Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada Jumaat ini. Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata pihaknya sudah menerima notis rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Jumaat lalu berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha dari Barisan Nasional (BN).
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan dengan pilihan raya kecil DUN Tenang pada 24 Disember di Putrajaya,” katanya.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian selepas mesyuarat khas itu.
Info DUN Tenang
Parlimen Labis yang diwakili oleh anak Presiden MCA, Chua Tee Yong mempunyai dua DUN iaitu Dun Bekok yang diwakili MCA dan Dun Tenang yang dimiliki Umno.
Pada PRU 2008, undi majoriti Umno di Dun Tenang merosot lebih 3000 undi berbanding PRU 2004 kesan daripada gelombang pengaruh Anwar yang sedang memuncak. Walaupun masih ramai undi Melayu bersama BN, namun kemerosotan majoriti ini adalah hasil penolakan kaum bukan Melayu.
PRK Dun Tenang yang dijangka diadakan pada Januari atau Febuari depan akan berhadapan dengan satu cabaran baru. Walaupun Melayu memegang majoriti hampir 50% undi, tetapi pastinya PR melalui calon PAS tidak akan memberi cabaran mudah.
Selain cabaran terhadap calon Umno, ia merupakan satu cabaran peribadi buat MCA samada berjaya menarik semula sokongan kaum Cina atau sebaliknya. Sekiranya kaum Cina masih menolak BN, ia pastinya memalukan memandangkan Parlimen Labis selama ini diwakili oleh Presiden MCA sebelum ini, Tun Liong Sik, Presiden MCA sekarang, Dr. Chua Soi Lek dan kini diwakili pula anak Presiden MCA.
Ia juga satu cabaran baru buat Timbalan Ketua Umno Bahagian Labis, Hj. Rosdin Mahamood yang bakal menggantikan kedudukan Allahyarham dalam mengetuai Umno Bahagian.
No comments:
Post a Comment