Thursday, February 11, 2010

DATO' SERI DR. ZAMBRY KEKAL SEBAGAI MENTERI BESAR PERAK


KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah wajar dilihat sebagai peluang kepada kepemimpinan negeri meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).


Pemerhati politik sependapat bahawa peluang yang terbentang itu wajar digunakan sebaik mungkin oleh Zambry untuk manfaat semua, bukan saja rakyat Perak.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustapa Ishak, berkata ruang yang diberikan selepas kira-kira dua tahun membazir masa dengan pelbagai tuntutan perundangan menyebabkan aspek pembangunan negeri dan rakyatnya terjejas wajar digunakan sepenuhnya.

"Zambry perlu buktikan beliau mampu memikul tugas berat ini dengan meneruskan kerja pembangunan, mendekati rakyat serta menangani masalah persepsi.


"Bagaimanapun beliau perlu berhati-hati kerana perbezaan kerusi antara BN dan pembangkang hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana macam-macam boleh berlaku," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, mahkamah memutuskan Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak dan pelantikan beliau yang dibuat Sultan Perak, Sultan Azlan Shah adalah sah mengikut Perlembagaan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP-Pas-PKR selepas berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam DUN.

Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Mohammad Agus Yusoff, berkata Zambry perlu menggunakan sepenuhnya masa yang ada untuk meneruskan agenda rakyat yang terganggu sebelum ini.

"Zambry perlu laksanakan dasar kerajaan untuk pastikan rakyat dapat merasai dan menghargainya" katanya.

Pensyarah Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat, Umno dan parti BN wajar menggerakkan jentera memenangi hati rakyat.

sisipan daripada : www.bharian.com.my

KAMI DARI PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS MENYAMPAIKAN SEKALUNG UCAPAN TAHNIAH KEPADA DATO' SERI DR. ZAMBRY ABDUL KADIR YANG KEKAL SEBAGAI MENTERI BESAR PERAK.

No comments: