Pada tahun 2013 Pilihanraya Umum ke 13 akan diadakan. Perdana Menteri boleh menasihatkan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa sebelum tarikh terakhir Pilihanraya Umum wajib diadakan. Dari sekarang hingga ke tarikh Pilihanraya Umum diadakan maka semua parti akan mempersiapkan diri masing-masing untuk mencapai kemenangan kerusi bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebanyak mungkin untuk membolehkan penubuhan kerajaan. Oleh itu semua pilihanraya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri atau kawasan Parlimen yang diadakan menjelang Pilihanraya Umum ke 13 menjadi ukuran dan bahan kajian untuk semua parti membuat perhitungan atas strategi dan taktik yang perlu diikuti untuk mencapai kemenangan.dalam Pilihanraya Umum ke 13.
Apabila keputusan satu-satu
pilihanraya umum atau kecil diumumkan maka berbagai-bagai alasan diberi oleh
pihak yang menang apatahlagi yang kalah mengenai prestasi masing-masing. Yang
menang sudah pasti memuji-muji diri, sama ada parti, dasar, kepimpinan dan
peribadi calon yang bertanding mengikut siapa yang membuat ulasan dan kenapa
ulasan itu dibuat. Yang kalah, jika ianya dari kalangan pembangkang kepada
Barisan Nasional, sudah tentu menyalahkan daftar pengundi, sistem pengundian
dan, jika ada pergaduhan, sudah tentu pihak polis disalahkan. Tidak nampak
langsung penerimaan keputusan dalam satu-satu pertandingan dalam sistem
demokrasi sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengasas Syarikat National, Encik
Matsushita supaya yang mengamalkan demokrasi hendaklah mempunyai dua sikap
iaitu - "Susyi dan Sunao".
"Susyi" bererti menerima keputusan
kalah atau menang walau dengan satu undi sekali pun dan yang menang hendaklah
dianggap sebagai mewakili semua yang mengundi sehinggalah pemilihan yang akan
datang.
"Sunao" pula bererti seseorang yang menang atau kalah hendaklah mampu
melihat kebaikan yang ada pada lawannya supaya dapat bekerjasama membangun
organisasi, negeri atau negara.
Perkara pokok di dalam membuat
keputusan untuk mengundi tersangat bergantung kepada budi, janji, ingatan dan
keyakinan.
Bagi kerajaan yang memerintah mahunya ialah supaya rakyat sentiasa mengenang
budi yang telah ditabur sepanjang pemerintahannya. Yang menentang kerajaan pula
akan berusaha supaya rakyat melupakan budi yang telah ditabur dan, jika mampu,
mencemarkan atau menidakkan budi itu. Atau pun sekurang-kurangnya
memperkecil-kecilkan sesuatu budi itu dengan mengatakan bahawa ianya ialah satu
tanggungjawab yang akan dilaksanakan oleh sesiapa sahaja yang memerintah. Pihak
pemerintah pula akan mengingatkan bahawa bukan semua pihak yang memerintah
mampu melaksana apa yang telah dilaksanakan oleh mereka.
Calon yang bertanding pula mempunyai
peluang untuk mengingatkan pengundi kepada khidmatnya selama menjadi wakil,
apatahlagi jika calon itu pernah memegang jawatan dalam kerajaan. Apakah ada
budi atau jasa calon kepada pengundi setempat, kepada kawasan, negeri atau
negara?
Begitu juga di dalam keluarga. Masyarakat yang ingin bersatu itu hendaklah dianggotai oleh banyak keluarga dari kalangan masyarakat itu yang bersatu-padu dan tidak purak-puranda. Untuk bersatu syarat utama yang wajib wujud di antara anggota keluarga ialah sikap mengenang budi. Hubungan ibu dan bapa dalam keluarga akan aman damai jika dari sejak mereka muda remaja mereka berbudi antara satu sama lain dan budi itu kekal dalam ingatan sehingga jika ada sengketa antara mereka berdua ikatan budi itu cukup kuat sebagai benteng yang kukuh yang dapat mengembalikan mereka menjadi harmonis.
Anak-anak pula hendaklah mengingati dan sentiasa mengenang budi ibu dan bapa kepada mereka. Dengan adanya ingatan inilah maka ibu bapa akan berbangga dengan adanya anak sedemikian. Sementara itu pula antara adik beradik akan terjalin ikan yang bertambah harmonis dengan adanya ingatan ke atas budi antara sesama mereka.
Di hari tua, apabila wajah ibu sudah kedut dan bapa tidak bermaya lagi ingatan kepada budilah yang akan mengekalkan hubungan yang mesra antara mereka. Ibu bapa akan merasa bahagia apabila menerima kiriman dari anak yang jauh dan akan terus terhibur apabila anak-anak balik untuk berhari raya. Tanpa budi tidak ada kebahagiaan dalam keluarga. Tanpa mengenang budi calon oleh pengundi tidak adalah undi baginya.
JANJI
DI TEPATI
Bagi parti yang belum memerintah atau
calon yang belum pernah berkhidmat maka usaha gigih ialah dalam mengetengahkan
janji-janji murni dan suci. Kerja ini agak mudah jika calon itu
berlatarbelakang agama. Jika tidak, adalah penting bagi calon itu mempunyai kelulusan
dan watak yang lebih memberi harapan kepada pengundi. Agak mudah bagi calon
yang belum pernah menang untuk mengetengahkan dan membesarkan rekod buruk
samaada benar atau rekaan mengenai lawannya.
Janji parti juga penting. Parti yang
cuba mengalahkan parti yang memerintah mempunyai kelebihan dari segi membuat
janji kerana belum diuji dan janji itu pun belum pasti atau perlu dilaksanakan.
Memang janji dalam pilihanraya, mengikut bekas Perdana Menteri Britain, Mr.
Harold Wilson, 'janji dalam pilihanraya itu hanyalah janji sahaja'.
Seorang bekas Timbalan Perdana Menteri telah menjanjikan Islam sebagai wadah perjuangan sebelum beliau menjadi Menteri sehingga beliau begitu popular dan dipilih menjadi pemimpin di peringkat atasan. Apabila beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan beliau menjanjikan pula kekayaan dan kemewahan kepada penyokong-penyokongnya. Ternyata wang lebih popular dari agama sebagai hadiah untuk mendapat sokongan. Apabila ditakdirkan hilang kuasanya sebagai Timbalan Perdana Menteri beliau terpaksa merobah janjinya untuk memperjuangkan keadilan untuk rakyat jelata. Keadilan yang mempunyai berbagai wajah ini pula ditafsirkan oleh yang bukan Melayu dan Bumiputra sebagai usaha menghapuskan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu dan Islam.
Sebagai sahutan kepada janji pihak pembangkang untuk memperjuangkan keadilan dalam erti tersebut maka kelihatan pihak kerajaan di zaman Perdana Menteri sebelum ini juga membuktikan kesanggupan untuk menidakkan hak dan keistimewaan Melayu sehingga baru-baru ini pun beliau mengulangi di luar jawatan, bahawa 'tongkat' Melayu itu hendaklah dibuang.
Manusia, sebagai insan, adalah
pelupa. Apatahlagi bangsa Melayu kita. Betullah yang Tun Dr. Mahathir katakan
bahawa bangsa Melayu cepat lupa. Oleh kerana sifat pelupa ini sudah lumrah maka
budi, yang biasanya menjadi modal besar, sebagaimana semestinya, sebagai simen,
yang mengikat batu bata hubungan antara manusia, malahan juga sebahagian besar
haiwan, tanpa haiwan menyedari erti budi, sudah hilang kekuatan atau kuasanya
sebagai modal untuk mendapat sokongan dalam satu-satu pilihanraya kecil atau
umum.
Jelas sekali ramai dari antara
generasi muda sudah lupa kepada budi yang mereka nikmati dari Hak Istimewa
Orang-Orang Melayu yang terukir dalam Perlembagaan dan tunjangan pelaksanaannya
dalam Dasar Ekonomi Baru. Sementara generasi muda tidak menganggap biasiswa itu
satu hak bagi mereka, sebaliknya sebagai satu 'tongkat' yang melambangkan
penghinaan, dari antara yang angkuh, demikian pula kita dapati ada mereka yang
mengamalkan rasuah politik secara tidak malu sedangkan 'rasuah' itu sendiri
adalah 'tongkat' yang bukan hak tetapi haram dan memalukan bangsa.
Sudah terlalu ramai pula dari kaum
China yang bangga dengan ke Chinaannya, tetapi anti sikap 'racist' yang ada
pada Melayu, turut marah jika diingatkan sifat imigran yang ada padanya, tetapi
lupa untuk berterima kasih kepada pemimpin mereka yang terdahulu seperti Tun
Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan yang tidak lupa berterima kasih kepada pemimpin
Melayu yang dengan rela dan senang hati menerima nenek moyang imigran mereka
untuk menjadi rakan senegera dengan pemberian kerakyatan. Dalam konteks sikap
ingat dan lupa inilah politik dalam negara bergolak.
Apakah yang sebenarnya perlu
ditawarkan oleh seorang calon, pemimpin atau parti di dalam sesebuah
pertandingan. Berbagai. Yang perlu diingat ialah, apabila seseorang itu perlu
memilih antara prinsip dan kawan rata-rata kita dapati orang Melayu malahan
orang-orang Islam jua mendahului kawan dari prinsip. Kita perlu berhati-hati apabila kita
memberitahu sesuatu kepada pengundi sebelum dan sesudah pilihanraya kerana
rakyat adalah seperti raja di dalam pilihanraya.
Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras amat yakin Barisan Nasional yang di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato Seri Najib akan memperolehi kemenangan besar di dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti.
Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras akan bersama - sama dengan ahli - ahli UMNO Bahagian Cheras yang diterajui oleh Datuk Seri Syed Ali Al Habshee, Ketua Bahagian UMNO Cheras akan melancarkan satu slogan untuk Pilihan Raya Umum ke 13 khusus untuk Pemimpin utama yang kita sanjungi iaitu Yang Amat Berhormat Dato Seri Najib.
Slogan : " 1 Malaysia Loves 2 BN : BERSAMA NAJIB, BINA NEGARA".
No comments:
Post a Comment