Thursday, October 21, 2010

PERSIDANGAN PERWAKILAN PUTERI UMNO MALAYSIA 2010


Rosnah Abdul Rashid Shirlin bersama Exco Pergerakan Puteri UMNO bergambar selepas perhimpunan agung tahunan pergerakan itu di PWTC, semalam.


Persidangan Perwakilan Puteri UMNO yang menutup tirai petang semalam mencetuskan kelainan apabila Ketuanya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menggunakan pendekatan unik bagi mencetus semangat perjuangan di kalangan ahli-ahli Puteri.

YB Datuk Rosnah di akhir ucapan penggulungan perbahasan mengajak para perwakilan menghayati lagu Warisan nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad untuk menyemarakkan perjuangan memperkasakan parti demi bangsa, agama dan negara.

Dalam nada sebak, beliau mahu ahli Puteri selepas menghayati lagu tersebut yang dikumandangkan di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pulang membawa bersama semangat juang yang tinggi bagi memastikan UMNO terus relevan dan diterima rakyat.

“Jangan apabila tamat perhimpunan, semua peringatan menjadi basi semata-mata. Ingatlah, setiap derapan langkah tertanggung amanah dan tanggungjawab, setiap kata kita seharusnya mempunyai isi dan seruan semangat serta setiap perbuatan kita sewajibnya mempunyai roh perjuangan UMNO.

“‘Jadi, sekiranya kita keluar dewan ini semata-mata membawa beg persidangan, kita keluar dewan ini semata-mata bergaya cantik, kita keluar dewan ini membawa barangan hasil beli-belah semata-mata, bermakna kita masih tidak berubah,’’ katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO.

Dalam penggulungan tersebut, beliau turut berpesan kepada ahli-ahli Puteri supaya bangun daripada tidur yang melalaikan dan segera menyusun serta memantapkan gerak kerja parti.

Pada masa sama, katanya, ahli-ahli parti di semua peringkat perlu menggerakkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi.

“Kita jangan omong-omong kosong. Marilah kita lapangkan dada, bulatkan tekad dan atur langkah serta catur kecemerlangan Puteri.

“Saya mahukan kita semua pulang pada Jumaat ini dengan membawa satu tekad untuk berjuang habis-habisan. Kita rampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi,’’ tegas beliau.

Beliau seterusnya melahirkan harapan agar semua peringkat pergerakan memberi sokongan kepada usaha menubuhkan Unit Khas Pilihan Raya Puteri.

“Saya berharap agar penubuhan unit itu akan memperkasakan lagi peranan Puteri dan Puteri tidak lagi dipandang enteng. Jangan sesekali kita diperlekehkan,’’ katanya.

Mengenai perbahasan wakil-wakil negeri, beliau menyifatkan ia sebagai perbahasan yang terbaik dan berharap akan dapat dipertingkat untuk tahun mendatang.

No comments: