Friday, August 28, 2009

SALAM TAKZIAH BUAT KELUARGA SENATOR PROF DATUK DR ISMAIL MD SALLEH

TAKZIAH. Pada hari jumaat yang diberkati ini, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang telah kembali ke rahmatullah semalam akibat serangan jantung.

Dilaporkan Allahyarham Datuk Dr Ismail meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura dan disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura sebaik tiba di hospital itu pada kira-kira pukul 8 pagi.

Allahyarham Datuk Dr Ismail, 61, telah mencipta sejarah sebagai Senator pertama dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan cacat penglihatan di Malaysia meninggalkan enam orang anak.

Allahyarham Datuk Dr Ismail adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS) dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.

Allahyarham Datuk Dr Ismail yang dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 September 1947 pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya di bidang pengajian antaranya anugerah Guiness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah.

Sesungguhnya sumbangan Allahyarham kepada Negara tidak ternilai biarpun beliau dalam kategori OKU. Justeru itu, ahli - ahli Puteri UMNO Bahagian Cheras , sama - samalah kita sedekahkan Al-Fatihah ke atas Allahyarham dan semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman – Al-Fatihah.

No comments: