Luahan Hati Tun Mahathir - Saya sedih. Bukanlah saya berharap
kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan
perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu
sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah
dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa
sendiri.
Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka
tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka
dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka. Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami
pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan
tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.
Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak
memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka.
Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan
mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya
hamba rumah yang diduduki orang lain.
Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah
bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan
negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau
budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan
apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan
Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.
Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan
jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi
jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika tidak tunduk
serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang
ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat
pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka
ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.
Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai
pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu,
iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi
Siam. Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu
kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu
yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di
kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas
jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah
jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah
bangsa kami. Jangan siapa tolong.
Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan
diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael
supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja
Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.
Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan
negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi
milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.
Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan,
tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga,
sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih
pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada
Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang
tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.
Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat
beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang
menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan
kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan
bangun menentang rancangan Malayan Union British.
Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka. Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.
Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka. Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.
Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan
tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri
tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan. Yang kecewa, yang tidak dapat
nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk
tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti
mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.
Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada
ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka
dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang
diberi kepada kumpulan ini. Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu
terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan
rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa
serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih
daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957. Tanpa
merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya
membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain
pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa
dijajah. Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.
Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan
merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan
yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia. Semua ini
terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia.
Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam
bidang perniagaan dan perusahaan. Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah
menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku
dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan
perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.
Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut
ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat
sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini
mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka
melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat
yang terdapat di negara ini. Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan.
Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan
mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis
untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha
untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain. Sokongan
orang lain ini tidak diberi secara percuma.
Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.
Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.
Siapa yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan
malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak,
orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu,
yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut. Orang Melayu sudah
lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun
mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan
mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka. Oleh kerana lupa dan
tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada
mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang
sedikit yang ada pada mereka.
Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan.
Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak
tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini
tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.
"Jangan bersedih dan
bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri,
dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan
begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri."
No comments:
Post a Comment