Monday, October 25, 2010

CALON BARISAN NASIONAL DI PILIHANRAYA KECIL DUN GALAS DAN PARLIMEN BATU SAPI

Barisan Nasional (BN) semalam menamakan Setiausaha UMNO bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff, 49, sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Datin Linda Tsen Tsau Lin, 54, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi.

Pemilihan kedua-dua anak tempatan mewakili BN, diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Gua Musang dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di Sandakan, petang semalam.

Pilihan raya kecil DUN Galas dijangka menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PAS, manakala di Batu Sapi, BN dijangka berdepan PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Di GUA MUSANG, Muhyiddin yakin pemilihan Abdul Aziz boleh diterima semua pengundi Galas.

“Beliau dipilih oleh Perdana Menteri selepas berbincang dengan kepemimpinan UMNO bahagian dan Badan Perhubungan Kelantan. Kita berharap pengundi Galas dapat memberi mesej yang kuat, yang rakyat masih mahukan pembangunan untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Hakikatnya, pembangunan duniawi yang dilaksanakan BN adalah sebahagian tuntutan agama.

"Daripada profil DUN Galas yang mempunyai pengundi Melayu, Cina, India dan Orang Asli, ia memberi gambaran DUN Galas sebagai contoh 1Malaysia. Dalam hal ini, hanya kerajaan BN lebih mampu dan berupaya memenuhi kehendak rakyat," katanya pada majlis pengumuman calon BN di Balai Rakyat Bukit Chekati, Gua Musang.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Pilihan Raya Kecil BN bagi DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah; Naib Presiden MCA, Datuk Wira Chor Chee Heung dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.


Ketua Menteri Sabah bersama Linda ketika pengumuman calon BN di Sandakan

Di SANDAKAN Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bersama pemimpin komponen BN Sabah dalam sidang akhbar di Hotel Sanbay, dekat sini, pada 3 petang.
Tsen, 54, adalah balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, iaitu penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas.
Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 Nov. Musa berkata calon yang dipilih itu dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua parti komponen BN Sabah.
"Bagi Datin Linda, Batu Sapi bukanlah asing bagi beliau, dan politik bukan juga asing kepada beliau, kerana beliau adalah seorang Naib Ketua Exco Wanita PBS.

"Jadi, bagi dia ini adalah satu perkhidmatan, peluang untuk beliau teruskan perjuangan mendiang suami beliau dan beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas pengumuman itu.

Musa berkata memang sudah terbukti banyak wanita berkelayakan dan berkebolehan untuk menjadi pemimpin di negara ini, justeru peluang sebegini diberi kepada golongan wanita.

"Bagi kita di Sabah, kita juga mahu menonjolkan banyak lagi wanita yang berkebolehan, berdedikasi dan boleh memberi khidmat kepada rakyat," katanya.

Musa berkata Tsen berjanji akan bekerja keras dan memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat di Batu Sapi. Menjawab soalan sama ada pemilihan itu dibuat berdasarkan faktor simpati, Musa berkata terpulang kepada penilaian rakyat kerana yang penting calon dipilih boleh memberi perkhidmatan melalui pengalaman politik yang ada.

Sementara itu, Tsen apabila ditanya sama ada pemilihannya sebagai calon pilihan raya kecil itu satu perkara yang sukar buat dirinya memandangkan beliau baru kehilangan suami, berkata: "Saya berbesar hati kerana dipilih sebagai calon. Saya tahu saingan ini amat sukar, kita perlu bekerja keras.

"Ini adalah peluang untuk saya meneruskan khidmat bakti yang dicurahkan mendiang suami saya Datuk Edmund Chong," katanya.

Mengenai persediaan kempen BN untuk pilihan raya kecil ini, Musa berkata BN negeri telahpun bermesyuarat dan mengagihkan tugas kepada semua ketua bahagian dan wakil rakyat dalam parti komponen gagasan itu.

"Kita berjanji akan bekerja kuat dan bekerja keras bagi kemenangan Datin Linda. Insya-Allah dengan sokongan, dukungan dan kerjasama semua parti BN di Sandakan ini yang akan bekerja keras siang dan malam, kita boleh berjaya," kata beliau.

Tsen, anak kelahiran Sandakan, mengikut persekolahan awalnya di Sekolah Rendah Chi Hwa dan Sekolah Menengah Tiong Hwa, di sini.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di St Brandon School, United Kingdom, dan Trinity College of Music, London serta Fellowship London College of Music.

Beliau mempunyai empat anak, iaitu tiga perempuan berumur antara 18 dan 23 tahun dan yang bongsu seorang lelaki berumur 13 tahun.

No comments: