Jika ada laporan yang menyatakan bahawa kerajaan akan terus memerintah sehingga tamat lima tahun mandat yang diberikan maka masa masih ada lagi untuk Barisan Nasional memikirkan semula dan melakukan perubahan yang lebih dituntut oleh rakyat serta melakukan langkah-langkah yang lebih berkesan untuk meraih kembali sokongan yang semakin terhakis.
Kita perlu menjadi realistik dan tidak lagi meniti angan-angan dalam menilai keadaan semasa. Amat mudah untuk kita mengatakan bahawa sokongan terhadap kita sudah bertambah tetapi keperluan untuk melihat keadaan sebenarnya perlu. Kepimpinan Perdana Menteri masih mempunyai masa untuk memperbaharui langkah dan menilai semula cara-cara yang dilakukan selama ini yang nampak agak bersifat terburu-buru – bila mana meletakkan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) pada tahun ini dan melakukan sebanyak mungkin program untuk tujuan itu.
Kedudukan Barisan Nasional (BN) perlu dinilai semula dan penilaian itu seharusnya melihat kepada perlaksanaan lebih mudah – dapat mengertikan dengan senang dalam melakukan perubahan bersifat mendahulukan rakyat. Ingat, kadang-kadang yang mudah itu lebih berkesan dan yang sedikit itu lebih efektif. Meluruhkan kebaikan demi kebaikan dalam jangka masa yang singkat akan menjatuhkan nilai kebaikan tersebut. Itu semua perlu tahu dalam melakukan polisi perubahan.
Apa yang selama ini berlaku adalah usaha untuk melakukan perubahan mendadak nampak tergopoh-gapah dan terburu-buru adalah kesilapan yang boleh membebankan kerajaan. Kita lihat usaha dilakukan dengan cara fizikal tanpa menilai kesan dan penerimaan dalam dari sudut normatif kepada rakyat. Apa yang kita lihat usaha bersungguh-sungguh tetapi tidak di rencana dengan tepat dan berstrategi dan seperti yang saya katakan tadi ini merendahkan nilai kebajikan dan kebaikan yang telah dilakukan.
Tindakan dan polisi kerajaan amat baik namun amat malang kalau perlaksanaan itu tidak dapat digarap untuk menunjukkan kebaikan kerajaan malah akan dimanipulasi sebagai satu usaha korupsi politik menjelang pilihan raya maka BN/UMNO telah gagal dalam mencabar persepsi yang dibentuk pembangkang.
Kelemahan membentuk persepsi dan mengambil “advantage” dari perlaksanaan dasar baru kerajaan, usaha menabur balik kemakmuran kepada rakyat, tindakan drastik dalam memberi subsidi serta langkah meringankan beban kewangan dengan memberi BR1M dan wang kepada anak-anak yang belajar di khuatir akan lupus – tanpa kesan positif terhadap politik BN/UMNO. Penegasan saya adalah – kebaikan yang dilakukan juga mempunyai tarikh lupus dan penilaian seharusnya dibuat dalam cara dan mekanisme yang lebih terperinci dalam usaha itu.
Kita setakat ini kurang menyengat dalam urusan membina persepsi baru dan ini perlu kita ketahui. Benar, kita punyai sekarang kekuatan kehadiran dalam media alternatif untuk membantu menguruskan pembentukan persepsi baru rakyat terhadap BN/UMNO. Namun adalah kita sedar bahawa kekuatan kita hanya nampak pada kuantiti namun kualiti tersangkut dengan kekurangan penyusunan yang sebenar dalam membentuk kekuatan. Kita perlu menilai semula dengan tepat dan tidak bersorak sesama sendiri – menyatakan kekuatan tetapi tidak diukur pada skala yang sebenarnya.
Dalam keadaan yang mana PRU 13 nampaknya sudah dianjak tarikhnya maka Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia perlu disalurkan maklumat yang lebih berkesan dan tepat. YAB Dato Seri Najib hari ini perlu disalurkan dengan nilai dan kualitatif sebenar perlaksanaan kita khususnya dalam membentuk persepsi baru terhadap UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Beliau harus mula membuat rumusan sebenar dan tidak hanya melihat kepada aturan program-program palsu yang menunjukkan sokongan sudah pulih dan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional kini sudah stabil dalam mengurus perubahan – mengurus transformasi dan rakyat sudah bertepuk tangan dengan kejayaan ini. Ini tidak benar – rakyat masih lagi belum memberikan tepok sorak terhadap polisi dan tindakan kuantitatif yang dilakukan oleh UMNO/BN. Kita nilaikan sendiri antara pelaburan kita terhadap usaha membersihkan persepsi dan keputusan yang kita capai.
Kita jangan bohongi Perdana Menteri kita dan Perdana Menteri kita jangan membiarkan dirinya dibohongi. Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras yakin PM kita tahu situasi sebenarnya tetapi diasak setiap kali dengan cerita indah dan himpunan palsu sokongan yang mahu menyedapkan hati PM. PM telah jelas nampak berusaha untuk berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat tetapi gagal diambil dengan baik oleh mereka yang sepatutnya dipertanggungjawab untuk mengikis persepsi buruk yang semakin lama semakin dahsyat diserang hebat.
Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras percaya sekiranya panggilan PRU 13 benar dianjak ke hadapan MAKA Perdana Menteri Malaysia seharusnya bertindak untuk mencungkil apa yang benar dan apa yang tidak untuk beliau membuat keputusan yang lebih efektif untuk negara dan untuk BN/UMNO. Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sepatutnya sedia mendengar apa yang sebenarnya berlaku dan bertanya kepada mereka yang tidak akan membungakan keindahan ke telinga beliau semata-mata untuk memancing sesuatu.
Hakikat kita tertinggal dalam menyebarkan usaha kebaikan dengan pergaduhan semasa sendiri semakin nampak ketara. Media Alternatif yang dikembangkan tanpa pengisian yang sebenarnya menjadi senjata yang kelak makan tuan. Kritikan baik tidak dapat disampaikan terus ke meja Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan kerja-kerja sifat kuantiti dan kualiti semakin ghairah menjadi petunjuk palsu kejayaan.
Akhirnya adalah BN/UMNO khususnya kepimpinan yang rapat dengan rakyat sebenarnya sedar atau juga tertipu dengan suapan manis keadaan dan sokongan kehadiran yang tidak bernilai sebenarnya. Jangan kita memperdayakan kepimpinan kita kerana kesan buruknya adalah pada BN/UMNO.
No comments:
Post a Comment