Friday, June 11, 2010

PROVOKASI PEMBANGKANG DI PARLIMEN


Setiap kali sidang parlimen, wakil-wakil rakyat pembangkang dan penyokong-penyokong mereka tidak habis-habis merancang dan melakukan provokasi melampau sehingga sanggup mencemar imej dewan yang mulia itu.
Sekali lagi di Parlimen kekecohan dicetuskan apabila mereka mengadakan “ceramah umum”, satu-satunya perbuatan biadap, tidak beretika yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen.

Bagaimanapun, mereka berjaya memperdayakan urusetia parlimen dengan berselindung kononnya mahu berbincang mengenai isu meritokrasi dan pemberian biasiswa kepada bukan Melayu.Buat pertama kalinya, bilik rehat VIP Dewan Negara bertukar menjadi tempat ceramah politik pembangkang. Tuduhan, makian dan fitnah dilempar kepada kerajaan dengan disaksikan beberapa penyokong impot!. YB-YB pembangkang dan penyokong mereka menyalahgunakan kebenaran yang diberi oleh urusetia parlimen. Mereka tanpa rasa malu dan bersalah menukar ruang rehat sebagai tempat “berpesta’ dengan sesuka hati melanggar peraturan- ibarat kempen pilihan raya lagaknya!

Benar, mereka mendapat kebenaran urusetia parlimen tetapi ia tertakluk kepada beberapa syarat iaitu mengadakan perbincangan secara tertib dan bertamadun, bukan melempiaskan kemarahan nafsu serakah kepada kerajaan BN. Pihak urusetia parlimen sepatutnya lebih tegas. Jika jelas melanggar syarat-syarat, tindakan segera perlu diambil. Jangan jadi macam boneka!

Tindakan itu sebenarnya memang sudah dirancang. Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M. Kulasegaran membawa masuk kira-kira 50 orang ahli dikatakan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke bangunan Parlimen jam 12 tengahari. Pihak pengurusan Parlimen membenarkan Wakil Rakyat itu menggunakan bilik rehat tersebut kerana menyangka jemputan wakil rakyat terbabit adalah bagi tujuan perbincangan isu meritokrasi dan biasiswa membabitkan kaum India.

Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi gelanggang melepaskan kemarahan. Pakar provokasi ahli Parlimen Pas Bukit Gantang, Nizar Jamaluddin yang berucap dalam majlis itu menghentam kerajaan serta BN. Seperti biasa, Nizar yang sepatutnya sudah lama ditangkap dan disumbat dalam ISA kerana sudah banyak kali menghasut, memfitnah dan menimbulkan rasa gelisah di kalangan orang bukan Melayu terus meniupkan perasaan benci ahli-ahli NGO yang hadir kepada kerajaan.Kebetulan, beberapa Ahli Parlimen dari Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) berada di ruang tetamu luar bilik rehat itu sedang berbincang, terdengar Nizar Jamaluddin itu mengecam kerajaan.

Antara Ahli Parlimen yang berada di situ YB Datuk Bung Mokhtar Raden (BN-Kinabatangan), YB Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu), YB Datuk Ismail Kassim (BN-Arau), YB Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) serta Timbalan Menteri Kesihatan, YB Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

YB Datuk Idris berkata beliau mendengar dengan jelas pemimpin pembangkang itu mengecam kerajaan. “Nizar kata kerajaan tidak boleh dibenarkan terus memerintah kerana menzalimi rakyat. Dia turut mengecam UMNO. Nizar sebut perkataan celaka dan menyumpah seranah terhadap kerajaan dan Barisan Nasional,” katanya.

Sudah tentu sesiapa sahaja yang mendengar perkataan Nizar akan merasa panas telinga, apatah lagi ia dilemparkan dalam ruang rehat VIP Dewan Negara. Memang tepat sekali tindakan YB Datuk Idris masuk ke bilik rehat tersebut untuk menegur kenyataan Nizar dan YB Datuk Bung Mokhtar pula masuk ke Dewan yang masih bersidang untuk mencelah memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat. Tapi apa hak Nizar dan Kulasegaran dan beberapa “samseng” upahaan menghalau bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu keluar dari bilik tersebut dengan alasan perjumpaan itu tertutup dan pemimpin UMNO tidak diundang.“Tidak ada keizinan diberi untuk mengadakan ceramah politik. Jangan cuba kelirukan rakyat,” kata Idris kepada UMNO-online. Sepatutnya, pihak kawalan keselamatan Parlimen serta anggota polis bertindak pantas menamatkan majlis itu apabila mendapati kebenaran untuk perbincangan bertukar menjadi medan ceramah politik. Kata Idris, beliau bukan menganggu perjumpaan itu seperti didakwa oleh pemimpin pembangkang tetapi mahu menegur tindakan mengadakan ceramah politik di tempat yang tidak dibenarkan.

“Saya mahu mempertahankan kemuliaan dewan ini (Parlimen). Saya juga nak ingatkan pihak terbabit jangan sampai kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa,” katanya. “Kalau hendak mengadakan ceramah politik ada pentas dan gelanggangnya. Saya tidak ganggu. Ini di dewan yang mulia, melanggar peraturan. Jangan ingat boleh buat sesuka hati,” katanya. Katanya, ada perkataan berunsur rasis disebut dalam perjumpaan dan ketika kekecohan tersebut.

“Saya sudah mengemukakan usul kepada Speaker untuk menubuhkan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi menyiasat siapa punca kejadian tersebut dan mahu mereka yang terbabit dikenakan tindakan sama seperti insiden beberapa Pemuda UMNO yang didenda kerana dikatakan cuba menghalang wakil rakyat pembangkang,” katanya.
Antara pemimpin pembangkang yang berada dalam perjumpaan itu adalah Lim Kit Siang serta Gobind Singh Deo. Bekas Pengerusi BNBBC yang juga Ahli Parlimen Johor Bharu Datuk Seri Shahrir Samad turut kecewa melihat gelagat Ahli Parlimen pembangkang berbuat sesuka hati berceramah di dalam premis bangunan Parlimen.Beliau yang juga bekas menteri dan sudah lama menjadi Ahli Parlimen berkata pada masa lampau hal-hal ‘ luar biasa’ seperti ini tidak pernah berlaku.

“Jangankan di kawasan rehat Dewan Negara malah di kawasan letak kereta Parlimen sesiapapun tidak boleh berceramah baik dari pembangkang ataupun Barisan Nasional. Dalam pagar lawasan Parlimen ada peraturan dan mesti dihormati.”

“Ruang berceramah bagi Ahli Parlimen dalam kawasan ini ialah di dalam sidang Dewan Rakyat,” ujarnya.

Sumber UMNO Online

No comments: