Thursday, May 10, 2012

PERUTUSAN PRESIDEN UMNO SEMPENA ULANG TAHUN UMNO KE 66



 

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya kita diberi peluang untuk meneruskan perjuangan bagi memartabatkan agama, bangsa dan tanah air. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, rahmat sekalian alam.

Hari ini genap 66 tahun usia UMNO. Alhamdullilah 55 tahun daripada kewujudan tersebut telah menyaksikan UMNO menjadi tulang belakang kepada Kerajaan Barisan Nasional yang semenjak merdeka terus diberi kepercayaan melalui pilihan raya yang adil dan bebas oleh majoriti rakyat untuk memimpin negara.

Sepanjang tempoh tersebut juga menyaksikan bagaimana UMNO dan rakan-rakannya di dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional menyelamatkan demokrasi dari rahang kediktatoran komunisme, menjadi bidan kepada pembentukan Malaysia, membawa pembangunan kepada kawasan luar bandar, melancarkan perang terhadap kemiskinan dan buta huruf, merencana kejuruteraan sosial yang menyaksikan pembentukan kelas menengah yang besar, melaksanakan prakarsa pembaharuan tanah melalui FELDA, melakukan pelaburan besar di dalam bidang pendidikan dan prasarana asas negara dan merubah status negara dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi.

Terbukti perjuangan UMNO telah memanfaatkan semua rakyat Malaysia, ia telah melimpahkan nikmat kepada semua tanpa mengira kaum, anutan agama mahupun fahaman ideologi.
UMNO sesungguhnya ialah pertubuhan massa yang bersifat kebangsaan dan demokratik. Keunikan UMNO ialah ia parti yang sentiasa terhubung dengan denyut nadi serta menggarap aspirasi rakyat. Tuduhan liar pihak tertentu bahawa UMNO ialah parti rasis, anti demokrasi mahupun parti elitis tidak benar sama-sekali.

Namun kejayaan yang telah dicapai tidak boleh menjadikan kita alpa terhadap keperluan untuk terus memugar semangat yang mendasari penubuhan UMNO itu sendiri iaitu untuk memartabatkan agama, bangsa dan bumi tercinta. Masa berlalu persekitaran berubah cabaran parti era pasca merdeka sudah tentu berbeza dengan cabaran parti pra merdeka dan ketika awal merdeka tetapi di atas segalanya ia demi agama, bangsa dan negara.

Kita tidak mahu semangat asas yang menjadi teras kekuatan UMNO ini tinggal di dalam lipatan sejarah semata-mata dikenang dan dinostalgiakan. Hari ini UMNO mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan bukan sahaja sokongan dan dukungan padu massa terhadap Dasar Transformasi Nasional berserta semua komponennya ke arah merealisasikan Wawasan 2020 tetapi juga untuk menentukan semua rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera mendapat peluang yang adil dan saksama daripada usaha menjayakannya.

Ayuh kukuhkan saf perjuangan, satukan hati-hati kita dalam perpaduan, yakinlah bahawa perjuangan kita ialah perjuangan yang benar dan mulia. Inilah masanya untuk kita mengukuhkan barisan yang ada demi memastikan masa depan bangsa dan negara. Perjuangan ini tidak boleh berhenti. Ahli-ahli UMNO mesti memastikan kejayaan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Marilah kita bersama-sama memperbaharui azam serta tekad untuk terus berjuang ke arah Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur.

DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK

 

PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS MENYERU AHLI - AHLI PUTERI UMNO BERAMAI - RAMAI MENGHADIRI MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KE 66 DI BUKIT JALIL SEBAGAI TANDA KASIH SAYANG PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU (UMNO) YANG TELAH BERUSAHA MEMARTABATKAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA SELAMA 66 TAHUN.

2 comments:

Abu Syaukah said...

Hari Ini Dalam Sejarah UMNO 66 Tahun

11 MEI — Hari ini, pada tahun 1946, Umno ditubuhkan dengan presiden pertamanya Datuk Onn Jaafar untuk menyatukan semua persatuan-persatuan dan pertubuhan yang mempunyai matlamat yang satu, iaitu untuk mencapai matlamat yang satu, iaitu untuk menyambung usaha-usaha pejuang kemerdekaan sebelumnya.

Parti Umno wujud diatas penyatuan pertubuhan-pertubuhan yang bercambah semasa itu dan penubuhan Umno ini merupakan lonjakkan kepada kekuatan rakyat Malaya khususnya orang Melayu untuk membuat persediaan bagi mencapai kemerdekaan negara dari pentadbiran penjajahan Inggeris.

Di rengkaskan sejarah, Umno wujud diatas kesedaran yang negara tidak lagi dapat menahan keinginan untuk menerima penjajahan Inggeris dan kesedaran untuk bersatu ini dirasakan lebih mendesak apabila Inggeris cuba untuk mewujudkan negara “unitary” di Semenanjung Malaya ini dan di tadbir oleh Malayan Union (MU) dengan pusat pentadbirannya di Kuala Lumpur.

Dengan penubuhan Umno itu, maka cita-cita Inggeris untuk menjadikan negara ini sebagai negara “unitary” telah dapat dipatahkan dan digantikan dengan sebuah negara Persekutuan dengan Perjanjian Persekutuan pada 2hb Februari 1948 yang lalu. Maka penubuhan negara Persekutuan ini adalah hasil dari kerja keras dan perjuangan Umno bersama dengan Raja-Raja Melayu yang telah berunding tidak berhenti-henti dengan pihak British sehingga wujudnya sebuah negara Persekutuan.

Maka negeri-negeri yang masing-masing mempunyai pentadbiran mereka sendiri dibawah naungan Raja-Raja mereka telah bersatu dibawah satu negara Persekutuan yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu.

Kesemua negeri-negeri Bersekutu dan tidak Bersekutu telah bersatu dibawah satu Persekutuan dan negeri-negri ini di sertai sekali oleh dua buah negeri Straits Settlement, Melaka dan P. Pinang, untuk bersama dalam negara Persekutuan yang baru diwujudkan itu.

Sejak itulah Umno menyambung perjuangan kemerdekaan yang telah dimulakan oleh ramai pejuang-pejuang sebelum itu dan Umno sebagai sebuah parti yang boleh berbincang dan berfikir bersama Inggeris, telah berjaya mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957. Dalam masa proses mencapai kemerdekaan banyak perkara telah berlaku dalam parti itu.

Antaranya ialah keluarnya Datuk Onn Jaafar dari Umno kerana cadangannya untuk membawa masuk rakyat berbilang kaum telah ditolak oleh persidangan Umno dan Umno di ambil alih kepimpinannya oleh YTM Tunku Abd Rahman Putra sehinggalah negara mencapai kemerdekaan. Kumpulan agama yang berada dalam Umno telah keluar dari parti itu pada tahun 1951 dan telah menubuhkan Parti Islam Tanah Melayu (PAS) dan berbagai bagai lagi insiden yang berlaku dalam proses perjuangan Umno itu.

Abu Syaukah said...

MCA dan MIC juga ditubuhkan dalam waktu ini dengan tujuan untuk menyatukan orang-orang Cina dibawah MCA dan kaum India dibawah MIC untuk bersama-sama menuju pencapaian kemerdekaan pada Ogos 1957 itu. Ketiga-tiga parti ini bergabung dibawah Perikatan dan menjadi Barisan Nasional (BN) pada tahun 1974 dengan bilangan keahlian dalam gabungan itu bertambah dengan kemasukkan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan ini pada tahun 1963 dan diberi nama baru bernama Persekutuan Malaysia.

Umno yang kita ingati sekarang telah berjaya menyempurna usaha pencapaian kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan dengan baik dan telah memberikan munafaat kepada negara dan rakyat berbilang kaum.
Tetapi keadaan berubah mengikut masa dan waktunya. Manusia dan sikapnya pun berubah termasuk kepimpinan dalam Umno itu sendiri. Setelah tiga dekad mencapai kemerdekaan negara dengan jayanya Umno secara tidak sedar telah menjadi parti dan pemerintah yang tidak lagi pandai menguruskan kejayaan itu.

Umno telah berubah dengan wujudnya kepimpinan yang begitu rakus mengambil alih parti yang sudah kuat itu dan bermulalah zaman pimpinan parti yang sudah luntur atau pun tidak mempunyai semangat untuk membangunkan negara dan rakyat secara betul dan berhemah.

Umno mula diresapi oleh individu-individu pemimpin yang tidak jujur kerana mendahului kepentingan peribadi dan seronok dengan kuasa dan mabuk kepada membina kepentingan sendiri dan keluarga mereka sahaja. Individu-individu tersebut dengan tidak disedari telah menguasai parti dan akhirnya mereka telah berjaya mengambil alih kepimpinan dengan sistematik dan tidak boleh di anjak dan di alih lagi.

Akhirnya Umno itu dengan begitu sistematik telah dibunuh kerana parti itu tidak lagi mampu untuk menjamin untuk terus memberikan mereka kuasa yang berterusan. Dengan terbunuhnya Umno pada 1988 yang lalu maka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan terhadap parti itu telah membawa hampir kesemua ahli-ahli yang telah kehilangan Umno itu menyertai parti baru yang juga dinamakan Umno juga.

“Repercussions” terhadap pembunuhan Umno ini amat besar tetapi sempena hari mengingati ulang tahun parti yang telah mati ini, saya hanya hendak mengingatkan siapa yang berminat untuk mengetahuinya; iaitu ramai pemimpin-pemimpin besar Umno telah meninggal semasa tidak menjadi ahli Umno lagi.

Antaranya ialah YTM Tunku Abd Rahman. Beliau mangkat semasa tidak menjadi ahli Umno lagi. Begitu jugalah Tun Hussein Onn dan setiap pemimpin dan ahli selepas kematian Umno itu tidak mati sebagai ahli Umno.

Yang pasti akan turut mati bukan sebagai ahli Umno ialah Dr Mahathir yang membunuh parti itu, Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan semua pemimpin-pemimpin yang lain akan mati bukan sebagai ahli Umno. Mereka akan mati dalam sebuah parti baru yang menggunakan nama yang sama dengan Umno itu.

Hari ini adalah hari dalam sejarah untuk mengingati perjuangan Umno bukannya untuk merayakan usia Umno yang ke 66 kerana Umno itu sudah tiada. Yang ada hanyalah Umno palsu yang ditubuhkan oleh orang yang membunuhnya pada bulan Februari 1988 yang lalu.

Sebagaimana yang saya selalu ingatkan Umno yang ada pada hari ini tidak pernah memperjuangkan kemerdekaannya kerana ianya lahir 31 tahun selepas kita mencapai kemerdekaan.

Semuanya terkeliru kerana nama keramat Umno itu. Telapak perjuangan orang Melayu sudah tiada lagi. Yang ada sekarang ini adalah telapak kepada perjuangan kebendaan dan peribadi dan ianya wujud diatas perpecahan orang Melayu, bukannya diatas perpaduan orang Melayu seperti asas kewujudan Umno yang telah lama meninggalkan kita itu.

Kita telah kehilangan telapak perjuangan dan tidak pula kita tahu apakah yang mereka (Umno baru) rayakan pada hari ini.