalam kehidupan kita kini. Apa yang tinggal hanyalah memori dan juga mungkin kesan akibat tekanan bersengkang mata menghafal dan mengingati fakta-fakta buku teks.

73. Saya tidak menidakkan tentang peri pentingnya pelajaran dalam kehidupan namun apabila kita terlalu menekankan kepada aspek teori dan ukuran nilai kelulusan, maka inilah yang akan memakan diri anak-anak kita dan generasi yang akan datang. Mereka tidak belajar kerana kemahuan, mereka tidak belajar kerana minat, apatah lagi mereka tidak menghayati kerana memahami, tetapi mereka teruskan demi kerana tekanan untuk mendapat keputusan yang baik.

74. Anak-anak muda sebeginilah yang akhirnya tidak memahami dan mengaplikasi apa juga ilmu dalam kehidupan dan kerana itulah makin ramai yang hidup terumbang ambing dan tidak dapat membezakan kebenaran dan kebatilan.

Sidang perwakilan sekalian,

75. Demi untuk merubah landskap ini satu usaha bersepadu perlu dibuat. Kita perlu melihat perkara ini di luar ruang lingkup sedia ada. Kita haruslah lebih memahami kehendak dan minat anak-anak kita kerana dengan memaksa mereka untuk menghafal dan menjawab peperiksaan semata-mata tidak memberi keuntungan kepada sesiapa termasuklah jiwa anak-anak muda itu sendiri.

76. Saya juga yakin keputusan kerajaan baru-baru ini untuk mengkaji semula sistem peperiksaan ini haruslah diberi sokongan dan penghargaan dan ini menunjukkan nada kita adalah seirama. Begitu juga kita semua telah dimaklumkan tentang keputusan kerajaan memansuhkan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan mengubahsuai format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula pada tahun 2016. Puteri menyokong usaha kerajaan untuk mencari kesesuaian dengan keadaan semasa yang telah saya sebutkan tadi.

77. Puteri ingin agar kita membuka minda kita sejenak. Jika kita menilai anak-anak kita cenderung kepada kemahiran, seharusnya kita memberi galakan untuk mereka meneruskan kecenderungan dengan lebih baik. Ibu bapa harus cuba membuang persepsi bahawa ilmu pengetahuan adalah buku teks dan keputusan peperiksaan sahaja.

78. Saya amat yakin ilmu pengetahuan itu merentasi dan menjangkaui akal fikiran. Ilmu pengetahuan meliputi ilmu-ilmu kemahiran yang mampu membawa generasi muda jauh ke hadapan. Inilah yang saya yakini mampu merubah generasi muda kita untuk berdaya saing dalam bidang yang mereka minati dan lebih menghayati ilmu kehidupan.

79. Saranan Puteri adalah agar lebih banyak sekolah-sekolah kemahiran dibina, diberi pengiktirafan sewajarnya dan diangkat sebagai antara asas pembangunan modal insan dari sudut pendidikan.

Sidang perwakilan sekalian,

80. Dalam kita menjengah ke arah kemodenan dan globalisasi, pasaran tenaga kerja manusia juga semakin meningkat. Modal insan yang berkualiti tinggi menjadi tunjang kepada pembangunan Negara. Bagi mencapai modal insan berkualiti ini, ianya harus dimulakan dengan kelengkapan pengisian diri dan jiwa yang bersandarkan ilmu serta kemahiran yang bermutu.

81. Jika kita soroti saban tahun berpuluhan ribu graduan menamatkan pengajian di puluhan institusi pengajian awam dan juga swasta. Dengan kadar tinggi yang sedemikian rupa mustahil kita kekurangan tenaga kerja dan kepakaran.

82. Namun begitu, masih ramai juga yang ketinggalan dan menjadi penganggur setia. Kenapakah senario ini berlaku? Adakah kerana graduan kita tidak berkualiti atau mereka memilih dalam soal kerja? Persoalan ini telah dibangkitkan hampir di setiap forum yang melibatkan isu penggunaan tenaga kerja dan juga pengangguran. Data menunjukkan bukan calang-calang graduan yang mencari kerja di pasaran tenaga kerja di Malaysia namun didapati bahawa masih ramai yang melihat kepada ukuran nilai segenggam ijazah.

83. Ijazah kelas pertama di cari dan menjadi pilihan, kelas kedua bolehlah sebagai jawatan-jawatan pentadbiran… kelas ketiga…adakalanya gaji pun cukup-cukup makan. Pengkelasan seperti ini adalah baik ketika mengenal pasti calon mengisi kekosongan namun begitu, berapa ramaikah anak-anak Melayu yang mengenggam ijazah kelas pertama? Berapa ramaikah anak Melayu ijazah kelas ketiga yang mendapat kerja dan menyara keluarga?

84. Semua persoalan ini menimbulkan keresahan kepada saya. Selaku generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Siapakah yang mendapat manfaat dari pengkelasan ini? Mungkin ianya dapat memudahkan proses pemilihan dan penentuan jawatan namun adakah ianya memberi keadilan dari sudut pembangunan modal insan menyeluruh di Malaysia. Seharusnya pengkelasan ini dikaji kepada sebuah sistem yang lebih berdaya saing dimana pelajar-pelajar dinilai bukan bersandarkan kepada keputusan peperiksaan semata-mata.

Sidang perwakilan sekalian,

85. Kenapa saya berkata demikian? Kerana dengan cara ini maka persaingan yang sihat akan wujud dan lebih ramai yang berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Saya yakin dengan sistem seperti ini lebih ramai anak muda mendapat tempat kerja dan peluang yang sama rata tanpa prejudis.

86. Bagaimana caranya, apa modus operandinya. Marilah kita sama-sama rungkaikan menerusi perbincangan dengan pihak-pihak berwajib dengan lebih tersusun dan menyeluruh. Saya yakin perkara ini bukanlah sukar dilaksanakan demi manfaat generasi masa hadapan dan dalam memelihara kualiti hidup anak bangsa kita sendiri.

Sidang perwakilan sekalian,

87. Sebagai generasi muda, kita sedar peranan dan tanggungjawab kita dalam merencana kehidupan dan masa hadapan. Namun di Malaysia ketika ini, sudah menjadi satu masalah generasi kita terbeban dengan hutang setelah tamat pengajian. Sudahlah berpenat lelah mendapatkan segulung ijazah di sepanjang 3-4 tahun, dan ada ketikanya berpuasa dan berlapar perut kerana segan meminta duit di kampung, apabila melangkah keluar terbeban di bahu puluhan ribu ringgit untuk dilangsaikan.

88. Kita faham bahawa yuran pengajian adalah satu perkara pokok untuk kita meneruskan cita-cita. Untuk itu, pelbagai skim ditawarkan oleh bank-bank swasta mahupun dari agensi kerajaan seperti pinjaman dan sebagainya. Namun begitu, tidakkah kita gusar untuk melangkah keluar kerana bebanan itu bukan seringgit dua tapi puluhan ribu juga dan ini adakalanya menyebabkan ramai yang melarikan diri dan disenaraihitamkan.

89. Kita memahami bahawa tugasan untuk membayar hutang adalah perkara wajib. Adalah menjadi kewajiban kita selaku anak-anak muda dan ini juga adalah sebagai tanda kita bersyukur kerana kerajaan telah menyediakan prasarana yang kondusif untuk kita terus bergelar mahasiswa dan graduan. Apa yang membebankan adalah tanggungan yang tidak ternilai oleh mereka yang baru merangkak-rangkak mencari kerja.

90. Sehubungan itu, saya merasakan sudah tiba masanya kita membantu generasi muda masa hadapan dengan memberikan sedikit kelegaan iaitu membatalkan terus yuran pengajian yang perlu dibayar setiap sesi. Dengan itu, kuasa membeli dan juga mencatur kehidupan generasi muda akan menjadi lebih baik dan sistematik.

91. Kutipan yuran pengajian yang diperolehi oleh 22 universiti awam seluruh negara adalah terlalu kecil berbanding peruntukan yang diberi oleh Kerajaan. Puteri mencadangkan yuran pengajian para pelajar universiti ditampung sepenuhnya oleh kerajaan melalui penambahan peruntukan kepada universiti. Dalam erti kata lain, pelajar tidak perlu membayar yuran dan universiti tidak kehilangan pendapatan hasil daripada pungutan yuran. Kami berharap cadangan dan idea ini diterima demi kebaikan anak-anak kita di masa hadapan. Dengan itu, kita dengan penuh bangganya boleh menyatakan pendidikan di Malaysia adalah percuma dari tadika hingga ke menara gading.

Sidang perwakilan sekalian,

92. Segala perancangan masa depan negara sekarang sangat bergantung kepada keupayaan masyarakat menguasai budaya inovasi. Kejayaan dan keberkesanan Model Baru Ekonomi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi bermula dengan inovasi dan kreativiti.

93. Hari ini semakin ramai yang kaya raya kerana mempunyai idea yang berkualiti, reka cipta yang inovatif, kemahiran mengubahsuai, bijak memberi nilai tambah kepada teknologi sedia ada dan bukan lagi terpaksa membanting tulang empat kerat. Dunia sedang berkembang maju dan bergerak pantas, rakyat Malaysia juga sudah bersedia berdaya saing dengan menguasai keupayaan baru.

94. Budaya inovasi telah berkembang subur di Malaysia dari sekolah rendah hingga ke universiti. Banyak produk inovasi telah tersedia untuk dikomersilkan.Sekarang sudah tiba masanya untuk kita memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas ini.

Sidang perwakilan sekalian,

95. Universiti telah memainkan peranan yang besar dalam menyemai budaya inovasi dikalangan mahasiswa. Universiti perlu diberi pujian dengan aktiviti kreatif ini. Ini mungkin kerana universiti telah mempunyai tenaga pengajar yang cekap dan berdedikasi serta peralatan yang canggih. Saya yakin universiti di Malaysia mampu menyediakan tenaga mahir untuk negara ratusan tahun yang akan datang.

96. Dalam usaha untuk terus memupuk budaya inovasi dikalangan mahasiswa ini, Puteri menggesa kerajaan untuk menambah dana bagi membiayai aktiviti inovasi di universiti dan seterusnya membudayakan inovasi ke peringkat yang lebih tinggi.

Sidang perwakilan sekalian,

F. KEGAWATAN SOSIAL

97. Beralih pula kita kepada permasalahan sosial yang menjengah generasi muda kita. Yang menjadi kebimbangan dan kegusaran kita semua adalah insiden pembuangan bayi. Insiden pembuangan bayi dan masalah sosial seperti seks luar nikah, bersekedudukan dan juga isu yang berkaitan dengan moral ini seringkali menjadi bualan hangat yang tiada penghujung dan penyelesaiannya.

98. Beberapa cadangan telah di buat dan sudah banyak program disusun atur oleh NGO dan pihak swasta untuk menggembling tenaga bagi membantu kerajaan mengurangkan senario yang membimbangkan ini. Namun, usaha ini umpama mencurah air ke daun keladi…

99. Puteri mencadangkan agar satu silibus atau bab yang lebih fokus dalam aspek kesihatan reproduktif diperkenalkan. Memandangkan kini pendidikan seks diajar merentasi kurikulum di dalam mata pelajaran pendidikan Islam, Sains, Biologi dan Pendidikan Moral. Bab kesihatan reproduktif bolehlah dimasukkan dalam kurikulum Sains yang diajar dari Tingkatan 1. Ini dapat memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak. Kurikulum ini boleh menyentuh soal penjagaan kesihatan anggota reproduktif, seksualiti serta hal-hal yang berkaitan supaya kesedaran mengenai seksualiti dapat disemai lebih awal dan dapat diterapkan kepada remaja agar insiden pembuangan bayi dapat dihapuskan.

100. Kita juga sedar bahawa stigma dalam masyarakat Melayu masih menebal dan bukanlah perkara yang mudah untuk dinyahkan. Namun begitu, saya yakin sekiranya kita lebih terbuka dalam menerima kemelut ini, secara lebih rasional maka lebih banyak ruang dapat kita sediakan untuk anak-anak muda ini insaf dan kembali ke pangkal jalan.

101. Keterbukaan ibu bapa bukanlah bermaksud kita memberi lampu hijau untuk mereka meneruskan aktiviti lahir dan buang tetapi lebih kepada keterbukaan yang tidak membabi buta. Mereka juga tidak menyalahkan apa yang telah berlaku kerana kesalahan dan dosa anak-anak mereka. Dengan cara ini, anak-anak atau mereka yang ‘berdosa’ dan tersilap langkah ini tidak terus menerus melakukan kesalahan demi kesalahan dari berzina ke mengandung luar nikah hingga ke membuang anak demi kerana ketakutan.

102. Sehubungan itu juga, Puteri juga menyokong kepada usaha untuk mewujudkan sebuah rumah perlindungan dan pembelajaran seperti yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Melaka dengan mewujudkan Sekolah Harapan. Premis ini dapat memberi satu ‘nafas’ yang selamat dan baru kepada para ibu dan anak-anak muda yang sudah terlanjur. Cara ini mungkin dilihat ramai seolah-olah seperti menggalakkan gejala ini berleluasa namun percayalah ada banyak baiknya. Dengan adanya premis yang lebih kondusif, selamat dan terjaga dengan baik, anak-anak muda yang terlanjur ini dapat membina semula kehidupan dengan anak mereka yang tidak berdosa.

Sidang perwakilan sekalian,

103. Puteri juga berharap satu usaha juga dapat dibuat untuk tidak menghukum hanya anak gadis dalam soal ini. Mereka yang terlibat sebenarnya bukanlah hanya anak gadis sahaja tetapi teman lelaki, keluarga teman lelaki dan keluarga gadis tersebut. Ibu bapa kedua-dua pasangan juga haruslah mengambil tanggungjawab dan keaiban yang ditanggung anak-anak mereka sekiranya mereka ingin kembali ke pangkal jalan.

104. Dalam Islam, ibu bapa amatlah digalakkan mendirikan solat berjemaah bersama 5 kali sehari sebagai simbolik tanggungjawab bersama sebagai seorang Muslim. Namun, dalam realiti kehidupan masa kini, saya pernah menyarankan agar ibu bapa juga meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk bercakap, bertanya khabar dan bermesra dengan anak-anak masing-masing. Dengan cara ini kita dapat mendengar keluh kesah mereka, mengesan perubahan fizikal dan emosi mereka dan seterusnya dapat mengambil langkah yang rasional mendepaninya.

105. Jabatan dan Majlis Agama Islam seharusnya memainkan peranan yang lebih proaktif dalam soal ini samada dalam menyediakan prasarana untuk menampung kes-kes ini, atau penggubalan modul untuk post insiden atau pre insiden. Pre insiden-seperti menerbitkan buku, risalah, mendekati remaja melalui program pencegahan dan sebagainya. Manakala post insiden adalah seperti mengenal pasti punca kejadian, bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan mengenal pasti tempat maksiat dan sarang aktiviti ini, modul psikologi dalam mendepani diri dan keluarga serta macam-macam lagi.

106. Saya yakin, usaha yang bersepadu dengan niat yang murni pasti mendapat keredhaan dan keberkatanNya.

Sidang perwakilan sekalian,

G. HARAPAN DAN PERJUANGAN PUTERI MENDEPANI PRU-13

107. Berbalik kita kepada soal perjuangan Puteri UMNO. Peluang pada perhimpunan kali ini janganlah kita sia-siakan. Marilah kita bercakap, bermuhasabah, berdialog dan merancang untuk melakukan perubahan. Inilah platform terbaik selain kita memberi pandangan pada pucuk pimpinan, inilah juga medan untuk kita memberi teguran agar pergerakan kita semakin baik dan mantap. Bukan keajaiban yang saya pinta, bukan bulan dan bintang menjadi dambaan saya, cukuplah pada perhimpunan ini kita berlapang dada, membetulkan niat dan mengiringinya dengan perbuatan dan perubahan untuk parti dan negara.

Sidang perwakilan sekalian,

108. Sesiapa pun tidak akan lupa tarikh keramat 8 Mac 2008 yang menyaksikan perubahan geopolitik di negara kita. Kejutan yang berlaku masih menghantui kebanyakan daripada kita sehingga hari ini. Namun sejauh mana kejutan itu mendorong kita untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13? Adakah ahli-ahli kita di peringkat akar umbi telah mengambil pengajaran daripada episod luka yang melanda parti yang kita sayangi. Adakah kita masih dalam keadaan selesa menunggu sehingga tarikh pilihan raya diumumkan baru kita hendak melakukan persiapan tanpa mengambil sedikit pun pengajaran daripada apa yang telah berlaku.

109. Puteri seharusnya memainkan peranan, di mana Puteri ada kekuatan. Puteri ada jiwa yang lembut. Puteri ada ketegasan dalam kelembutan. Peranan Puteri adalah semestinya lebih halus dan mesra. Pada masa yang sama Puteri, mampu menampil imej yang mengkagumkan rakan dan juga lawan.

110. Kita harus mampu membawa diri kita kepada sesiapa pun tanpa rasa segan atau was-was. Kita adalah pejuang bangsa Melayu moden yang mampu membawa identiti kita di dalam arus kemodenan Malaysia maju. Moga Puteri mampu menjadi magnet dan daya penarik kepada semua. Kita harus menjadi trendsetter dan bukan trend follower. Semoga, perhimpunan kali ini, menjadi derapan langkah pertama kita, didalam membentuk sejarah baru Puteri UMNO Malaysia.

111. Kita haruslah menjadi pendamping setia kepada rakyat. Kita haruslah menjadi jambatan penghubung rakyat dan negara. Ini hakikat yang kita tidak boleh ambil sambil lewa. Di peringkat cawangan, bahagian dan negeri peranan kita haruslah digerakkan dengan lebih aktif dan ‘compliment’ kepada kakak, abang dan mereka yang terdahulu dari kita.

112. Jangan pula terlalu ghairah hingga kita alpa pada rasa hormat pada mereka yang ‘melahir’kan kita dan yang bersetuju dengan lapang dada menerima kita dalam satu keluarga yang besar ini. Kita harus bijak dan saya yakin ramai di kalangan kita sudah cukup dewasa dalam soal ini.

Sidang perwakilan sekalian,

113. Berbalik kepada fokus kita untuk memenangi pilihanraya umum yang akan datang, saya memberi sepenuh kepercayaan kepada semua ahli tanpa mengira pangkat mahupun kedudukan dalam pergerakan ini untuk sama-sama menumpukan usaha yang lebih agresif menggerakkan bilik-bilik gerakan; menjalankan usaha memenangi hati pengundi-pengundi tak kira tua dan muda; menggerakkan daftar pemilih; dan yang paling penting menjiwai isu-isu yang bakal memberi kemenangan kepada kita.

114. Bangunlah semua adik-adik dan rakan-rakan seperjuanganku! Bangkitlah dari lamunan mimpi indah dan kelewaan! Kita harus sedar bahawa kita harus mencatur langkah baru, dengan nafas yang lebih bersemangat dan berkobar-kobar! Kita pasti akan memenangi pilihanraya ke-13 akan datang! Kita akan menggadai masa, tenaga dan jiwa untuk itu! Itu janji kita kepada parti!

115. Ayuh semua, kuatkan barisan kita, nyahkan kepentingan diri, tolak kepentingan emosi yang merugikan parti, kita tawani isu, kita menangi hati rakan dan lawan, kita laksanakan program sebaik mungkin, kita baiki hidup rakyat kita, kita sama-sama sejahterakan bangsa kita! Saya yakin! Saya yakin! Saya yakin Puteri mampu!

116. Bismillah hir rahman nir rahim

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim….

Kepada mu ya Allah kami mengangkat tangan, menadah doa dan mengharapkan ehsan. Ya Allah, rahmati niat kami, rahmati usaha kami, rahmati perjuangan kami dan lindungilah kami.

Pergerakan Puteri UMNO Malaysia ini ya Allah, mengharapkan agar kekuatan ayahanda, bonda, para pejuang Islam dan para Negarawan kami tersemat dalam jiwa dan semangat kami. Ya Allah sesungguhnya kami bersyukur di atas kurniaan, limpahan rezeki, nikmat dan syafaat Mu. Sesungguhnya kami memohon Ya Allah:

Lapangkan dada kami untuk menerima hembusan hidayahMU

Kuatkan hati kami untuk mengatur langkah perjuangan,

Insafkan dalam hati-hati kami sejarah dan jatuh bangun bangsa kami akibat kealpaan,

Insafkan dalam jiwa kami kemunduran akal fikiran akibat tamak dan sikap mengambil kesempatan,

Insafkan dalam ingatan kami, bahawa darah yang mengalir dalam diri ini adalah amanah dan tuntutan sebagai bangsa di tanah air ini.

Untuk itu Ya Allah,
Kurniakanlan kami kekuatan sehebat Tun Teja,
Fikiran sehebat Hang Nadim,
Setia sekuat Hang Tuah,
Semangat secekal Siti Hajar
Pengorbanan setimpal Saidatina Khadijah,
Istiqamah dan Zuhud seagung Rasullah saw.

Ya Allah,
Peliharakanlah para pemimpin kami,
Peliharakanlah para pejuang kami,
Satukanlah hati-hati kami
Kerana perjuangan kami akan bermula tekad ini

Ya Allah,
Berikanlah kami keredhaan Mu
Berikanlah kami kemenangan
Berikanlah kami kejayaan

Ya Allah
Semoga Puteri… semoga adik-adik ku fahami kerana perjuangan ini bukan perjuangan ku malah ini perjuangan untuk anak-anak bangsa ku.

Amin.

Sekian, wabillah hitaufiq wal hidayah wassalamualaikum wrt wbt.

Terima kasih.

No comments: