Tuesday, April 13, 2010
MASYARAKAT MELAYU ABAI HAK MEMILIH SEBAGAI PENGUNDI
Para peminat politik tanah air kini sibuk membincangkan tentang perkembangan siapakah bakal Calon Barisan Nasional dan siapakah pula Calon Pakatan Rakyat yang akan di pertaruhkan sebagai calon di Parlimen 094 Hulu Selangor? Namun begitu, adakah kita sedar bahawasanya masyarakat Melayu sendiri ada yang tidak berminat menjadi pemilih atau pengundi. Bagi bukan peminat politik, mereka tidak peduli bagaimana pilihan raya boleh mengubah suasana sosiopolitik dan ekonomi negara.
Hakikatnya, sebahagian masyarakat Melayu telah mengabaikan tanggungjawab penting dalam menentukan kerajaan dan wakil rakyat. Kita perlu juga bertanya, mengapa mereka tidak berminat untuk campur tangan dalam politik? Dengan tahap pendidikan yang semakin tinggi dan punya kedudukan ekonomi yang lebih baik berbanding orang dahulu, adakah semua ini melekakan mereka terhadap tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya. Mungkinkah mereka mempunyai tanggapan bahawa mereka tidak mengharapkan bantuan wakil rakyat lagi pada zaman yang serba moden dan canggih ini?
Sarina Sharif yang merupakan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan , berpendapat sebilangan masyarakat Melayu yang tidak mendaftar sebagai pemilih terperangkap dengan budaya selesa kerana menganggap kemajuan rakyat dan negara selama ini adalah tanggungjawab kerajaan. Terdapat juga sebilangan dari masyarakat Melayu kini menganggap siapa sahaja yang menjadi wakil rakyat dan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan juga tidak penting. Ini kerana dalam pemikiran mereka, wakil rakyat atau kerajaan mana sekalipun bertanggungjawab untuk berkhidmat dan memajukan rakyat dan Negara.
Mereka juga gagal membuat penilaian profesional tentang akibatnya jika urusan memilih kerajaan diabaikan. Mungkin ada sebilangan masyarakat Melayu yang berasa tidak mahu ikut ‘bodoh’ dengan politik kerana berasa terganggu dengan karakter dan dunia politik yang dianggap kotor, penuh dengan pergeseran dan kadangkalanya agak tidak berkualiti.Namun begitu, mengapa masyarakat Melayu tidak mahu belajar dan mengambil ikhtibar dari sejarah pergerseran yang pernah berlaku di Tanah Air tercinta sebelum Merdeka dan selepas Negara Malaysia Merdeka…
Perjuangan selepas Merdeka
Setelah hampir 53 tahun mencapai kemerdekaan, para pengundi Melayu belum lagi mengecewakan kerajaan Barisan Nasional dalam mana-mana pilihan raya, tetapi adakah kuasa memerintah akan terus dipegang oleh UMNO atau lebih tepat lagi, orang Melayu pada masa depan? Orang Melayu harus sedar, bekalan undi kaum ini tidak banyak bertambah berbanding dengan peningkatan jumlah pemilih berdaftar kaum lain.Tanggungjawab serta komitmen golongan muda kaum Cina yang mendaftar sebagai pemilih selepas mencapai umur yang dibenarkan patut dicontohi.
Sebenarnya masa untuk mendaftar masih terbuka. Sejak 2002 pendaftaran sepanjang tahun boleh dilakukan di pejabat pos.Tetapi, jika mereka memilih untuk tidak mendaftar sebagai pengundi, jangan dipersalahkan kepada pemimpin politik dan kerajaan jika kuasa pemerintahan Melayu di negara ini semakin lemah. Salahkan golongan Melayu yang enggan mendaftar dan tidak mengambil peranan langsung dalam pemerintahan negara secara demokrasi.
Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment