Thursday, April 7, 2011

213 CALON BERTANDING DI PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK

Seramai 213 calon melibatkan 71 kerusi disahkan bertanding pada pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-10, jumlah pencalonan tertinggi diterima berbanding sebelum ini.Pilihan raya kali ini turut mencipta sejarah tersendiri apabila tiada mana-mana calon menang tanpa bertanding sejak kali terakhir pada 1979.

Malah, pencalonan yang diterima daripada calon bebas turut mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 41 calon melibatkan 40 lelaki dan seorang wanita.

Sejumlah 71 calon daripada Barisan Nasional, 15 Parti Tindakan Demokratik (DAP), 26 Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), 49 Parti Keadilan Rakyat (PKR), lima Parti Islam SeMalaysia (Pas), enam Parti Cinta Malaysia (PCM) dan 41 Bebas akan bertanding pada pilihan raya yang akan diadakan pada 16 April ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang media di pejabat SPR di sini petang Rabu.

Menurutnya, sebanyak 32 bantahan diterima bagi kesemua 71 kerusi pada proses penamaan calon yang berlangsung pagi tadi.

Bagaimanapun, hanya satu bantahan diterima melibatkan calon SNAP di DUN Kakus (N.53).

“Bantahan berkenaan ialah calon, pencadang dan penyokong tidak menandatangani borang pencalonan,” katanya.

Selain itu, Abdul Aziz berkata, daripada 71 kerusi terdapat dua kawasan DUN menyaksikan pertandingan enam penjuru iaitu di DUN Balai Ringin (N.25) dan DUN Belaga (N.57).

“Terdapat juga pertandingan lima penjuru melibatkan dua bahagian pilihan raya, 17 (empat penjuru), 23 (tiga penjuru) dan 27 (dua penjuru),” ujarnya.

Jelas beliau, seramai 197 calon lelaki manakala 16 wanita akan bertanding pada pilihan raya kali ini.

No comments: