Saturday, April 17, 2010

PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN SIBU PADA 16 MEI 2010


Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) telah mengumumkan bahawa pilihan raya kecil P212 Parlimen Sibu ditetapkan pada Ahad, 16 Mei ini. Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ,penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 8 Mei.

Pengumuman itu di buat selepas SPR mengadakan mesyuarat hampir tiga jam di pejabat SPR di Shah Alam. Proses penamaan calon dan penjumlahan undi rasmi bagi pilihan raya kecil itu akan dilaksanakan di Dewan Suarah, Sibu. Pilihan raya kecil itu perlu diadakan mengikut Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu.

Tan Sri Abdul Aziz berkata SPR telah pun menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat beserta sijil kematian Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 12 April lalu dan SPR memastikan kekosongan kerusi Parlimen Sibu pada 10 April.

"Mengikut perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan 60 hari selepas tarikh kekosongan kerusi itu dipastikan," katanya.

Tan Sri Abdul Aziz juga menyampaikan watikah pelantikan sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil Parlimen Sibu kepada Pegawai Daerah Sibu, Wong See Meng (kiri). Beliau berkata Wong mempunyai pengalaman dalam mengendalikan beberapa pilihan raya umum di Sibu dan akan dibantu oleh empat penolong pegawai pengurus daripada beberapa jabatan kerajaan negeri di Sarawak.

Tan Sri Abdul Aziz berkata bagi pilihan raya kecil ini, SPR akan menggunakan daftar pemilih induk 2009 yang dikemaskini sehingga 9 April tahun ini. Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 52,158 pemilih biasa dan 2,537 pengundi pos, terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis. Proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Sibu.

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian ahli parlimennya yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hui Choi, minggu lalu. Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

No comments: