Semalam
bertempat di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Timbalan
Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN)
Wilayah Persekutuan. Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi Perhubungan Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah
Persekutuan telah menyampaikan mesej
jelas mengenai “sokong siapa saja calon
BN”. Pada pilihan raya umum (PRU)yang ke 13
nanti, apa yang penting ialah kemenangan
parti bukannya calon yang bertanding.
Kata
Tan Sri Muhyiddin: “Walaupun kawasan itu kawasan yang bukan Umno, kemenangan
rakan-rakan kita dalam BN menentukan kemenangan parti kita walaupun yang
bertanding itu MCA atau Gerakan (misalnya), kita harus menyokong parti yang
bertanding kerana mereka bertanding atas tiket BN dan kemenangan itu kelak
adalah kemenangan BN”.
Mesej
ini bukan sekadar untuk Wilayah Persekutuan sahaja sebaliknya di seluruh
negara. Tetapi bagi Wilayah Persekutuan terutama di Kuala Lumpur, setiap
anggota parti komponen BN perlu menerima baik mesej ini jika mereka mahu “gelombang biru” membersihkan tsunami
politik 2008.
Apakah
Umno / BarisanNasional terutama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah
bersedia untuk bangkit semula? Tsunami politik 2008 menyebabkan Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur jatuh ke tangan DAP, PKR, Pas. Bukannya luar biasa
bagi pembangkang menguasai kerusi di ibu negara dan sekitarnya tetapi dengan
hanya satu kerusi, keputusan PRU yang lalu bagi BN amat memeritkan.
Daripada
11 yang ditandingi, Barisan Nasional tewas di 10 kerusi. Setiawangsa yang
ditandingi Dato’ Seri Zulhasnan Rafique “menyelamatkan” keadaan. Berbekalkan
Parlimen Setiawangsa, Umno /BN masih “terus bernafas di pusat sehenti”
yang menjadi nadi urusan politik, pentadbiran dan pengurusan negara.
Menyelak
kembali keputusan PRU lalu di Wilayah Persekutuan, Umno bertanding di lima
kerusi termasuk Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan. Keputusan mengejutkan
apabila Dato Shahrizat Abdul Jalil kalah kepada calon PKR, Nurul Izah Anwar
(PKR) di Lembah Pantai dengan majoriti 2,895 undi. Dato Shahrizat gagal
mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2004 dengan majoriti 15,288 undi.
Satu lagi kerusi ialah di Parlimen Titiwangsa apabila muka baru, Aziz
Jamaluddin Mhd Tahir tewas kepada Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali (Pas) dengan majoriti
1,972 undi berbanding kemenangan calon BN 2004 dengan majoriti 11,815 undi.
Mampukah
BN menguasai semula Lembah Pantai dan Titiwangsa dan mengekalkan Setiawangsa,
Putrajaya dan Labuan?
Semuanya
terletak kepada kepimpinan dan anggota parti di kawasan berkenaan sejauh mana
mereka dapat menerima amaran, nasihat dan teguran Tan Sri Muhyiddin. Jika masih
mahu berebut, “pijak kepala” kawan, sabotaj dan macam-macam lagi, maka lupakan
saja kemenangan. Bagaimana pula dengan lapan kerusi yang ditandingi MCA dan
Gerakan? MCA dan Gerakan tersungkur dan tersingkir di KL pada PRU lalu.
Antara
faktor yang menyumbang kepada kekalahan BN di Lembah Klang termasuklah
kehilangan undi yang ketara daripada masyarakat Cina dan India. MCA gagal
mempertahankan Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak apabila tewas kepada PKR
sementara DAP pula menyapu bersih kerusi yang menjadi “kubu kuat” mereka di
Seputeh, Bukit Bintang dan Cheras.
Gerakan
pula gagal mempertahankan Segambut dan Batu yang jatuh kepada DAP dan PKR serta
terus mengalami kekalahan di Kepong, kerusi tradisi DAP. Kecuali di Bandar Tun
Razak, majoriti pengundi ketika itu adalah masyarakat Cina dan kedudukan itu
mungkin masih kekal sehingga sekarang.
Mungkin
untuk PRU akan datang, BN melalui mana-mana parti komponen sekurang-kurangnya
perlu “mengambil semula” Segambut, Batu, Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak
sementara kerusi lain boleh dianggap bukan pilihan utama untuk menang. Jika
menang, mungkin di Bukit Bintang, ia adalah satu bonus kepada BN.
Ramai
yang menjangkakan BN mampu “mengambil semula” Wangsa Maju, kawasan yang dilihat
mempunyai ramai pengundi Melayu. Pada PRU lalu, calon PKR, YB Wee Choo Keong
menang dengan majoriti 150 undi mengalahkan penyandang, Yew Teong Look yang
sebelum itu menang dengan majoriti 10,185 undi.
Khabarnya,
Umno berminat dengan kerusi Parlimen Wangsa Maju, sementara PKR dijangka
meletakkan Dr Tan Kee Kwong, bekas Ahli Parlimen Segambut yang juga bekas
Pengerusi Gerakan WP KL. Bekas timbalan menteri itu kini mengetuai Wangsa Maju
selepas YB Wee Choo Keong menjadi wakil rakyat Bebas.
Begitu
juga dengan Bandar Tun Razak. Adakah strategi PKR menurunkan calon Melayu,
Khalid Ibrahim yang memenangi kawasan itu akan menjadi turutan BN? Mungkin
formula ini boleh diguna pakai untuk sekurang-kurangnya PRU akan datang dengan
matlamat untuk menang dan berdasarkan kepada “calon boleh menang” yang boleh
diterima pengundi serta penduduk setempat. Maka setiap parti komponen BN perlu
sedia “berkorban” demi strategi yang dapat menjamin kemenangan BN.
Pada
masa yang sama pemimpin-pemimpin berpengaruh di Wilayah Persekutuan boleh menjadi faktor kekuatan
untuk menggerakkan jentera Umno seperti Menteri Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar, Senator Dato Raja
Nong Chik Raja Zainal Abidin serta dua bekas Pengerusi Umno WP iaitu YB Dato
Seri Zulhasnan Rafique, YB Datuk Seri
Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah
Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Al
Habshee.
Mereka
boleh memainkan peranan yang penting untuk memperkuatkan lagi jentera BN dan
Umno Wilayah Persekutuan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin, Timbalan Perdana
Menteri itu perlu diberi sokongan yang kuat oleh setiap pemimpin parti komponen
BN di WP supaya tidak timbul masalah menjelang PRU.
Semua
pemimpin BN di semua peringkat iaitu Umno, MCA, MIC , Gerakan dan PPP perlu
bersatu untuk memperkukuh, memperkasa dan memperkuatkan lagi jentera parti. Di
Wilayah Persekutuan, pemilihan calon amat sensitif kerana tidak ada kerusi
Dewan Undangan Negeri. Ini menjadi cabaran kepada pemimpin untuk mencari calon
boleh menang yang terbaik dari segala aspek.
Harus
diingat, geografi politik Kuala Lumpur melibatkan kumpulan campuran iaitu
golongan elit dan sederhana termasuk pengundi baru dari seluruh negara yang
datang ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Merekalah yang akan menentukan
gelombang pilihan pada PRU akan datang.
No comments:
Post a Comment