Friday, December 3, 2010

KEMBALI KEPADA ASAS PERJUANGAN


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa rakyat agar tidak terjerumus dengan perangkap pembangkang yang sentiasa mahu memutarbelit dan mencari idea bagi mengelirukan masyarakat.

Katanya, pakatan pembangkang sentiasa menimbulkan pelbagai isu termasuklah mencabar Perlembagaan Negara, keselamatan dan sistem demokrasi berperlembagaan yang menjadi amalan untuk tujuan menimbulkan keresahan dan rasa gelisah di kalangan rakyat.

“Pembangkang ini sengaja buat perkara yang bertentangan dengan agenda kerajaan dan apa juga yang dilakukan oleh UMNO bersama Barisan Nasional (BN) akan dicabar dan diperkotak-katikkan biarpun sebenarnya mereka juga mendapat manfaat dan nikmat daripada pelaksanaannya,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung BN.

Apa yang penting katanya adalah memperteguhkan ikatan yang terjalin bukan hanya di kalangan pemimpinnya tetapi juga diperingkat akar umbi dengan menjadikan asas perjuangan dan prinsip parti sebagai pegangan.

“Kita perlu kembali kepada asas perjuangan sebenar supaya tidak terkeluar dari landasan asal yang telah digariskan iaitu berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Dalam hal ini, beliau turut mengingatkan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mentrasformasikan perjuangan berlandaskan perkembangan semasa berlandaskan Gagasan Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Saya berkeyakinan kalau kita berpegang kepada prinsip dan asas perjuangan tersebut maka tidak mustahil untuk kita kekal kukuh dan teguh serta dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.”

Katanya lagi, pakatan pembangkang cuba menimbulkan isu baru sebagai usaha mereka yang mahu lari daripada persoalan rakyat terhadap kepincangan dalam parti mereka termasuklah ketidakpercayaan ahlinya sendiri.

“Inilah permainan pembangkang yang takut untuk berdepan dengan kenyataan. Mereka sentiasa lari dari persoalan sebenar sedangkan sebelum ini semua sedar bagaimana tekanan yang telah diberikan oleh ahli-ahli mereka sendiri pada pemimpin atasannya.”

Katanya, kedangkalan dan ketidakseimbangan pakatan pembangkang yang masih terus tercari-cari identiti sewajarnya diambil sebagai satu tauladan dan lonjakan bagi UMNO dan BN sendiri untuk terus memantapkan matlamat perjuangan.

“Kita bekerja bukan hanya untuk mengukuhkan UMNO malah sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku apatah lagi tentunya pelbagai cabaran menanti apabila berdepan dengan pembangkang yang terdiri daripada parti serpihan UMNO sendiri,” katanya yang merujuk kepada PAS dan PKR yang sentiasa menunding jari menyalahkan UMNO.

Sumber Berita – MediaUMNO

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras menyokong pandangan dan teguran yang di sampaikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Sesungguhnya kembali kepada asas perjuangan adalah landasan sebenar demi perjuangan untuk Agama, Bangsa dan Tanahair.


Sesungguhnya Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman:


(1) وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوْا وَاذْكُرُوْا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوْبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُوْنَ {أل عمران:103}

(1) "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali Allah seraya berjemaah, dan janganlah kamu berfirqah-firqah (bergolong-golongan), dan ingatlah akan nikmat Allah atas kamu tatkala kamu dahulu bermusuh-musuhan maka Allah jinakkan antara hati-hati kamu, maka dengan nikmat itu kamu menjadi bersaudara, padahal kamu dahulu nya telah berada di tepi jurang api Neraka, tetapi Dia (Allah) menyelamatkan kamu dari padanya; begitulah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu, supaya kamu mendapat petunjuk.”

(QS.Ali ‘Imran:103 )



No comments: