Tuesday, June 5, 2012

BILA BUKAN MELAYU MENJADI PERDANA MENTERI?

Kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa beliau tidak akan berhenti dari memperjuangkan bukan Melayu untuk memegang jawatan Perdana Menteri di negara ini, memperlihatkan bahawa usaha untuk menguasai tampuk kepimpinan tertinggi di negara ini tidak pernah padam di kalangan pemimpin dan ahli DAP.

Malah, Karpal ‘tersasul’ pula menyebut Lim Guan Eng sebagai Perdana Menteri membuktikan bahawa Anwar Ibrahim, Nik Aziz, Haji Hadi, ahli-ahli PKR dan Pas hanyalah menjadi kuda tunggangan atau balaci mereka untuk mencapai matlamat tersebut.


Namun, perlu diingat, bahawa kenyataan atau impian Karpal itu bakal menjadi kenyataan, sekiranya umat Melayu di negara ini terus berpecah belah hanya kerana perbezaan pendapat dan pendekatan di dalam politik seperti yang berlaku hari ini.


Lihat sahajalah hari ini, biarpun perpecahan umat Melayu di negara ini belum sampai ke tahap yang amat kritikal, namun golongan pejuang politik yang rasis dan liberal seperti DAP sudah mula memperlihatkan belang mereka. Hari ini, mereka tidak lagi segan silu atau takut untuk bersuara mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi, Raja-Raja Melayu apatah lagi untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu yang menjadi sasaran dan kecaman mereka pada setiap masa. Justeru itu, umat Melayu perlulah sedar dan sentiasa beringat, bahawa segala nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada umat Melayu di negara ini adalah sesuatu yang boleh ditarik balik, sekiranya umat Melayu terus berpecah belah dan tidak mahu bersatu padu dalam membela agama dan kuasa politik Melayu sebagai syarat utama untuk mensyiarkan daulah Islam di negara ini.

Umat Melayu perlu sedar bahawa perpecahan yang berlaku di kalangan umat Melayu ini bukanlah sesuatu yang tidak sengaja atau timbul secara semulajadi, tetapi ia merupakan satu gerakan terancang oleh golongan tertentu yang mahu menguasai pentadbiran di negara ini dan hanya satu caranya, iaitu dengan memecah belahkan umat Melayu sehingga hilang kekuatan mereka, biarpun pada angkanya umat Melayu menjadi bangsa majoriti di negara ini. Malahan, apa yang lebih bahaya hari ini ialah apabila sikap sebahagian dari umat Melayu yang lebih mementingkan diri sendiri dan tidak mahu mengambil tahu tentang politik, serta bersikap jahil dalam ilmu dan lebih tertumpu kepada perkara-perkara negatif yang berbentuk hiburan semata-mata. Sedangkan medan politiklah yang menjadi saluran golongan politikus rasis dan liberal yang anti Islam dan Melayu untuk menguasai pentadbiran negara dalam usaha untuk menjadikan Islam, Raja-Raja dan Hak Istimewa Orang Melayu tinggal sebagai satu lipatan sejarah di negara ini.



Apakah umat Melayu merasakan bahawa sekiranya Perdana Menteri negara ini bukan di kalangan orang Melayu, maka dia akan memelihara Islam, Raja-Raja dan Hak Istimewa Orang Melayu seperti mana yang wujud pada hari ini? Sudah tentu tidak!

Ada juga suara-suara yang sesetengah umat Melayu yang jahil mengatakan, apa yang nak dirisaukan kerana orang Melayu tetap akan menjadi pemimpin tertinggi baik di peringkat pusat ataupun negeri, sekiranya Pakatan Pembangkang berjaya menguasai pentadbiran negara, kerana itu sudah termaktub di dalam perlembagaan. Golongan ini tidak tahu kerana kejahilan mereka, bahawa perlembagaan boleh dipinda, atau ditukar sekiranya majoriti 2/3 yang dimiliki oleh Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO berpindah milik kepada Pakatan Pembangkang satu hari nanti. Ini sudah terbukti apabila kerajaan Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Pembangkang bercadang untuk meminda perlembagaan baru-baru ini kerana mereka adalah majoriti yang menguasai kerajaan di negeri tersebut.

Tidakah umat Melayu sedar, bahawa usaha Pakatan Pembangkang, terutama DAP adalah untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara republik di mana Islam tidak lagi menjadi agama rasmi, Raja-Raja akan dipaksa untuk turun takhta dan hak-hak istimewa Melayu akan dihapuskan!

Lihatlah nasib agama Islam, Raja Melayu dan bangsa Melayu yang hidup di pulau di selatan tanahair, yang satu ketika dulu dipanggil Temasik, di mana har ini kemuliaan dan keagungan Melayunya sudah tinggal dalam lipatan sejarah yang usang dan tidak dipedulikan lagi.
Justeru itu, umat Melayu di negara ini perlu cepat-cepat sedar dan bangkit sebelum nasi menjadi bubur. Bersatulah umat Melayu dalam dua perkara yang diikat oleh Allah s.w.t. kepada kita sebagai tali kekuatan iaitu atas nama Islam dan bangsa. Janganlah kita berpecah hanya kerana perbezaan pendapat politik dan pendekatan cara pentadbiran negara, kerana ia akan menyebabkan datangnya bencana dan kehancuran yang besar terhadap umat Melayu secara keseluruhannya.

Ambillah iktibar daripada sejarah sebagai satu pengajaran. Dan ingatlah pepatah orang-orang tua kita dulu yang berpesan, jangan sudah terantuk baru nak terngadah dan janganlah kita hanya menang bersorak, sedangkan kelak Islam, Bangsa, Tanahair dan maruah umat Melayu tergadai tanpa dapat ditebus kembali.

No comments: