Monday, October 11, 2010

MAJLIS RUMAH TERBUKA UMNO BAHAGIAN CHERAS

Lebih 15 ribu orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri majlis Rumah Terbuka Rakyat 1Malaysia anjuran UMNO Bahagian Cheras dan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) malam tadi. Majlis yang sepatutnya bermula 7.30 malam itu bagaimanapun telah 'serbu' oleh orang ramai sejak pukul 7 petang untuk menikmati pelbagai juadah yang disediakan penganjur. Pengunjung Islam bersama kaum Cina dan India berpusu-pusu memenuhi dua tapak juadah yang disediakan khas bagi memberi keselesaan kepada pengunjung menikmati jamuan. Sambutan pada tahun ini merupakan yang paling meriah dan mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk khususnya sekitar Parlimen Cheras berbanding dengan tahun sebelumnya.

Ketua UMNO Bahagian Cheras merangkap Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee ternyata berpuashati dan gembira dengan sambutan diluar dugaan daripada orang ramai. "Saya bersyukur kerana sambutan tahun ini amat mengejutkan dan ini membuktikan masyarakat berbilang kaum semakin menerima pendekatan 1Malaysia yang diterapkan oleh kerajaan," katanya. Selain menerima kunjungan daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama, majlis itu juga turut dihadiri oleh ahli-ahli termasuk Ketua-Ketua UMNO Bahagian serta pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan.

Manakala antara tetamu kenamaan yang turut memeriahkan majlis tersebut ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jen (B) Dato' Jamil Khir Baharom dan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Mashitah Ibrahim. Turut serta ialah Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd. Ali Rustam dan Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Seri Ahmad Fuad Ismail.

Majlis yang berakhir kira-kira pukul 12 malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada seniman tanahair, Dato' Aziz Satar dan pelawak tersohor, Mydin. Orang ramai juga dihiburkan dengan persembahan kumpulan muzik 'bale-bale' serta tarian kebudayaan daripada kaum Melayu, Cina, India serta bangra serta permainan bunga api.

No comments: