Friday, October 29, 2010

PUTERI UMNO TEKAD TINGKATKAN KEAHLIAN PENGUNDI MUDA

Pergerakan Puteri UMNO bertekad akan meningkatkan usaha dan melaksanakan pelbagai program dalam fokus menarik golongan muda mendaftar sebagai pengundi di samping meningkatkan penyertaan mereka dalam UMNO.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Majid Rashid Shirlin berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua bahagian dan cawangan Puteri UMNO untuk bekerja keras mendekati golongan muda menerusi program-program yang bersesuaian dengan jiwa mereka.

“Apa yang penting adalah usaha menyedarkan golongan muda tentang betapa pentingnya mereka celik politik dan mendaftar sebagai pengundi,” katanya. Jelas beliau, sebagai sayap parti yang mewakili usia muda, Puteri UMNO sentiasa menggalas tanggungjawab tersebut kerana menyedari undi mereka amat penting untuk menentukan kedudukan serta senario politik negara.

pu3-pengundi-muda-rosnah

“Ini kerana golongan muda menyumbang 40 peratus daripada keseluruhan pengundi di negara ini, dan jika kebanyakkan mereka khususnya orang Melayu tidak berdaftar sebagai pengundi maka kesannya terhadap masa depan bangsa amat membimbangkan,” katanya.

Tambahnya lagi, pada masa yang sama golongan muda Melayu yang mendaftar sebagai pengundi mesti dibimbing supaya mereka tidak terikut-ikut dengan rentak politik pembangkang yang kononnya memperjuangkan idealisme dan kebebasan.

“Kesedaran serta minat berpolitik di kalangan muda mesti terarah dan tersusun, bukannya secara semberono kerana trend sekarang menunjukkan golongan muda yang mendaftar sebagai pengundi tetapi tidak dibimbing arah politik mereka menjadi penentang kepada kerajaan dan tidak memberi sokongan kepada UMNO.”

Dalam hal ini juga, Puteri UMNO akan terus menanamkan rasa cinta dan sayang golongan muda terhadap parti yang memelihara hak-hak orang Melayu serta menjaga kesucian Islam.

Selaras dengan hasrat mendekati masyarakat, komen dan cadangan daripada semua pihak untuk aktiviti yang dirasakan sesuai sebagai pemangkin mewujudkan ahli UMNO dan pengundi berkualiti amat dialu-alukan. Cadangan tersebut boleh dihantar ke admin@puteriumno.my atau ke laman facebook – Puteri Jiwa Rakyat.

No comments: